Siri Novel MAKNA PADA RASA 27

Salam…

Juea mengalu-alukan komen untuk entri kali ini sebab bab ini agak kompleks dengan fakta dan isu. Terima kasih.

Bab 27

Nuqman terasa segar selepas mandi tapi jiwanya masih terganggu. Puas dia cuba memadamkan bayangan wajah Puteri saat dalam dakapannya, namun ia makin jelas seolah-olah hidup. Nuqman meraup wajah sendiri. Ahh… payah! Aku yang menguji dia, akhirnya aku sendiri yang teruji! Keluh Nuqman, resah gelisah.

Akhirnya Nuqman menghampar sejadah dan berdiri mengadap Illahi dengan mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat. Kemudian dia berdoa panjang. Bimbang kalau dia tidak dapat mengawal perasaan dan tingkah laku. Risau kalau-kalau hati gadis itu tersentuh dengan sikapnya. Harapannya untuk melayari bahtera rumahtangganya dengan aman damai dalam limpahan kasih sayang diluahkan kepada Yang Maha Berkuasa. Moga kebahagiaan itu akan memberi kekuatan untuk dia terus memperjuangkan Allah dan Rasul setakat yang termampu dengan izin-Nya juga.

Gelora di dalam bagaikan surut. Nuqman menghela nafas penuh syukur. Dia duduk mengadap mejanya yang sarat dengan pelbagai dokumen dan pelan-pelan lukisan yang sudah dianalisa dan disemak pada peringkat akhir. Handphone dicapai. Pesanan ringkas, e-mel, peti simpanan suara dan Whatsapp semuanya disemak sambil tangannya mencatat di buku nota butiran yang penting yang harus dia tangani.

Suara Miqdam, pembantu peribadi merangkap setiausahanya dalam peti simpanan suara membulatkan fokusnya.

“Assalamualaikum abang. ISIS makin parah. Banyak pihak minta kerjasama. Terbaru anak saudara Dr Mustaffa terlibat. Ada meeting malam ni. We need you there. 9 pm on Skype. Mohon respon.”

Ringkas tetapi sangat serius. Nuqman mengerling jam di tangan. Sejam sahaja lagi. Masih sempat. Dia menghantar pesanan kepada Miqdam melalui Whatsapp. Laptop dibuka. Cepat dia menekan papan kekunci mencari maklumat sebanyak mana yang dapat dari dalam dan luar negara. Di zaman informasi tanpa sempadan ini, setiap berita dan maklumat mudah didapati dan cepat boleh disilang-periksa atau cross-checked dengan pelbagai sumber. Kemudian yang paling penting, semua itu harus diteliti mengikut Al Quran dan Sunnah.

ISIS yang dikatakan ‘hero’ baru dalam Islam. Dijulang oleh mereka yang masih belum benar-benar memahami agama. Kefahaman dan ijtihad ISIS jelas melencong dan di luar fikrah ahli Sunnah Wal Jamaah, perbuatan dan akhlaknya yang melampau dan tidak melambangkan Islam sebenar serta tindakan mereka yang sebenarnya menguntungkan musuh Islam.

***

Puteri terjaga dari lena. Tekaknya kering kehausan. Baru dia teringat yang dia tidak minum sebelum tidur. Mungkin juga makan malam tadi yang agak banyak rempah buat badannya memerlukan air yang banyak.

Bingkas Puteri bangun dari katil lalu membuka pintu bilik. Dengan mata yang masih berat untuk dibuka, Puteri melangkah dalam keadaan terhoyong-hayang menuju ke dapur. Udara dingin di ruang tamu menggigit kulitnya. Tak tahan, dia berpatah balik ke katil lalu mencapai jubah tidurnya yang terhampar di situ. Tubuhnya yang masih berbalut baju tidur sutera terasa hangat dan selesa.

