Siri Novel MAKNA PADA RASA 28 (Cinta Puteri vs Nuqman 28)

Salam sayang…

Here you are… sambungan kisah Zulkarnain. Juea memang tak sangka hingga ke ‘sini’ jalan cerita dalam Puteri vs Nuqman aka MAKNA PADA RASA… macam readers yang ternanti-nanti next entry… penulisnya juga huhu!

Moga terhibur. jangan lupa, help me to be better. drop your thots and comments, please. and Thank you so much for dropping here!

Take care…

Bab 28

Nadia tidak pernah merasa sebegitu letih. Setiap inci tubuhnya terasa berdenyut. Dia lesu. Sebaik sahaja keretanya di parkir di garaj, dia tersandar lemah. Tidak berdaya hendak keluar dari kereta. Biarlah dia berehat sebentar di situ.

Zulkarnain masih berdiri di tingkap memandang ke arah garaj. Hampir lima belas minit berlalu. Lampu kereta sudah lama dimatikan. Kenapa isterinya masih di situ?

Dia keluar menuju ke kereta. Nadia sedang terbaring lesu dikerusi yang telah direndahkan. Dia tak mahu masuk kerana aku?

Zulkarnain mengetuk cermin tingkap. Tetapi Nadia diam menbatu. Sedikit pun tidak bergerak. Zulkarnain semakin kehairanan. Samada Nadia sengaja atau… Pantas tangannya membuka pintu. Tak berkunci!

“Nadia! Nadia! Bangun Nadia!!” Tangannya menepuk bahu dan pipi Nadia.

“MasyaAllah! Panasnya!” Terkejut sungguh Zulkarnain. Pelik sebab penghawa dingin kereta masih terpasang. Nadia sakit? Pantas dia menutup enjin kereta, mendukung Nadia, membawanya keluar dan menutup pintu dengan kakinya.

Pintu bilik Nadia terkuak dan wanita itu dibaringkan di katil. Dia masih lena, tidak bergerak. Zulkarnain berlari turun, mengambil beg tangan, mengunci kereta dan pintu.

Selepas itu dia ke dapur mengambil satu jag air masak, sebuah besen kecil dan sebiji gelas, dia bergegas semula ke tingkat atas. Almari Nadia diselongkar untuk mencari tuala kecil dan baju tidurnya. Alat penghawa dingin dipasang. Zulkarnain pantas bekerja. Pakaian Nadia dibuka sedikit demi sedikit, kulitnya dilap dengan tuala basah dan akhir sekali pakaian Nadia ditukar. Setelah wanita yang masih lena itu kelihatan lebih selesa, Zulkarnain meletakkan tuala basah di ubun-ubunnya lalu dia kembali turun ke dapur untuk memasak bubur nasi dan mencari ubat untuk Nadia. Kenapa dia tiba-tiba demam? Dia mengeluh panjang. Yang penting, dia mahu menjaga Nadia. Mahu menebus kembali kesilapannya, ‘membenarkan’ Nadia hilang dari hidupnya kerana dia terlewat berterus-terang.

Sejak malam tadi, Zulkarnain bagaikan hilang punca. Kata-kata Nadia bagaikan muktamad. Namun dia cekalkan hati, terus juga bermalam di situ, di atas sofa di ruang tamu. Walaupun rumah besar itu ada empat bilik namun dia sedar yang kehadirannya tidak dikehendaki.

Pagi itu, apabila Nadia bergegas pergi tanpa mempedulikannya, langsung tidak sudi menjamah sarapan yang dia sediakan, sekali lagi dia hampa. Apakah harapan untuk kembali bersama benar-benar sudah tertutup buat mereka.

Zulkarnain tidak ke pejabat hari itu. Setelah membuat kunci pendua, dia ke pejabat Nadia untuk menghantar kunci rumahnya. Namun Nadia tidak ada. Dia meninggalkan kunci itu pada Seri, penyambut tetamu yang berjanji akan memberikannya kepada Nadia.

Selepas itu, Zulkarnain memandu pulang ke rumah. Kepulangannya disambut Natrah dengan senyum manis tanpa spekulasi. Itulah istimewanya Natrah. Zulkarnain akan rasa tenang di sisinya walaupun di saat dia sedang resah gelisah di dalam.

