Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 19

Bab 19

Jam sudah hampir pukul dua petang. Nadia mundar-mandir gelisah dalam bilik pejabatnya. Semakin difikirkan, semakin dia bingung. Dia tak boleh memulakan sesuatu yang sudah dia tamatkan!

Pertemuan yang singkat itu cukup membuatnya huru-hara. Cukup memporak-perandakan hidupnya. Dan lelaki itu sangat berbeza dari yang dia pernah kenal sebelum ini. Dia terlalu serius.

Apakah dia benar-benar akan membongkarkan tentang dirinya nanti? Tergamakkah dia? Sedangkan dialah puncanya!!!

“Dasar lelaki!!!!” Jerit Nadia sendirian. Ah! Dia tertekan sungguh kali ini. Tak mungkin dia sanggup menuruti kehendak lelaki itu. Tak mungkin! Tapi dia juga tidak mahu segalanya terbongkar. Apa lagi kalau dibongkar di khalayak umum!

“Two days, Nadia. And the time is ticking…” Kata-kata Zulkarnain bergema dalam ingatannya.

“Is he THAT serius?!” Nadia menyoal diri sendiri. Dia mengesat peluh dingin di dahi. Udara sejuk dan penyaman udara itu tak cukup baginya. Dia bagaikan cacing kepanasan. Tanpa berfikir, telefon bimbitnya dicapai. Kad kecil yang masih terbiar di atas meja itu dipegang juga dengan rasa benci yang meluap-luap. Aku harus hentikan semua ni, desis hati Nadia.

“Meet me in front of your office in half an hour.” Dia memberi arahan sebaik saja mendengar suara lelaki itu di hujung talian.

Alamat yang tertera di kad itu mudah untuk dicari. Jangan sangka aku nak bawak kau pergi lunch! Matanya mencerlung menjauh.

Peugeot 308 Egyptian Blue, hadiah hari jadi dari papa yang menjadi kesayangan Nadia meluncur laju di Kerinchi Link menuju ke Taman Tun Dr Ismail. Tidak menyangka sama sekali yang Zulkarnain bekerja tidak jauh dari pejabat WWT di Sri Hartamas, Nadia merasa semakin tergugat. Sudah bertahun dia melarikan diri dari lelaki itu. Namun kemunculannya di media terutama sejak beberapa tahun yang lepas memudahkan Zulkarnain menjejakinya. Sekarang, mahu tidak mahu, Nadia terpaksa berhadapan dengannya.

“Once and for all…” Desis Nadia sendirian. Dia perlu membuat perhitungan terakhir dan dia harap mereka tidak akan bertemu lagi selepas ini. Dan untuk bertemu di tempat awam tidak mudah. Dia yang kini dikenali akan mudah menarik perhatian sesiapa terutama seterunya yang ramai, yang akan mengambil kesempatan jika dia berada dalam apa-apa situasi yang mencurigakan. Apatah lagi, Zulkarnain adalah suami orang! Untuk itu mereka harus berbincang jauh dari pandangan umum.

Tak sampai setengah jam kemudian, Nadia masuk ke perkarangan Plaza VADS yang dulunya Plaza IBM. Tanpa perlu menunggu, lelaki itu sudah terpacak di hadapan pintu masuk. Serius sungguh dia! Nadia mencapai telefon untuk memaklumkan kepadanya yang dia sudah menunggu di dalam kereta. Kemudian dia teringatkan sesuatu. Lalu mendail sekali lagi.

“Pak Mid, Nadia ni… Baik… Ya… Tak ada orang?… OK… Dalam 45 minit lagi… Ya… Terima kasih Pak Mid” Ringkas perbualannya sebaik saja selepas dia memberi salam.

“Abang dah ready. So, let’s do this…” Ujar Zulkarnain penuh yakin sebaik sahaja dia melangkah masuk dan memberi salam. Nadia menjawab salam dengan cukup perlahan. Yeah, let’s do it my way, dia hanya menjawab dalam hatinya. Tanpa sepatah kata, dia terus memandu keluar dari situ.

Zulkarnain memandang Nadia dari sisi. Dia sebenarnya masih terkejut dengan panggilan telefon dari Nadia tadi. Tidak menyangka langsung yang secepat itu Nadia memberi respon. Dan hatinya berdebar-debar sungguh. Apakah tak lama lagi dia akan menemui anak yang lahir dari benih cinta mereka berdua? Apakah ini akan mengikat dia dan Nadia sekali lagi? Sesungguhnya dia sudah lama bersedia.

Hidupnya berubah sejak didatangi tetamu yag tak dikenali bersama sekeping surat itu. Dia bagaikan pungguk yang tiba-tiba rindukan bulan. Apa tidaknya, lelaki yang bernama Fahmi itu juga tidak mengetahui siapa pemilik nama di atas sijil kelahiran yang dibawa bersamanya. Ibunya hanya meminta dia menyerahkan kepada Zulkarnain tanpa sepatah cerita.

