Siri Novel MAKNA PADA RASA 26 (Cinta Puteri vs Nuqman 26)

Salam rindu buat yang sudi singgah…

Ampun maaf kerana blog ni tetiba senyap. Laptop jam, hp jam, tuan punya badan pun jam sampai semuanya kena masuk bengkel untuk dibaiki dan diurut. Huhu… macam jiwa kita jugak la kan… perlu dibaikpulih sentiasa supaya segar dan tak lalai dari-Nya. Buat yang menunggu2, thousand apologies. kata-kata salah seorang yang mengikuti cerita ini mencemaskan Juea… ‘saya harap awak akan tulis cerita ni sampai ke akhirnya…’ dan Juea berjanji, insyaAllah. itu juga harapan Juea.

Thanks again for all the comments and messages yg penting sgt2 utk memastikan yg Juea on the right track. takut sgt kalau tersasar sampai melalaikan. So, ini sambungannya. moga terhibur. dan jangan lupa, do give me your comments to keep me going! Syukran! Khuda Hafiz!

Bab 26

Kereta Peugeot 308 Egyptian Blue meredah kesibukan kota menuju ke selatan tanahair. Dari Lebuhraya Utara – Selatan, dia keluar di persimpangan Air Hitam menuju ke Batu Pahat untuk sampai ke Pekan Parit Raja yang amat sinonim dengan ‘pisang salai’.

“Macammana kalau tak jumpa?” Nadia bercakap dengan diri sendiri. Sudah hampir sembilan belas tahun daerah itu mahu dilupakannya. Namun semuanya masih tersimpan kemas diingatan. Dan kejadian malam tadi membuatkan semua itu bagaikan baru saja berlaku. Segala rasa sakit, benci, dendam kembali bersarang dalam hatinya dan yang paling pedih bila masih ada rindu dan kasih kepada lelaki itu. Sedangkan dia hanya mahu menganggap yang lelaki itu telah mati. Dan yang paling memeritkan bila naluri keibuannya bagaikan memuncak saat ini.

Tidak ada siapa pun yang tahu betapa dia sangat mahu memiliki anak itu. Kalau benar berita tentang dirinya disebarkan, seluruh dunia akan menunding jari kepadanya. Dia pasti menjadi ibu yang kejam dan tak berperikemanusiaan. Bila dia sanggup meninggalkan anaknya yang baru saja dilahirkan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Siapalah yang tahu dilema dalam dirinya. Mereka hanya akan menuduh tanpa bertanya. Menghukum membuta tuli. Nasib dia dan wanita lain yang tertindas sama saja. Menjadi mangsa keadaan tanpa pembelaan dan hujungnya mereka juga yang dihukum bersalah!

Seperti Zulkarnain! Sedikit pun dia tidak mengaku salah kerana membohonginya selama ini. Sebaliknya memeras ugut jika dia tidak mahu menyerahkan anaknya. Apa haknya untuk menuntut anaknya selepas apa yang telah dia lakukan? Apa hak Zulkarnain mahu menganggu privasi dirinya sedangkan selama ini dia tidak pula memburu dan mengungkai punca perpisahan mereka? Kerana dia bahagia! Pastinya kerana dia cukup bahagia tanpa dirinya. Jadi untuk apa tiba-tiba datang menuntut haknya sedangkan sebelum ini dia tidak pula bersusah payah mahu melunaskan hak seorang isteri?! Nadia yang selama ini berhempas pulas memperjuangkan hak asasi manusia tiba-tiba dikejutkan dengan tuntutan hak dari orang yang selama ini mengabaikan haknya! Gila!

Namun api kemarahannya bagaikan malap apabila sesuatu di luar jangkaannya berlaku. Hari ini dia sebenarnya amat sibuk dan penat. Tanpa mempedulikan kehadiran Zulkarnain yang benar-benar bermalam di rumahnya, dia bergegas ke pejabat. Sarapan pagi yang disediakan ‘suami’ di atas meja makan hanya dijeling sekilas. Apalah ertinya lagi…

Pagi itu giliran dia dan WWT menjadi moderator ‘Program LGBT Sebahagian Dari Kita’ yang sudah berlangsung selama dua hari dan hari itu adalah hari yang terakhir. WWT bersama tujuh buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat menjayakan program itu untuk memberi kesedaran kepada kelompok terpinggir iaitu ‘Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual (LGBT)’ dan juga masyarakat tentang hak-hak mereka yang selama ini diperkotak-katikkan secara sewenang-wenangnya. Berbagai acara berlansung dengan lancar seperti pameran, motivasi, bual bicara secara langsung, pemberian jarum suntikan dan kondom secara percuma walaupun dikritik hebat oleh pelbagai golongan dan acara penutup merupakan persembahan pentas dari Kelab LGBT untuk hiburan sekelian yang hadir.

