Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 38

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Ahlan wa sahlan ke blog juea yang tak seberapa ni. when wordpress statistic keeps showing viewers location from US, Egypt, Brunei, Singapore and Indonesia, Juea rasa sangat berterima kasih pada Tuhan. kerana dengan izin-Nya, I can reach u guys even when we r at a distance and still strangers. but love knows no bounds… alhamdulillah. thru my writing, I share and care… dengan doa buat kalian, walau di mana berada, moga dalam peliharaan Allah sentiasa. Amin ya Rabbal Alamin.

so, here’s bab 38…

Bab 38

“Mummy! Mummy!”

Nadia yang berdiri di verandah tersenyum melihat Puteri berlari keluar dari kereta mendapatkannya. Namun senyumannya mati apabila melihat gadis itu dengan lebih jelas. Berjubah labuh dan bertudung? Puteri? Dalam terpinga-pinga, tubuhnya didakap erat.

“Rindunya mummy!!”

“Ya… mummy pun rindu!” Mereka berpelukan buat seketika. Kemudian Nadia memegang kedua bahu Puteri, menjarakkan tubuhnya untuk melihat Puteri dari atas sampai ke bawah.

“Look at you! Apa ni, tiba-tiba macam ni?” Nada suara Nadia bercampur. Pelik ada, seperti jengkel pun ada. Puteri ketawa.

“Ika kan baru balik dari Istanbul. Jubah dan tudung-tudung kat sana cantik-cantik sangat, mummy! Ika belilah. Cantik tak?” Soal Puteri sambil berpusing-pusing menggayakan pakaiannya sambil ketawa.

“My daughter, kan… mestilah cantik! So, it’s a change of fashion or for good?” Soal Nadia kembali sambil menjeling seperti tidak puas hati.

“InsyaAllah, mummy. Ika nak pakai terus sebab mummy kata, cantik!” Kedua pipinya dicubit. Dan Puteri ketawa lepas. Ah Puteri! Manja tak habis-habis. Walau setegas manapun dia, gadis itu tetap pandai memanjakan dirinya. Rasa aneh menyerbu dalam hati Nadia dengan sikap Puteri yang begitu ceria. Sudah terlalu lama dia tidak mudah senyum dan ketawa seperti malam ini. Mungkin perubahan angin di Istanbul mengembalikan dirinya yang dulu.

“Ha, Nadia… kenapa berdiri di luar saja? Masuklah… Nor mana?” Tan Sri Hashim beriak selamba, menegur Nadia apabila dia melangkah masuk ke verandah. Pintu rumah sudah luas terbuka tapi wanita itu lebih suka berada di luar.

“Hurmm…,” Nadia menjawab acuh tidak acuh. Perbualan terakhir mereka di telefon masih berbekas di hatinya. Kalau tidak kerana Puteri, tidak mungkin dia menjejakkan kaki di sini. Pesanan ringkas dari Puteri membuatkan dia bergegas datang walaupun sudah terlewat. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat menyelesaikan kerja yang tertunggak kerana demam kelmarin. Lagipun dia membawa hajat.

“Jom, mummy! Kita masuk. Mummy tidur sini, ya! Dah lewat ni… tak sangka mummy datang. Ika keluar makan dengan abah tadi…” Puteri memaut pinggang Nadia, mengajaknya masuk ke dalam rumah. Abah sudah berlalu tanpa sepatah kata. Agak pelik sikap abah terhadap mummy malam ini, desis hati Puteri.

“Duduk kejap, mummy. Ika nak ambilkan something untuk mummy, from Istanbul!” Puteri berlari anak ke biliknya. Kalau boleh dia mahu berkongsi segalanya dengan mummy. Tetapi watak mummy tidak seperti ibu atau Maliha atau mama Maliha… Dan mummy juga belum tahu yang dia sudah bernikah! Jadi apa pun kemelut jiwanya, dia tetap tidak punya sesiapa untuk dikongsi.

Nadia tersandar di sofa. Dia benar-benar tidak pasti bagaimana hendak memulakan. Membunuh dua ekor burung dengan seketul batu bukan satu perkara yang mudah. Namun dia bersyukur kerana laluan sudah terbuka. Kedatangan Ammar Bahrain di pejabatnya setelah hampir tiga tahun menghilang benar-benar mengejutkannya. Penat bertelagah dengan Zulkarnain yang tidak membenarkannya keluar ke pejabat kerana belum betul-betul sembuh berganti kejutan yang membuatkan amarahnya memuncak.

