Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 33

Assalamualaikum wbr…

Selamat hari pekerja! Tak kira apa pun pekerjaan kita, moga diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Kerja apa pun selagi dalam syariat Islam, jika disertai dengan pergantungan kepada Allah dan tawakkal, insyaAllah akan sentiasa dibantu dan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Moga dimurahkan rezeki dalam kehidupan.

Ulasan Hakikat Cinta yang disiarkan dalam akhbar bila naskah itu diterbitkan, tulisan Juea dikatakan menongkah arus. Memang betul. Kerana penulis juga berhijrah! Banyak beza antara Cebisan Memori, novel pertama Juea dengan Hakikat Cinta. Malah di antaranya, ada sebuah novel yang hampir siap tapi Juea tinggalkan begitu saja. Kenapa? Sebab Juea belajar bahawa penulis sangat bertanggungjawab terhadap penulisannya hingga ke Akhirat sana! Jadi walaupun menongkah arus, Juea gagahkan juga demi misi perjuangan dalam diri.

Ceria selalu!

Bab 33

Nuqman mengerling jam tangan selepas selesai menikmati makan tengahari. Kemudian dia bangun sambil mengajak Puteri ke dek peninjau semula. Puteri teragak-agak. Rasanya dia serik untuk ke situ lagi.

“Saya kan ada?” Nuqman tersenyum mengerti. Tangan dihulurkan dan perlahan-lahan disambut Puteri. Mereka keluar melalui salah satu pintu restoran itu untuk keluar ke dek. Nuqman hanya membawa Puteri bersandar di dinding menara tanpa melepaskan genggaman tangannya. Puteri ikut bersandar dengan hati tertanya-tanya.

Tiba-tiba azan zohor kedengaran sayup bersahut-sahutan dari beberapa arah dan kemerduan serta kesyahduannya amat menyentuh hati seolah-olah memenuhi ruang udara bandaraya Istanbul. Puteri tegak berdiri menghayati laungan azan yang kedengaran amat luar biasa dari ketinggian menara itu. Entah kenapa, airmatanya mengalir. Kebesaran Allah sungguh terasa bila azan dihayati. Kata-kata Nuqman tentang bagaimana Allah memujuk dan memanggil hamba-hamba-Nya sangat terasa kebenarannya di saat itu. Maha Baiknya Engkau, ya Tuhan!

Selesai menjawab azan, mereka turun dari menara dengan perasaan yang berbaur. Nuqman memberitahu Puteri supaya berniat jamak takhir kerana mereka akan bersolat bila balik ke pangsapuri nanti. Puteri teringatkan sesuatu.

“Awak! Awak ada cerita pasal Atartuk dah tukar azan ke bahasa Turki kan? Jadi… macammana dapat tukar balik azan dalam bahasa Arab?”

Awak?! Bukan main sedap dia ber’awak’ dengan suami! Sabarlah duhai hati… bisik Nuqman sambil menghela nafas. Dia belum faham tentang isteri solehah. Hendak jadi isteri sebenar pun masih berdolak-dalik. Bagi Nuqman, apa yang dibuat dari hati yang rasa berTuhan, insyaAllah akan kekal dan ikhlas. Jadi, tak guna dia memaksa. Lebih baik dia terus mendoakan.

“Menderes… seorang pejuang agama. Ceritanya, dia naik kapal terbang. Something went wrong. Bila pilot umumkan yang mereka berada dalam kecemasan, Menderes bersumpah, jika Allah selamatkan dia, dia akan kembalikan Islam di Turki. Takdir Allah, hanya dia yang selamat dalam nahas tu. Wallahualam. Kalau kejadian tu benar, itulah bukti betapa Allah Maha Mendengar.