Di meja dapur, Puteri duduk menumpang dagu dan tangan kanannya memegang segelas air. Namun matanya tertutup rapat. Puteri terlena lagi di situ hingga tangannya terjatuh ke sisi dan kepalanya terlentok ke bahu, barulah matanya luas membulat. Jantungnya berdegup kencang kerana terkejut sekaligus menhalau kantuk yang menguasai diri. Gelas yang dipegang tadi bergoncang dan separuh air tertumpah. Bingkas Puteri bangun mencari tuala dapur. Teringatkan Nuqman mungkin akan terdengar bunyi dan tersedar, Puteri bergerak dengan hati-hati. Dia sama sekali tak mahu bertembung dengan Nuqman dengan baju tidur!

Dua gelas air diminumnya. Lega! Bayangan tilam empuk mula menggamit di ruang mata. Dia bergerak perlahan-lahan menuju ke bilik. Saat melewati pintu balkoni yang tertutup rapat, Puteri terhenti. Dia menyelak sedikit langsir dan mengintai Selat Bhosporus yang masih kelam. Lampu-lampu kecil di tepi-tepi bukit dan pancaran cahaya yang menyimbah dari bangunan sepanjang selat itu ditambah dengan cahaya bulan yang agak suram menyerlahkan keindahan selat yang bersejarah itu.

Kedamaian dan ketenangannya membuai hati Puteri. Pintu balkoni yang terkunci itu dibuka sedikit cukup untuk meloloskan dirinya keluar. Jubah tidur ditarik rapat membaluti dirinya untuk melindungi tubuhnya dari angin sejuk yang bertiup lembut. Puteri melangkah perlahan-lahan ke jeriji besi sambil menghimbau pandangannya sejauh mungkin menikmati permandangan yang sangat hebat itu. Bibirnya mengorak senyum. Ini memang menjadi saat-saat yang indah dalam hidupnya.

***

Di bilik, Nuqman dikejutkan dengan panggilan telefon. Miqdam sedang membuat persediaan untuk teleconference melalui Skype meminta dia untuk bersedia. Rupanya jam sudah hampir pukul 2 pagi.

Nuqman segera membuka aplikasi Skype dan seketika kemudian, suara teman-teman seperjuangannya kedengaran. Suasana agak riuh rendah dari bilik mesyuarat Peace Yo! dari aras dua The Turban. Nuqman tersenyum. Rindu sungguh pada mereka. Pada The Turban.

“Assalamualaikum…” Dia mengucapkan salam. Suasana tiba-tiba sepi seketika. Semua mata memandang ke layar tayang atau skrin yang pastinya ada terpamer wajah Nuqman yang sedang tersenyum mengadap laptop.

“Waalaikummussalam!” Dr Ashraf akhirnya menjawab salam selepas terjeda seketika. Dia ketawa ceria selepas dikejutkan oleh suara Nuqman yang agak lama menghilang. Seketika itu juga, jawapan salam bersahut-sahutan dari yang lain. Masing-masing mengambil tempat di kerusi mengelilingi meja segi empat panjang yang melintang di tengah bilik mesyuarat itu. Kini seluruh perhatian diberikan kepada ‘boss’ kesayangan mereka di layar tayang di dinding utama bilik itu.

“Kau punya lama menghilang, Man… kau kerja ke kau honeymoon?” Nuqman tergelak besar dengan serkap jarang sahabat kesayangannya, Dr Ashraf yang sudah dianggap macam abang sendiri. Nampaknya serkap jarang sudah jadi serkap basah! Yang lain ikut ketawa dengan tafsiran masing-masing. Di dalam bilik itu, hanya Miqdam dan Dr Ahsraf sahaja yang hadir dalam majlis pernikahan Nuqman dan Puteri selain adik-adiknya, Norhan dan Nabil. Mereka sudah berjanji akan merahsiakan hal itu daripada yang lain.

“Best ke kat sana, abang Nuqman? Sampai tak nak balik?!” Pembantu Pakar Ekonomi di Peace Yo!, Ikram menyampuk. Di Peace Yo!, tiada encik Nuqman. ‘Encik’ bertukar menjadi ‘abang’.