Walaupun tidak banyak yang dikongsikan Puteri selama ini tetapi perubahan drastik gadis itu ada kena mengena dengan anak muda yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Hampir setahun Puteri dibelengu kemurungan. Dan selepas itu dia bukan lagi dirinya. Berubah secara drastik, Puteri membimbangkan Nadia dengan gaya hidup bebas bersama teman-teman tetapi memencil diri bila pulang ke rumah. Bagaikan hidup dua alam, dia tahu gadis itu sedang menderita. Jadi, apakah bayaran yang setimpal untuk semua itu? Hanya dengan kata-kata maaf?

Ammar Bahrin diam tidak berkutik. Walaupun marah Nadia berhamburan, tidak seinci pun dia berundur. Tega berdiri di situ menelan apa sahaja kata-kata Nadia. Dan bagi Nadia pula, apa pun yang dikatakannya tidak akan pernah cukup untuk mengubat duka Puteri. Namun sikap Ammar yang menelan semuanya tanpa sepatah kata dan alasan membuatkan Nadia akhirnya terdiam.

“Saya salah, auntie. Apa yang auntie katakan tu betul semuanya. Saya sendiri sedang menanggung akibatnya. Sebab itulah saya sanggup datang jumpa auntie. Esok, adik saya Maliha nak bertunang. Auntie pun tahu mereka berdua rapat sangat. Saya harap auntie sekeluarga dapat datang ke majlis tu bersama Puteri. Tapi kalau dia tahu saya dah balik, dia tak mungkin datang. Maliha nak sangat jumpa dia, auntie. Dan kalau dia datang, saya nak ambil peluang… nak minta maaf pada Puteri. Saya… saya nak tebus balik semua kesalahan saya pada Puteri. Saya merayu pada auntie, tolonglah kami, auntie… tolong bawa Puteri ke majlis tu esok…,” sehabis daya Ammar Bahrin merendah diri dan memujuk. Datin Nadia Ruwaidah sahaja harapan terakhirnya.

Maliha sudah semakin murung menjelang hari bahagianya. Emelnya kepada Puteri sampai saat ini belum berbalas. Entah dibaca, entahkan tidak, Maliha bagaikan putus harapan. Dan Mama… masih menyebut-nyebut nama Puteri… Ammar Bahrain tidak betah lagi melihat kesedihan insan-insan kesayangannya.

“Semudah itu?!” Tukas Nadia, menyerlungkan pandangan matanya.

‘Tolonglah, auntie. Papa dan mama pun sangat berbesar hati kalau auntie sekeluarga dapat datang. Papa selalu sebut, dia banyak terhutang budi dengan keluarga auntie. Datanglah, auntie… saya merayu…”

Dan bukankah hutang budi dibalas budi?

Hati Nadia tiba-tiba bertukar rentak. Tan Sri Khaleef memang pernah menjadi anak didik papa. Hmm… mungkin percaturan ini bukan hanya untuk Puteri. Jadi dia mengubah fikiran. Anak muda ini harus dibantu.

“Taadaaa…! Special untuk mummy! Cantik tak?” Sebuah buku nota buatan tangan dengan potrait Aliye Berkel di muka depannya diletakkan di telapak tangan Nadia. Puteri tahu yang Nadia tidak kenal siapa Aliye Berkel. Puteri pun hanya tahu selepas membelek-belek majalah tentang Turki bersama Nuqman. Tetapi buku nota buatan tangan itu memang cantik dan istimewa.

“Ya… cantik! Aliye Berkel?” Nadia membaca tulisan kecil di kulit buku.

“Ohh… she was a famous Turkish artist back in the early nineties. It’s a handmade, mummy. Macam sesuai untuk mummy, kan?”

“Hurmm… thank you so much, dear. Seronok pergi Istanbul? Ika nampak ceria sungguh…” Soal Nadia sebaik saja Puteri melabuhkan punggung di sebelahnya. Terangkat kening Puteri sambil tersenyum lebar.