Cukup! Cukuplah mereka dipinggirkan, dihina, dianaktirikan dan hidup dalam diskriminasi tak kira dalam pergaulan seharian, ibadah mahupun kerjaya hanya kerana mereka dikatakan terlibat dalam dosa. Sedangkan kebanyakan yang menunding jari itu juga bergelumang dengan dosa! Bukan hanya cemuhan dan penghinaan yang harus mereka telan malah bakat dan kebolehan mereka juga tidak diiktiraf oleh mana-mana jabatan dalam apa pun bidang walaupun mereka cemerlang dan profesional. Lebih dahsyat lagi, kesalahan mereka yang terlibat dalam cara hidup ini adalah kesalahan jenayah! Sudah banyak kes yang berlaku dan hukuman dijatuhkan tanpa pembelaan sewajarnya. Semua ini harus dihentikan dan mereka harus diperjelaskan dan dididik tentang hak mereka dalam lingkungan undang-undang. Hak mereka sebagai golongan dewasa untuk memiliki kehidupan peribadi harus dikembalikan!

Dan kerana pembelaan itu, Nadia dan WWT serta beberapa buah NGO yang lain dituduh menyokong kegiatan LBGT yang tidak bermoral! Kesal teramat kesal atas tuduhan melulu itu, Nadia dan teman-teman seperjuangannya mengambil tindakan undang-undang dan tekad untuk meneruskan perjuangan mereka membela hak LGBT dan mengembalikan mereka kepada kehidupan yang sewajarnya. Penglibatannya mendapat liputan meluas dan itu bukan lagi satu kejutan baginya. Dia kenal siapa dalang dan siapa yang jujur dalam pentas kehidupan ini.

Namun hari ini mereka semua dikejutkan dengan kehadiran sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Peace Yo! Selama dua hari, mereka hadir hanya untuk mengedarkan risalah tentang ‘LGBT – Sejarah, Kesan dan Penyelesaian’ kepada orang ramai. Nadia sendiri menerima risalah itu yang katanya menarik perhatian ramai namun dia tidak sempat menelitinya. Kehadiran sepasang suami isteri yang kedua-duanya merupakan doktor pakar perubatan sebagai jurucakap kumpulan itu mengejutkannya dan kerana tidak benar-benar mengetahui latar belakang mereka, hasrat mereka untuk memperkenalkan diri dan menawarkan khidmat nasihat kepada pengunjung-pengunjung program itu disambut baik.

“Kami berada di sini bersama Penganjur program dan semua NGO yang terlibat kerana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguh Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” (Az Zumar: 53)

Kami datang bukan untuk mengatakan kamu berbuat salah. Tapi kami datang untuk bersama kamu mencari diri dan memperbaiki diri. Kita semua sama, hidup penuh dosa. Dan kita sangat bertuah kerana kita memiliki Tuhan yang Maha Baik lagi Maha Pengampun. Mari kita cari kebahagiaan hidup yang sebenar dan kita tagih keampunan dari Allah. Sebab Allah dah pesan, ‘… janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah’. Kita takkan dapat menuntut hak kita sebagai manusia selagi hak Allah tak kita tunaikan. Kami di Peace Yo! akan bersama anda, keluarga anda dan teman juga sahabat anda untuk mengikat silaturrahim sesama Islam untuk kita sama-sama selamat dan menyelamatkan. Selamat datang ke Peace Yo!, insyaAllah.”

Peace Yo! Nadia pernah beberapa kali mendengar nama itu ketika di dalam dan di luar negara namun dia tidak ambil peduli. Khabarnya kumpulan itu kini menguasai kebanyakan golongan di laman sesawang atau lebih tepat di media sosial. Namun kata-kata wakilnya yang ringkas namun amat padat itu sangat membolak-balikkan hatinya.
Dan kata-kata itulah membuatkan dia tidak senang duduk dan terus memandu ke selatan tanahair sebaik sahaja program itu tamat awal petang tadi.

