Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 37

Salam semua,

come and lets get to know Nuqman better!

Bab 37

“Kita nak ke mana ni, bah?” Soal Puteri, teruja ingin mengetahui ke mana destinasi istimewa mereka malam itu. Beriya-iya abah mengajaknya keluar makan malam bersama. Malah meminta dia memakai pakaian yang istimewa juga kerana kata abah, mereka akan makan malam di sebuah tempat yang sangat cantik. Daripada dia melayan perasaan resah gelisah sejak petang tadi, lebih baik dia keluar dengan abah, hiburkan hati.

Tan Sri Hashim tidak menjawab. Cuma tersenyum panjang sambil tenang memandu Volkswagen Passat 1.8 TSI berwarna putih meluncur laju di lebuhraya utara selatan, membelah kegelapan malam. Malam itu dia memandu sendiri kerana dia benar-benar mahu meluangkan masa bersama puterinya. Tambah pula, mereka tidak perlu merentasi kesesakan lalu lintas di tengah kota raya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Tidak lama selepas mereka melewati KLIA, Tan Sri Hasyim memberi signal ke kiri dan memandu perlahan di lorong kecemasan.

“Ika tengok di bawah sana tu…,” ujarnya tanpa menoleh. Puteri yang agak terkejut, terus berpaling. Sebuah bangunan kelihatan sungguh unik, putih serlah dan bercahaya di tengah-tengah kegelapan malam. Bumbung putih itu berbentuk seperti kedutan kain membaluti bumbung tengah yang berbentuk hampir seperti kubah dengan struktur granit yang berona hijau kebiruan. Bentuk bangunan itu… seperti serban! Bila mindanya menyebut ‘serban’, hatinya menyebut ‘Nuqman’!

“Cantik, kan? Kita nak ke sana sekarang…” Puteri terlopong.

“Bangunan apa tu, bah? Bentuknya macam serban… Ika tak pernah tengok pulak…”

“Ika… sibuk dengan interior je… bukan dengan bangunan!”

“Tak adalah, abah! Tapi yang ini Ika tak pernah tengok… memang cantik!”

Dari susur keluar tadi, mereka membelok pula ke jalan kecil menuju ke bangunan itu yang dihiasi lampu dan pohon-pohon palma di kiri kanan jalan yang diselangi dengan tumbuhan hiasan. Jelas bangunan itu baru dibina kerana terletak di kawasan yang belum diterokai. Di kiri, kanan dan belakangnya masih dipenuhi pohon-pohon yang merimbun.

Sungguh mengejutkan, walaupun kedudukannya seperti terpencil dan tersendiri namun kereta yang menjalar masuk dan yang memenuhi ruang pakir begitu banyak. Dari pintu masuk dan dinding kaca yang mengelilingi aras bawah bangunan itu, kelihatan simpang-siur pengunjung yang ramai dan meriah. Puteri menapak perlahan sambil tangannya melingkar di lengan abah kerana dia benar-benar menghayati keseluruhan rekabentuk luaran bangunan itu yang sangat menarik. Taman lanskap yang mengelilingi bangunan itu begitu kemas dan cantik selain dari hiasan lampu dan pohon palma, reka bentuk seni topiari bercirikan geometri pada tanaman hiasannya yang terdiri dari pokok-pokok teh liar, melati dan bunga kertas amat mengagumkan.

Dan sebaik saja mereka melangkah masuk, dia terhenti. Di hadapannya, sebuah ruang legar yang indah dan harmoni serta ‘hangat’ seperti ketika dia berada di Turki! Sebuah tangga yang besar berada di tengah-tengah ruang menyambung ke aras mezzanine dengan bercabang dua ke arah kiri dan kanan bangunan itu. Sementara itu, di aras bawah, di kiri dan kanan tangga itu, kelihatan ruang resepsi utama yang unik bagi menyambut kedatangan para tetamu. Menurut abah, di sebelah kiri adalah bahagian protokol dan bankuet untuk menyambut dan melayan tetamu rasmi. Di situ itu juga terletaknya surau yang sangat besar dan bersambung ke aras mezzanine yang menjadi ruang surau muslimah. Selain itu, terdapat juga dewan, bilik mesyuarat, bilik pameran dan di aras dua dan tiga adalah bangunan pejabat.

