Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 40

Kaabah

Assalamualaikum warah matullah…

TK sudi singgah atau tersinggah… moga persinggahan ini tidak sia-sia.

Dalam menulis, banyaknya yang Juea belajar.selain dari mengembara menimba ilmu sambil mencari bahan untuk tulisan, Juea juga semakin cuba mendalami bahasa ibunda tercinta. teguran demi teguran dari sang editor menyedarkan Juea, betapa kita memang akan terus belajar sampai ke liang lahad.

bayangkan, punya lah khusyuk menulis, sampaikan macam-macam ayat yang ditulis. cuba kalian perhatikan ayat ni: “pokok-pokok hiasan mengelilingi rumah kayu itu…”. bandingkan dengan ayat ini: “rumah kayu itu dikelilingi pokok-pokok hiasan…”.

bila sang editor menyebut ayat yang pertama tu sambil buat gaya sekali (bayangkan ya… bagaimana pokok-pokok hiasaan itu melompat-lompat bergerak mengelilingi rumah!) Juea memang gelak nak pecah perut dengan kedunguan sendiri! hehehe…

Maafkan Juea atas segala kelemahan ya. semoga terhibur dengan bab 40 dan seterusnya…

Bab 40

Lena Nuqman terganggu lagi. Puas dia beralih tempat tetapi rasa berbahang semakin kuat sehingga seluruh tubuhnya basah bermandikan peluh. Dalam kepekatan malam itu, hanya ada cahaya jingga kemerahan yang kelihatan semakin terang bersama bahang yang sangat panas. Nuqman bingkas bangun dari pembaringan, mencari arah untuk melarikan diri dari bahang dan cahaya yang menyala-nyala itu.

“Tolongggggg!!” Laungan meminta tolong tiba-tiba bergema berulang-ulang kali sehingga membuatkan seluruh tubuhnya gementar. Suara itu menggigil ketakutan, berterusan meraung dan menangis meminta tolong. Nuqman kini tidak lagi mencari arah untuk lari dari situ tetapi kalut berlari mencari si empunya suara. Apa yang sedang berlaku? Di mana dia? Kenapa begitu sekali dia menjerit dan meraung?

Apa pun tidak kelihatan dalam kepekatan malam itu. Yang ada hanyalah cahaya yang amat panas itu. Nuqman berhenti berlari dan meneliti dari arah mana suara itu datang. Dari cahaya itu! Dia menelan liur yang terasa kesat. Gema suara meminta tolong itu semakin sayu dan lemah. Nuqman menarik nafas dan memaksa kakinya berlari ke arah cahaya itu. Dalam menahan bahang yang semakin membakar kulitnya, dia terkejut apabila melihat cahaya itu datangnya dari lurah yang sangat dalam dan ada api yang menyala-nyala. Suara itu kedengaran semakin dekat membuatkan dia terus melangkah. Dia tidak lagi peduli di mana dia berada. Hatinya tekad untuk menyelamatkan si empunya suara.

Bunyi dentuman menggegarkan bumi dan serentak itu suara tadi menjerit-jerit meminta tolong. Nuqman cepat-cepat merapatkan tubuhnya ke tanah dan merapati bibir lurah dari arah suara itu datang dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila melihat seorang gadis berpakaian serba hitam sedang menjerit ketakutan. Dia hanya bergayut pada bongkah batu di tepi lurah dan kakinya yang tergantung menerawang ketakutan kerana tidak tahan bahang api yang sedang membakar.

‘Sini! Capai tangan saya! Cepat!” Jerit Nuqman sekuat hati. Gadis itu mendongak cemas. Sekali lagi Nuqman tersentak kerana wajah gadis itu sama seperti wanita di Kafe tadi.

Bongkah batu tiba-tiba bergerak dan mata gadis itu terbeliak.

“Tolongggg!!” Jeritan nyaringnya bergema.

“Ya Allah!!” Nuqman tersentak lalu terbangun duduk di katil. Nafasnya tercungap-cungap dan peluh memercik di mana-mana. Dia bermimpi! Dan gadis itu… yang di kafe semalam!

