Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 35

Salam semua…

Bye bye Istanbul!

Bab 35

Tanpa menunggu jawapan, Nuqman melangkah keluar dari kereta. Bila Puteri tidak keluar sama, dia segera bergerak ke arah pintu kereta di sebelah penumpang. Pintu itu dibuka.

“Jom… last shopping sebelum balik. Hari ni dah tak boleh belek-belek lagi ya. Take it or leave it. Takut nanti terlepas flight…” Nuqman sempat mengusik. Puteri pula hanya memandang, terpinga-pinga.

“Shopping?!”

“Yes! Tuan Puteri di Grand Bazaar sekarang. Tempat yang kita datang dulu. Kalau nak ke Spice Market pun boleh lepas ni tapi kena cepatlah… nak balik packing lagi…” Nuqman serius risaukan waktu penerbangan malam itu kerana sikap Puteri yang tidak menentu. Macam tak mahu balik…

“Tak nak lah! Duit saya dah habis. Lagi pun tak ada apa yang penting nak dibeli…” Puteri masih bersandar di kerusi. Mukanya berkerut, memuncung.

“Ika! Saya kan ada! Cepatlah…,” Nuqman cuba memujuk. Puteri pula berpeluk tubuh.

“Saya tak nak! Kalau awak banyak sangat duit, baik awak bagi je kat diaorang tadi. Diaorang lebih perlu dari saya!” Dia berkeras. Nuqman menutup pintu lalu kembali duduk di kerusi pemandu.

“Ika… sebahagian dari pendapatan saya memang untuk orang yang memerlukan. Tapi sebahagiannya lagi untuk isteri dan keluarga saya. Ika bukan selalu datang Istanbul. Belilah apa-apa yang berkenan di hati untuk kenangan…”

“Dah! Dah beli dah tadi! Cukuplah tu… kita balik je, please…” Puteri mula terasa sebak tanpa sebab. Nuqman! Tolonglah jangan baik hati sangat! Lagi susah nak tinggalkan nanti… Puteri menghempas diri ke kerusi. Marah pada diri sendiri. Apa yang sudah berlaku pada dirinya?! Emosi tak tentu pasal!

Nuqman mengeluh. Dan mengalah. Kereta dipandu keluar dari kawasan itu dan terus menuju ke pangsapuri mewah yang mencatat begitu banyak kenangan manis antara dia dengan Puteri. Mungkinkah semua itu akan berulang lagi? Hatinya memanjat munajat.

Puteri terus ke bilik sebaik saja mereka masuk ke pangsapuri. Nuqman terpinga-pinga dengan sikapnya. Beg-beg kertas yang berisi cenderahati diletakkan di meja makan. Dia terkilan kerana tidak sempat membeli apa-apa untuk ibu dan adik-adiknya, juga team Peace Yo! dan staf The Turban. Jam ditangan ditelek. Masih ada masa! Nuqman terus ke bilik air, mandi dan berwuduk kerana azan asar akan dilaungkan sebentar lagi.

Pintu kayu itu hendak diketuk tetapi tidak jadi. Hasrat Nuqman mahu mengajak Puteri solat bersama tetapi pintu yang tertutup rapat sejak tadi buat dia ragu-ragu. Mungkin Puteri berehat dulu kerana keletihan. Ahh… biarlah. Akhirnya dia bersolat sendirian.

Sekeping nota memberitahu Puteri yang dia keluar sebentar dan akan pulang untuk solat maghrib bersama diletakkan di atas meja makan. Selepas itu, Nuqman keluar membelah kesesakan lalulintas di Sultanahmet untuk membeli beberapa cenderahati dan makanan istimewa Turki terutama Baklava!

Puteri yang baru selesai solat terdengar bunyi pintu utama ditutup. Bingkas dia bangun selepas mengaminkan doa sendiri. Pintu biliknya dikuak. Nuqman tiada. Dia keluar ke ruang tamu dan terus ke meja makan untuk mengambil beg-beg kertas di situ. Dan nota yang ditinggalkan Nuqman dibaca.