Jadi Menderes berjuang lunaskan nazarnya. Dia jadi calon pilihanraya, wakil parti Demokrat. Dia berani berkempen untuk kembalikan azan ke dalam bahasa Arab, izinkan ibadah haji, buka sekolah-sekolah agama, batalkan dasar kerajaan larang muslimah berhijab dan betulkan macam-macam lagi kerosakan hasil tangan Atartuk. Dia kejutkan semua orang bila menang pilihanraya dengan manifesto-manifesto tu dan jadi Presiden Turki. Sejak tu, Turki balik kepada cara hidup Islam sebenar tapi masih belum menyeluruh. Masih banyak sisa kerosakan yang Atartuk tinggalkan. Tapi Menderes dah buktikan kata-katanya, Islam dah kembali ke Turki, Alhamdulillah…” Nuqman bercerita secara ringkas.

Puteri menghayati setiap patah perkataan. Betapa sejarah lalu banyak meninggalkan pengajaran untuk masa yang akan datang. Benar kata Nuqman, menghayati sejarah bukan untuk lulus periksa saja. Tapi sejarah mampu mengubah diri kita malah dunia sekalipun.

“Waktu tu, apa yang terjadi dengan Atartuk?”

“Parti Demokratik pimpinan Atartuk kalah. Atartuk pulak mengadap kematian yang dahsyat. Khabarnya, dia rasa panas teramat panas sepanjang masa sampai dia arahkan bomba siram istananya dua puluh empat jam. Tak cukup dengan tu, mereka letak ketulan aisbatu dalam selimutnya. Tapi dia tetap menjerit kepanasan sepanjang masa sampai satu istana boleh dengar jeritannya. Sampai satu tahap, dia pengsan selama empat puluh lapan jam sebab panas melampau. Bila bangun, dia hilang ingatan, akhirnya meninggal dunia. Tapi tak ada seorang pun yang memandikan dan mengafankan dia sampai mayatnya diawet selama sembilan hari sembilan malam. Adik perempuan dia datang menebus mayat dan jalankan upacara pengkebumian tapi tak dapat sebab bumi tak terima. Mayatnya susah nak masuk ke liang lahad. Jadi mayat terpaksa diletakkan dalam keranda dan disalut dengan batu marmar sampai sekarang.”

“MasyaAllah… dahsyatnya!”

“Allah Maha Mengetahui…”

Mereka menyusuri semula lorong dan jalan yang sempit, berliku dan berbukit itu tanpa sepatah kata. Banyak sungguh yang berputar di minda dan bergelodak di hati. Nuqman mengajak Puteri singgah di antara kedai-kedai cenderahati yang berderetan. Dengan separuh hati, Puteri melihat-lihat juga apa yang dipamerkan untuk dibawa pulang. Namun sungguh, hatinya teramat berat untuk pulang!

Nuqman sekadar memerhati dari jauh dan sibuk dengan telefonnya. Dia juga membuat beberapa panggilan dan bercakap agak lama di talian. Dia sengaja berada di kedudukan yang agak jauh dari Puteri supaya perbualannya tidak didengari. Lagilah bergelodak hati Puteri dibuatnya. Hanya beberapa jam lagi mereka akan berpisah. Nuqman sudah mula sibuk dan macam tidak sudi melayannya lagi?! Hati Puteri mendongkol. Entah apa yang dibeleknya dan diperhatikan, dia sendiri tidak tahu. Hati dan perasaannya tiba-tiba kabur. Kabur dengan emosi yang bercampur aduk.

“Cantik tu, kenapa tak nak?” Suara Nuqman mengejutkannya di saat dia meletakkan semula replika menara Galata dalam bekas kaca di tempatnya. Puteri menelan liur. Tiba-tiba muncul! Tadi sibuk sangat…, hati Puteri membentak marah. Kenapa dalam sekejap saja rasa terasing dengan Nuqman buat dia marah dan gelisah? Macammana bila sudah berpisah selamanya nanti?

“Belilah untuk abah, along, angah dengan achik… saya belanja…,” Nuqman memujuk bila dia tersedar, wajah Puteri seperti orang makan jeruk yang masam.

“Isyhh… saya boleh beli sendirilah!” Tukas Puteri, menjeling dan menonong pergi ke bahagian lain. Ah! Sudah! Kenapa pula ni…? Hati Nuqman tertanya-tanya.