Air teh telah lama sejuk. Kuih sepiring terbiar tak disentuh. Sejak balik tadi, Zulkarnain hanya termenung di sofa. Dia benar-benar buntu. Dia tekad mahu berterus-terang dengan Natrah seperti yang dia katakan pada Nadia semalam. Tapi macammana? Perlukah? Atau dia teruskan saja tanpa perlu melukakan hatinya…

Mungkin akhirnya Nadia akan pergi juga. Setakat ini, dia sama sekali menolak untuk bersama. Jadi apa untungnya Natrah terluka bila akhirnya Nadia tetap tak wujud di antara mereka? Tapi… sanggupkah dia melepaskan Nadia setelah anak mereka ditemui? Kalau Nadia benar-benar tak sanggup berkongsi kasih, patutkah dia memaksa? Tapi dia sangat yakin, Nadia masih menyayanginya.

Tiba-tiba tangannya di riba diraih lembut. Entah bila Natrah duduk di sebelahnya, dia sendiri pun tak perasan.

“Abang, tak pernah Natrah tengok abang gelisah macam ni. Abang nak kongsi dengan Natrah?” Lembut sungguh tutur katanya. Selembut sentuhannya mengelus tangan suami tercinta. Zulkarnain menelan liur. Natrah tidak pernah memaksa dan mendesak. Tenang menerima apa saja. Tergamakkah dia melukainya?

“Abang… abang tak tau, Natrah… tak… tak tau nak kongsi macammana. Abang buntu…!” Tangan Natrah diramas dengan rasa serba-salah. Natrah tersenyum. Manis. Menerima. Mampukah dia terus tersenyum kalau dia tahu…? Zulkarnain memejamkan mata, tunduk memandang lantai. Tak sanggup sungguh!

“Natrah teringat arwah atok. Masa tu Natrah remaja lagi. Selalu ada masalah. Asyik gelisah, hmm… asyik nangis! Selalunya Natrah sebab selalu tersepit antara dua orang kawan baik. Selalu kena marah dengan atok.” Entah kenapa Natrah selamba bercerita. Zulkarnain mendengar penuh minat. Biar reda sikit gelodak hati di dalam.

“Bukan ke Natrah cucu kesayangan atok? Kena marah jugak?” Natrah ketawa.

“Memanglah tapi atok kan garang!” Dia ketawa lagi sambil menggelengkan kepala.

“Abang nak tau apa atok cakap kalau Natrah kata, Natrah dah buntu?” Cepat Zulkarnain mengangguk.

“Atok kata, tak pandai-pandai nak jadi ‘hamba’. Asyik rasa diri tu, ‘tuan’. Sebab tulah asyik buntu manjang!” Cerita Natrah sambil ikut gaya atoknya bercakap. Zulkarnain tersenyum. Tapi dahinya berkerut, tak faham.

“Dah lama baru Natrah faham. Kita kan mengaku hamba Allah. Tapi kita tak jadi hamba pun. Kita nak jadi tuan jugak. Sebab kalau hamba tu, dia taat je buat apa yang ‘tuan’ dia suruh. Hamba selesaikan masalah, tak? Kalau yang dia tak tahu, dia laporkan je pada tuannya, betul tak? Tuan dia akan beritahu macammana nak selesaikan. Tak susah jadi hamba, kan? Yang susah, bila hamba nak bersifat tuan. Nak selesaikan sendiri sedangkan dia tak reti…” Natrah bagaikan bercakap dengan diri sendiri.

“Rupanya atok nak ajar Natrah mengadu dengan Tuhan. Mengaku hamba, mengaku lemah, mengaku tak tau. Barulah Natrah belajar… macammana nak jadi hamba…,” redup pandangan mata Natrah menatap suaminya. Dia tak bermaksud nak mengajar. Dia cuma berkongsi.

Zulkarnain diam mengangguk. Hatinya tersentuh. Benar dia tak tahu… tapi susahnya untuk dia mengaku tak tahu. Akal sudah terlatih untuk ‘be in control’. Mengaku tak tahu sebelum mencuba bukan lelaki bijak namanya! Apatah lagi mengaku kalah. Lagi-lagilah mengaku lemah. Jadi aku sebenarnya hamba ke tuan?

Zulkarnain tersandar di sofa dan menungnya kembali panjang. Sekali lagi dia tak perasan entah bila Natrah bangun meninggalkannya sendirian.