“Bumi Allah, Am… di mana pun best. Ada keistimewaan masing-masing. Tapi Malaysia tetap paling best! Am apa khabar?”

“Amboi!! Tanya khabar Am je?!” Dr Maisarah, isteri kesayangan Dr Ashraf membulatkan matanya. Pakar sakit puan itu merangkap Pengerusi Kelab Adam dan Hawa di bawah organisasi Peace Yo!. Dia juga bagaikan kakak bagi Nuqman dan menjadi kesayangannya sejak sepuluh tahun dia mengenali pasangan suami isteri itu.

“Kak Sarah, mintak maaf, kak! Rindu dengan akak sebenarnya tapi takut nak cakap, takut abang Ashraf marah Man!”

“Hah! Pandai kau corner baring ya!” Sergah Dr Ashraf. Seluruh penghuni dalam bilik itu ketawa. Mereka memang suka bergurau senda persis satu keluarga.

“Abang Man, memanglah kami rindukan abang. Tapi kami teringin nak tengok Istanbul secara live la! Err… abang boleh halakan laptop tu ke arah mana-mana permandangan paling indah kat Istanbul tu, tak?” Amir Hamzah, pakar IT di Peace Yo! pula bersuara. Riuh rendah suara lapan orang yang lain sampuk menyampuk. Nuqman tidak dapat menolak permintaan secomel itu. Sambil ketawa, dia mengangkat laptop menuju ke ruang tamu.

Walaupun amat sejuk sebenarnya untuk keluar ke balkoni waktu itu tetapi Nuqman usahakan juga agar tidak menghampakan mereka. Laptop diletakkan di meja kopi terlebih dahulu. Dia mahu menyusun atur meja dan sofa agar permandangan suasana awal pagi di Selat Bosphorus dari luar balkoni dapat dirakam dari kamera laptop.

Langsir yang bergerak-gerak ditiup angin menghentikan langkah Nuqman. Kenapa pintu itu terbuka?! Nuqman amat pasti dia telah menutup dan mengunci pintu itu dari dalam malam tadi. Mungkin ada yang menceroboh?! Hati Nuqman berdetik bimbang. Apatah lagi Puteri ada bersamanya. Keselamatan gadis itu menjadi tanggungjawabnya. Sambil berdoa agar semuanya selamat, dia menyelak langsir dan berhati-hati melangkah keluar memeriksa ruang balkoni.

***

Puteri menarik ikatan tali jubah tidurnya dengan lebih ketat supaya udara dingin di awal pagi yang semakin menggigit itu tidak begitu terasa. Sambil menghela nafas puas, dia terus melihat di kejauhan. Terasa diri bebas dan tenang dalam suasana begitu.

Tiba-tiba ada satu tangan menutup mulutnya dan tubuhnya dipeluk erat sehingga dia tidak boleh bergerak. Matanya terbeliak kerana terkejut dan suara jeritannya memang tidak terlantun kerana hanya bergema di kerongkong. Saat itu juga Puteri bertindak menundukkan badannya, menghayun ke kiri hanya untuk berpatah balik dan serentak itu juga tumitnya menghentak kaki orang yang cuba menguasainya.

Terdengar erangan yang tertahan-tahan dari mulutnya dan lingkaran tangannya di pinggang Puteri agak longgar. Saat keemasan itu digunakan Puteri untuk menegakkan tubuhnya dan menghayun siku kanannya tepat ke rusuk kanan musuhnya.

Dia mengerang semakin kuat dan lingkaran dipinggangnya terungkai. Dua tapak ke hadapan dan Puteri berpusing balik lalu menghayunkan kakinya ke muka lelaki yang sedang tertunduk-tunduk menahan sakit. Dia sempat mengangkat tangan melindungi mukanya tapi tendangan padu dari gadis yang memiliki tali pinggang hitam taekwando itu cukup menghantar dia terduduk ke lantai.

“Ika!” Nama itu diseru. Dalam terkejut dan terpegun dengan tindakan pantas Puteri, Nuqman sempat bersuara sebelum diserang lagi. Langkah Puteri yang siap untuk menghantar tendangan kedua terhenti serta-merta. Dia kenal suara itu!!