“Nadia dah makan?” Soalnya, lembut. Wanita itu sekadar mengangguk.

“Alhamdulilllah. Abang pun dah ambik early lunch tadi. So, kita nak ke mana?” Zulkarnain cuba membuat keadaan jadi lebih selesa walaupun itu hampir mustahil. Berbagai perasaan bergelodak di dalam dirinya namun semuanya ditekan supaya dia dapat bertenang. Menghadapi Nadia tidak semudah yang disangka. Wanita itu bukan wanita biasa.

“Somewhere…” Jawabnya sepatah. Zulkarain sekadar mengangguk. Walaupun itu bukan jawapan sebenarnya. Dia harus bersabar. Sabar sebenar-benar sabar dengan wanita ini.

“Kita… Kita nak jumpa anak kita?” Rasa ingin tahu terlalu kuat membuatkan dia bertanya juga.

“Anak?!” Nadia terkejut kehairanan. Zulkarnain menarik nafas dalam-dalam.

“Ya, anak kita…” Suaranya berbaur. Ada rasa sebak, terharu, marah dan bahagia di situ. Nadia menelan liur, bungkam tak bersuara. Dia hampir terlupa tujuan mereka bertemu. Rasa takut dan cemas mula menerjah di dalam. Dia tak pernah ambik tahu tentang anak itu. Kerana dia tak mahu tahu!

Zulkarnain mengerutkan dahi. Mengapa Nadia hanya diam. Apa yang sebenarnya berlaku? Tak mungkin Nadia berkahwin lain kerana dia masih isterinya. Entah bagaimana hidup mereka berdua selama ini tanpanya. Jika benar Nadia memeliharanya sejak kecil, kenapa sijil kelahiran anak itu berada di tangan orang lain? Tapi jika benar…

“Abang… Abang sungguh-sungguh minta maaf, Nadia. Abang tak tahu langsung tentang anak kita. Memang abang kecewa bila Nadia rahsiakan tapi mungkin Nadia ada sebab tersendiri. Bagi abang, tak sama sekali nak singkirkan Nadia dengan anak kita. Tapi tak guna kita nak ungkit apa yang dah berlaku. Abang janji, abang nak jalankan tanggungjawab abang pada Nadia, pada anak kita.”

Tak mungkin! Itu tak mungkin berlaku! Jerit Nadia di dalam hatinya. Stereng digenggam kuat, demi untuk menyalurkan rasa marahnya. Dia tetap tak mahu ada apa-apa hubungan dengan anak itu mahu pun bapanya. Dia tak mahu hidupnya diganggu.

Tak pernah! Tak pernah dia bayangkan yang dia akan hidup begini. Semuanya hancur dalam sesaat sebaik saja dia ternampak perempuan itu bersama Zulkarnain..

Nadia masih ingat betapa dia terlalu gembira dan lega sebaik saja Mak Pah beritahu yang ada lelaki bernama Zulkarnain datang mencarinya. Dia yang baru seminggu pulang dari London, memang sangat mahu berjumpa dengan Zulkarnain yang sudah hampir tiga bulan tidak bertemu selepas kali terakhir dia datang ke London menziarahinya. Dalam pada itu, tak sabar dia hendak berkongsi berita baik yang bakal menggemparkan mereka berdua.

Mereka keluar bersama ke Kuala Lumpur. Makan-makan sambil melepas rindu. Nadia sudah berkira-kira untuk bermalam di hotel bersama Zulkarnain kerana terlalu banyak yang hendak dikongsikan dan dia juga terlalu rindu. Belum sempat dia membuka mulut, Zulkarnain dikejutkan dengan sebuah panggilan telefon. Dan dia kelam-kabut minta diri untuk pergi. Berjanji yang dia akan datang semula ke rumah Nadia, dia meninggalkan sejumlah wang untuk perbelanjaan Nadia. Walaupun jelas Nadia tidak memerlukannya kerana duit poketnya dari papa sudah lebih dari mencukupi, namun Zulkarnain tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami untuk memberi nafkah setiap bulan. Selepas meminta Nadia menelefon salah seorang temannya untuk datang ke situ dan menemaninya membeli-belah, barulah Zulkarnain beredar dengan tergesa-gesa.

Nadia mengeluh namun dia memahami. Keluarga Zulkarnain juga memerlukan perhatiannya. Jadi dia mengalah. Sambil menunggu Maryam, sahabat baiknya datang ke situ, dia berjalan-jalan di kawasan sekitar.

Mulanya mereka hendak menonton sahaja tetapi berita tentang teman sekelas mereka yang sakit akibat putus tunang membuatkan mereka membuat keputusan untuk menziarahinya yang waktu itu sudah berada di hospital.