Zulkarnain berdoa panjang selepas selesai solat zohor, diaminkan makmumnya, Natrah. Kemudian dia termenung lagi di sejadah. Cerita Natrah berlegar di fikirannya.

Bahunya disentuh lembut. Zulkarnain mendongak. Natrah melutut di hadapannya, menghulurkan tangan. Dia tunduk mencium tangan suaminya, kemudian di kedua-dua pipinya. Dahinya dikucup Zulkarnain sebagai balasan kasih. Wajah yang selalu dibasahi wuduk itu tenang menatapnya. Pipi Zulkarnain disentuh dengan telapak tangannya.

“Abang, tak usahlah termenung. Risau pulak Natrah dibuatnya. Tapi elok kalau abang bertafakur… hmm…?!” Dia mengorak senyum. Macam mengusik pun ada. Zulkarnain ikut tersenyum. Kemudian Natrah berlalu pergi.

Tafakur. Zulkarnain memejamkan mata. Tepat kata-kata itu. Dia menghela nafas panjang. Macammana dia tahu yang aku termenung, bukan tafakur? Dia terpegun dengan rasa hati Natrah.

Tadi Zulkarnain membiarkan dirinya hanyut dalam arus pemikirannya sendiri. Yang akhirnya tanpa sebarang konklusi. Sedangkan tafakur itu bermaksud merenung atau memikirkan sedalam-dalamnya apa sahaja kejadian dan ciptaan Allah yang membuktikan peranan dan kewujudan Allah. Itu lebih tinggi dan memberi kesan pada hati dan kehidupan. Zulkarnain akur. Dia harus mula belajar untuk bertafakur. Dan mula belajar melatih diri menjadi hamba.

Hanya selepas solat asar, Zulkarnain mendapat kekuatan. Dia mahu berada di sisi Nadia tapi tak sanggup membohongi Natrah. Biarlah dia terpaksa melukai, tapi dia harap suatu hari luka itu akan sembuh dengan kasih sayangnya yang terasa semakin kuat untuk Natrah.

Mengadap Natrah, meluahkan satu persatu, menyingkap sejarah menjadi perkara paling payah yang pernah dia lakukan seumur hidupnya. Wajah tenang Natrah mendengar dan menerima benar-benar mengoncang naluri lelakinya. Dia menelan sebak. Menahan getar dan pedih yang semakin menyesakkan dadanya.

“Abang, syukurlah…,” ucap Natrah setelah lama tunduk memandang lantai. Dengan kekuatan luar biasa, dia mendongak menatap wajah suami tercinta.

“Natrah sangat-sangat bersyukur! Sekian lama Natrah doakan, hidup abang sempurna. Memang selama ni, Natrah dapat rasakan, abang macam ada sesuatu yang tak kena. Macam abang tanggung satu bebanan. Abang selalu mimpi buruk, lepas tu termenung sepanjang malam. Natrah sedar tu semua selalu jadi. Tapi Natrah tak mahu memaksa abang. Akhirnya semua tu terungkai jugak hari ni.” Ada senyum yang terukir dalam kepayahan.

“Abang sungguh-sungguh mintak maaf, Natrah. Abang tak jujur dengan Natrah…,” Zulkarnain sungguh terharu dengan keluhuran hati isterinya.

“Abang… dah lama Natrah maafkan. Bukan semua kesilapan tu atas niat jahat. Kadang-kadang kita buat atas niat baik. Bukan semua yang buruk itu dosa. Kelemahan kita bukan satu dosa. Abang dah cuba buat yang terbaik…” telapak tangannya lembut menyentuh pipi Zulkarnain. Sepasang matanya sendu berkaca namun bibirnya menguntum senyum, memberi kekuatan. Melihat airmata yang tergenang itu, perasaan Zulkarnain bagaikan berkecai sama sekali.

“Natrah!!” Tubuh Natrah dirangkul erat ke dalam pelukan Zulkarnain. Terlukakah kau, Natrah?! Zulkarnain mencium ubun-ubun Natrah dan memeluknya seerat mungkin. Tuhan! Kenapa ada sakit walaupun hakikatnya dalam kasih sayang? Airmata Natrah tumpah tanpa dapat ditahan lagi. Pelukan Zulkarnain tambah menghibakan hatinya. Siapalah dia… dia hanya hamba…

Zulkarnain tahu. Apa yang telah disingkap bakal mewarnai hidup mereka seterusnya dengan warna yang berbeza, mungkin suram, mungkin berseri. Semuanya serba mungkin. Tapi walau apapun, dia tidak mahu kehilangan lagi!