Puas Nuqman beristighfar menenangkan dirinya. Perlahan-lahan dia bangun lalu membuka pintu kaca sorong ke balkoni. Angin malam yang berhembus lembut menenangkan dirinya. Dalam nafas yang semakin teratur, dia mula memikirkan maksud mimpinya tadi. Dan sekeping kertas kecil yang bertulis, TOLONG SAYA!

‘Buatlah solat hajat untuk dia. Kalau Allah memang sedang menolongnya, siapa tahu kita yang dipilih Allah untuk jadi penolong…’

Kata-kata Ayah Nizamuddin terngiang-ngiang di telinganya. Betul juga! Kalau hendak difikirkan tentang mimpi dan nota itu, sampai bila pun dia tidak akan faham. Nuqman masuk semula ke dalam sambil mengerling jam di dinding. 3.30 pagi! Waktu paling sesuai untuk bertahajud.

Lama tafakur Nuqman selepas qiamullail, memohon petunjuk dari Yang Maha Mengetahui atas setiap langkah dan keputusan, dalam setiap usaha dan ikhtiarnya dan dalam setiap apa pun yang dilakukannya. Sebagai hamba, dia hanya alat, yang tidak berbekas dan tidak memberi bekas. Melainkan jika digunakan dan diizinkan oleh ‘tuan’nya. Kemudian dia bermunajat lagi, memohon petunjuk tentang mimpinya, gadis serba hitam dan nota semalam.

Subuh itu, Nuqman diminta mengimamkan solat Subuh di surau The Turban. Seperti biasa, pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad, surau itu penuh dengan jemaah. Selain dari tetamu yang menghuni di hotel itu, staf dan pengurusan The Turban dan Peace Yo!, ramai juga orang luar yang berdatangan entah dari mana untuk solat Subuh berjemaah dan mengikuti kuliah Subuh, kemudian memenuhi restoran dan kafe di The Turban untuk bersarapan pagi. Itu antara pakej istimewa yang semakin mendapat sambutan di The Turban. Yang lebih menarik, kebanyakan yang datang adalah golongan atasan yang punya nama dan pangkat. Satu gelombang fenomena yang berlaku di tangan seorang lelaki bernama Nuqman.

Usai solat Subuh, Nuqman dikejutkan dengan permintaan istimewa dari seluruh warga The Turban dan Peace Yo! yang merindui kuliah Subuhnya. Terharu dan serba-salah, Nuqman tampil juga di hadapan jemaah Subuh pagi itu dan menyampaikan kuliah Subuh tentang Pertolongan Allah. Entah kenapa tajuk itu yang menjadi topik pilihannya. Mungkin kerana terkesan dengan mimpinya malam tadi. Mungkin kerana dia amat merintihkan pertolongan Allah ke atas umat Islam yang sedang diuji dengan kezaliman dan penindasan di merata dunia. Dan mungkin juga kerana dia sendiri merasa tiada daya upaya untuk mengemudi diri, keluarga dan perjuangannya tanpa pertolongan dari Allah SWT. Dan pagi itu juga menyaksikan banyaknya airmata yang mengalir dalam diam di kebanyakan pipi ahli jemaah kerana tersentuh dengan perkongsian dari hati nurani seorang lelaki bernama Nuqman.

“Abang Man, maaf ganggu. Ada beberapa orang nak jumpa abang personally, maybe over breakfast, kalau abang sudi…” Miqdam datang menemui Nuqman yang baru saja melangkah keluar dari Surau untuk bersarapan bersama Norhan dan Nabil yang baru tiba Subuh tadi.

Pertemuan yang tidak dirancang itu mengambil tempat di luar Kafe Peace Yo!, di dalam taman, pojok kesukaan Nuqman. Di situ mereka berkenalan dengan Muaz Kamaruzzaman dan Ammar Bahrain yang meraikan sahabat-sahabat mereka dari Jeddah dan Abu Dhabi, Fuad Abdullah bersama isterinya Haida dan Uzair Suleiman yang memilih untuk tinggal di The Turban sepanjang lawatan mereka ke Malaysia dan bertemu pengasas Peace Yo! International adalah antara agenda yang sangat-sangat mereka harapkan. Rezeki mereka kerana Nuqman kembali ke tanahair tanpa dirancang.