“Nuqman!!” Puteri benar-benar terperanjat. Debaran rasa takut bertukar rentak menjadi cemas.

“Ya Tuhan!!” Dia menerpa ke arah Nuqman. Semua berlaku dengan amat pantas dan ahh… apa yang aku dah buat ni!! Puteri panik melihat Nuqman memegang rusuk kanannya. Dia terduduk melutut di hadapan Nuqman, gelabah tidak tahu di mana hendak disentuh, apa yang hendak dibuat.

“Awak! Sorry awak! Sakit ke…?”

Tiada jawapan dari Nuqman. Sebaliknya tangan tangan lelaki itu pantas merangkul leher Puteri sehingga dia rebah ke bahunya dan sekali lagi mulut gadis itu ditutup dengan tangan kiri. Mata Puteri terbuntang dengan dahi yang berkerut rapat. Apa kena dengan Nuqman?!!

“Syhh… Ika, listen to me! Kat dalam tu laptop saya on, saya tengah skype dengan kawan-kawan di Malaysia! Diaorang tak tau Ika ada di sini unless you want me to tell them about you…?” Nuqman tercungap-cungap berbisik di telinga Puteri, antara cemas dan menahan sakit. Tetapi sempat wujud nada mengugut yang nakal di situ.

Pantas Puteri menggelengkan kepala sambil membulatkan matanya. Tahu pun takut! Nuqman geli hati tapi bukan masanya hendak ketawa. Mereka semua sedang menunggunya dan pasti tertanya-tanya.

“Now, be a good girl, ikut saya dari belakang. Hati-hati!” Puteri laju mengangguk. Rangkulan dilepaskan dan cepat puteri bangun berdiri sementara Nuqman terkial-kial kerana menahan sakit.

Puteri tunduk membantu sambil berbisik, “sorry awak! So sorry…!!”

Nuqman yang sudah berdiri tersenyum mendengarnya dan sempat dia menarik hidung Puteri. Terjeda Puteri seketika sebelum tangannya ditarik Nuqman hingga terdorong tubuhnya ke belakang lelaki itu. Nuqman menarik Puteri rapat di belakangnya dan perlahan dia menyelak langsir untuk melihat kedudukan laptop di meja. Mujur ianya membelakangi pintu di balkoni.

Suara riuh rendah dari laptop menandakan program mereka belum bermula. Nuqman memimpin Puteri masuk dan bergerak ke sisi. Puteri disuruh duduk di sofa yang satu itu dengan bahasa isyarat. Kemudian Nuqman berpatah balik lalu membuka pintu sorong dengan lebih lebar dan menyelak langsir.

Laptop diangkat lalu dia melangkah keluar ke balkoni sekali lagi sambil mengahalakan layar laptop ke arah luar di mana Selat Bosphorus sedang mengalir tenang dalam suasana yang masih kelam waktu dinihari. Namun simbahan cahaya di sana sini tetap menyerlahkan keindahannya. Suara riuh rendah semakin reda dan mereka pastinya sedang menumpukan perhatian ke layar.

“Ok, sekarang abang Man kat balkoni apartment ni. Kat bawah tu selat Bosphorus. Mungkin tak jelas sangat sebab kat sini jam dua pagi sekarang, masih gelap,” beritahu Nuqman.

Suara bertingkah-tingkah mula kedengaran lagi. Ada yang memuji. Ada yang mula berangan nak terbang ke Turki. Ada yang dah jatuh hati dengan Istanbul! Macam-macam! Nuqman tersenyum dengan gelagat mereka. Dia bergerak perlahan-lahan di sepanjang balkoni untuk merakamkan lebih banyak permandangan di situ.

“Wah!! Dah macam tempat berbulan madu tu, Man. Rugi kau duduk sorang-sorang!” Dr Maisarah mengusik di sambut gelak tawa yang lain.