Bahagian sebelah kanan pula adalah souq bazaar yang terdiri daripada puluhan gerai yang menjual makanan, pakaian, aksesori, hadiah dan cenderahati selain dari butik dan restoran memenuhi aras bawah dan mezzanine sementara di aras dua dan tiga adalah hotel penginapan. Bangunan itu luas mengunjur ke belakang dan mempunyai empat tingkat semuanya termasuk aras mezzanine.

Memang jelas, surau yang berdindingkan kaca menampakkan lampu chandelier utama yang bergemerlapan di samping penataan lampu dinding membuatkan keseluruhan surau itu sangat bersifat mengundang sesiapa yang melihatnya. Bahagian bumbung surau yang kelihatan melengkung dari jauh menampakkan seolah-olah ruang dalamnya luas seperti masjid. Dinding cermin surau itu diselang-selikan dengan pelekat cermin dekorasi di bahagian bawahnya sangat cantik dan rekabentuk dalaman surau yang mudah dengan rona hijau dan putih membuatkan sejuk mata memandang. Dan di bahagian tengah luar surau terdapat laluan berlantai yang berpagar dan almari kasut diperbuat daripada kayu.

“So, malam ni abah nak ajak Ika makan malam dalam taman…” Suara Tan Sri Hashim mengejutkan Puteri yang sedang meneroka dengan pandangan matanya.

“Da-dalam taman?!” Nada suara Puteri jelas terkejut. Dia yang tercegat dan teruja di tengah-tengah ruang legar dan simpang-siur manusia itu tersentak dengan perkataan abah… makan malam dalam taman?! Itu mengingatkan dia kepada peristiwa petang tadi dan…

“Ahh… rezeki kita rupanya malam ini, dapat jumpa pemilik tempat yang hebat ini…,” suara abah putus di situ. Tan Sri Hashim sedang terdongak memandang ke arah tangga membuatkan Puteri ikut memandang ke arah yang sama.

Dan jantungnya berhenti berdegup sebaik sahaja dia melihat siapa yang sedang berdiri segak di atas tangga, yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan seseorang!

“The lord of the house… Muhammad Nuqman! Abah ingat dia mungkin balik ziarah ibunya tapi dia di sini…” Tan Sri Hashim tersenyum lebar memandang Puteri yang terkaku memandang suaminya.

Saat itu, Nuqman sedang bergegas turun ke aras bawah untuk menyambut Dr Mustafa yang datang sebaik sahaja mendengar berita kepulangannya. Di pertengahan tangga, dia terserempak dengan Amir Hamzah yang mahu ke bilik mesyuarat. Sangkanya mereka akan bertemu dalam video conference sekali lagi. Jadi memang dia terkejut sangat apabila bertemu Nuqman di situ. Sebaik saja Amir terus ke bilik mesyuarat, Nuqman ternampak seorang gadis tercegat berdiri di tengah-tengah ruang legar The Turban dan sedang memandang ke arahnya. Dan gadis jelita yang memakai abaya hijau zamrud dan bertudung ayu berwarna senada itu adalah… isterinya!

Puteri Zulaikha!

Bagaikan mimpi melihat Puteri di situ. Puteri yang mengisi ruang hati dan mindanya sejak petang tadi, yang membuatkan dia tidak keruan kerana meninggalkannya dalam persoalan. Dan kejelitaan Puteri Zulaikha menyerlah sungguh malam itu, tambah pula bila disimbahi cahaya chandelier yang tergantung di tengah ruang. Abaya yang dipilih Nuqman ketika mereka membeli-belah di Grand Bazaar, Istanbul, menyerlahkan keangunannya.

Langkah Nuqman yang menuruni anak tangga satu demi satu dengan begitu perlahan amat mendebarkan jantungnya yang mula berdegup kembali setelah terhenti beberapa ketika. Dibaluti thawb atau jubah dan berserban serba putih serlah, ketampanan Nuqman amat menyerlah. Karismanya tersendiri. Gerak gayanya santun berbudi. Melihatkan jernih wajahnya, luhur senyumannya, marah dan curiga yang bersarang di hati Puteri terbang berserpihan. Betapa saat itu, dia ingin berlari ke pangkuan lelaki itu. Ya, lelaki itu miliknya! Suaminya!