Sambil menjamah sarapan, mereka rancak berbual tentang pelbagai topik tetapi yang paling utama ialah asas perniagaan Islam yang berjaya lahiriah dan spiritualnya seperti yang mereka lihat sedang berlaku di The Turban dan Peace Yo! International. Nuqman yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman cuba memberikan tips yang ringkas dan praktikal untuk mereka. Di hujung perbualan, mereka rupanya membawa hajat yang sangat besar iaitu mengusulkan satu usahasama dengan Peace Yo! untuk membentuk sebuah syarikat multimedia yang bertapak di Abu Dhabi dengan memfokuskan projek utama mereka iaitu saluran televisyen percuma di laman sesawang. Bagi mereka, Peace Yo! mempunyai banyak sekali pengisian yang boleh dikongsi dalam bentuk yang pelbagai. Usul bernas itu benar-benar menarik perhatian Nuqman dan timnya. Dia meminta Miqdam dan Nabil membawa Fuad dan sahabat-sahabatnya ke pejabat Peace Yo! untuk berbincang dengan panjang lebar bersama dengan Amir Hamzah dan Dr. Ashraf. Dia akan menyemak pelan cadangan itu apabila mereka sudah mencapai kata sepakat nanti.

Sebelum meminta diri, Nuqman dikejutkan dengan pelawaan Ammar Bahrain untuk makan tengahari di rumahnya yang kebetulan akan mengadakan kenduri kesyukuran. Juga menjadi harapannya jika Nuqman dapat hadir kerana dia dan ayahnya menyimpan hasrat untuk mendapat khidmat Barakah Associates untuk projek membina semula pusat peranginan di tanah milik keluarganya di Port Dickson dengan konsep The Turban yang semakin dikenali itu. Fuad dan sahabat-sahabatnya turut meminta Nuqman menyertai mereka kerana rasa tidak puas dengan pertemuan yang singkat itu. Kebetulan Norhan dan Miqdam terlibat dengan program yang telah disusun di The Turban, jadi tinggal Nuqman yang dapat memenuhi undangan walaupun dia juga mempunyai banyak perkara yang perlu ditangani dan yang paling penting, ibu!

“Ya Allah! Macam mimpi dapat jumpa Man! Ibu rindu sungguh dengan Man!” Basah pipi tua Aisyah saat dia dapat mendakap tubuh anak muda kesayangannya itu.

“Man lagi rindu, ibu! Rindu sangat dengan ibu! Tengok Man ni, dah kurus sebab lama tak makan masakan ibu!” Luah Nuqman sambil bergurau setelah mengucup lama dahi tua ibu.

“Iyalah tu! Atau asyik dengan kerja sampai tak sempat nak makan?! Macamlah ibu baru kenal Man sehari dua…,” pipi Nuqman ditampar manja. Anak sulungnya hanya ketawa.

Bagasinya dibuka. Semua hadiah untuk ibu dikeluarkan dan diletakkan ke riba ibu. Sampai kosong bagasi kecil itu tetapi ibu tetap terjengah-jengah seolah-olah mencari sesuatu.

“Itu saja yang dapat Man belikan untuk ibu. Man balik tak rancang, jadi memang Man tak sempat shopping, bu!” Nuqman merasa serba-salah.

“Pakaian Man mana?” Dia terjeda.

‘Err… Man tak bawak baju, bu. Man balik kejap je. Man kena balik sana tengahari ni…”

“Sampai hati Man buat ibu macam ni?!” Berkerut seribu wajah Aisyah memandang anaknya. Tidak sempat dia tersenyum dengan hadiah yang berlambak di riba, hatinya jadi sebak dan hiba.