“Best sangat, mummy. Nanti kita pergi sama, nak tak? Mesti best kalau buat family trip ke sana, mummy!” Puteri menumpang dagu, mengadap Nadia dengan wajah teruja. Nadia hanya mengangguk.

“Habis tu, kenapa balik cepat sangat? Kata dalam emel, Ahad baru nak balik?!”

‘Sebab… Ika nak pergi majlis pertunangan Maliha esok. Ika tahu pun masa di sana. Kelam-kabutlah Ika balik!” Nadia terjeda seketika. Melindungi wajah terkejut bercampur lega, Nadia mengusap bahu Puteri.

“That’s my girl. Dah lama tak jumpa Maliha, kan?” Ujarnya, cuba menelah hati Puteri, mencari kepastian. Wajah Puteri berubah mendung.

“Yalah, mummy. Tak sampai hati pulak kalau tak pergi. Ika nak pergi kejap je. Nak jumpa Liha. Mummy nak pergi tak?”

“Memang Tan Sri Khaleef jemput kita sekeluarga. Tapi kalau Ika nak pergi, cukuplah jadi wakil. Sebab kebetulan, mummy ada mesyuarat penting esok. Kalau sempat, mummy pergi. Kalau tak sempat… Ika tolong sampaikan salam mummy pada Tan Sri dan Puan Sri ya. Nanti mummy message Ika to confirm.” Puteri mengangguk.

“Ok, mummy. Tapi harap mummy dapat datang. Ika ada teman kalau mummy datang. Eh, mummy duduk kejap, Ika ambilkan minuman,” Puteri bingkas bangun hendak menuju ke dapur. Tetapi lengannya dipaut.

“Tak usah! Mummy nak balik. Dah lambat ni. Mummy datang sebab nak jumpa Ika. Esok jadual mummy padat. Malam esok, kalau free, kita dinner ya. Apa-apa pun, mummy call dulu…” Nadia ikut berdiri. Bahu Puteri diusap lembut.

“Oklah, mummy. Janganlah kerja teruk-teruk sangat, mummy. Kena rehat juga. Tengok muka mummy macam letih sangat…” Puteri menyentuh pipi Nadia, memujuk. Nadia tersenyum sambil mengangguk.

“Ya lah, sayang. Mummy nak balik rehatlah ni!” Nadia melangkah keluar setelah bersalaman dengan Puteri. Puteri ikut keluar untuk menghantar Nadia ke kereta dan melambai sehingga kereta yang dipandu Nadia hilang dari pandangan.

Tubuhnya direbahkan ke katil sebaik sahaja pintu bilik ditutup rapat. Tubuhnya terasa amat letih namun hatinya terawang-awang. Saat dia melihat Nuqman berdiri memandangnya dari atas tangga dan sentuhan jemari Nuqman di ribanya terbayang di ruang mata silih berganti. Puas ditepis tetapi bayangan itu tetap juga datang mengacah di mata, mengocak rasa di hati.

Tuhan… benarkah dia pasangan yang Engkau takdirkan untukku? Bersama dia, aku rasa dekat dengan-Mu. Dalam dirinya, aku temui Engkau, ya Allah. Banyaknya yang aku pelajari tentang Engkau dan Rasul-Mu dari sikap dan didikannya. Beruntungnya kalau dia yang menjadi imam aku dan anak-anakku. Pasti aku dan anak-anakku hidup berlandaskan syariat-Mu kerana pimpinannya. Tetapi benarkah dia pasanganku? Atau apakah dia juga akan menjadi ujian dalam hidupku? Itulah persoalan yang diajukan bertalu-talu dalam hatinya sejak dia terpandangkan Nuqman berdiri di tangga tadi. Yakinkan aku, ya Tuhan. Jangan aku dipermainkan lagi!

“Dah hampir tiga tahun, abah kenal Nuqman. Bermula dengan satu projek perumahan di Johor, kami terus bekerjasama sampai sekarang. Nuqman yang abah kenal, lebih dari seorang arkitek. Pengalaman dia luas sebab dia banyak bekerja sambil belajar. Masa tu dia dah ada firmanya bersama dengan rakan kongsi yang berpengalaman, Barakah Associates di Selayang. Dia juga tubuhkan sebuah pertubuhan atas nama Teman Sejati di Gombak. Dia beli tanah di situ, kalau tak salah abah, lebih dari satu ekar.”