Puteri mengeluh lalu kembali ke biliknya. Beg bagasi terbuka di atas katil dengan segala isinya berhamburan memenuhi ruang katil. Dia memaksa diri menyambung kerja mengemas beg dengan berbagai rasa yang berbaur.

Patutkah aku beritahu dia sebelum balik? Atau lebih baik aku emel saja? Hmm…emel lebih mudah! Kalau dulu, waktu inilah waktu kemenangan baginya. Bila dia berjaya menawan hati lelaki, membuai perasaannya dan selepas itu mengoyak-rabakkan hati mereka. Bila mereka merayu dan mengharap, saat itulah dia akan menghancur-lumatkan hati mereka! Kemudian dia akan meraikan kemenangan itu dengan teman-temannya. Dia menikmati kepuasan dan kebebasan hidup. Dia menari berlantaikan duka hati insan bernama lelaki!

Tapi hari ini dia tidak pasti hati siapa yang akan koyak-rabak dan hancur-lumat. Yang pasti, Nuqman bukan lelaki yang mendewakan wanita. Jiwanya lain dari yang lain. Dan jiwa itu pastinya tidak akan mampu dihancur-lumatkan kerana dia jenis yang pasrah dan redha dan akan terus bergantung dengan Tuhannya.

Dan aku? Apakah aku akan rasa puas dan gembira? Mampukah aku menari selepas aku melukakannya? Sedangkan saat ini, aku dah gelisah separuh nyawa walaupun baru hendak berpisah! Persoalannya petang tadi sudah cukup menyentak diri. ‘Don’t you want me to be a hero?’ Aku tiba-tiba tidak sanggup kehilangannya!

Baju tidur yang dibeli Nuqman harum selepas didobi. Baju itu diraih ke dada, dipeluk erat seolah-olah mahu mengubati rasa pedih dan sedih di dalam. Bagaimana hidup aku nanti setelah meninggalkan Istanbul… dan Nuqman?!

Bagasinya sudah siap diletakkan di pintu. Puteri memandang sekeliling. Meja makan, sofa di ruang tamu dan balkoni itu merakamkan memori indah bersama Nuqman. Terutama di balkoni. Saat pertama kali dia benar-benar disentuh Nuqman. Seluruh tubuhnya terasa hangat dengan hanya mengingati saat itu.

Puteri menapak perlahan ke balkoni. Matahari semakin berlabuh. Cahayamya jingga kemerahan membias dalam riak gelombang Selat Bosphorus. Angin masih dingin cuma tidak sedingin waktu awal dia menjejakkan kaki ke Istanbul hanya beberapa hari yang lalu. Di sini dia menari. Dan di sini… dia jatuh dalam pelukan Nuqman. Like home… ya, bersama Nuqman selalu membuat dia terasa seperti sangat selesa. Walaupun saat bersamanya juga dia selalu teruji, hatinya mudah tersentuh dan jiwanya mudah bergetar. Tapi semua itulah yang membuatkan Puteri rasa kehilangan bila tidak lagi bersamanya seperti saat ini, dia hanya bersendirian di balkoni ini. Tanpa Nuqman, Selat Bosphorus seperti kelam menanti malam…

‘Ika pasti ke yang Ika boleh hidup tanpa lelaki? Sunyi tak berteman? Boleh uruskan hidup Ika dengan tak tersalah langkah?’ Kata-kata Nuqman kembali berputar dalam kotak fikirannya. Sunyi? Sunyi itu sudah menjadi sebahagian dari diriku, Nuqman…, bisik hati kecil Puteri.

Kehilangan seorang ibu yang lembut dan penyayang sudah cukup mencampakkan diri Puteri Zulaikha ke lembah sunyi. Tak tahu kepada siapa dia hendak mengadu, dia cuba meraih perhatian abah yang selama ini terlalu sibuk dengan kerjayanya. Sangkanya abah akan mengambil tempat ibu, menyayanginya sepenuh hati. Tapi sayang, setiap kali memandang wajahnya, abah jadi sedih dan mengurung diri. Kerana wajah ibu persis wajahnya. Tinggal dia terkapai-kapai dengan juraian airmata di luar pintu bilik bacaan abah yang terkunci dari dalam.