“Bu! Man… Man balik kejap je sebab nak bawak ibu ke sana…” Nuqman sudah melutut di kaki ibunya. Kelam-kabut dia menjelaskan niatnya sebelum airmata ibu gugur lagi!

“Haa?!” Terlopong Aisyah dibuatnya. Buang tebiat agaknya dengan si Nuqman hari ini? Nuqman menghela nafas sambil meraup tangan ibu di riba.

“Kali ni, ibu mesti setuju. Man, Norhan, Nabil dan Najjah, semua nak ibu ke sana. Kalau ibu nak duduk di The Turban pun boleh, di apartment Man pun boleh. Kami semua ada kerja tapi kami nak ibu ada dengan kami. Masakkan untuk kami. Jadi… ibu simpan hadiah ni semua, Man nak tolong kemaskan pakaian ibu, kita gerak balik sebelum tengahari ya…” Lembut Nuqman memujuk. Jenuh dia menyusun ayat sepanjang perjalanan ke kampung tadi. Bukan mudah mahu membawa ibu keluar dari rumah itu apatah lagi untuk bermalam di tempat lain.

“Patutlah Najjah merengek mintak ibu pergi! Tapi dah kamu semua nak bekerja, tinggal ibu sorang-sorang jugak nanti. Baik ibu duduk di rumah ni saja…,” jelingan ibu memberi isyarat yang Nuqman akan gagal lagi kali ini.

“Macam ni… err… Man… Man nak ibu kenal-kenal dengan bakal menantu…”

“Haa?!! Betul ke ni, Man? Kalau macam tu, sekarang juga ibu bersiap!” Nuqman tersandar lega. Kemudian dadanya pula tiba-tiba berdebar. Idea yang muncul tiba-tiba itu menjerat dirinya. Puteri menolak lagi untuk diraikan. Apakah Puteri sudi untuk diperkenalkan sebagai bakal isteriya? Bagaimana kalau hubungan mereka tidak menjadi? Bimbang ibu kecewa pula nanti.

“Luluskah aku nak jadi menantu?” Puteri bertanya pada diri sendiri. Memasak tak pandai, tapi kalau bab makan, memang aku handal! Hatinya menjawab soalan sendiri. Isyhh! Kenapa dengan aku ni? Maliha yang nak bertunang, aku pulak yang berangan nak jadi menantu! Tapi iyalah, dia baru nak jadi tunangan orang, aku dah jadi isteri orang!!

Puteri bermonolog sendirian sepanjang perjalanan ke rumah Maliha. Entah kenapa sejak awal pagi tadi, dia berubah hati. Entah dari mana keyakinan datang, hatinya tiba-tiba mahu mengenali Nuqman dengan lebih dekat lagi. Mungkin! Mungkin dia benar-benar bukan seperti lelaki yang lain.

Dadanya berdebar sebaik sahaja rumah Maliha muncul dalam pandangan matanya. Kenderaan agak banyak yang dipakir di kawasan luar perkarangan rumah itu. Matahari sudah meninggi. Khemah-khemah dan meja sudah siap disusun rapi. Besar sungguh nampaknya majlis pertunangan Maliha.

Hatinya sangat berharap agar lelaki itu tidak ada dalam majlis hari ini. Mungkin dia masih di luar negara. Mungkin dia sedang berbulan madu dengan isterinya. Mungkin… Ahh! Puteri tahu, harapannya amat tipis. Walau apa pun, demi Maliha dan Taufiq, dia cekalkan hati. Langkah diatur perlahan, masuk ke perkarangan rumah besar itu. Beberapa orang sedang sibuk ke hulu dan ke hilir untuk menyusun hidangan di atas meja. Ada yang duduk-duduk berbual di balkoni dan di tepi kolam renang di sisi kiri rumah. Puteri terus menuju ke arah pintu masuk tanpa berlengah lagi. Jantungnya berpalu laju kerana dia semakin cemas dan merasa tidak selesa untuk berlama-lama di situ.

“Assalamualaikum…” Tutur Puteri di muka pintu sambil matanya mencari-cari wajah-wajah yang dia kenali.