Puteri mencapai beberapa cenderahati yang ada sekitar tempat dia berdiri. Gadis penjual yang cuba memperomosi barang-barang cenderahati di kedai itu tidak dipedulikannya walaupun bukan main mesra dan petah dia berbahasa Inggeris. Tidak ramai penjual dan peniaga yang boleh berbahasa Inggeris di Istanbul.

Nuqman segera menuju ke kaunter dan mengeluarkan kad kredit sambil menunjuk ke arah Puteri yang sedang menuju ke kaunter. Tersenyum senang gadis di kaunter menyambut Puteri yang sudah kehilangan senyumannya.

Puteri terus membisu sepanjang perjalanan pulang ke Sultanahmet. Jambatan Galata yang bertingkat dengan rekabentuk menarik itu sudah tidak lagi menarik minatnya. Pemancing yang berderetan itu sudah tidak mahu diperhatikan lagi. Simpang siur kereta dan tram di atas jambatan besar itu tidak mahu dipandang lagi. Dia sedang sibuk, sibuk mengusir rasa sedih, sebak dan gelisah yang bergelodak dalam hatinya. Dia sedang sibuk menyakinkan dirinya yang dia harus pulang. Pulang dan meninggalkan Istanbul… dan Nuqman, untuk selamanya. Dan dia akan kembali tenang dalam kehidupannya tanpa gangguan lagi! Tenang? Tenangkah dia nanti?

Nuqman memang suka meneroka. Namun dia tidak pasti samada dia suka meneroka alam wanita. Dia tidak yakin yang dia akan tahu apa yang dia terokai. Alam wanita selamanya kekal misteri baginya. Sukar sungguh untuk memahami hati dan perasaan wanita yang lebih cepat berubah dari kerdipan mata!

Puteri mula tersedar yang mereka tidak menuju ke Sultanahment. Kalau tidak pulang ke pangsapuri, ke mana pula?

Kereta membelok ke kanan selepas menyeberangi Jambatan Galata, memecut laju di jalan raya. Tidak lama kemudian, Nuqman memperlahankan pacuannya. Dia asyik menoleh ke kiri jalan raya itu. Puteri ikut memandang sama. Sepanjang jalan itu, ramai sungguh orang yang menumpang teduh dengan keluarga masing-masing di kaki lima jalan di bawah deretan pepohon tinggi. Mereka kelihatan seperti gelandangan, dengan barang dan beg pakaian, juga pakaian di gantung dan dijemur di tali yang diikat di pagar jalan dan di pokok-pokok. Wajah mereka begitu asing… begitu tidak berdaya. Wajah-wajah yang kehilangan…

“Mereka tu antara ramai pelarian Syria yang melimpah-ruah di Turki. Kebanyakannya perempuan yang sudah kematian suami, bawa anak-anak lari selamatkan diri. Lelaki Syria kalau pun masih hidup, kebanyakannya tak sanggup tinggalkan negara, mereka bangkit berjuang lawan musuh…”

Puteri hampir tak dapat bernafas. Paparan video peperangan di Syria kembali terlayar di ruang mata. Dan orang-orang yang pernah melalui semua itu kini benar-benar wujud di depan matanya! Patutlah! Patutlah wajah-wajah mereka… oh! Tuhan…

“Itulah yang betul-betul dikatakan berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. No toilet, no rooms, no nothing… mereka teruskan hidup hanya dengan ihsan manusia lain… tapi itu lebih baik dari terus jadi mangsa kekejaman peperangan…” Puteri yang mendengarnya merenung ke arah pelarian itu dengan rasa kengerian. Hatinya tersayat pedih.

“Awak… awak boleh berhentikan kereta tak…?” Soal Puteri menggumam sebak. Nuqman kehairanan tapi dia akur. Lampu isyarat di pasang dan perlahan-lahan dia memberhentikan kereta di laluan kecemasan. Puteri membuka beg tangan dan mengeluarkan beg duitnya.