Bertahun dia mengelakkan saat ini. Cuba menghalang dari ianya berlaku. Namun dia tak sanggup lagi kalau kerana itu dia akan terus kehilangan sebahagian dari nyawanya – zuriatnya.

Dia bagaikan dibawa semula ke saat dia diminta ayahnya untuk menikahi Natrah. Wajah Natrah yang dibaluti tudung labuh yang basah lencun ditimpa hujan kerana dia terjun dari rumahnya demi menyelamatkan diri dari ayah tiri durjana. Antara air hujan dan airmata, sama saja lebatnya. Dia memeluk tubuh tua ibu, menangis teresak-esak.

“Kita tak ada alasan nak bawak Natrah duduk dengan kita, Zul. Melainkan kalau dia sah sebagai isteri kamu…” Hanya Tuhan yang tahu dilema yang dia hadapi saat itu. Namun atas rasa kemanusiaan, dia tak mampu berpaling.

Kemeja di dadanya basah. Hari ini, dia buat Natrah menangis lagi. Menambah lagi episod derita perempuan itu. Hakikat bagi seorang perempuan yang amat sakit bila dimadukan. Zulkarnain tahu, dia takkan pernah dapat rasakan betapa dalamnya rasa sakit itu. Zulkarnain memejamkan matanya. Memeluk Natrah semakin erat. Maafkan abang, sayang…

“Please… berhenti menangis, Natrah. Abang tetap sayangkan Natrah dan anak-anak kita. Abang takkan abaikan. Abang mintak maaf… abang mintak maaf sebab lukakan hati Natrah…!”

Kepala wanita di dadanya digeleng-gelengkan. Tangannya semakin erat memeluk suaminya. Menumpang kekuatan mungkin. Lama Natrah di situ, di dada suaminya. Esak tangis akhirnya reda. Perlahan-lahan dia melepaskan pelukan itu. Dan dia yakin, dia lepaskan dengan rela.

“Abang jangan mintak maaf. Natrah yang datang antara abang dan kakak. Natrah yang terhutang budi. Natrah redha, abang. Natrah yakin, kalau Tuhan izinkan sesuatu yang sepahit ini berlaku, pasti hikmahnya manis, kan? Kalau ini sunnahnya, takkan jadi musibah, kan?” Zulkarnain menelan liur. Terharu. Dia amat tahu, kekuatan wanita ini kukuh paksinya. Lama mereka di situ. Diam memandang satu sama lain. Saling berkongsi keyakinan dan kekuatan.

“Abang, anak-anak dah masuk asrama. Natrah sibuk dengan kerja amal Kelab… maksud Natrah, kalau abang sudi, Natrah nak hadiahkan giliran-giliran Natrah pada kakak. Kakak dah lama sorang-sorang, kan abang?”

Sebak dada Zulkarnain mengenangkan keluhuran hati Natrah. Apa maksudmu, Tuhan? Di kananku seorang wanita yang tinggi pekertinya, di kiriku pula penuh dendam dan keras hatinya. Namun keduanya amat menyayangiku dan aku juga sangat kasih pada mereka. Bantulah aku, ya Allah, agar selamat dan bahagia hidup kedua-duanya.

Bau bubur yang sudah masak menyentuh hidungnya. Bingkas dia bangun mencapai senduk, mencedok sedikit untuk dirasa. Bubur ayam itu pernah menjadi kegemaran Nadia ketika mereka hidup bersama di London dulu.

Setelah semuanya siap di atas dulang, Zulkarnain membawanya naik ke tingkat atas. Tuala kecil di dahi Nadia dibasahkan lagi, diperah dan diletak semula ke dahinya. Dia masih terlena keletihan. Biarkan dulu. Nanti kalau dia terjaga, barulah diberi makan bubur dan ubat. Tidur juga ‘ubat’. Dia perlukan rehat. Entah kerja apalah agaknya yang perlu dia bereskan sampai ke tengah malam.

Zulkarnain duduk di sofa panjang di sisi bilik. Dia mencapai beberapa buah majalah yang ada di rak berhampiran. Lama dia menyelak di sana sini. Tapi tak ada yang menarik perhatiannya. Akhirnya dia melunjurkan kaki lalu berbaring berbantalkan kusyen kecil yang empuk.