“Siapa kata dia sorang?!” Selamba Dr Ashraf menyampuk.

“Isyhh abang ni! Mengusik biarlah berpada-pada”, marah Dr Maisarah dalam jelingannya.

“Ya lah! Dia dengan bidadari tu!” Ujar Dr Ashraf lagi. Lagi kuat ketawa mereka. Nuqman tergelak, tapi tak mampu nak berkata-kata. Hatinya berdebar bahagia. Kalaulah mereka tahu yang memang ada bidadari bersamanya… pasti lagi gamat suasana!

“OK, tepat jam sembilan malam. Terima kasih, abang Nuqman kongsi dengan kami keindahan Istanbul. Syukur abang Nuqman dan ayah Nizamuddin dapat bersama kita malam ini. Ayah, terima kasih dapat join walaupun kami cuma dapat hubungi ayah pada saat-saat akhir sebab pertemuan ni agak mengejut.” Suara Miqdam meredakan suasana dan memulakan mood perbincangan yang sangat penting pada malam itu.

Wajah Haji Muhammad Nizamuddin Haji Muhamad Taha, pakar motivasi dan dakwah yang terkenal di tanahair kelihatan segar dan tenang. Dia tersenyum di layar sambil mengangkat tangan lalu memberi salam. Jawapan salam dilantunkan hampir serentak dari semua yang hadir termasuk Nuqman. Sesuai dengan gelarannya, Haji Muhamad Nizamuddin memang bagaikan ayah di Peace Yo! Dialah pembimbing, pendidik dan pemimpin mereka secara formal dan lebih banyak secara tidak formal di Peace Yo!

“Lama tak jumpa, Man. Apa Khabar?”

“Alhamdulillah, ayah. Man sihat. Ayah nampak sihat, alhamdulillah. Syukur dapat jumpa ayah malam ni.” Nuqman antara kesayangan ayah Nizam yang sentiasa merujuk dan meminta pandangan serta nasihat dalam hampir setiap perkara yang dia lakukan. Bagi Nuqman, ayah Nizam bagaikan pengganti ayahnya yang telah pulang ke rahmatullah.

Ayah Nizam mengangguk sambil tersenyum berseri. Wajahnya tenang dan menenangkan sesiapa yang memandang.

“Silakan Miqdam…” Ayah Nizam membuka laluan, memberi restu.

“Kita persilakan jika ada sebarang input yang dapat bantu kita sebelum kita dengar apa yang dapat dikongsi dari abang Nuqman dan Ayah Nizam malam ni.” Miqdam membuka peluang kepada yang lain untuk bercakap selepas selesai membuat ucapan alu-aluan dan menerangkan topik permasalahan yang akan mereka bincangkan pada malam itu.

“Untuk membuka perbincangan kita pada malam ini, kita persilakan Dr Ashraf,” Miqdam menjemput dengan penuh hormat.

“Kita dah dengar berita-berita tentang penglibatan rakyat Malaysia dengan ISIS yang bermula dengan pengebom berani mati, lepas tu tiga buah keluarga yang menyertai ISIS. Terbaru, ada wanita yang terlibat dalam jihad al nikah yang dipromosikan oleh ISIS.” Dr Ashraf tenang bersuara selepas mengucapkan kata-kata aluan yang ringkas.

Fokus Nuqman agar terganggu dari layar kerana bahasa badan Puteri yang duduk di hadapannya agak membimbangkan. Dia bagaikan terpinga-pinga mendengar mukadimah perbincangan mereka.

“Antara yang semakin serius terlibat antaranya pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi. Kita ada satu kes yang agak ekslusif dari sahabat kita, Dr Arsyad yang mana anak saudaranya sendiri, Taufik Ismail menjadi rekrut ISIS dengan sekumpulan pelajar, mungkin kawan-kawan rapat dia juga.” Dr Ashraf mengeluarkan beberapa keping gambar dari fail di hadapannya dan diserahkan kepada Miqdam.