“Waalaikummussalam…” jawab beberapa suara. Sudah ramai ahli keluarga dan kenalan rapat Maliha yang berada di ruang tamu. Tiba-tiba lengannya disentuh. Dia berpaling. Puan Sri Khadijah merenungnya lama. Puteri menelan liur, menahan debar.

“Puteri!”

“Mama!”

“Puteri…” Puan Sri Khadijah meraih gadis itu ke dalam pelukannya. Puteri didakap erat namun dia tidak bersuara. Hanya airmatanya yang mengalir dalam diam. Puteri sebak dan terharu, seolah-olah dia sedang didakap ibu. Langsung airmatanya turut mengalir, membasahi bahu Puan Sri Khadijah. Lama mereka begitu sehingga Puan Sri Khadijah meleraikan pelukan dan memandang Puteri dari atas ke bawah. Dia hampir tidak mengenali Puteri yang kini berjubah dan bertudung, anggun bersopan.

“Ma-mama rindu…” Suaranya tersekat-sekat. Di bibirnya muncul segarit senyum. Kedua tangannya meraup muka Puteri. Gadis itu tersenyum juga sambil menelan sedu-sedan, hanya mampu mengangguk sambil menatap wajah Puan Sri Khadijah dengan mata yang basah.

“Liha… Liha di atas… naiklah Puteri…” Dia menekup bibir menahan tangis di hujung katanya. Hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya dia dengan kehadiran Puteri kerana Maliha bagaikan patung tak bernyawa di atas sana.

Puteri juga tidak mampu berkata melainkan mengangguk laju. Dia tunduk mengambil beg-beg kertas yang jatuh di kaki saat dia mendakap wanita itu tadi.

“Untuk mama…” Tuturnya dalam payah. Beg itu disambut dan dahinya dikucup lama.

“Terima kasih, sayang. Pergilah…,” pipinya yang basah diseka dengan ibu jarinya. Bahu Puteri diusap lembut. Puteri tunduk mengangguk. Lalu mengundur diri dan melangkah menuju ke anak tangga untuk ke tingkat atas.

Di pintu masuk, Ammar Bahrain yang baru tiba terjeda lama. Dia mulanya kehairanan dengan kehadiran gadis yang cantik berjubah itu. Yang pasti, dia bukan ahli keluarganya. Tetapi sebaik sahaja mama menyebut ‘Puteri’, Ammar tersandar di pintu masuk. Benarkah dia Puteri?! Terpaku menyaksikan pertemuan antara dua orang wanita yang amat dikasihinya, Ammar diam tidak bergerak. Sebak dan syukur berbaur. Dia meraup muka, menahan perasaan. Detik itu juga hatinya berdebar, begitu sekali gadis itu berubah. Hatinya terharu dan teruja. Cemas sungguh dia menanti peluang untuk bersemuka dengan Puteri. Moga hatinya juga berubah dan dapat memaafkannya. Melihat penampilan Puteri yang begitu anggun menutup aurat sepenuhnya membuatkan hatinya semakin kuat mahu memiliki Puteri semula. Memang dia lelaki bertuah andainya Puteri dimiliki. Sesalnya meninggalkan Puteri semakin mencengkam dan mendalam.

Maliha termenung berdiri di jendela kamarnya. Tubuh kecil yang langsing itu berbalut sepasang baju potongan ‘peplum’ biru laut membuatkan dia kelihatan manis dan anggun. Dulang hantaran tersusun di atas katil, semuanya sudah ditatahias dengan warna biru-putih. Namun wajahnya mendung tidak berseri walau sudah cantik disolek.

“Liha!” Dia terus diam dalam menungan.

Puteri sebak melihat sahabat kesayanganya. Entah apa yang ada di dalam fikirnya. Akukah yang membuat dia sedih? Atau dia tahu tentang Taufiq?

“Liha!” Bahu gadis itu disentuh. Perlahan dia menoleh, diam memandang dengan wajah tidak percaya. Puteri tersentuh melihatnya. Airmatanya gugur setitis. Lalu kedua tangannya didepang luas.