‘Kita takkan dapat menuntut hak kita sebagai manusia selagi hak Allah tak kita tunaikan.’ Apa sebenarnya maksud kata-kata itu? Apakah hak aku yang selama ini diabaikan kerana aku tidak menunaikan hak Allah terhadap aku? Apakah kerana itu hak aku sebagai seorang anak tidak diambil kira? Hak aku sebagai seorang perempuan untuk memilih jodohnya dinafikan? Hingga akhirnya hak aku sebagai seorang isteri dipermainkan dan yang paling dahsyat, hak aku sebagai seorang ibu terpaksa aku kuburkan sendiri!!

“Mama takkan setuju dengan pilihan Nadia!”

Kata-kata Tengku Nuruddin saat menziarahi anaknya di kota London secara kebetulan kerana urusan perniagaannya di sana bagaikan muktamad.

“Tapi, pa… kak Eda…”

“Sebab kak Eda dah memilih abang Hasyim?”

“Abang Hasyim jugak bukan orang berada, Pa. Kita langsung tak tahu asal usul keturunannya. Dia cuma orang kampung! Kenapa Nadia tak boleh?”

“Bukan tak boleh, sayang, Tapi papa rasa Nadia tak sekuat Kak Eda. Papa jugak tak sanggup nak tengok seorang lagi anak papa menderita kerana pendirian mama!”

“Tapi kalau bukan Zulkarnain, Nadia akan menderita juga, kan pa? Sebab Nadia tak pernah sayangkan seorang lelaki macam Nadia sayangkan dia…” Suara Nadia serak menahan sebak yang teramat.

Sangka Nadia, kalau dia mempertahankan haknya untuk memilih jodohnya sendiri, dia akan bahagia juga walau apa pun rintangannya. Namun rupanya, dengan cinta atau tanpa cinta, dia tetap menderita!

Pernikahan yang berlangsung di Kedutaan Malaysia di kota London berlangsung bagaikan mimpi. Restu papa memudahkan segalanya. Majlis doa selamat ringkas sahaja di rumah sewanya. Tiada jemputan untuk keluarga atau VIP. Hanya kenalan rapat sahaja. Kerana pernikahan itu seharusnya kekal rahsia. Itu janji Nadia kepada papa sehinggalah Zulkarnain pulang ke tanahair dan membina kerjaya. Harapan Nadia cuma satu. Mama akan menerima Zulkarnain setelah kerjaya dan ekonominya kukuh dan stabil.

Menyesal? Apa pun natijahnya, Nadia tidak pernah menyesal dengan keputusannya. Kerana enam bulan hidup bersama Zulkarnain yang ketika itu berada di tahun akhir peringkat PhD dalam jurusan ekonomi sementara Nadia pelajar tahun satu peringkat sarjana undang-undang, menjadi memori terindah baginya. Walau dia harus membayar dengan seumur hidupnya! Apakah itu kerana haknya terhadap Tuhan tidak selesai sebenarnya? Apakah hak Tuhan itu? Jiwa Nadia semakin bergelojak resah dengan persoalan yang bertubi-tubi datang. Apapun, permintaan Zulkarnain harus dipenuhi demi untuk dia tenang kembali dan berdepan dengan persoalan hidup dengan dirinya sendiri.

Banyak sungguh kawasan perumahan dibangunkan di sepanjang jalan menuju ke Pekan Parit Raja. Universiti juga sudah berubah wajah. Nadia terus memandu dengan debar yang semakin kuat di dada. Masjid Jame’ di simpang Jalan Parit Raja dengan Jalan Temenggung Ahmad kelihatan berseri. Nadia hampir terlepas pandang.

Akhirnya, dia tiba ke Pekan Parit Raja kini berubah wajah. Nadia memandu perlahan sekali untuk memastikan yang dia tidak salah haluan. Bangunan pasar diamati sungguh-sungguh kerana agak berbeza dengan wajah baru. Nadia tidak pasti kalau dia dapat menjejaki rumah itu sekali lagi namun dia harus melakukannya walau macammana sekali pun.
Dia semakin memperlahankan kereta supaya kampung yang dituju yang tidak jauh dari situ tidak terlepas. Tak berapa lama kemudian, dia membelok ke kiri, masuk ke jalan Parit Daun. Dia masih ingat nama jalan itu.

