Siri novel MAKNA PADA RASA bab 39

cover MAKNA PADA RASA copy

Assalamualaikumwarahmatullah hiwabarakatuh…

Doa keselamatan buat semua. Moga diri-diri kalian dalam peliharaan Allah sentiasa. Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah ini…

At this moment, MAKNA PADA RASA sedang di’belasah’ oleh personal editor saya. Makkk aii! ada je perkataan yang tak sesuai, ayat tak bawa maksud hehe… dan fakta-fakta habis kena digeledah… adeh! banyaknya kelemahan dan kecuaian. tapi apa pun, syukur ya Allah kerana datangkan hamba-Mu yg sudi memaksa diri mengedit tulisan Juea yang caca merba ni. (sebab dia jenis tak baca novel!)

mohon doa semua ya. bab-bab yang akan bersiaran di blog juga dah nak sampai ke penghujung. moga2 semuanya berjalan lancar sebelum Juea mulakan novel baru di blog ini, insyaAllah. berkat sokongan kalian juga!

so, enjoy bab 39 here…

Fee Amanillah!

Bab 39

Ketika menuruni anak tangga bersama teman-teman seperjuangannya setelah selesai perbincangan di bilik mesyuarat tadi, langkah Nuqman terhenti. Dia terpandang ke tengah-tengah The Turban di mana Puteri terpacak berdiri dan terpaku melihatnya. Sekarang Puteri tidak ada lagi di situ. Hanya simpang-siur manusia yang semakin kurang bila malam semakin lewat. Tiba-tiba The Turban terasa sunyi dan tidak berseri.

“Abang! Kenapa?!” Najjah menegur dari belakang.

“Ha! Najjah ke mana tadi? Habis meeting, terus hilang…,” Nuqman bijak mengawal diri. Najjah sudah menyainginya dan menyambung langkah menuruni anak tangga bersama.

“Najjah ke pejabat. Hantar fail-fail tadi. Lepas tu order makan untuk kita semua. Heavy discussion, kan… mesti semua lapar dan penat!” Nuqman tersenyum bangga dengan Najjah yang memang peka dan prihatin dengan sesiapa saja.

“Yang abang tiba-tiba tegak termenung di tangga tu, kenapa?” Najjah menyoal juga, tidak dapat menghalang rasa curiga yang membuak di dalam hati.

“Bila? Ohh…! Tak ada apa, abang teringatkan ibu. Rasa macam nak balik malam ni juga tapi nanti tidur ibu terganggu. Abang balik esok sajalah. Nak ikut?” Cepat Nuqman berdalih. Memang ibu yang berada dalam fikirannya tadi tetapi itu sebelum langkahnya terhenti.

“Hurmm… naklah sangat! Tapi… Najjah baru balik sini pagi tadi. Kak Sarah bagi banyak kes untuk team kami buat kaji selidik hasil program LGBT tempohari. Lepas tu Najjah nak prepare barang-barang nak balik asrama lagi… macammana ya…?!” Wajahnya gundah, berkerut seribu. Hatinya melonjak-lonjak hendak balik bersama Nuqman. Bukan mudah untuk dia dapat meluangkan masa dengannya. Ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

“Macammana apanya? Stay and do your work. Baru je balik bercuti lama dengan ibu, kan? Tak habis nak bermanja lagi?!” Usik Nuqman, menduga hati gadis itu.

“Isyhh.. abang ni!” Bentak Najjah dengan muka yang semakin mencerut. Nuqman ketawa lepas.

“Ala… abang balik kejap je. Kalau dapat bawa ibu ke sini, abang bawa. Sebab abang tak boleh lama di kampung. Macam-macam hal di sini yang perlukan perhatian abang. Najjah call ibu, pujuk ibu supaya ikut abang, ya…” Dia tiba-tiba mendapat idea.