“Tak mungkin!!” Jeritan kecil terlepas dari mulut Puteri sebaik sahaja gambar-gambar itu ditayangkan dilayar. Nuqman hampir terbangun dari kerusi kerana terperanjat. Puteri cepat-cepat menutup mulut. Nuqman terdiam, kaget.

“Man…?!” Suara Dr Ashraf mengejutkannya.

“Ya… err… ya abang…?” Nuqman menelan liur, cuba bersuara tenang. Dia bimbang wajahnya berubah di layar mereka.

“Semua ok ke?”

“Eh! Ok, abang. Teruskan… silakan…” Nuqman senyum memberikan keyakinan. Tolong jangan tanya dari mana suara itu datang, rayunya di dalam hati.

“Ok… Jadi itulah yang jadi fokus utama kita nak cari solusi yang berkesan bukan saja nak selamatkan Taufik dan kawan-kawannya tapi untuk kita semua juga supaya pengaruh ISIS dapat kita kepung.” Dr Ashraf yang sememangnya sudah lama mengikuti perkembangan ISIS merasa lega apabila isu ini cuba ditangani bersama kerana setakat ini, belum banyak tindakan yang benar-benar padu dilaksanakan di tengah masyarakat.

“Pelajar IPT memang jadi sasaran mudah sebab ISIS guna media sosial.” Amin Bakri menguatkan hujah.

“Mungkin saluran ni juga patut jadi senjata kita lemahkan pengaruh ISIS,” cadangnya lagi.

“Macammana dengan alternative diversion untuk orang-orang yang mula ada kesedaran jihad ni yang sebenarnya positif untuk dunia Islam tapi tersasar kaedahnya bila mereka ikut ISIS?” Muaz Kamaruddin, salah seorang arkitek senior di firma arkitek milik Nuqman membuka cadangan itu kerana memang ada pihak yang mencadangkan di media massa tapi belum ada sebarang perancangan dibuat setakat ini.

“Betul tu, Muaz. Saya rasa kalau di Malaysia mungkin perkara ni masih samar tapi saya ada ikuti perkembangan di sini dengan kawan-kawan yang dah lama berjihad, laluan lebih jelas di sini sebab Turki antara negara paling banyak terima pelarian perang sebab bersempadan dengan Syria. Antaranya jihad dengan memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria di sini. Selain tu, ramai juga yang berjihad bersama kumpulan Mujahiddin Syria yang bangkit memperjuangkan nasib pengikut-pengikut ahli Sunnah Wal Jamaah yang hidup tersiksa diperangi Syiah. Kita semua tahu, golongan Sunni sudah lama tertindas dengan dahsyat. Pejuang Mujahiddin berjuang ikut kaedah peperangan Islam sebenar. Jadi laluan berjihad di sini lebih jelas.

Rakyat Malaysia kebanyakannya masih kabur. Bila ISIS memperjuangkan Islam, itu dianggap Islam yang sebenar. Sedangkan yang berperang sebenarnya adalah cabang-cabang agama Islam atau firkah yang tentunya didalangi Yahudi. Jadi kena kenal pasti, ISIS di cabang Islam yang mana sebelum kita ikut berjuang sebab Rasulullah dah pesan, Islam di akhir zaman berpecah kepada 73 firkah dan yang selamat hanyalah yang mengikut Sunnah Wal Jamaah. Ini amat-amat penting sebelum menbuta tuli ikut berjihad. Saya rasa kesedaran ini yang patut diperluaskan di media sosial sekaligus beri laluan alternatif kepada orang yang mahu berjihad di jalan Allah.” Jelas Nuqman dengan panjang lebar.

“Memang secara global, Islam bangkit hampir serentak di seluruh dunia sekarang. Ini antara kesan dari tekanan Islamophobia yang melanda sejak runtuhnya WTC, 11 September. Jadi ISIS kini dianggap reformer dalam dunia Islam dan jadi laluan untuk mereka bersatu menentang Islamophobia. Golongan ni tentunya remaja dan intelek Islam serata dunia, tak kira bangsa dan negara. Selain itu, sifat memberontak dan amarah jadi tunjang keberanian mereka untuk angkat senjata bersama ISIS. Malah tindakan keganasan macam pengebom berani mati dan sebagainya kita bimbang lebih didorong oleh emosi daripada jihad yang sebenar kerana Allah Taala.” Dr Maisarah ikut memberi input.