“Puteri! Puteri!” Seru Maliha bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bingkas dia menerpa dan memeluk Puteri. Terima kasih, Tuhan!! Maliha menangis di bahu Puteri. Kelam-kabut Puteri menenangkannya. Bimbang nanti solekan Maliha rosak dibasahi airmata. Belakang gadis itu diusap dan ditepuk.

“Syyhh… Liha… don’t cry! Aku mesti datang! Hari ni kan hari bahagia kau dengan mama bouncer!”

“Kau!” Pelukan itu terlerai. Sepasang mata Maliha membulat.

“Sampai hati panggil tunang aku macam tu!!” Bentak Maliha. Puteri ketawa mengekek. Helahnya berjaya kerana Maliha kini tersenyum. Kemudian mereka kembali berpelukan melepaskan rindu.

Akhirnya mereka duduk bersebelahan di birai katil. Masing-masing tidak mampu berkata-kata kerana terlalu banyak yang mahu dibicarakan sampai mereka tidak pasti yang mana satu yang hendak didahulukan. Saling berpegangan tangan dan senyuman menguntum di bibir, akhirnya mereka saling sandar-menyandar, kepala bertemu kepala, diam tanpa kata.

“Kau cantik sangat, Liha…”

“Tapi tak secantik engkau…”

“Aku tak cantiklah…”

“Kau tambah cantik, sekarang. Eh! Kau bertudunglah! MasyaAllah! Alhamdulillah…! Sejak bila, Puteri?!” Maliha bagaikan baru sedar dari mimpi, memusingkan bahu Puteri dan mengadapnya sambil melihat Puteri dari atas sampai ke kaki membuatkan Puteri tersenyum-senyum antara malu dan gelihati.

“Baru je… dah sampai seru!” Mereka ketawa serentak. Bertahun dulu, Maliha selalu memujuk Puteri supaya bertudung sepertinya dan setiap kali itulah Puteri akan menjawab, ‘tunggu sampai seru!’

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya Maliha bila melihat Puteri seperti kembali kepada asalnya, mudah ketawa dan bergurau. Detik itu juga, Maliha teringatkan abangnya. Bagaimana kalau Puteri jumpa Ammar sekali lagi? Apakah senyum tawanya akan hilang semula seperti dulu?! Ya Allah… janganlah hati sahabatku terluka lagi!

“Kenapa kau ni, tiba-tiba termenung pulak. Teringat Taufiqlah tu! Pukul berapa rombongan nak sampai?” Maliha tersenyum menyimpan gelodak hatinya. Jam di dinding dikerling entah kali yang ke berapa sejak pagi tadi.

“Eh! Dalam setengah jam lagi! Papa nak majlis dimulakan awal supaya selesai sebelum zohor…”

“Alamak, Liha… make-up kau! Err… siapa yang make-up kau tadi, minta dia tolong touch up! Sorry, Liha… nanti Taufiq marah tunangnya comot. Lagi dia marah kalau dia tahu aku yang buat kau jadi comot!” Puteri sudah mula berdrama membuatkan Maliha ketawa besar.

“Apa punya merepeklah kau ni…! Cousin aku yang… ha! Yong! Tolong akak, touch up sikit ya…,” seorang gadis yang datang menjenguk ke bilik itu segera dipanggil masuk. Setelah diperkenalkan kepada Puteri, Yong lincah mengemaskini solekan di wajah Maliha. Berseri sungguh Maliha Afiah hari ini. Tiba-tiba Puteri merasa tidak sampai hati untuk bertanyakan tentang Taufiq. Tunggulah selepas majlis nanti…, bisik hati kecilnya.

Beberapa orang saudara perempuan Maliha masuk ke bilik, minta bersedia kerana rombongan sudah hampir tiba. Mereka mengangkat semua dulang hantaran ke tingkat bawah untuk dipersembahkan kepada keluarga bakal tunang Maliha nanti.