“Great! Kita bagi ibu rasa duduk kat The Turban ni, tengok berapa hari ibu boleh bertahan!!” Mereka ketawa serentak. Bukan mereka tidak tahu, ibu paling tidak betah kalau tinggal di bandar. Tidak ada tempat yang lebih istimewa di dunia ini bagi ibu melainkan Mekah dan rumah peninggalan arwah ayah tersayang.

“Abang Nuqman!”

“Ha! Miq… nak ke mana ni?” Nuqman yang sudah menjejakkan kaki ke lantai aras bawah The Turban terkejut melihat Miqdam yang berlari menuruni anak tangga di belakangnya.

“Nak ke RC, Bukit Bintang, bang. Saya tak dapat join makan-makan raikan abang balik. Maaf ya. Saya nak jumpa ayah Nizam. Ada hal sikit. Esok, saya update abang…” Miqdam mohon diri sambil melangkah ke pintu masuk utama.

“Eh! Tunggu! Abang ikut…”

“Abang! Semua orang tengah tunggu abang tu! Nak makan sama malam ni…!” Terjerit Najjah dibuatnya, terkejut dan tidak percaya dengan tingkah Nuqman yang tiba-tiba mahu pergi begitu saja.

“Najjah, sampaikan salam abang. Tak apa, tadi dah jumpa. Esok pagi abang belanja sarapan di sini. Abang ada hal penting nak jumpa ayah… abang pergi dulu, ya!”

“Abang!”

Panggilan Najjah tidak bersahut kerana Nuqman dan Miqdam pantas melangkah pergi. Najjah menghela nafas hampa. Nuqman selalu buat dia begini, ditinggalkan begitu saja kerana sentiasa ada hal lain yang lebih penting darinya.

Mengeluh dalam setiap langkah yang diatur lambat ke kafe Peace Yo!, Najjah memujuk hatinya yang terasa remuk. Entah kenapa, bahagia bersama Nuqman selalu datang sekejap saja. Kejutan petang tadi di meja makan di taman bunga membuatkan hatinya berlagu riang. Hampir lima belas minit dia resah gelisah menanti siapakah yang akan muncul. Meja di kafe Peace Yo! yang dipilih itu terletak di tepi sekali, paling dekat dengan rimbunan pokok-pokok bunga melur dan melati. Kafe Peace Yo! direkabentuk seperti gerai dalam taman atau kiosk. Memang cantik dan suasananya romantik. Malu pula bila teman-teman melihat dia bersendirian di situ menunggu seseorang yang tidak muncul-muncul. Entah-entah si Miqdam mahu mempermainkannya, sampai begitu sekali fikiran Najjah kerana terlalu gelisah.

Tiba-tiba Nuqman muncul dengan sejambak mawar putih di tangan kanannya dan kek coklat aiskrim kegemarannya di telapak tangan kirinya. Ya Tuhan! Hampir pengsan Najjah dibuatnya kerana terlalu terkejut bercampur bahagia. Orang yang dirindui sekian lama tiba-tiba muncul di depan mata.

Ternyata bukan hanya dia saja yang terkejut, tetapi seluruh staf Peace Yo! yang sedang bertugas di situ. Habis Nuqman dan Najjah dikerumuni dan suasana begitu meriah dengan gelak tawa kerinduan. Dalam keriuhan itu, Najjah sedikit hampa kerana kalau boleh, Najjah mahu Nuqman meluangkan masa dengan dia seorang sahaja tetapi terpaksa akur yang dia harus berkongsi detik manis itu dengan yang lain juga.