Nuqman lega bila Dr Maisarah menyambung perbincangan. Kerana pandangan Puteri yang amat menikam itu menganggunya. Namun Nuqman harus fokus dan cuba untuk tidak mempedulikannya. Gadis itu mungkin terkejut dengan perbincangan ini atau dengan penglibatannya.

“Jadi, menguasai media sosial memang kena jadi fokus utama kita sekarang untuk sampaikan maklumat sebenar secara global dengan lebih cepat. Untuk tindakan awal, kalau kita boleh dapat maklumat lanjut tentang Taufik dan kumpulannya, mungkin kita dapat berjumpa atau berhubung terus dengan mereka. Dan kalau ada peluang, kita boleh ‘terjun’ dalam kumpulan ni supaya kita tahu pergerakan mereka dengan lebih jelas.” cadang Amin Bakri.

“Ini fail peribadi Taufik dan catatan pemerhatian Dr Mustafa. Beliau serahkan pada kita supaya kita dimudahkan untuk dapat maklumat lanjut dan buat apa-apa tindakan yang perlu.” Jawab Dr Asyraf.

“Selain dari usaha nak jejaki mereka, kita perlu buat persiapan tentang langkah yang sepatutnya kita ambik untuk Taufik dan kumpulannya jugak masyarakat.” Sampuk Dr Masyitah.

“Ada lagi dari yang lain? Untuk makluman, hampir semua maklumat tentang ISIS dah kita failkan. Ada kes dan persoaan yang diajukan oleh masyarakat, kita sertakan sekali. Kita mohon respon dan pandangan dri semua. Sebentar lagi, Laili akan datang dan agihkan salinan fail tersebut. Untuk abang Nuqman dan ayah Nizam, Laili akan e-melkan sekejap lagi.” Kebanyakan daripada mereka sudah membincangkan secara tak rasmi sejak akhir-akhir ini. Jadi hanya panduan dan bimbingan yang mereka harapkan dari Nuqman dan ayah Nizamuddin pada malam itu.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, kita persilakan abang Nuqman…” ujar Miqdam bijak mengendalikan majlis tanpa membuang masa.

Nuqman yang sedang memerhatikan Puteri gelisah di tempat duduknya cepat-cepat memberi fokus ke layar laptop.

“Hmm… rasanya dah banyak yang dapat kita kongsikan. Rasa tak sabar nak dengan apa yang nak dikongsi oleh ayah malam ni. Jadi, persilakan, ayah…” Nuqman segera mengajukan permintaan itu kerana dia tahu fokusnya saat itu amat terganggu.

“Segala puji bagi Allah yang menurunkan pelbagai ujian hebat demi untuk menguji kecintaan hamba-Nya dan sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pembela. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, keluarga dan para Sahabat Baginda yang kerana perjuangan merekalah, kita direzekikan iman dan Islam. Terima kasih juga kerana sejarah yang mereka tinggalkan menjadi bukti dan panduan kita hari ni. Jika tidak, kita akan buntu dengan segala masalah yang melanda.

Kita semua dah dengar dan faham tentang apa yang berlaku. Ramai antara kita juga dah baca Hadis-hadis tentang akhir zaman dan petanda kiamat. Semua yang disebutkan telah dan sedang berlaku. Jadi apa tindakan kita yang sedar untuk selamatkan diri supaya tak tergolong dalam golongan itu? Apa yang patut kita buat untuk bantu orang lain juga supaya terselamat?

Semua yang ada di sini mesti pernah dengar tentang umat Islam yang ramai di akhir zaman tapi hanya seperti buih di lautan, bukan? Jadi macammana kita nak buat supaya kita tak jadi sebahagian dari buih itu?