“Assalamualaikum!”

Nuqman tersentak lalu berpaling ke arah suara yang memberi salam. Dr Ashraf yang baru tiba bersama isterinya Dr Maisarah, tersenyum lebar melihat Nuqman. Mereka bersalaman dan berpelukan, kemudian saling bertanya kbabar. Namun pandangan Nuqman bagai ditarik besi berani, mencari kelibat Puteri. Atau apakah dia sebenarnya terbayang-bayangkan…

“Assalamualaikum…” Tan Sri Hashim menegur penuh mesra. Dr Ashraf yang sememangnya mengenali Tan Sri Hashim pantas menjawab dan turut bersalam dan berpelukan. Puteri jadi kaget melihat suasana begitu, bagaikan orang Arab lagak mereka. Dia yang masih terpaku berdiri merasa sangat terasing dan serba-salah. Kenapalah dia berada di sini malam ini! Abaaah!!

“Kenalkan anak saya, Dr… Puteri Zulaikha,” Tan Sri Hasyim memaut lengan anaknya yang hampir bertukar menjadi patung di situ. Dr Maisarah menyambut huluran tangan Puteri, bersalaman dan menyentuh pipinya kiri dan kanan. Sementara Dr Ashraf, tersenyum lebar, mengangguk tanda perkenalan. Dan Nuqman…

Puteri tidak berani memandang wajah Nuqman. Dia tundukkan pandangan melindungi rasa gementar dan mengundur berdiri di sebelah abah. Seolah-olah mencari perlindungan. Nuqman pula tegak berdiri selepas mencium tangan mertuanya, kelu tak bersuara.

Dr Ashraf mengambil peranan, memperkenalkan Tan Sri Hashim kepada isterinya dan mereka berbual tentang perkembangan terkini di The Turban bagi memberi ruang kepada merpati dua sejoli itu untuk saling menyapa. Nuqman yang faham maksud mereka, melangkah mendekati Puteri.

“It’s so good to see you… here in The Turban…” Puteri menelan liur, memberanikan diri mengangkat mukanya, membalas pandangan Nuqman. Dia hanya mampu tersenyum. Nuqman terjeda dengan senyuman itu. Tiba-tiba dia rindu. Rindu teramat sangat pada Puteri. Ingin diraih Puteri ke dadanya. Ingin dikucup dahi itu untuk melepaskan rindu. Tetapi menjadi mustahil untuk dia lakukan semua itu di situ, di tengah ramai yang tidak tahu tentang hubungan mereka. Rindu yang terpaksa dia simpan demi untuk tidak mengundang fitnah.

“Kami cadang nak makan malam di sini, Man. Nak bagi Ika rasa suasana di sini. Mungkin sesuai dengan jiwanya…” Tan Sri Hashim menepuk bahu Nuqman sambil mengusik keduanya. Nuqman tersenyum dalam tersipu. Puteri langsung tunduk lagi memandang lantai. Dalam maksudnya!

“It’s beautiful here, Puteri. InsyaAllah, you’ll enjoy it…,” sampuk Dr Ashraf. Puteri hanya mampu tersenyum lagi dan mengangguk.

“Kami mintak izin pergi dulu, Tan Sri. Ada meeting di atas. Man, you’ll stay here. Abang uruskan apa yang patut dulu. Katanya Dr Mustafa nak datang?”

“Ya, abang. Man turun ni pun nak jumpa dia. He should be here now…”

“Ok. Man layan Tan Sri dengan Puteri makan malam di sini. Her first experience. So, jangan hampakan dia. Abang akan sambut Dr Mustafa dan bawa dia ikut meeting sekali. So, Tan Sri, insyaAllah kita jumpa lagi. Silakan menjamu selera…” Bijak Dr Ashraf mengatur suasana dan Tan Sri Hashim senang sekali dengan sikapnya. Selepas saling meminta diri, mereka beredar ke sebelah kanan bangunan itu menuju ke sebuah restoran dalam kaca!