“Ika?! Awak nak buat apa tu…?” Puteri hanya menggelengkan kepala. Sebak sudah menunda dalam dada. Dia tak mampu bersuara kerana menahan tangis yang bakal berhamburan. Dia mengambil semua wang lira yang ada dalam simpanannya yang memang belum pernah digunakan kerana Nuqman yang asyik berbelanja. Kemudian dia cepat-cepat membuka pintu kereta. Lengannya dipaut, Puteri terkejut dan berpaling…

“You’ve got to be very fast… mereka terlalu ramai dan semuanya terdesak. Nanti mereka akan kerumun dan mendesak. Bahaya…! Balik ke kereta secepat yang boleh… don’t linger!” Nuqman tegas berpesan. Puteri mengangguk. Jantungnya berdebar. Cemas juga namun dia faham keadaan mereka.

Dia berlari menghampiri salah satu kelompok di antara deretan pelarian yang panjang. Dia memberi salam dan menghulurkan tangan, bersalaman. Ramai yang sudah memandang. Puteri sedar keadaan itu. Dia mencapai tangan salah seorang wanita itu lalu memberikannya sejumlah wang yang dibawa. Beberapa orang sudah mula berdiri. Ada yang menuju ke arahnya. Puteri makin cemas. Wajah-wajah mereka mengadah simpati, meluah cerita tanpa suara. Puteri pantas berjalan lagi mendekati yang lain. Dia memberi salam dan menghulurkan tangan, bersalaman dan memberikan sejumlah wang. Makin ramai yang berdiri dan melangkah mendekati. Mereka mula bersuara tapi dia tak memahaminya. Tangannya diraih. Ada yang memeluk kakinya. Puteri hampir terjatuh. Dia tahu dia tak boleh terus berada di situ lagi. Mereka terlalu ramai. Mereka amat terdesak. Dan dia tak punya banyak wang untuk membantu.

Seorang wanita meluru ke arahnya, mengendong anaknya yang kelihatan amat menyedihkan. Pastinya kanak-kanak itu sedang sakit. Yang lain juga datang, menarik tangannya, bajunya, kakinya dan terus merayu dalam bahasa mereka… Puteri panik, derap tapak kaki kedengaran kuat di telinganya. Dia mencampakkan baki wang di tangan ke arah anak yang dikendong dan mengundurkan diri dari mereka. Namun tangan dan pautan mereka semakin kuat. Rayuan datang bertalu-talu dari berbagai arah. Dan pandangan Puteri kabur dengan airmata… seluruh tubuhnya lemah menggigil.

“Ika!” Tangannya direntap. Tubuhnya dirangkul. Dan pautannya dengan mereka terlerai. Nuqman membawa Puteri secepat yang boleh lalu masuk ke kereta semula dan dia tergesa-gesa memandu pergi sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Puteri hanya mampu memandang. Wanita-wanita dan kanak-kanak yang masih berlarian cuba mendapatkannya. Ada yang terduduk menangis kecewa. Ada yang melambai memanggilnya kembali ke sana. Semua itu makin kabur kerana airmatanya sudah berhamburan. Apalah dayanya…

Nuqman memandu dalam diam. Membiarkan Puteri reda dengan emosinya. Dan dia sendiri terkejut dan terharu… gadis itu sangat sensitif dengan penderitaan orang lain tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya sendiri.

Audi A4 yang mereka naiki menyusur ke suatu kawasan yang agak kurang sibuk dan suasana nampak tenang dan harmoni. Bangunan kedai bertingkat gaya Eropah berderetan di kiri kanan jalan. Puteri menyeka airmata, menarik nafas dalam-dalam. Dia meraup muka yang basah berkali-kali. Tisu dikeluarkan dari beg tangan dan ditekap ke mata dan hidung yang sudah memerah. Dia cuba memberi fokus kepada keadaan sekeliling untuk meredakan perasaannya.

Kebanyakan orang yang berada di kawasan ini berpakaian sopan dan menutup aurat. Ramai muslimah yang berniqab dan lelakinya berjubah. Kedai-kedainya besar-besar dan… banyak sungguh kedai pakaian pengantin! Dia menelan liur, menoleh ke arah Nuqman yang masih tenang memandu.