Apapun, Nuqman membuatkan dia merasa sangat istimewa. Ah! Hati wanita mana yang tidak melonjak gembira bila menerima sejambak mawar dan kek kegemarannya dari lelaki sehebat Nuqman? Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya rasa di dalam. Najjah tersenyum berseri sejak petang tadi sampai ramai yang menegur. Namun hatinya yang berlagu bertukar bisu tiba-tiba tatkala melihat Nuqman bersama dengan gadis itu beberapa jam yang lalu. Bukan Nuqman tidak pernah bertegur sapa dengan mana-mana gadis selama ini. Tetapi bersama gadis itu, tingkah dan riak wajah Nuqman terlalu berbeza. Mereka seperti di alam lain dan sedang sangat berbahagia?! Kalau itu benar, mengapa aku tak rasa bahagia bila melihat abang aku sendiri bahagia? Bukankah itu yang aku mahukan? Kenapa aku hanya mahu abang Nuqman untuk aku seorang sahaja? Ya Allah! Kenapa aku jadi begini? Hatinya tertanya-tanya dalam perasaan kusut dan keliru.

Siapa gadis itu? Persoalan itu terus berlegar dalam fikiran Najjah. Suasana dalam kafe agak hingar-bingar dengan perbualan mereka yang kebanyakannya masih membicarakan tentang topik perbincangan mereka yang hangat pada malam itu. Najjah makan hanya sedikit bagi mengalas perut kerana seleranya hilang entah ke mana. Akhirnya dia meminta diri untuk kembali ke biliknya terlebih dahulu dengan alasan yang dia keletihan.

Suara gelak tawa abang Norhan dan abang Nabil di rumah awal pagi tadi mengacah di ruang fikirannya. Mereka tahu yang Najjah mahu pulang ke asrama. Jadi mereka balik ke kampung untuk membuli Najjah, minta dimasakkan itu dan ini. Memang begitulah perangai pelik abang-abangnya. Dan dia teringatkan sesuatu… Ya! Senarai nama calon itu! Najjah terduduk di katil bujangnya. Bilik itu dikongsi bersama dengan lima orang lagi staf Peace Yo! yang bertugas secara tetap di The Turban. Mujur waktu ini ada yang masih di pejabat dan sebahagiannya ikut makan bersama di kafe tadi.

“Abang Man dah ada puterilah!” Tempelak abang Nabil selepas melihat apa yang tercatat di sehelai kertas yang abang Norhan ambil dari meja kopi di ruang tamu. Kemudian mereka berdua sama-sama ketawa, seolah-olah mentertawakan Najjah!

Najjah yang sedang mengacau ikan patin masak tempoyak di dalam periuk terhenti dan berpaling. Puteri?! Matanya membulat bila menyedari senarai nama calon isteri abang Nuqman berada di tangan abang Norhan sambil diperhatikan abang Nabil sambil tergelak-gelak. Panas hatinya lebih menggelegak dari panas kuah patin masak tempoyak di hadapannya.

Najjah berlari mendapatkan mereka berdua dan merampas kertas itu dari tangan abang Nabil. Cepat-cepat dia mengoyak kertas itu dan meramas-ramas sampai jadi kecil dalam tapak tangannya sambil matanya menyerlung dan giginya diketap rapat. Puas hati?!

“Menyibuk!!” Jeritnya lalu berlari ke dapur semula. Tergamam dan terkejut dengan tindakan Najjah, mereka berdua memprotes tidak puas hati dan waktu itulah ibu melangkah masuk membawa daun kesum.

“Bu! Teruklah Najjah ni, bu! Dia buang senarai nama calon isteri abang Nuqman. Kami pun nak tengok jugak!” Abang Nabil mula mengelenyar! Abang Norhan tersenyum-senyum lalu mencapai daun kesum di tangan ibu dan membawanya ke sinki untuk dibasuh. Sempat dia menjeling ke arah Najjah dan pandangan mereka bertaut seketika. Abang Norhan tidak pernah menang, pasti dia mengalah kalau bertentangan mata.

“Yang korang sibuk tu buat apa? Bukan untuk kamu, pun. Biarlah si Najjah buat projek dia…!” Tukas si ibu, tersenyum-senyum kerana amat memahami keletah anak-anaknya.

“Amboi! Siap buat projek lagi, Najjah?! Untuk abang dengan abang Norhan tak ada ke?!”