Ketiga-tiga orang abangnya dihantar ke sekolah berasrama penuh. Jarak umur di antara mereka secara tidak langsung turut menjarakkan hubungan. Mereka sudah matang berdikari. Hanya Puteri yang masih terpinga-pinga, saban hari semakin sedih semakin sunyi. Hanya ada anak-anak patung yang kaku tak bernyawa mendengar rengekannya yang rindukan ibu saban waktu. Hanya ada simpati orang gaji mereka, Mak Cik Nor yang tak punya masa kerana sibuk menguruskan rumah itu seorang diri tanpa ibu. Puteri sampai lupa bagaimana hendak ketawa sehinggalah mummy datang menghiburkannya. Sejak itu dia kerap keluar bersama mummy.

Tapi dunia mummy juga penuh dengan kesedihan. Di pejabat mummy, orang perempuan selalu datang menangis. Mummy dan kawan-kawannya setia mendengar dan menolong. Puteri juga ikut mendengar. Sejak itu, hidup Puteri bagaikan sentiasa suram. Tidak pernah berseri lagi seperti waktu ibu masih hidup. Sampailah waktunya Puteri menginjak dewasa, dia cuba untuk memberi ruang dalam hidupnya seperti gadis lain – untuk mencintai dan dicintai seorang yang bernama lelaki. Sayang seribu kali sayang, hidup Puteri bukan lagi suram. Cahaya pelangi yang datang rupanya tipuan semata-mata hinggakan pelangi itu bertukar menjadi malam yang panjang, pekat tidak berbintang. Puteri semakin sunyi dan tenggelam.

Entah bagaimana, akhirnya dia dapat bangun dari mimpi buruk yang panjang. Dia bebaskan diri yang terbelengu dengan harapan yang tak sudah. Pengalaman bersama dengan perjuangan mummy dan apa yang diharungi oleh diri sendiri membuatkan dia tekad untuk hidup sendiri. Tidak akan pernah mengharapkan sesiapa lagi. Dan kesunyian itu sudah menjadi dunianya. Jadi apa yang hendak dihairankan lagi, Nuqman?

Tapi kesunyian itu bagaikan hilang bila dia bersama Nuqman. Kenapa? Soalan Nuqman tadi berlegar lagi dalam fikirannya. Mampukah aku hidup tanpa lelaki? Pasti boleh! Selama ini aku hidup tanpa lelaki. Pasti aku boleh hidup tanpa Nuqman juga! Walaupun mungkin kesunyian itu akan berganda tanpa Nuqman… Puteri memejamkan mata. Rasa sebak semakin kuat dalam dada. Biarlah aku sakit sekarang daripada lebih menderita kemudian hari!

“Nuqman…!” Bibir Puteri membisikkan namanya.

‘Say my name…’ Suara Nuqman garau meminta.

“Nuqman…!” Bibir Puteri bergetar. Airmatanya mengalir juga ke pipi. Kenapa aku seperti tak sanggup kehilangannya?!

“Ika…?!” Namanya diseru. Puteri terngadah. Nuqman berdiri di sisinya, memandang kehairanan.

“Hei… kenapa ni?” Ibu jarinya sudah di pipi, menyeka airmata tanpa sempat disorok lagi.

“Sedih nak tinggalkan Istanbul?” Soalnya sambil tersenyum manis. Hati Puteri bagaikan luruh! Setitis airmata gugur lagi. Dagu Puteri diraih.

“Saya lama kat sini. Ika boleh datang lagi bila-bila masa Ika nak. Just let me know, okay?” Dia memujuk lembut. Puteri cuba tersenyum. Mata tak mampu menatap anak matanya. Kerana hati sudah menangis. Sebab dia tak mungkin akan ke sini lagi untuk bersama Nuqman. Tak mungkin!

