Siri Novel MAKNA PADA RASA Bab 34

Salam semua…

Here’s bab 34. enjoy! Moga ceria selalu…

Bab 34

Nadia terjaga dan terlelap semula beberapa kali. Tubuhnya masih lemah tetapi rasa makin selesa. Selesa dan damai. Apa tidaknya, sudah terlalu lama dia tidak dimanja. Terlalu lama!

Hakikatnya seorang perempuan, setabah manapun dia, sekuat manapun jiwanya, tapi bila diri dimanja, luruh segala lelah, dan hidup jadi teramat manis. Itulah yang dirasai Nadia saat ini walau sekuat mana dia cuba menafikannya.

Subuh tadi, dia dikejutkan dengan usapan lembut dibahu dan kucupan rama-rama di dahi dan di pipi. Kemudian dia dipimpin Zulkarnain ke bilik air, bimbang kalau jatuh lagi. Dia duduk bersolat di belakang Zulkarnain. Tak mampu solat berdiri. Entah kenapa, dia rasa tidak pernah setenang itu. Selepas berdoa, Zulkarnain merangkulnya ke riba, kepalanya bersandar di dada, dahinya dikucup dan kepalanya diusap. Lama mereka duduk begitu, di atas sejadah, diam tanpa sepatah kata. Biarlah hanya hati yang berbicara.

Usai sarapan pagi, tubuh Nadia dilap dengan tuala basah. Kemudian dia memakai pakaian yang bersih. Sekali lagi, Nadia dibelai hingga terlena. Dia tidur nyenyak, senyenyak bayi. Sehinggalah masuk waktu zohor. Zulkarnain mengejutkannya lembut. Dia akur, bangun mengerjakan solat bersama suaminya. Ya, suami yang dulu pernah membahagiakannya. Kini dia kembali… tetapi untuk entah berapa lama. Yang pasti dia akan pergi lagi…

Nadia sebak dihujung doa yang diaminkan. Dia tidak pasti kenapa. Yang dia pasti, dia ingin menikmati saat-saat bahagia ini sebelum dia pergi jauh membawa diri… untuk selamanya.

Sesuatu menyentak fikiran Nadia. Dia bingkas bangun duduk sambil bersandar di kepala katil. Kepalanya terasa ringan sedikit. Nafasnya semakin bertenaga. Syukurlah. Dia memandang keliling mencari kelibat Zulkarnain. Sunyi. Sepi. Perlahan-lahan dia menongkah tubuhnya, turun dari katil. Ke mana dia? Tak mungkin di dapur kerana mereka sudah makan tengahari selepas solat zohor tadi. Selepas itu, Zulkarnain berehat di sisinya di katil sehingga dia hanyut terlena sekali lagi.

Nadia bergerak ke tingkap. Langsir diselak dan kereta Zulkarnain tidak ada digaraj. Dia keluar?! Ke mana? Ahh… pasti balik bertemu isteri tercinta!

Langsir dihempas ke tingkap kaca. Dia memejamkan mata, menahan pedih yang menusuk. Aku tak hadap dia di sini! Dia memaksa kenyataan itu dipahat kukuh di hatinya. Pantas matanya menerawang ke seluruh bilik. Mencari beg tangan dan beg bimbitnya. Dia mesti bekerja!

Tubuhnya dihempas ke sofa. Telefon sudah ditekap ditelinga sementara tangannya membuka fail sambil dia meneliti sesuatu di dalamnya.

“Hadi…? – Emailkan akaun sumbangan ASAP! – OK, saya call balik nanti. Terima kasih.”

Komputer ribanya dibuka. Hadi yang hampir tiga puluh tahun berkhidmat di MegaSteel Berhad sangat cemerlang dalam tugasnya. Nadia yang masih menjadi salah seorang lembaga pengarah MegaSteel Berhad dengan pemilikan saham tiga puluh lima peratus di syarikat itu berhak untuk mengetahui aliran keluar akaun syarikat.

Dia mahu meneliti semula akaun sumbangan MegaSteel untuk membuat permohonan kepada Lembaga Pengarah supaya lima puluh peratus berbanding hanya sepuluh peratus sumbangan kebajikan syarikat yang disalurkan ke WWT yang kini semakin kekeringan dana sejak mereka dihujani pelbagai isu akhir-akhir ini. Dan untuk itu juga, dia terpaksa berdepan dengan abang iparnya, Tan Sri Hasyim Fadhlullah, Ketua Pengarah Eksekutif MegaSteel Berhad. Keupayaan Tan Sri Hasyim mengambilalih syarikat papa memang tidak boleh dipersoalkan walaupun pada masa yang sama, dia terus menerajui syarikat miliknya sendiri. Pengarah-pengarah yang memang sudah terlatih sejak berkhidmat dengan papa lagi memudahkan kerja Tan Sri Hasyim.