Di tangga, Dr Maisarah memaut lengan suaminya, menghentikan langkahnya. Dr Ashraf berpaling kehairanan.

“Tengok tu…” Dr Maisarah memberi isyarat mata ke aras bawah. Dr Ashraf ikut memandang.

“Nuqman dan Puteri Zulaikha… padan, kan?” Dr Ashraf ketawa. Dahi Dr Maisarah berkerut memandang suaminya.

“Kenapa abang ketawa? Sarah rasa, Man sukakan Puteri. Sarah tak pernah tengok gelagat Man macam tadi dengan mana-mana perempuan…” Naluri wanita selalunya tepat. Dr Ashraf meraih tangan isterinya, menyambung langkah memanjat anak tangga.

“Kalau Man suka, apa salahnya? Elok sangatlah tu! Yang awak gelisah tu kenapa?”

“Man tu…!”

“Kenapa? Biarlah dia mengorat sekali sekala…”

“Isyhh! Abang ni!!”

Restoran itu benar-benar dalam kaca. Berbentuk segi empat tepat, seluruh dindingnya diperbuat daripada kaca. Bumbungnya juga dari kaca melengkung tetapi dilitupi tumbuhan menjalar berbunga kecil yang jatuh bergayutan ke dinding-dinding itu. Dikelilingi taman hiasan, ada binaan seperti kolam kecil yang dibina mengelilingi sebahagian daripada dinding kaca itu dan yang paling istimewa, ada air yang mengalir dari bumbung seperti air hujan yang turun dari cucur atap rumbia tetapi kali ini, air itu mengalir di sebahagian dinding-dinding restoran itu dan terus masuk ke dalam kolam itu. Tidak hanya cantik, tetapi juga nyaman dan damai.

Puteri melangkah masuk ke restoran itu dengan rasa kagum dan tertanya-tanya. Benarkah Nuqman pemilik tempat ini seperti kata abah? Atau dia hanya bertanggungjawab merekabentuk bangunan ini termasuk restoran kaca ini? Malu untuk bertanya dan rasa terkilan seolah-olah hanya dia yang tidak mengenali siapa Nuqman sebenarnya, dia memilih untuk diam dan memendam rasa.

Mereka bertiga duduk di meja kecil di tepi di mana air mengalir di dindingnya dan berjatuhan ke kolam kecil. Nuqman duduk di sisinya, membelakangi dinding. Dekat tapi jauh. Mereka selalu begitu. Di hadapan abah, Nuqman seperti kekok untuk berbicara dengannya. Tidak seperti di Istanbul, ada saja yang hendak dikongsikan. Dia rancak berbual dengan abah. Hanya sesekali bertanya itu dan ini kepada Puteri. Melindungi rasa sedih dan tersisih, Puteri menumpukan perhatiannya kepada rekabentuk dalaman restoran itu yang dikelilingi tumbuhan hiasan yang berbunga.

Asyik sungguh Puteri melihat suasana itu hingga tidak sedar, jemari diribanya diraup lembut. Dia yang tersentak cuba mengawal diri dan cepat-cepat dia melihat ke arah Nuqman. Lelaki itu berbual dengan mertuanya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Puteri tunduk melihat tangan Nuqman diribanya dengan rasa tidak percaya. Jemarinya dielus lembut. Puteri menelan liur. Bagaikan dia tahu betapa aku merinduinya!

Ingin dibalas sentuhan itu tetapi dia malu. Sentuhan Nuqman bagaikan membelai sekujur dirinya. Seolah-olah dia juga sedang melepaskan rindu. Wajah Puteri terasa hangat. Sentuhan Nuqman ketika di balkoni di Istanbul kembali terasa. Sentuhan yang membuatkan dia rasa dihargai dan disayangi. Rasa sebak datang menyerbu dalam dadanya. Nuqman!