Apabila sampai ke jambatan kecil, disambut dengan pintu gerbang, barulah Nadia yakin yang dia berada di lokasi yang tepat. Namun debaran di dada bertukar rentak. Cemas. Bagaimana untuk berhadapan dengan situasi ini? Yang sudah sembilan belas tahun dia cuba padam dari kotak ingatannya. Dia terus memandu melewati surau dan beberapa buah rumah yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Kebanyakannya besar-besar dan cantik berbanding dulu yang hanya ada rumah-rumah yang diperbuat dari kayu dan papan serta beratap genting.

Nadia sampai ke hujung kampung namun rumah itu tidak ditemui atau sudah berubah wajah sehingga dia tak dapat mengecam lagi. Laluan itu betul tetapi entah di mana rumah yang dicarinya. Buntu, Nadia berpatah balik ke surau.
Jam sudah menunjukkan angka tujuh. Tidak lama lagi masuk waktu maghrib. Dia pasti ada orang yang akan datang awal ke surau.

Jangkaan Nadia tidak meleset. Kelihatan beberapa buah motosikal di parkir di tepi surau itu. Dia cepat-cepat menghentikan kereta lalu merapati surau. Seorang lelaki tua memakai kopiah datang berjalan kaki. Nadia memberi salam dan menyapa dengan sopan.

Sebaik sahaja nama Hanipah dilontarkan, lelaki itu menggelengkan kepala. Nadia panik. Dia yakin benar yang dia tak salah kampung.

“Tak ada orang nama Hanipah, seingat atok. Bukan orang sini, agak eh?” Ah! Betul juga, desis hati Nadia. Mak Pah orang Perak!

“Ya, Tok! Dia orang Perak. Err.. Dia kawin dengan orang sini. Ta… Tapi saya tak ingat nama suaminya.” Nadia mula buntu.
“Orang Perak?” Soalnya kembali.

“Ya, tok… Suaminya dah meninggal masa saya datang sini dulu. Kemalangan, katanya.”

“Orang Perak… Ooo Lek Kusen ni. Dia kawin orang Perak. Accident di Parit Rojo…”

“Kusen? Hussein! Ya, namanya Hussein.” Nadia menghela nafas kelegaan.

Namun sayang, mereka sudah lama berpindah sejak banjir besar. Tanah itu sudah dijual. Sudah ada rumah baru di atas tapak tersebut. Atuk yang baik hati itu menunjukkan rumah anaknya yang dulu berkawan baik dengan anak lelaki Lek Kusen sampai sekarang. Dan dia ada menyimpan nombor telefon untuk dihubungi. Selepas mengucapkan sebanyak-banyak terima kasih, dia terus memandu ke arah rumah Atuk tersebut yang boleh dilihat dari surau itu.
Nombor telefon yang diharapkan sudah berada di tangannya. Hari sudah gelap. Nadia berkira-kira samada hendak bermalam di Pekan Parit Raja atau terus pulang.

‘Two days, Nadia and the time is ticking…,’ suara Zulkarnain menyentak ingatannya. Akhirnya dia terus memecut kereta membelah kegelapan malam pulang ke Kuala Lumpur. Hatinya berdebar-debar. Apakah Zulkarnain masih berada di rumahnya? Bagaimana dengan isterinya? Ahh! Biarkan! Aku akan bersabar sehingga tiba harinya aku dan dia berpisah secara mutlak! Bisiknya memujuk diri.

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA 26 (Cinta Puteri vs Nuqman 26)

  1. Saya suka sgt baca kisah nuqman vs puteri…banyak info sya peroleh x sabar nk thu kisah seterusnya….Hope bleh sambung☺☺☺😊☺

    Like

    • Alhamdulillah, tk Syaanira. sebenarnya juea risau gak kalau citer ni membosankan sbb byk info2 yg dikongsi, mungkin meleret ataupun menganggu citer tapi setakat ini respon positif jadi insyaAllah Juea akan usahakan utk kongsi apa yg Juea rasakan baik utk dikongsi. kalau ada tersalah info, tlg tegur2kan ya. Sharing is caring kan…

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s