“Ini daerah Fatih, daerah lama di Istanbul tapi bangunan dan perumahan di sini lebih moden, kalau tengok binaan tu memang ada ciri Eropah. Kawasan ni antara yang masih mengamalkan cara hidup Islam sampai sekarang.”

Mujur Nuqman tidak berhenti untuk memilih gaun pengantin! Kereta itu terus meluncur perlahan keluar dari daerah bandar Fatih dan melewati kawasan perumahan yang damai namun agak berselirat jalannya. Bangunan flat dan pangsapuri di situ tersusun cantik tapi di bahagian yang agak jauh ke belakang, kebanyakannya sangat dhaif dan banyak yang perlu dibaikpulih. Dari luar, kelihatan pakaian begitu banyak sekali bergayutan di tali-tali jemuran. Ada beberapa kelompok kanak-kanak bermain di kaki lima dan wanita-wanita yang duduk berbual di hadapan rumah sambil membuat kerja-kerja ringan.

“Ada kawasan yang agak terbiar dan banyak bangunan yang rosak. Macam kawasan ni… yang penuh dengan pelarian Syria. Satu-satu rumah tu walaupun dah buruk tapi ada tiga empat keluarga Syria di dalamnya.”

“Awak! Awak tolong berhentikan kereta boleh tak?”

“Kenapa…?” Kereta sudah diberhentikan.

“Sa-saya nak jumpa budak-budak tu…”

“OK… take these with you,” Nuqman mencapai salah satu beg yang berada di kerusi belakang kereta itu. Beg yang mengandungi coklat dan manisan yang sempat dicapai di kedai cenderahati tadi, diserahkan kepada Puteri. Wajah Puteri bertukar ceria. Ada buah tangan untuk kanak-kanak comel itu!

Puteri bingkas keluar dari kereta dan memberi salam kepada beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di kaki lima bangunan tiga tingkat itu. Mereka menjawab salam tapi seperti terpinga-pinga. Puteri tidak teragak-agak duduk bersila bersama mereka di kaki lima sambil mengeluarkan hadiah dari beg kertas yang dibawanya. Wajah kanak-kanak itu bertukar ceria. Mereka bercakap malu-malu tapi sayangnya Puteri tidak faham walau sepatah. Dia hanya tersenyum dan ketawa dengan keletah mereka yang tidak sabar membuka kotak coklat dan manisan di tangan masing-masing. Kesempatan itu diambil Puteri untuk menyentuh rambut-rambut perang yang kerinting berketak-ketak, yang agak kusut dan tidak terurus. Pipi putih mulus itu berdebu dan comot tapi tetap comel. Pakaian mereka lusuh. Hatinya tersayat pilu. Saat kanak-kanak lain bergembira di sekolah bersama kawan-kawan, kanak-kanak ini hanya menghabiskan masa di kaki-kaki lima, di kawasan perumahan yang kotor dan tidak terurus.

Tiba-tiba kanak-kanak itu bangun berlari ke arah kereta. Rupanya Nuqman keluar mendekati mereka. Masing-masing mengerumuni Nuqman dan bertanya itu dan ini. Nuqman hanya senyum dan ketawa, menjawab sepatah dua dan selebihnya bahasa isyarat. Nuqman tidak kekok memeluk dan mencium kanak-kanak itu silih berganti. Puteri terkejut dan terpinga-pinga. Beberapa orang wanita yang duduk-duduk tidak jauh dari situ juga ikut berdiri dan menegur Nuqman. Dia hanya membalas dengan senyuman dan anggukan kepala.

Selepas bersalaman dengan kanak-kanak itu, Nuqman menggamit Puteri, mengajaknya pulang. Masa semakin suntuk. Puteri akur lalu melangkah ke arahnya. Dia juga bersalaman dengan kanak-kanak itu. Ada yang dicium dan didukung sekejap. Dia ketawa riang bersama tapi hatinya menangis dengan nasib mereka. Kemudian Nuqman dan Puteri bergerak pergi sambil melambai sehingga kanak-kanak itu hilang dari pandangan mata.