“Ika! Haa… kenapa diam saja?” Puteri tersentak dan terngadah. Cepat-cepat ditarik tangannya tetapi saat itu juga Nuqman menggenggam tangannya dengan lebih kuat. Serentak itu, Puteri memandangnya dengan dahi yang berkerut. Dia masih selamba melihat menu dengan tangan kanannya. Bagaikan menyedari yang Puteri sedang melihatnya, dia menggelengkan sedikit kepalanya. Kemudian membalas pandangan Puteri sambil mengerdipkan mata. Amboi! Aneh sungguh lelaki ini!

“Tengoklah menu tu, kalau rindukan Istanbul, boleh order kebab…,” tegur Tan Sri Hashim sambil mengusik. Nuqman tersenyum, memandang Puteri sekilas. Terjeda Puteri seketika. Amat memahami maksud senyuman Nuqman.

“Ika…?”

“Err… ya bah! Ika… Ika tengok jap…” Kelam-kabut sungguh dibuatnya. Dengan hanya sebelah tangan kiri, Puteri membuka menu yang direkabentuk begitu cantik sambil mengerling ke arah Nuqman. Dia tersenyum simpul di sebalik menu. Puteri menghela nafas. Memandang abah sambil tersenyum. Rindukan Istanbul? Rindu sangat, abah!!

Mereka memesan makanan dan terus berbual. Pelayan di restoran itu semuanya lelaki dan memakai thawb, pakaian sunnah. Walaupun tidak sekemas kemeja dan seluar panjang serta tali leher kupu-kupu atau bow-tie, tetapi mereka nampak segak, bergaya, tetap pantas dan kemas bekerja. Jadi, etika pakaian dalam kerjaya bukan sebenarnya terletak pada rekabentuk pakaian tapi jatidiri seseorang itu. Bila makanan yang dipesan datang, barulah Nuqman melepaskan tangan Puteri tetapi tidak pandangannya yang membuatkan muka Puteri terus hangat dan memerah.

“Man, sementara Man di Malaysia, kalau Man nak tinggal dengan abah di rumah tu, bagi abah tak ada masalah. Ika pun nak balik hostel. Tinggal angah dengan abah saja di rumah…,” pelawa Tan Sri Hashim penuh makna. Dia sedar apa yang berlaku di depan mata. Dan dia bahagia. Cuma dia sangat keliru dengan sikap anak gadisnya sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, Puteri sukakan Nuqman. Di rumah tadi, hendak senyum pun susah. Tetapi di sini, bersama Nuqman, wajahnya berseri dan tingkahnya berbeza. Tan Sri Hashim menghela nafas sambil tersenyum memandang Nuqman yang terdiam lama. Puteri pula terkejut sungguh dengan pelawaan abah. Biar betul?!!

“Hurmm… rasanya Man terpaksa berkampung di sini, bah. Jadual Man penuh. Memang seronok kalau dapat berehat di rumah tapi dah macam ni cara hidup Man, harap sangat abah faham…,” Nuqman berterus-terang. Tan Sri Hashim mengangguk-angguk. Dia faham sangat. Hidup Nuqman tidak seperti orang lain. Dia tidak kenal erti penat.

“Ika, inilah Nuqman. Susah nak jumpa lelaki macam dia. Di sinilah rumahnya, pejabatnya, pertubuhannya, kawan-kawannya dan perjuangannya. Dari sini saja, semuanya berkembang di merata dunia. Ika kena belajar sesuaikan diri. Yang terbaik, kalau Ika dapat membantu apa saja yang dia ceburi. Beruntung kalau bersama Man. Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain, betul tak, Man?” Tersedak-sedak dibuatnya Nuqman. Puteri pula tercengang. Tidak percaya apa yang didengarnya. Kerana Nuqman yang dia kenal, santai saja orangnya.

“Abah, sebelum ni Man bujang. Cuma nak mudah saja. Nanti Man kena duduk di rumah juga dengan isteri dan anak-anak,” jawab Nuqman, hati-hati dan penuh makna. Puteri menelan liur. Tan Sri Hashim ketawa. Nuqman, sekusut mana pun masalah, sebanyak manapun kerja yang dipikul, Nuqman tetap Nuqman. Tenang saja orangnya dan menenangkan orang lain juga. Pemikirannya matang, menjangkau jauh dan sentiasa di luar kotak. Peribadinya bagaikan intan di antara pepasir. Kalau wanita lain, Nuqman memang menjadi suami idaman. Entah apa yang tidak kena dengan Puteri Zulaikha!