“Carilah sendiri! Sibuk je!” Najjah menjerit, geram. Tiba-tiba abang Norhan berdiri di sebelahnya, hanya diam memandang. Najjah yang tergamam, terkaku memandangnya. Abang Norhan meletakkan daun kesum ke dalam periuk, tersenyum dan berlalu pergi.

Puteri?! Diakah Puteri yang dimaksudkan abang Nabil? Rupa dan gaya gadis itu sememangnya persis seorang puteri. Benarkah abang Nuqman dalam diam-diam sudah berpunya? Tiba-tiba Najjah terasa pilu dan kehilangan.

“Ayah habis pukul berapa?” Soal Nuqman sambil menyedut minuman di kafe di lobi Hotel, tempat yang paling dekat dengan pintu masuk utama hotel itu supaya mudah melihat ayah Nizamuddin keluar setelah seminar selesai.

“Dalam lima belas minit lagi. Tapi mungkin lewat sikit sebab malam ni penutup. Semua panel utama hadir.” Beritahu Miqdam sambil menikmati Chicken Maryland di pinggannya. Nuqman mengangguk-angguk. Dia tidak ada selera hendak makan. Lagipun dia sudah makan lewat petang tadi bersama Najjah. Seronok melayan Najjah, dia tidak sedar berapa banyak dia makan. Itupun disebabkan ada sahaja menu baru yang disajikan staf Peace Yo! untuk dia mencuba. Demi meraikan mereka, dia yang tersandar kekenyangan.

Wajah Puteri muncul lagi dibenaknya. Ah! Malam ini Puteri tidak ada bersamanya. Terasa janggal dan bagaikan ada yang tidak kena. Berat rasa hatinya hendak balik ke The Turban tanpa Puteri di sana. Itulah antara sebab mengapa dia mahu mengikut Miqdam berjumpa dengan ayah Nizam. Selain memang ada perkara yang hendak dibincangkan, dia juga mahu menyibukkan diri dari memikirkan Puteri. Dan dia juga sedang berusaha menahan diri dari memandu ke rumah Tan Sri Hashim lewat malam ini!

Seorang wanita berpakaian serba hitam turun dari sebuah BMW 6-series hitam berkilat tiba-tiba menarik perhatiannya. Wanita itu memakai sesuatu di kepalanya seperti topi dan kain jarang yang menutupi kepala dan sebahagian mukanya. Baju yang dipakainya seperti kot yang besar dan labuh menutup seluruh tubuhnya. Dia diringi dua orang lelaki tetapi bukan seperti teman atau pasangan. Watak mereka seperti pengawal peribadi. Nuqman memandang dengan penuh minat dari dalam Kafe yang berdinding kaca.

Mereka melangkah masuk melewati pintu masuk utama dan kemudian berdiri di tengah-tengah lobi. Salah seorang daripada lelaki itu bercakap di telefon bimbitnya. Kemudian dia mengarahkan temannya membawa wanita itu pergi sementara dia menuju ke kaunter resepsi. Lelaki yang seorang lagi membawa wanita itu ke kafe di mana Nuqman dan Miqdam sedang menjamu selera.

Wanita itu duduk di meja yang berdekatan dan bertentangan dengan Nuqman sementara Miqdam pula membelakanginya. Lelaki itu berlalu dan memesan sesuatu kepada pelayan dan terus melangkah keluar dari kafe itu. Wanita itu hanya duduk diam di meja dan tunduk memandang meja yang kosong. Gerak gayanya seperti seorang model dan bukan wanita melayu. Walaupun sebahagian daripada wajahnya terlindung di bawah topi dan kain yang jarang itu, tetapi Nuqman dapat mengagak dari hidung dan bibirnya yang kelihatan cukup untuk menunjukkan dia seorang yang jelita. Anggun, tersendiri dan terasing, wanita itu benar-benar memukau. Tersedar beberapa pasang mata turut memerhatikan wanita itu, Nuqman kembali memberi tumpuan kepada Miqdam.