Aroma makanan yang enak menyentuh deria bau Nadia membuatkan perutnya terasa lapar bukan kepalang. Namun saat itu juga dia terasa lemah seluruh badan. Matanya juga amat berat hendak diangkat.

Namun dia rasa lebih baik dari tadi. Kepalanya semakin ringan berbanding tadi. Tapi ada sesuatu di atas kepalanya. Tangannya merayap ke dahi. Tuala. Siapa yang meletakkan tuala itu ke dahinya? Matanya dipaksa terbuka perlahan-lahan.

Dia di biliknya sendiri. Bukan dalam kereta. Kepala dibantal ditoleh ke kanan. Semuanya seperti biasa. Kemudian ke kiri…

Sebuah mangkuk bertutup, sebiji gelas yang juga bertutup dan sebuah bekas berisi seperti buah betik yang dipotong. Nadia kehairanan. Matanya menerawang lagi. Nun di sofa di tepi tingkap sebelah kiri, Zulkarnain terbaring lena.

Nadia terhenyak ke bantal. Dia jaga aku? Tangannya menyentuh baju tidur yang dipakainya. Dia tukar pakaian aku?! Nadia memejamkan mata. Itulah keistimewaan Zulkarnain. Dia pandai menjaga hati dan melindungi. Dia terlalu menjaga… sampai tak sanggup berterus-terang.

Kalau itulah kelemahannya, kenapa aku tak mampu memaafkannya? Mungkin kerana sakit ditipu itu terlalu pedih. Sakit bila dia sanggup menduakannya lebih parah lagi. Sakit bila dia terus berpura-pura seolah-olah itu semua tak berlaku jadi puncak kemarahannya hingga dendam akhirnya bertamu. Di mana keikhlasan dalam kasih sayangnya?

Nadia memaksa dirinya bangun. Seperti selalu, kemarahan akan membuatkan dia terus melangkah. Gagah walau dia sakit macammana sekalipun!

Dia memegang dinding kerana berasa pening dan lemah. Perlahan-lahan dia menuju ke bilik air. Perutnya pula senak. Dia melangkah sambil tangan menekan perutnya, menahan senak dan pedih bercampur mual. Ahh! Semua datang bagaikan serentak. Tiba di sinki, dia muntah. Yang keluar hanya angin dan air. Memanglah! Dia tak makan sejak tengahari!

Bunyi dari bilik air mengejutkan Zulkarnain dati terlena. Bingkas dia bangun lalu mengetuk pintu. “Nadia! Nadia okay tak? Lebih baik jangan kunci pintu ni, nanti…”

Pintu bilik air terkuak. Nadia tunduk memandang lantai sambil berpaut pada daun pintu. Tubuhnya semakin lemah. Dia menggigil kesejukan.

“Nadia!” Zulkarnain mencapai tangan Nadia, mahu memimpin ke katil sebelum dia rebah. Namun dalam lemah, Nadia menarik tangannya, tak mahu dibantu.

“Nadia…,” Zulkarnain bersuara lembut, memujuk. Wanita itu menggeleng-geleng lemah. Dahinya berkerut menahan otot perut yang sakit. Dia memaksa kakinya melangkah dan…

“Nadia!” Dia terhoyong-hayang lalu rebah. Zulkarnain yang masih tercegat pantas menyambut tubuh Nadia sebelum sempat mencecah lantai. Nadia diangkat ke katil. Badan Nadia hangat berbahang. Demamnya makin teruk.

Tuala kecil di atas meja di sisi katil dicelup ke dalam air di dalam mangkuk dan diperah sedikit sebelum diletakkan didahinya. Nafas Nadia hangat, laju turun naiknya. Dia merasa teramat letih dan lesu walaupun hanya bergerak ke bilik air. Matanya dipejam rapat, tak mahu memandang Zulkarnain dan kebaikannya. Benci dengan dirinya yang terpaksa menerima bantuan lelaki itu. Pedih hatinya kerana dia tahu, semua ini hanya sementara. Lelaki itu bukan hak mutlak dirinya seperti suatu waktu dulu. Dia takkan mungkin mampu untuk sentiasa bersamanya diwaktu-waktu dia diperlukan walau macammana sayang sekali pun. Kalau pun dia masih sayang… Setitis airmatanya mengalir ke pipi tanpa dapat ditahan. Urrgghh…! Dia benci sungguh bila dirinya jadi selemah ini…

“Nadia…, please… don’t deny me. Abang dah janji, abang nak jadi suami Nadia? Sebaik yang abang mampu. Abang nak jaga Nadia… abang tak mau tutup kesilapan abang dulu dengan buat kesilapan lagi…” Sepasang mata itu terus terpejam. Zulkarnain menyeka pipinya. Selimut ditarik menutupi tubuh Nadia sampai ke dadanya. Jemari yang lemah itu diraih ke dalam genggamannya. Dia harus sabar memujuk. Peluang ini takkan dibiarkan berlalu.