Emel sudah pun diterima. Nadia menghela nafas. Matanya meneliti senarai penerima sumbangan secara berkala dari MegaSteel Berhad. Dan penerima terbanyak antara empat puluh hingga lima puluh peratus adalah Peace Yo! yang didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Nadia terngadah. Siapa sebenarnya mereka? Jemarinya pantas mendail nombor peribadi Tan Sri Hashim Fadhlullah.

“Assalamualaikum…” Suara Tan Sri Hashim kedengaran agak tegas di hujung talian, tidak cuba bermesra seperti biasa.

“Waalaikumussalam… are you free? Need to talk…” Nadia sememangnya mengelak dari berbual kosong.

“Haa… Nadia, ya… ada apa macam tergesa-gesa saja ni?” Pernahkah Nadia tidak dalam keadaan tergesa-gesa sebelum ini? Tan Sri Hashim menghela nafas. Entah sampai bila Nadia tidak mahu menganggap dia sebahagian dari keluarganya?

“I dah semak akaun sumbangan. Ada pertubuhan baru – Peace Yo! dalam senarai penerima sumbangan, I tak tahu pun?” Kejengkelan jelas dalam suaranya.

“You’ve been abroad, Nadia. Lagipun Nadia lupa ke yang Nadia dah setuju untuk menyerahkan semua keputusan yang melibatkan dana dan sumbangan kepada budi bicara mesyuarat ahli lembaga pengarah bila Nadia berada di luar negara?”

“But why Peace Yo!? Sumbangan paling tinggi mencecah sampai enam puluh peratus? What does the company got to do with them?” Nadia menelan liur setelah menyedari kebenaran kata-kata abang iparnya. Namun kegusarannya tetap diluahkan.

“Kami buat keputusan tu berdasarkan cabang kerja amal pertubuhan tu sangat mencapah, Nadia. You can have the detail from Hadi…”

“When is the next review?” Pintas Nadia. Menyimpan gelodak rasa tidak puas hati.

“Kalau tak salah abang, sebulan lagi. Kita buat quarterly, kan?”

“WWT perlukan dana lebih. Banyak kerja yang perlu kami buat. So, I nak apply untuk dapat sumbangan lebih, mungkin lima puluh peratus. And I need your support supaya semua ahli lembaga pengarah setuju.” Nadia terus kepada topik yang mahu dibincangkan.

“Banyak kerja yang macam mana? To support LGBT? Nak buat seminar untuk bebaskan wanita dari kongkongan suami? Come on, Nadia! And you expect that the board of directors will go along with your agenda? I don’t think so…” Sinis sekali nada Tan Sri Hashim dalam menahan amarah yang mula hendak meledak. Nadia menelan liur. Pasti artikel tentang konferens tempohari sudah disiarkan. Dan program LGBT yang mendapat liputan media juga sudah sampai ke pengetahuan abang iparnya.

“Please be fair, Tan Sri! Mereka tu manusia macam kita jugak!” Nadia takkan mengalah. Apa lagi dengan abang iparnya yang tidak pernah dipanggil abang.

“Sebab mereka manusia macam kitalah, kita kena buat perkara yang sepatutnya, Nadia. Mereka memang tak salah tapi perbuatan mereka yang salah. Apa yang mereka lakukan tetap maksiat dan natijahnya buruk. Kalau benar Nadia ikhlas nak perjuangkan nasib mereka, then, bawak mereka balik ke pangkal jalan. Selamatkan mereka. Bukan perjuangkan hak mereka supaya hidup selesa dan terus bergelumang dosa. Itu bukan menyelamatkan! Itu sebenarnya menghancurkan! Abang betul-betul tak faham macammana Nadia berfikir! Nadia orang Islam, Islam ada caranya. Kenapa terikut-ikut dengan ideologi kawan-kawan seperjuangan Nadia yang dah jelas tak betul tu!

Lepas tu nak perjuangkan nasib wanita dengan menyalahkan undang-undang syariah, nak salahkan lelaki?! Fikir jauh, Nadia. Undang-undang yang sama di zaman Rasulullah dan para Sahabat, hidup wanita selamat dan bermaruah. Kaji sejarah, Nadia. Bukan menghukum dengan apa yang berlaku hari ni saja. Nak ubah hidup kita bukan dengan cara ubah orang lain tapi ubah apa yang ada dalam diri kita dulu. Nak ubah orang lebih susah dari nak ubah diri sendiri. Selamatkan nasib wanita dengan cara pimpin mereka jadi wanita solehah. Tuhan akan ubah nasib mereka!