“Macammana dengan cadangan Dr Mustafa tu, abang boleh?”

“Haa? Hurmm…” Nuqman berfikir sejenak.

“Rasanya abang boleh luangkan masa sekejap esok malam. Taufiq mesti didekati cara santai. InsyaAllah, abang rasa tak ada masalah. Mungkin dia boleh jadi laluan kita untuk dapatkan pelajar-pelajar IPT yang berpengaruh untuk kita dekati. Peace Yo! mesti masuk ke semua IPT secara serius. Lepas tu, kita launch kempen Jihad di Timur Tengah. Abang perlu masa untuk bincangkan perkara ni dengan IHH supaya nanti mudah kita perpanjangkan ke sana. Strategi penglibatan golongan ni mesti dirangka lebih awal supaya mereka yakin hendak bersama dengan kita, bukan cakap kosong saja. Golongan muda lebih praktikal, nak cepat tengok hasil dan tindakan.” Miqdam mengangguk. Jentera Peace Yo! International mesti digerakkan mulai sekarang dengan kefahaman yang tepat. Peluang keemasan untuk mencipta gelombang persepaduan pemuda-pemudi Islam seperti ini mesti digunakan sebaik mungkin untuk mereka bersatu dan membina kekuatan secara global. Timur Tengah mesti dibantu secara menyeluruh, sistematik dan terancang.

Tiba-tiba seorang pelayan Kafe itu mendekati Nuqman dan menyerahkan sekeping kertas kecil yang berlipat. Nuqman teragak-agak mengambil dan membukanya.

TOLONG SAYA!

Nuqman terjeda lama kemudian terngadah memandang pelayan muda itu. Dia hanya tersenyum sambil memberi isyarat dengan mata ke arah luar. Nuqman ikut memandang. Wanita serba hitam tadi sudah bangun dan melangkah keluar dari kafe itu sambil diiringi dua orang lelaki yang datang bersama dengannya.

“Dia dah pergi…,” ujar Nuqman, terpinga-pinga. Miqdam mencapai kertas kecil itu dan membacanya. Pelayan itu berlalu.

“Eh! Tunggu! Adik…!” Miqdam cepat bertindak.

‘Ya, abang?”

“Adik kenal ke perempuan tu?” Soal Nuqman.

“Tak. Tapi biasa nampak dia ke sini…”

“Regular customer?”

‘Hurmm… tak juga, bang. Cuma kalau datang tu, dua tiga malam berturut-turut. Lepas tu lama tak datang. Dia cuma duduk, minum, lepas tu pergi… itu saja, bang…” Pelayan itu seperti jujur berkongsi maklumat. Nuqman mengangguk. Dia mengucapkan terima kasih dan pelayan itu pun berlalu pergi.

“Apa maksud dia, Miq?” Nuqman tersandar ke kerusi. Pelik! Nombor telefon tidak ada, alamat juga tidak ada, bagaimana hendak ditolong?

“Mungkin dia nak cepat tadi agaknya…”

“Atau mungkin dia takut?”

“Maksudnya mungkin dia akan muncul lagi…?”

Berbagai-bagai telahan mereka bincangkan. Tetapi semuanya menemui jalan buntu. Untuk mengekori wanita itu, memang sudah terlambat.

“Abaikan sajalah…”

“Apa yang nak diabaikan?” Singgah satu suara dari belakangnya. Nuqman terkejut dan berpusing. Ayah Nizamuddin tersenyum berdiri di sisinya.

‘Ayah!” Saling berpelukan melepaskan rindu, terasa sungguh kuatnya ikatan hati yang terjalin. Ayah Nizamuddin menepuk-nepuk dan mengusap bahu Nuqman, seorang anak lelaki sepertinya menjadi idaman kebanyakan pasangan suami isteri. Mengenali dan menjadi sebahagian daripada diri Nuqman sudah cukup membuatkan Ayah Nizamuddin bangga dan bahagia. Miqdam ikut berdiri, bersalam dan berpelukan dengan ayah Nizamuddin.