Kita dah tahu yang Islam akan berpecah kepada 73 firkah. Hanya ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang akan selamat kerana mereka ini memilih jalan yang selamat yakni jalan para Rasul dan para Sahabat yang dah terbukti selamat. Jadi macammana untuk betul-betul kekal dengan pegangan ahli Sunah Wal Jamaah ini?

Pokok pangkalnya, iman. Dan iman akan terpelihara dengan solat yang betul dengan bacaan, pergerakan, rukun dan penghayatannya.

Semua jawapan ada dalam sembahyang. Tapi solat yang bagaimana? Solat seperti solatnya Rasulullah dan para sahabat. Merekalah yang bersolat dan diberi kemenangan. Merekalah yang bersolat dan hidup bertamadun, makmur, berkasih sayang. Mereka tak dikuasai musuh dan tak berperang dengan sesama sendiri. Merela bersolat dan hasilnya mereka tak jadi ISIS. Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat. Wallahualam.”

Demikian ringkas dan padat ucapan ayah Nizamuddin. Seluruh yang mendengar terdiam. Lama terdiam. Nuqman juga terdiam. Puteri lebih-lebih lagi terdiam. Terpaku memandang Nuqman tak berkelip. Nuqman juga hanya memandangnya, juga tak berkelip.

“Terima kasih ayah Nizamuddin. Terima kasih. Syukur ya Allah. Jawapan yang tepat ke hati dan akal pun tak dapat nak menafikan. Rasanya penghayatan solat mesti jadi fokus kita selari dengan penjelasan tentang pengaruh ISIS. Kita dengarkan beberapa ulasan sebelum kita tutup majlis dan kita akan bertemu lagi esok untuk menyusun tindakan-tindakan yang kita perlu buat secara bersama. Dipersilakan, yang kita kasihi Dr Asyraf…” mujur Miqdam tak terlupa tugasnya sebagai pengerusi majlis.

Sebaik saja pertemuan itu bersurai, Nuqman menutup laptop sambil menguap. Jam di tangan hampir 3 pagi waktu Istanbul. Dia mengalih pandangan ke sofa dan tersenyum.
Puteri terlena di situ dengan wajah yang masih cemas dan berkerut memikirkan perbincangan tadi. Mungkin juga ianya terlalu berat untuk minda Puteri.

Nuqman juga rasa teramat mengantuk. Sebelum dia juga terlena di sofa, lebih baik dia membawa Puteri ke biliknya terlebih dahulu. Hmm… sudah berapa kali Puteri didukung ke katil sejak dia ke Istanbul? Nuqman berkira-kira sendirian sambil tersenyum. Mujur Puteri bersaiz sederhana. Saiz comel! Kalau lebih dari itu, boleh sakit pinggang dibuatnya!

Puteri dibaringkan dikatil. Tali dipinggangnya dibuka supaya dia selesa. Nuqman terperasan yang Puteri sedang memakai baju tidur yang dibelinya kelmarin. Sutera dan Puteri. Gandingan yang mempersona…

Wajah itu manja tatkala terlena. Mata Nuqman walaupun sudah berat kerana mengantuk tetap tak mahu melepaskan pandangan itu. Akhirnya Nuqman berlunjur, baring mengadap Puteri. Dan sekali lagi, dia lena disamping Puterinya.

p/s: You comments and thots keep me going. take care

Advertisements

3 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA 27

  1. Mmg saya tunggu setiap entry. Isu yg Jue ketengahkan sgt menarik.

    I can’t comment further on facts about Isis etc. But the story flows well.

    Like

    • Alhamdulillah misa faizal…

      I’m trying to explore more. And share more. May Allah help me…

      I guess we are all learning about ISIS and part of me believe the truth will come out
      soon.

      Let us pray the same prayer:

      Ya Allah, jika mereka berada di jalan yang benar, Engkau bantulah mereka dan menangkanlah mereka. Tapi jika tidak, Engkau hancurkanlah mereka dan datangkan segera penyelamat. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim. Amin ya Rabbal Alamin

      Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s