Jadi Nadia jangan harap abang dengan ahli lembaga pengarah yang lain akan bantu Nadia dengan agenda-agenda yang merosakkan semua tu. Kami tak mahu terlibat. Tapi kalau Nadia nak perjuangkan nasib LGBT, nak bimbing mereka hidup normal, nak bimbing wanita taat kepada Allah, abang sanggup! Abang sanggup bantu apa saja yang Nadia nak. Nadia fikirkan dalam-dalam apa yang abang katakan ni…”

Tap. Talian diputuskan. Sebab semua ahli lembaga pengarah yang lain adalah lelaki seperti kamu…! Hati Nadia bergelodak marah. Kenapa tidak cadangkan kaum lelaki dipimpin supaya taat kepada Allah, supaya bela nasib wanita? Telefon tangannya dicampakkan ke sofa. Dia terhenyak sambil memejamkan matanya. Harapannya makin pudar. Matanya berputar memandang siling, mencari alternatif.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas dia menyelongkar beg tangan mencari sekeping kertas yang tertulis nombor telefon di atasnya. Jumpa! Pantas jemarinya mencari telefon tangan di sofa lalu mendail nombor yang tertera.

Seorang lelaki bersuara garau menjawab panggilannya membuatkan hatinya berdebar-debar dan teragak-agak hendak memulakan bicara. Nadia menarik nafas dalam-dalam, mengumpul kekuatan dan membulatkan tekad. Anak kandungnya mesti ditemui.

“Saya cari mak… mak encik Fadhlan. Namanya Hanipah Hussin kan?” Nadia mencari kepastian.

“Ya.” Jawapannya ringkas bernada jengkel mematikan bicara Nadia. Sekali lagi dia menarik nafas, memaksa mindanya ligat bekerja mencari jalan.

“Err… di-di mana puan Hanipah sekarang? Saya… saya perlu sangat nak jumpa dengan dia. Boleh encik berikan alamat dia?” Nadia seakan merayu. Bimbang sungguh dengan nada dan aura lelaki itu walaupun hanya di talian.

“Kamu siapa?!” Semakin tegas suaranya. Nadia terlopong. Perlukah dia berterus-terang?

“Saya anak Tengku Nuruddin, puan Hanipah pernah bekerja dengan ayah saya.”

“Dia dah lama diberhentikan.” Ringkas kata-katanya semakin menyukarkan Nadia. Dia buntu.

“Ya. Sebab tu saya nak jumpa dia. Tolonglah encik Fadhlan. Tolong berikan alamat dia…”

“Kenapa? Kenapa tiba-tiba?” Ahh! Lelaki ini memang boleh buat orang jadi paranoid!

“Err… saya… saya dah lama cari… tapi tak jumpa. Saya ke kampung. Saya dapat nombor ni dari orang…”

“Ya lah! Tapi kenapa? Sibuk nak jumpa mak saya, kenapa?” Nadia menghela nafas lelah, mengalah.

“Anak saya! Saya nak jumpa anak saya. Mak Pah jaga anak saya!” Akhirnya terluah juga. Nadia sudah penat mencari helah daripada membuat pengakuan. Tawa lelaki itu yang kedengaran di hujung talian membuatkan dia rasa tercekik.

“Ohh… aku kenal kau! Anak datuk yang tak berhati perut! Hei! Kau ingat mak aku siapa haa?! Dah la jadi babu kat rumah kau, lepas tu kena jaga anak haram kau?!”

Nadia menekup mulut sebelum sempat jeritannya terkeluar. Airmatanya berhamburan. Anak aku bukan anak haram!! Ya Allah!! Dia sunguh-sungguh kehilangan kata.

“Hei perempuan! Kau dengar sini! Anak kau, aku dah jual. Aku tak bagi mak aku jaga anak haram kau! Jangan cari mak aku lagi! Kau faham!!” Dan talian itu terputus di situ. Seperti terputusnya nafas Nadia yang terhenyak ke sofa.

Jarum jam sudah menunjukkan angka enam. Zulkarnain memecut pulang. Pasti Nadia tertanya-tanya ke mana dia pergi. Sengaja dia keluar sebaik saja Nadia terlena selepas makan tengahari tadi. Sebab susah dia hendak memberi alasan kalau Nadia terjaga.

Kata-kata ibu Fahmi tadi sangat melegakan hatinya. Fahmi akan membawanya ke rumah sepupu ibu Fahmi yang selama ini memelihara anaknya. Walaupun sudah bertahun tidak mendengar khabar dari mereka tetapi menurut ibu Fahmi, sepupunya sangat menyayangi anak itu. Kerana mereka sudah sekian lama mendambakan seorang anak perempuan. Itulah yang paling penting bagi Zulkarnain. Sebak meruntun tangkai hatinya. Anaknya terpaksa menumpang kasih dengan orang lain kerana kesilapan dirinya. Dia berjanji, dia akan menebus segala kesalahannya dan seluruh kasih sayang dan perhatian akan diberikan kepada anaknya bila mereka bersama kelak. Untuk itu dia terpaksa memisahkan anaknya dari keluarga angkat yang sudah banyak berjasa itu. Dia terpaksa!

p/s: Sabar tunggu kesinambungannya ya!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s