“Oh! Come on…, senyumlah sikit!” Hidung Puteri ditarik membuatkan dia terngadah semula. “Ika cuma nak tinggalkan Istanbul. Bukan nak tinggalkan saya selama-lamanya, kan?” Dia ketawa mengusik. Puteri tersentak sungguh. Dia tak mampu ketawa. Apa lagi tersenyum. Dan airmata kian laju berguguran.

Tawa Nuqman hilang. Kepala Puteri diraih ke dadanya. Dipeluk erat. Apalagi, airmata Puteri bagaikan empangan pecah. Terlepas apa yang terbuku di dadanya. Tetapi Nuqman takkan faham. Sebab Nuqman tak tahu yang dirinya bakal ditinggalkan. Dan bukan Nuqman yang akan parah terluka tetapi…

Bunyi loceng di pintu mengejutkan keduanya. Puteri cepat-cepat menjauhkan diri, tunduk menekup muka yang basah. Tetapi tangannya diraih, pipinya diseka lagi dan dahinya dikucup lama.

“Please don’t cry… it hurts me to see you cry…,” parau suara Nuqman, sarat dengan rasa yang berbaur. Dan dia mengundur selangkah dua, masih memandang Puteri, kemudian berpaling dan bergerak pantas menuju ke pintu. Puteri menarik nafas yang makin sesak.

‘It hurts me to see you cry…’ Ohh Nuqman!

Kelibat seorang lelaki berbangsa Turki mengejutkan Puteri. Cepat-cepat dia mengeringkan airmata dengan baju di lengannya. Tak pasti samada dia harus ke ruang tamu atau tidak, dia membatu diri di jeriji besi itu. Seketika kemudian, Nuqman bergegas datang. Dia melemparkan senyuman. Puteri memaksa diri, cuba membalas senyuman itu.

“That’s Hussain, my PA kat sini. Dia datang nak transfer barang-barang dan fail-fail saya back to our office, dekat dengan site. Saya tinggal di sana juga. Cadangnya nak bawa Ika tengok tempat kerja saya tapi dah tiba-tiba kena balik, maybe next time…,” jelas Nuqman.

“Yeah… may be…,” halus suara Puteri, hampir tidak kedengaran.

“Jom… Hussain teringin nak jumpa Ika. Ismet dengan Khadeeja memang nak raikan kita, makan dengan kawan-kawan yang lain tapi… maybe next time…” Nuqman ketawa. Puteri ikut ketawa. Next time yang tak mungkin berlaku…, jawab hatinya, menahan sebak.

Puteri berkenalan dengan Hussain, kacak dan peramah orangnya. Fasih berbahasa Inggeris. Lebih mengejutkan, dia membawa bersamanya beberapa hadiah dari dia dan juga teman-teman yang tidak berkesempatan menemui Puteri. Terharu Puteri dibuatnya. Seolah-olah dia benar-benar menjadi sebahagian hidup Nuqman. Bagaimana kalau mereka tahu yang hubungan dia dengan Nuqman hanya sekejap cuma. Sambil menahan perasaan, Puteri minta diri ke bilik untuk memberi laluan kepada Nuqman dan Hussain mengemas barang dan apa yang patut.

Sebaik saja menutup pintu biliknya, dia berlari ke katil lalu membenamkan muka ke bantal dan menangis semahu-mahunya. Selepas itu, dia berkurung di dalam bilik air, membasuh muka yang sembab memerah sampailah azan maghrib berkumandang. Digagahkan kaki melangkah keluar dari bilik itu untuk solat berjemaah dengan Nuqman buat kali terakhir. Hussain sudahpun pergi. Sempat dia menitip salam buat Puteri. Nuqman juga sudah siap berserban, berjubah putih dan harum semerbak kasturi.

Puteri cuba menghayati solatnya, mengharapkan agar Allah mengurniakannya sedikit kekuatan untuk menempuh saat-saat seterusnya. Dan dalam dia memohon ampun, rasa bersalah dan berdosa semakin kuat terasa. Hanya pengampunan dari Allah yang dia harapkan di atas segala kelemahannya.