“Teman Sejati tu syarikat juga ke, abah?”

“Bukan. Pertubuhan amal. Nuqman desain seluruh tempat tu lengkap dengan surau, bangunan pejabat, deretan kedai dan dua buah bangunan hostel yang lengkap dengan dapur. Peranan Teman Sejati nak bantu masyarakat yang memerlukan macam gelandangan, penagih dadah, pesakit AIDS, remaja bermasalah dan macam-macam kes. Hostel itu menjadi rumah tumpangan percuma bagi mereka. Dari situ, Teman Sejati akan salurkan ke badan-badan berwajib. Semua perbelanjaan mereka ditanggung Barakah Associates.” Panjang lebar Tan Sri Hashim bercerita dalam perjalanan pulang. Sesuatu yang sudah lama ingin dikongsikan dengan Puteri tetapi dia tidak pernah memberinya peluang. Hanya malam ini, Puteri tenang membuka minda dan hatinya untuk mengenali siapa sebenarnya Nuqman.

“Teman Sejati tu masih ada, bah?”

“Ada. Terus beroperasi sampai sekarang. Bijaknya Nuqman mendidik jiwa orang, ramai gelandangan dan penagih yang berubah bila bersamanya. Nuqman dan teamnya sanggup bimbing mereka jadi manusia berguna dan dibantu bina semula hidup dengan berniaga dan bekerja dengan Teman Sejati. Daripada sampah masyarakat kepada aset. Sebab tu Teman Sejati berkembang laju. Bukan setakat di dalam negara tapi kerja amal mereka sudah dibesarkan sampai ke Afghanistan, Myanmar dan Thailand. Makin lama, makin ramai yang nak ikut membantu dan beramal, pertubuhan itu makin kukuh. Portfolio Barakah Associates juga makin hebat. Projek mereka meluas, dari perumahan, hotel dan pusat peranginan, ada kepakaran dalam merekabentuk kilang dan banyak lagi. Bagi ramai orang, Nuqman is really somebody!”

“Hurmm… kenapa Ika tak kenal dia, ya bah?”

“He’s a camera-shy! He lets his work does the talking. Tapi kami dalam industri, memang kenal dan banyak bercakap tentang Nuqman. Lagipun Nuqman tu, manalah ada skandal ke apa ke untuk digosipkan. Kalau ada, dah tentu Ika kenal!” Usik Tan Sri Hashim sambil menjeling ke arah anak gadisnya.

‘Eh, abah ni! Ingat Ika kaki gosip ke?! Tak ada masa Ika nak layan. Abah, The Turban tu… dia desain ke?” Tan Sri Hashim ketawa. Dia tahu Puteri bagaikan masih tidak percaya.

“Dia bukan saja desain The Turban, Ika. Dia juga desain fungsi, aktiviti dan kehidupan dalam The Turban. Itu cita-citanya. Nuqman desain model The Turban dan fungsinya sejak dia masih belajar lagi. Bertuah dia bila ada antara kawan rapat yang tahu, carikan dia peluang untuk merealisasikan The Turban. Ada pula pelabur asing termasuk Ismet, yang ada banyak pelaburan di Malaysia berminat dengan konsep The Turban. Dari situ mereka buat usahasama dan mula terbinanya The Turban. Rangkaian sukarelawan sosialnya pula bersepakat membentuk Peace Yo! International, klon Teman Sejati tapi di peringkat internasional. Sekarang, dah hampir setahun beroperasi, The Turban berjaya menarik perhatian ramai orang. Itu sebabnya Ismet dan rakan-rakannya merancang nak bina sebuah lagi The Turban pada skala mega dan cawangan Peace Yo! di Timur Tengah. Itu sebab Nuqman ke sana.”

Puteri terjeda lama. Jadi betullah apa yang Nuqman katakan padanya sebelum ini. Itukah Nuqman yang sebenar? Sedangkan Nuqman yang dia kenal hanyalah Nuqman yang tenang dan santai, yang selalu lembut memujuk, tersenyum mengusik dan bijak membolak-balikkan jiwanya? Memang dia sangat terkesan dengan jiwa juang Nuqman, penghayatannya kepada agama dan kemanusiaan. Tetapi untuk melihat Nuqman sejauh yang abah ceritakan, lelaki itu terlalu sederhana dan rendah hati pada pandangan matanya.