“Assalamualaikum,” tegur satu suara di pintu sebaik sahaja dulang hantaran terakhir dibawa pergi. Maliha yang sedang berdiri di sudut katil untuk diambil gambar tersentak. Puteri yang duduk di birai katil dan sedang beraksi dengan lensa Camcodernya juga turut terkaku. Suara itu! Dia tidak mampu bergerak mahupun menjawab salam, hanya menyahut dengan hati yang berdebar-debar.

“Waalaikummussalam, abang!” Jawab Maliha dengan nada terperanjat. Dia memandang wajah abangnya dan Puteri silih berganti. Detik cemas yang dia asyik fikirkan dari tadi berlaku juga dan sungguh, dia tidak bersedia. Melihatkan Puteri yang kaku memegang Camcodernya dengan wajah yang tertunduk ke dulang hantaran di hadapannya, dia tahu yang gadis itu juga tidak bersedia.

“Hurmm… masuklah, abang. Ni… abang kenalkan, Puteri…,” Maliha terasa seperti orang bodoh kerana memperkenalkan mereka yang sudah saling kenal. Tetapi dia benar-benar buntu, tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Tidak mungkin dia meminta abangnya pergi dari situ supaya Puteri merasa selesa. Lagipun, pertemuan ini memang amat-amat diharapkan oleh mereka berdua.

“Apa khabar, Puteri?” Puteri menelan liur. Sukarnya untuk dia menoleh ke belakang. Nafasnya terasa sesak. Dadanya mula sebak. Jangan Puteri! Jangan sekali-kali menangis di hadapannya! Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia meletakkan Camcodernya di atas katil lalu bangun dan berpusing mengadap lelaki itu, Ammar Bahrain.

“Baik, alhamdulillah…,” jawabnya tanpa sebarang riak di wajah.

Ammar Bahrain tersenyum lama. Sepasang matanya tidak berkedip memandang Puteri. Walaupun gadis itu hanya memandangnya sekilas, tetapi sudah cukup baginya. Puteri masih sudi memandang dan bercakap dengannya. Puteri tidak lagi beku seperti dulu. Ini petanda baik!

“Mar…mana Liha? Mereka dah nak sampai tu! Haa… Puteri, jom kita bawa Liha ke bawah, ya…” Puan Sri Khadijah anggun bertudung dan berjubah, mencelah di antara mereka berdua, menghulurkan tangan mahu memimpin anak gadisnya untuk bertemu keluarga bakal menantunya. Maliha teragak-agak menyambut huluran tangan mama. Dia mencapai tangan Puteri dan bertanya dengan pandangan mata samada Puteri mahu ikut turun ataupun tidak. Dia tidak mahu Puteri merasa tertekan dan selesa. Dan Puteri mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri, terus mengikut langkah Maliha dan Puan Sri Khadijah keluar dari bilik itu menuju ke tingkat bawah.

Saat Puteri lalu paling hampir dengannya, Ammar Bahrain merasa terharu. Gadis yang selama ini sentiasa bertapak di hatinya, semakin hampir dengan dirinya.

ps: Mohon doakan buku ini dapat disiapkan sebelum raya ya! Sempena Ramadhan yang bakal tiba, Juea memohon ampun dan maaf dari semua dan Juea doakan moga kita dianugerahkan keberkatan Ramadhan yang mulia. Episod pembersihan diri bakal bermula. Moga mujahadah kita dibantu.

Berkat Ramadhan yang mulia tahun ini, moga-moga berlakulah:
– TAKHALLI (mengosongkan diri atau membuang sifat-sifat buruk),
– TAHALLI (mengisi sifat-sifat yang baik) dan
– TAJALLI (merasa dan menghayati kebesaran dan kehebatan Allah) dalam diri-diri kita, InsyaAllah. ameen, ya Rabbal Alamin.

Advertisements

4 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 40

  1. Amiin. Hopefully I can get it after raya. Juea, bagitau yeeee.. emel me personally once out. I want to be the first person to have it. Lots of love. Salam Ramadhan.

    Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s