“Dia-diaorang kenal awak…?” Puteri teragak-agak. Nuqman tersenyum.

“Saya memang kerap datang ke Fatih. Selalu jugak singgah di sini… tapi selalunya dengan Ismet, Hussain atau Mustafa dengan kawan-kawan lain. Jadi mudah untuk berkomunikasi.” Puteri mengangguk. Patutlah kanak-kanak itu seperti kenal dengannya.

Kereta membelok ke kawasan pekan kemudian masuk ke sebatang jalan yang di kiri kanannya bangunan yang agak tinggi. Nuqman berhenti di hadapan sebuah bangunan yang bertulis IHH di pintu masuknya.

“Kami selalu datang ke sini, salurkan bantuan, bawa orang-orang yang mahu membantu secara langsung. Saya ingat nak bawa awak jumpa dengan muslimah yang bertugas di sini, banyak cerita dan pengalaman mereka tentang Syria dan Gaza yang dapat dikongsi tapi kita kesuntukan masa. Dari sini, kita boleh ikut group yang pergi ke kem-kem pelarian di sempadan. Saya juga terfikir nak bawa Taufik dan kawan-kawannya ke sini. Melalui IHH, banyak cara kita dapat bantu mangsa keganasan di Syria dan Palestin.”

“Maksud awak… pe-pergi ke Syria dan Palestin?” Darah Puteri mula berkocak. Nuqman memandu kereta itu keluar semula ke jalan raya.

“Ya. Samada ke Syria atau ke Palestin atau ke kem-kem pelarian sekitar sempadan Turki-Syria, terpulang kepada diaorang. Boleh bantu pelarian di kem-kem atau kalau betul diaorang pilih nak angkat senjata tegakkan Islam, sanggup syahid pertahankan agama, boleh ikut kumpulan Mujahiddin…” Puteri yang duduk tegak mengadap Nuqman merenung kengerian.

“You-you yourself said that it’s a huge war, Nuqman…,” suaranya hampir tidak terkeluar, kedengaran seperti berbisik.

“It is, Ika. Perang yang sangat dahsyat. Perang yang nak melenyapkan Islam dari muka bumi ni. Susur galur rentetan peperangan yang sedang berlaku ni teramat panjang. Dan sedang menuju ke penghujungnya. Kalau Ika baca hadis-hadis dan ayat-ayat Quran tentang akhir zaman, sebelum berlakunya kiamat, Ika akan lebih faham tentang apa yang sedang berlaku sekarang.”

Kiamat?! Apa yang disaksikan pagi tadi sudah cukup ngeri untuk diingati, macammana pula dengan kiamat? Ya Allah… aku belum benar-benar memikirkan kiamat sebelum ini!

“Kita di penghujung zaman, Ika. Inilah zaman fitnah, zaman terkumpulnya segala sifat jahiliah. Cuba perhatikan hebatnya penangan media sosial. Berapa banyak kes fitnah yang berlaku sewenang-wenangnya melalui Facebook, Whatsapp, blog dan website? Betapa mudahnya fitnah disebarkan dalam sekelip mata saja. Everything goes viral. Walaupun kesahihan cerita dan berita tu tak diketahui, semua tu tetap disebarkan. Ayat Quran, hadis dan kata-kata ulama diubah ikut kehendak masing-masing. Itu semua jalan-jalan mudah bagi musuh mencipta fitnah. Sebab sikap kita yang suka mengambil sesuatu tanpa dalil dan nas. Ambik mudah! Kesannya? Berlakulah zaman fitnah!

Nak lepasi fitnah bukan senang. Sebab tu kita diminta sungguh-sungguh amalkan doa elakkan fitnah ketika hidup dan jauhkan fitnah dari dajjal. Nak bersama dengan kebenaran waktu ni, tipis sangat-sangat. Hanya orang yang terpilih, yang hatinya betul-betul takutkan Allah dan cintakan Allah, hati yang betul-betul cintakan Rasulullah, orang-orang itulah yang akan selamat dari fitnah akhir zaman. Perang yang berlaku ni sebenarnya bukan hanya melibatkan mereka, Ika… tapi kita! Kita semua! Apakah kita sanggup ikut berjuang mempertahankan agama? Kalau sanggup, kumpulan mana yang kita nak ikut berjuang? Siapa yang benar dalam perang ni?