“Nuqman berjaya bukan sebab dia kerja kuat saja, Ika. Tapi peribadinya, aura dan kepimpinannya luarbiasa. Semua rakan kongsi, pekerja di Barakah dan pekerja khidmat sosial di Teman Sejati dilayan macam ahli keluarga. Mereka bekerja, beribadah dan makan bersama. Bukan saja mereka, siapa-siapa pun yang kenal Nuqman, hati mudah terpaut dengannya. Nuqman mudah ikat hati-hati orang dengan Tuhan dan cara hidup Rasulullah. Itulah rahsia Nuqman.”

Puteri mengangguk perlahan. Ya, dia juga merasakan semua itu. Benar kata abah, Nuqman tidak membawa orang kepada dirinya. Tetapi kepada Allah dan Rasul. Tepat sekali kata-kata abah dalam menilai diri Nuqman.

“Itulah suami Ika. Letakkan diri Ika sebagai seorang ayah, bila kenal lelaki macam Nuqman, Ika tak nak dia sebagai menantu? Sebagai pembimbing, pelindung anak dara kesayangan abah? Cuba Ika terus-terang dengan abah, apa abah silap dalam memilih menantu?” Terpejam mata Puteri mendengarnya. Tak, bah… abah tak silap! Keluh hatinya, mengalah.

“Cuba Ika bagitahu abah, apa yang tak kena dengan Nuqman sampai Ika masih nak tolak dia? Sebab dia tak layan Ika macam lelaki lain? Dia pentingkan kerja dari Ika? Ika nak lelaki yang boleh bagi perhatian pada Ika setiap masa?!”

“Abah!!” Tersentak Puteri dengan pertanyaan bertalu-talu dari abah. Terhenyak dia ke kerusi, tidak terkata.

‘Habis? Apa alasan Ika sebenarnya? Study? Ramai orang yang dah kawin dapat ijazah. Mungkin susah sikit tapi bukan mustahil, kan?” Puteri menelan liur yang terasa kesat. Kenapa abah begitu serius sekali malam ini?

“Abah tanya Ika ni, Ika dengar tak? Sampai bila Ika nak buat Nuqman tertunggu-tunggu?” Nada suara abah semakin menekan. Puteri resah gelisah.

“Ika… Ika belum bersedia, bah…” Dia memaksa diri menjawab pertanyaan abah dengan hati yang berdebar-debar. Semalam dia sudah tekad untuk memutuskan hubungan. Tetapi fikirannya jadi kelam-kabut sejak tiba ke tanahair. Kalaulah mereka berpisah di lapangan terbang semalam, semua ini tidak akan terjadi. Dia memang sudah bulat dengan keputusannya tetapi sekarang…

“Ika… Ika dah cukup dewasa. Sebab tu abah yakin dengan keputusan abah. Nuqman akan bimbing Ika, bantu Ika dalam apa hal sekali pun. Abah yakin sangat dengan Nuqman. Tak ada apa yang Ika nak bimbangkan. Dia cukup matang untuk Ika. Abah nak sangat tengok Ika bahagia dengan Nuqman. Lagipun, abah mengaku, abah gagal didik Ika. Sebab itulah abah pilih Nuqman. Abah nak Ika kenal Tuhan, taat, patuh dengan perintah Tuhan. Abah teringin nak anak yang beriman, yang soleh, solehah. Ika jadilah isteri yang baik pada Nuqman, ya sayang…” Tan Sri Hashim mengambil peluang memujuk anaknya sungguh-sungguh. Dia sudah lama menunggu saat ini untuk dia berterus-terang tentang hasratnya. Dia juga perlu mengungkai hubungan mereka supaya tidak lagi tergantung seperti sekarang. Dia yang memulakan, dia mesti menyempurnakannya.

Sebak hati Puteri mendengar nada suara abah yang sangat mengharap. Puteri sedar, dia banyak membebankan perasaan abah. Malah dia banyak mengambil kesempatan atas kepercayaan yang abah berikan selama ini. Dia masih menyesali perbuatannya yang bebas bersuka-ria di Langkawi setahun lalu sehingga membuatkan abah jatuh sakit kerana risaukannya. Kemarahan abang sulungnya, Hafiz meledak. Memang along yang paling tegas dan mengawal pergerakannya tetapi kerana turutkan kata hati, Puteri tidak mengendahkan itu semua. Dan kerana perbuatannya juga, akhirnya dia terikat dengan lelaki bernama Nuqman. Ya, itulah yang sebenarnya berlaku. Semua ini bermula dari dirinya. Dari kesilapan dan kelemahannya.