Usai berdoa, Puteri terlebih dulu menghulurkan tangan menyalami Nuqman sambil tunduk mencium tangan lelaki itu. Dan dia merelakan pipi dan dahinya dikucup lama. Kemudian cepat-cepat puteri melarikan diri ke bilik sebelum airmatanya jatuh lagi di hadapan Nuqman.

Jemari Puteri bergetar ketika bersiap diri untuk pulang. Nafasnya tersekat-sekat kerana menahan sebak. Dia beristighfar berkali-kali mencari kekuatan. Dia harus melalui detik yang amat payah ini supaya hidupnya lebih selesa dan kembali tenang.

Akhirnya, setelah menarik nafas dalam-dalam, Puteri meninggalkan bilik peraduan itu di mana dia dan Nuqman pernah melewati detik-detik manis bersama. Bibirnya tidak dapat menahan diri dari tersenyum bila teringat Nuqman pernah memanggilnya sayang… Tersedar yang dia akan jadi lemah dengan semua itu, pantas dia melangkah keluar dan menahan diri dari berpaling. Nuqman sudah siap berpakaian kemas menunggunya di ruang tamu.

Mereka ke lapangan terbang menaiki teksi, terus menuju ke balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk. Di kaunter daftar masuk bagasi, Nuqman mengeluarkan pasport dan dua pas berlepas. Kemudian dia meminta pasport Puteri. Dalam kehairanan, Puteri menyerahkan juga pasport yang diminta. Apabila Nuqman menyerahkan bagasinya untuk diperiksa oleh pegawai kastam, Puteri terlopong. Nuqman hendak ke mana? Sangkanya Nuqman membawa bagasinya untuk kembali ke tempat tinggal dekat dengan tempat kerjanya.

Kemudian bagasi dan beg bimbit Puteri pula diperiksa. Selesai pemeriksaan, Nuqman membawa bagasi mereka ke kaunter untuk ditimbang dan dihantar ke pesawat yang bakal mereka naiki. Sebaik saja Nuqman meninggalkan kaunter itu, Puteri menarik lengan Nuqman sekuat hati.

“Awak! Awak nak ke mana?!”

Nuqman mendekatkan wajahnya sambil tersenyum lebar. “I’m going back with you…!”

Bibir Puteri terus terlopong. Dadanya yang tadi sesak tiba-tiba ringan. Tetapi mata yang membulat itu semakin bulat. Dia terpaku memandang Nuqman dengan wajah yang tidak percaya!

“Kenapa awak tak beritahu yang awak nak balik sekali?!” Suara Puteri bergetar.

“Kenapa saya perlu beritahu?” Soal Nuqman semula sambil mengulum senyum. Hati Puteri makin panas dengan senyuman itu. Separuh mati aku berhempas-pulas menahan perasaan!

“Awak sengaja ya?!” Jari telunjuknya ditujah geram ke dada Nuqman. Sedikitpun dada itu tidak berganjak. Lelaki itu mengerutkan dahinya tetapi bibir mula menguntum senyum.

“Memang awak sengaja!!” Sakitnya hati! Puteri benar-benar tidak percaya. Hatinya jadi nanar. Rasa hendak melompat ada, hendak menjerit pun ada, hendak menumbuk lelaki itu lagi ada! Tetapi lelaki itu pula hanya ketawa.

“Isyyhh!!!” Dada lelaki itu ditolak sekuat hati dengan kedua tangannya, melepaskan perasaan. Dan Puteri berpusing lalu melangkah selaju yang boleh. Namun tidak sempat dia menjauh, lengannya ditarik kuat dan dia kembali terdorong ke dada lelaki itu lagi. Hidung bertemu hidung.

“You are not an open book. So, I have to have my ways to read what’s within…” Ujar Nuqman dengan senyuman kemenangan yang membuatkan amarah Puteri meledak dalam dadanya tetapi lidahnya kelu tak bersuara!

p/s: like if you want to read more… Bahagia selalu!

Advertisements

One thought on “Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 35

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s