“Go home…,” bisik Nadia. Kemudian pandangannya dibuang ke sebelah sana. Menahan rasa sebak di dada. Dia tak mahu menangis di depan lelaki itu. Dia tak boleh tahu betapa aku lemah menghadapinya.

“This is home… I’m home wherever you are…,” jemari itu dikucup lembut.

Terpejam mata Nadia mendengarnya. Hati bahagia sungguh tapi akal kata, jangan tertipu lagi.

Zulkarnain memaut bahunya, menganjak badannya ke atas, bersandar di kepala katil. kepalanya dipaut dan diletakkan bantal di belakangnya supaya lebih selesa. Nadia mahu menolaknya tapi dia memang sudah tak berdaya.

“Sekarang, Nadia kena makan. Perut tu kosong. Sikit-sikit dulu ya… lepas tu makan ubat,” lembut zulkarnain memujuk. Bubur disuap ke bibir Nadia.

Dada Nadia sebak. Walau macammana pun dia keraskan hati, tapi kebaikan Zulkarnain mampu mencairkannya. Dia patuh membuka mulut, menelan bubur istimewa itu perlahan-lahan. Hampir separuh mangkuk, Nadia sudah terlalu letih. Dia menggelengkan kepala. Zulkarnain akur. Kemudian dia mengambil secubit roti, sebiji panadol dibalut dengan roti, diletakkan atas sudu sebelum dicelup sedikit dengan susu. Barulah disuap ke mulut Nadia. Hanya dengan cara itu, Nadia boleh telan pil. Sejak dia kenal Nadia, wanita itu tak pandai telan ubat.

Nadia menelan sambil memandang tepat ke mata Zulkarnain. Dia masih ingat! Sebak di dada semakin kuat. Sebiji lagi disuapkan ke mulutnya. Kemudian Nadia diberi minum air masak segelas besar. Jenuh dia menggeleng tapi Zulkarnain tetap mendesak. Orang demam perlu minum banyak, katanya.

Selepas itu Zulkarnain duduk rapat dengannya, mengusap rambutnya dan mengucup dahinya. Nadia memejamkan mata. Rasa tenang diperlakukan begitu. Dia semakin lali dan letih, biarlah dia dibelai dan dimanja. Nadia tak kuasa lagi untuk menghalang.

Bahunya dipaut dan dibaringkan semula. Tuala kecil di dahi dibasahkan dan diletak semula. Setelah mengemas bekas makanan dan minuman, Zulkarnain naik ke katil, berbaring di sebelah Nadia yang sudah diselimutkan.

Nadia membiarkan saja. Dia rasa tenang dan selesa. Dia cuma hendak tidur. Tak mampu nak memikirkan apa-apa lagi. Yang dia tahu, dia akan mendapatkan anaknya untuk Zulkarnain. Selepas itu, dia akan berpindah ke Australia seperti yang dirancang. Semua ini akan berakhir.

Semua ini sedang bermula, fikir Zulkarnain. Dia mengiring mengadap Nadia yang sudah terlena. Dia sudah tekad. Dia akan menghubungi Fahmi. Fahmi dan ibunya mesti tahu di mana anaknya berada. Dia harus bertemu dengan anaknya itu sebelum Nadia menemuinya. Kalau dia yang mendapatkannya terlebih dahulu, Nadia tak boleh mendesak untuk menceraikannya. Walaupun hanya Nadia yang berjanji. Bukan dia. Tapi dia tetap harus mendahuluinya. Dan mereka akan sebagai sebuah keluarga. Mungkin payah mulanya. Tapi dia yakin.

Semua ini sedang bermula, bisik hati Zulkarnain.

Semua ini akan berakhir, bisik hati Nadia.

Dan mereka akhirnya terlena dengan mimpi yang berbeza.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s