“Ika… ikut cakap abah, ya sayang. Kita langsungkan majlis perkahwinan Ika secepat mungkin. Abah nak Ika hidup selesa. Walaupun Ika masih belajar, Man pun banyak ke Istanbul, tapi kalau dah rasmi sebagai suami isteri, dah boleh atur hidup sama-sama. Tak macam sekarang, tak tentu hujung pangkalnya. Ika setuju tak?” Lagi rapat mata Puteri terpejam dengan pertanyaan abah kali ini. Patutkah dia hampakan niat baik abah? Setitis airmata mengalir di pipi. Kalaulah semudah itu, bah!! Bisik hatinya, gundah. Dia menekup muka dengan kedua tangannya. Susahnya, ya Tuhan!

Pertanyaan abah terbiar lama tidak berjawab. Puteri menghela nafas panjang dan membuang pandang menerobos cermin tingkap melihat malam yang semakin pekat. Ada lagi airmata yang tumpah dari tubir mata tetapi dibiarkan saja. Tiba-tiba abah menepuk-nepuk tangan Puteri diribanya. Tersentak dibuatnya hingga Puteri berpaling memandang abah. Abah tersenyum sambil memandang Puteri sekilas. Puteri terjeda dek senyuman itu.

“Tak apalah, Ika. Abah faham…,” Suara abah begitu merendah, bagaikan mengalah. Puteri yang hampir lemas tertekan dengan desakan abah, terkejut dengan perubahan itu.

“Bukan senang nak kahwin, kan? Abah yang lelaki ni pun tak lena tidur bila nak kahwin dengan ibu dulu!” Abah tertawa kecil di hujung kata. Puteri ikut tersenyum. Pipinya yang basah, diseka laju dengan belakang tangan.

“Err… ke-kenapa pulak, bah?” Bukankah abah dan ibu memang saling suka?

“Yalah, dilema juga… hidup bujang, kan seronok?! Boleh buat apa pun, orang tak kisah. Abah baru kerja masa tu, tengah seronok enjoy duit sendiri. Tapi ibu cantik sangat, abah risau kalau dia disambar orang. Selagi tak kahwin dengan ibu, memang abah tak senang duduk!” Cerita abah lagi. Mereka ketawa serentak. Jarang abah membuka sejarah silamnya kepada anak-anak.

“Haa… Ika tak risau dengan Nuqman? Nuqman tu ramai peminat tau, sampai pernah dipinang orang!”

“Hah?!” Jantungnya tiba-tiba hebat berkocak.

“Betul! Abah kenal orangnya. Anaknya berkenan sangat dengan Nuqman. Mak ayahnya siap pergi bertandang jumpa ibu Nuqman di kampung… tapi entahlah, mereka tak ada jodoh. Hmm… Nuqman tu, ke mana pun dia pergi, ada saja anak dara yang berkenan. Jangan kata anak dara, janda pun ada! Tapi Nuqman kekal membujang juga. Rupanya dia ditakdirkan jadi suami Ika. Ika beruntung, tahu!” Tan Sri Hashim sengaja menggiat. Naluri hati tuanya berkata, anak muda yang kuat emosi harus diserang emosinya hingga lemah dulu sebelum akalnya dipimpin.

Puteri tunduk tersipu. Debar hatinya semakin kuat berpalu. Wajah tampan Nuqman malam itu kembali mengocak hati wanitanya. Dan pasti selalu mengocak hati-hati wanita lain juga!

“Tapi abah tengok, Man sayang sangat dengan Ika. Sabar dengan kerenah Ika. Memang bertuah kalau Ika dapat hidup bersama dengan dia…,” abah tersenyum meleret. Terpaku Puteri mendengarnya. Kerana itulah yang dia rasakan sejak bersama Nuqman.

Akhirnya Puteri terlelap. Dengan senyuman Nuqman yang masih mengacah di ruang mata.

p/S: share your thots and comments. means a lot to me. Fee Amanillah…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s