“Minta maaf ayah, tak sedar ayah masuk tadi…” Miqdam tersenyum dalam serba-salah.

“Itulah… lama juga ayah perhatikan. Asyik sungguh berbincang sampai tak dengar ayah bagi salam…,” giat Ayah Nizamuddin selepas mengambil tempat di sebelah Nuqman. Anak muda di hadapannya tersenyum-senyum dan saling berpandangan seolah-olah ada sesuatu yang dirahsiakan.

“Apa yang nak diabaikan tu?” Soal ayah Nizamuddin membuatkan Miqdam dan Nuqman terjeda.

“Err… hmm… Man dapat nota, ayah… dari seorang perempuan yang duduk kat meja belakang kita ni tadi.”

‘Amboi! Baru balik Malaysia, dah ada yang terpikat? Kuatnya aura Istanbul, Man?!” Mereka ketawa dengan gurauan Ayah Nizamuddin. Jarang-jarang Ayah Nizamuddin bergurau, tetapi bila sesekali terkeluar, boleh tahan gurauannya.

“Err… bukan macam tu, ayah. Sebab lain benar bunyinya. Cuba ayah tengok ni…” Tukas Nuqman, malu-malu. Kertas kecil yang berlipat itu diserahkan ke tangan Ayah Nizamuddin.

“Hmm… kalau orang perempuan minta tolong pada lelaki yang sopan bersongkok, elok jangan abaikan. Selalunya untuk kebaikan. Buatlah solat hajat untuk dia. Kalau Allah memang sedang menolongnya, siapa tahu kita yang dipilih Allah untuk jadi penolong. Buat kerja Allah, besar ganjarannya.” Dalam maksud kata-kata yang dilontarkan perlahan dari bibir Ayah Nizamuddin. Nuqman dan Miqdam menghela nafas lega. Hilang sudah kebuntuan mereka.

Oleh kerana malam sudah lewat, Ayah Nizamuddin segera menyerahkan fail yang berisi modul seminar dan pembentangan serta perbahasan yang dibuat sepanjang seminar Rumahtangga Asas Pembentukan Masyarakat Islam itu kepada Miqdam.

“Feedback yang kami dapat dari kuliah Solat Membina Peribadi Agung yang menjadi asas kekuatan rumahtangga dapat perhatian dan dibahaskan lebih lanjut di kalangan ahli panel. Hasil daripada itulah, mereka minta satu bentuk persembahan yang lebih dinamik dibuat samada dalam bentuk dokumentari atau pun makalah untuk diperpanjangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mungkin sebaiknya kita serahkan kepada Amir dan tim Seni Grafik untuk fikirkan perkara ni. Kalau ada masa, Man tolong tengokkan. Tambahkan mana yang perlu ditambah. Lepas tu, berikan satu salinan lengkap pada Dr Maisarah kita untuk rujukan kelab Adam dan Hawa.”

Jelas dan tegas aturan kerja yang diberikan Ayah Nizamuddin yang sangat memudahkan kerja Miqdam. Nuqman mengangguk tanda bersetuju. Ini memang satu anjakan paradigma yang besar dalam program meningkatkan prestasi institusi kekeluargaan dan seterusnya masyarakat Islam.

Giliran Nuqman pula meringkaskan hasil perbincangan mereka tadi kepada Ayah Nizamuddin yang tidak dapat hadir. Dia juga melontarkan beberapa kemusykilan atas gerakerja yang mereka rancangkan terutama sekali dalam program gerak-gempur pendedahan kronologi kemelut di Timur Tengah yang dicadangkan. Kata hatinya ada sesuatu yang lebih patut didahulukan daripada perkara itu.