“Apa program di sini hujung minggu ni, Man?” Soal Tan Sri Hashim ketika mereka berjalan beriringan meninggalkan restoran itu usai makan malam.

“Man tak pasti, bah. Baru sampai petang tadi, tak sempat lagi meninjau program di sini. Kalau yang biasa tu, kuliah subuh setiap pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad berjalan seperti biasa. Kalau ada apa-apa nanti, Man hubungi abah…” Tan Sri Hashim mengangguk. Puteri tercengang-cengang. Abah mengikuti program di sini?

“Abah nak bawa Ika pusing-pusing di Souq sebelum balik. Man pun ada meeting, kan? So, oklah Man, ada masa kita jumpa lagi, makan tengahari atau makan malam ke, bila-bila Man free…” Tan Sri Hashim menepuk bahu Nuqman. Sudah banyak masa Nuqman yang diambil untuk melayani mereka. Sedangkan dia ada perkara yang lebih penting untuk ditangani. Walaupun sebagai bapa, dia mahu melihat Nuqman menghabiskan banyak masa dengan anak gadisnya, tetapi dia tidak boleh mementingkan diri. Perjuangan Nuqman mesti dibantu bukan diganggu.

“Kalau boleh Man nak temankan sekali…” Nuqman serba-salah. Pandangannya tertancap ke wajah Puteri yang tiba-tiba mendung.

“Abah faham, Man. Tapi Man ada kerja yang lebih penting. Ika pun faham. Pergilah. Nanti banyak pula ketinggalan…” Tan Sri Hashim mencapai tangan Nuqman untuk bersalaman. Nuqman tunduk mencium tangan lelaki yang amat memahami dirinya. Kemudian dia tegak berdiri mengadap Puteri yang sudah terpaku memandangnya.

“Maaf, saya tak dapat nak bersalam dengan Ika. Bimbang jadi fitnah nanti. Esok, Ika nak jumpa Maliha, kan?” Puteri hanya mengangguk. Kemudian tertunduk memandang lantai. It’s a good bye, now…, hatinya berbisik lirih.

“Ingat pesan saya. Be there for her. Jangan bimbang sangat tentang Taufik. Kami akan bantu sedaya upaya. Take care of yourself…” Puteri mengangkat muka, mengangguk lagi sambil menelan liur, mengulum sebak yang tiba-tiba datang menyesakkan dadanya. Tidak mampu bersuara, dia hanya terngadah memandang Nuqman.

“Assalamualaikum…” Nuqman memandangnya buat beberapa ketika dan kemudian memohon diri lalu melangkah berat meninggalkan isteri dan mertuanya.

Dari aras mezzanine, di kepala tangga, seorang gadis memandang lama. Raut wajahnya kelat. Ada marah dan cemburu lahir dari pandangan matanya.

ps: ‘like’ if you like the story! Take care…

Advertisements

3 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 37

  1. Salam Juea,

    Cantik layout baru. lebih kemas dan menarik.

    Kalaulah ada lelaki seperti Nuqman, pasti beratur yang nak masuk meminang. Beruntunglah wanita seperti Ika.

    Good job. teruskan menulis.

    Liked by 1 person

    • salam Has, hehehe… tq dear. person yg one mood at one time ni mmg payah… dah dlm mood nulih ni, jd malas nak mendesign… wpun dulu keroje mendesign. tapi gmbr kat homepage tu kat my home town tau pokoknya… setahun sekali my hometown berbunga… jemput mai naa…

      macam Nuqman tu ada, Has. penah jumpa but fairly taken la kan… hehehe juea tak solehah, mmg tak dapat ler! so… i created one here… for you and me… hehehe

      Like

  2. Waaa.. Aloq Staq kaaa?

    No wonder laa tulisan Juea very descriptive. Insan berjiwa seni rupanya. I bet your design would be very nice too.

    Yep. fairly taken. Jenis rare spesis dah masuk kategori pupus. hehehe.

    Keep writing dear. 🙂

    Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s