Orang yang nak berjihad fisabilillah pun akan diuji. Sebab kumpulan yang sedang berperang ni macam-macam. Ada yang jelas musuh, ada yang menjulang nama Islam, berjuang menegakkan kebenaran tapi cara hidup tak ikut sunnah Rasululah. Berperang ikut nafsu, dicatur musuh dalam diam, zalim tak bertimbangrasa. Jadi, macam mana nak ikut kumpulan yang betul-betul berjihad di jalan Allah?

Kalau tak betul-betul kenal Rasulullah, ikut cara Rasulullah, macammana nak pastikan kita ikut berjuang dengan kumpulan yang betul-betul berjuang kerana Allah? Bukan berjuang kerana politik, ideologi, kuasa dan kerana nak kehidupan lebih selesa? Siapa antara kelompok yang berperang ni yang betul-betul kerana Allah dan tak ada langsung kepentingan diri? Itu yang kita, Taufik dan sesiapa saja yang terpanggil nak membantu dalam peperangan ni mesti tahu dan yakin. Kalau tak, kita jugak akan hanyut dalam fitnah. Kita sangka kita berjuang untuk Islam tapi sebenarnya kita diperalatkan musuh, berpecah belah, memusuhi sesama sendiri.

Itulah maksudnya ujian ni menguji siapa kita, di mana iman kita. Peperangan ini walaupun dahsyat tapi sebenarnya akan selamatkan ramai terutama orang-orang yang dapat ambil iktibar darinya. Macam umat Islam di zaman Rasulullah yang disiksa dan diperangi ketika jahiliah, iman mereka memuncak dan tak gentar dengan ujian. Kebanyakannya syahid ke jalan Allah. Akhirnya Islam beroleh kemenangan. Islam gemilang selepas jahiliah. Itulah yang sedang berulang sekarang. Bagi mereka yang diperangi dan diuji, semakin diuji dan diseksa, iman mereka makin kuat, makin kental. Mereka sanggup bangkit demi mempertahankan iman. Dalam berjuang tak sama sekali mereka guna cara yang bathil. Mereka akan tetap ikut cara Rasulullah berperang. Jadi samada mereka syahid atau terus hidup, mereka akan selamat di sisi Allah, insyaAllah. Tapi bagi kita? Macammana dengan iman kita?”

Puteri yang mendengar dan menghayati setiap patah perkataan terkejut dengan persoalan yang diajukan. Anak matanya berputar. Bagaimana hendak dijawab? Semua ini menjurus kepada Taufik, Maliha dan dirinya…?

“Kita tak tahu, Ika… mungkin hati Taufik bersih dan terpanggil untuk syahid. Mungkin Maliha termasuk dalam golongan wanita yang redha dengan suami yang sanggup syahid di jalan Allah. Kita cuma kena bantu diaorang faham apa yang sedang berlaku. Supaya diaorang buat keputusan yang betul. Ika faham tak apa yang cuba saya cakap ni?” Nuqman sudah memberhentikan keretanya di sebuah kawasan yang agak sibuk. Puteri yang berpaling mengadap Nuqman, terngadah.

“Macammana kalau saya yang terpanggil untuk berjihad? Ika sanggup…?” Mata bundar Puteri terbeliak mendengarnya! Jantungnya seakan berhenti berdegup. Paparan video tentang lelaki yang cuba menyelamatkan gadis yang dicampak separuh bogel di atas jalan dan ditembak bertubi-tubi berulang tayang di depan matanya. Bagi Puteri, lelaki itu adalah seorang hero…

“Don’t you want me to be a hero…?” Puteri lemas, tak mampu bernafas.

p/s: Bukankah hero jadi impian wanita? Tapi hero yang macammana sebenarnya ya?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s