“Macam ni lah, Man, Miq… kalau kita hebahkan tentang kekejaman, penganiayaan, natijah-natijah peperangan yang dahsyat tu, apa yang akan berlaku? Marah! Benci! Timbul rasa dendam, mula bersemangat untuk bangkit melawan. Semua tu atas dasar emosi, betul tak? Cuba kita kaji dalam sejarah dunia pula, apa hasilnya berjuang atas dasar emosi? Pemberontakan, penggulingan, perpecahan, rampasan kuasa, perang dan makin ramai yang jadi mangsa. Bila berjaya pun, hasil pemerintahan belum tentu cemerlang. Negara dah punah ranah.

Kalau kita war-warkan tentang penderitaan mangsa perang, derita kanak-kanak, wanita dan orang awam, itu sudah pasti meraih sifat kemanusiaan, semua akan simpati, tak kira bangsa dan agama. Semua orang berdatangan, bertungkus-lumus membantu. Itu satu perkara yang mulia. Tapi peperangan berhenti tak? Syria belum reda, Gaza terus bergolak, Rohingya pula semakin kronik. Di mana tanda-tanda semua itu akan berakhir?

Jadi, apa sebenarnya yang boleh mengubah nasib Islam? Kuasa? Duit? Pemimpin yang bijak? Jom kita rujuk balik dengan Al Quran, Surah Ar-Ra’d ayat ke sebelas yang bermaksud:

‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.’

Maksud ‘diri’ di sini ialah hati. Bila hati berubah, barulah diri berubah. Jadi jelasnya, kalau kita mahu nasib umat Islam dibela Allah, kita mesti mengubah hati-hati kita supaya sungguh-sungguh cintakan Allah dan Rasul. Rujuk balik dengan sejarah kegemilangan Islam dari zaman ke zaman. Bukankah nasib umat Islam itu berubah bila mereka benar-benar cintakan Allah dan Rasul? Persoalannya di sini, bagaimana mahu mengubah hati manusia, betul tak?” Nuqman dan Miqdam mengangguk serentak. Dan mereka memandang tepat ke wajah Ayah Nizamuddin kerana mereka tidak punya jawapan kepada persoalan itu.

“Peperangan itu sendiri sebenarnya dapat mengubah hati manusia tapi hanya bagi yang mahu memikirkannya. Itulah hikmah peperangan, untuk menginsafkan kita dan bawa kita balik kepada Allah dan Rasul. Hidup sebagai orang Islam sebenar seperti yang diajarkan Rasulullah. Jadi, ayah cadangkan, kempen jihad di Timur Tengah mesti disertakan dengan ilmu mendidik hati dan penghayatan solat. Sertakan juga bagaimana Islam kembali gemilang selepas jahiliah. Waktu ini memang tepat sebab di saat manusia rasa insaf, mudah kita tunjukkan jalan pulang…,” lembut sekali nada suara Ayah Nizamuddin dalam memberikan solusi. Nuqman dan Miqdam mengangguk puas.

“Memang sangat mulia untuk pergi berjihad. Tetapi berjihadlah dengan hati yang sungguh-sungguh cintakan Allah dan Rasul. Hanya jihad dengan hati yang begitu yang akan bawa kemenangan pada diri sendiri dan pada Islam seluruhnya. Jadi, kena persiapkan hati dari sekarang…” Satu konklusi yang mudah tetapi memerlukan proses yang sangat panjang. Tetapi itulah hikmah peperangan. Ia boleh menjadi pemangkin yang sangat hebat kepada perubahan hati-hati manusia.

Mereka berdua pulang ke The Turban selepas menghantar Ayah Nizamuddin ke rumahnya. Nuqman sangat puas kerana sepanjang perjalanan, banyak perkara yang dapat diperincikan lagi oleh Ayah Nizamuddin. Isu Timur Tengah bukan perkara kecil dan mudah. Susur galur dan simpang siurnya amat rumit dan untuk ditangani mengikut panduan Al Quran dan Hadis, mereka perlu sangat teliti dan harus merujuk kepada ulama yang lebih berpengalaman. Moga-moga pertemuan dengan beberapa ulama seperti yang dicadangkan oleh Ayah Nizamuddin dapat dibuat sebelum Nuqman kembali ke Istanbul bersama perancangan yang lengkap untuk diajukan kepada IHH. Itulah harapannya dan seluruh ahli Peace Yo! yang sudah bersemangat jitu untuk membantu kemelut yang melanda Timur Tengah. Bantuan kali ini pasti bukan hanya dari bentuk kewangan, keperluan asas dan perubatan tetapi program bina insan untuk sama-sama berusaha menjadi masyarakat Islam yang bermaruah dan merdeka.

Rasa letih menguasai dirinya sebaik sahaja kepala mencecah bantal. Dan serentak itu juga kelopak matanya tertutup rapat. Namun lenanya tidak lama. Bunyi ledakan bom mula kedengaran. Diikuti tembakan peluru misil dan mesingan yang sangat kuat bergema dari setiap sudut. Asap berkepulan dan keadaan jadi gawat. Itu yang dilihat dari jauh di perbukitan.

Dia sangat tahu apa yang sedang berlaku di sana. Kemanusiaan sedang diratah oleh iblis yang bertopengkan manusia. Kezaliman dan penganiayaan menguasai di mana sahaja mereka berpijak. Jeritan dan laungan silih berganti di antara ledakan-ledakan itu. Tubuh-tubuh yang menjadi mangsa letupan bom yang tidak bermata berkecai dan bersepai bersama bangunan tempat berlindung yang turut runtuh berserakan. Darah berhamburan di mana-mana. Nyawa menjadi begitu murah tidak bernilai. Cukuplah! Suara batinnya menjerit. Sampai bila agama suci ini akan terus dipijak-pijak? Allah Maha Pembela… kita mesti bangkit bertaqwa sehingga Allah membela kita! Bukankah Allah itu Pembela bagi orang-orang yang bertaqwa?!

Kelopak mata Nuqman tiba-tiba terbuka. Secepat kilat dia terbangun dan duduk tegak di birai katil. Ya Tuhan… keluhnya tidak berkesudahan. Lenanya tyerganggu lagi. Siapalah yang tahu betapa derita hatinya di dalam. Menyaksikan pertempuran antara tentera pembebasan Syria dan tentera Basyar dengan mata kepalanya sendiri ketika dia berpeluang melawat sempadan Turki bulan lepas membuatkan Nuqman sukar melelapkan mata setiap kali hendak tidur.

Suara meminta perhatian dan pertolongan serta laungan Allahu Akbar sentiasa kedengaran ketika dia berada di hospital di mana tentera pembebasan yang cedera dibawa keluar dari daerah Syria untuk mendapatkan rawatan. Namun itu tidak mematahkan semangat pemuda-pemuda tentera pembebasan yang terus mara dan masuk secara bergilir untuk meneruskan perjuangan. Jiwanya meronta, diri terasa amat kerdil dan tidak berupaya. Tuhan! Bantulah tentera muslimin! Menangkanlah agama-Mu di bumi ini, ya Allah! Dan bantulah kami mengubah hati-hati kami dan Engkau ubahlah nasib kami! Nuqman meraup muka, bermunajat sepenuh hati.

‘Sabarlah awak. Kan awak dah kata, Islam akan bangkit di hujungnya nanti. Masih ada masa kita nak baiki diri sebagai orang Islam. InsyaAllah… kita akan kuat semula…’

Kata-kata Puteri terngiang-ngiang di telinganya. Dan masih dia ingat bila tangan gadis itu melekap di dadanya, menenangkan gelodak jiwanya. Puteri! Kalaulah dia ada di sisinya saat ini seperti malam-malam sebelum ini…

Nuqman kembali merebahkan badannya. Bibirnya membaca beberapa surah dan dia terlelap juga akhirnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s