Bak kata orang, dunia ini kecil sahaja sebenarnya. Kereta yang dipandu Maryam berpusing sekeliling hospital besar Kuala Lumpur untuk mencari ruang tempat letak kereta yang kosong. Ketika melewati kawasan kecemasan, Nadia terperanjat melihat Zulkarnain sedang mendukung seorang wanita dari keretanya lalu tergesa-gesa masuk ke dalam bahagian kecemasan. Kelam-kabut dia meminta Maryam berhenti di tepi jalan.

Kakinya lemah sungguh saat itu tapi digagahkan juga untuk melangkah. Dia mengekori mereka hingga wanita itu di masukkan ke wad bersalin.

“Pendarahan dia serius. Tarikh pembedahan terpaksa dianjak. Perlu dibedah segera due to her placenta previa problem. Encik perlu tandatangan…”

Isteri! Wanita itu isterinya. Seterusnya Nadia tak dapat mendengar lagi mereka. Pandangannya berbalam-balam. Nadia yang berdiri membelakangi mereka di tepi dinding yang samar cahayanya hampir melurut jatuh ke lantai. Namun tangannya menampan ke dinding sekuat hati.

Perlahan-lahan dia menapak dan setitis demi setitis airmatanya jatuh bersama langkahnya. Hancur. Hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati Nadia saat itu. Perutnya rasa mual. Dia rasa nak muntah. Kakinya berlari sepantas yang boleh sementara matanya yang kabur dengan airmata ligat menerawang mencari tandas.

Sebaik saja dia masuk ke tandas, segala isi perutnya terhambur keluar. Sakit tekak dan otot perutnya bukan kepalang. Hampir lima belas minit dia di situ. Airmata dan peluh sama naik merembes. Badannya lesu dan kepalanya berpusing.

Nadia sempat menelefon Maryam dan memberitahu yang dia masih dalam tandas sebelum dia jatuh terjelepuk ke lantai.

Sebuah kereta yang memotong dari arah depan secara tiba-tiba mengejutkan Nadia yang dibawa arus waktu membuatkan dia bertindak memutar stering ke kiri untuk mengelak sambil menekan pedal brek berkali-kali membuatkan kereta terhoyong hayang dan hampir terbabas ke lereng bukit di sebelah kiri jalan.

“Nadia!!!” Jerit Zulkarnain. Tanpa sedar dia memegang bahu Nadia dan sebelah tangannya pantas memaut stereng kereta untuk distabilkan.

Kereta terus bergerak di haluannya tapi kian perlahan sementara Nadia kembali mendapatkan momentumnya. Zulkarnain terus membantu mengawal stereng sementara jari-jemari Nadia dan sekujur badannya mengeletar kerana terlalu terkejut.

“Nadia… Stop the car! Let me drive!”

“No!!” Jerit Nadia. Dahi Zulkarnain berkerut. Tiba-tiba tangannya di stereng ditepis. Nadia kembali fokus dengan pemanduan dengan wajah yang sangat tegang.

“Hey! Are you alright?” Suara Zulkarnain mengejutkannya. Sekaligus membakar rasa benci kepadanya. Stereng semakin kuat digenggam.

“Let me go!” Marah Nadia lagi seraya menepis tangan Zulkarnain yang melingkar kuat dibahunya. Zulkarnain mengalah. Dia diserang rasa bimbang. Nadia kelihatan tidak stabil sama sekali.

“You are not alright, Nadia. Kereta tu jauh lagi tadi. Tapi Nadia tak fokus. Now, let me drive.” Pinta Zulkarnain.

“No!” Nadia pantas menggelengkan kepala.

“Stop the car and let me drive, Nadia. Don’t make me force you!!” Suara Zulkarnain keras sungguh sehingga Nadia tergamam. Dia tak pernah mendengar suara Zulkarnain begitu.

“Do it now!” Tengking Zulkarnain lagi. Tangannya sudah memegang brek tangan. Cemas dengan apa yang mungkin lelaki itu lakukan, Nadia memberi isyarat ke kiri dan menghentikan kereta perlahan-lahan di bahu jalan. Dia mengambil nafas dalam-dalam. Kemudian menghela juga perlahan-lahan. Masih ada getar yang kuat dalam dirinya tapi dilawan sungguh-sungguh.

“We’ll be there shortly and…” Zulkarnain sudah hilang dari tempat duduknya! Nadia terpinga-pinga. Sedetik itu juga, tingkap keretanya diketuk orang.

Tubuh Nadia dirangkul keluar sebaik sahaja pintu kereta dibuka. Zulkarnain membawanya dalam paksa mengelilingi kereta lalu didudukkan di kerusi sebelah pemandu. Pintu ditutup dan Zulkarnain masuk semula dan duduk di kerusi pemandu.

Hati Nadia semakin menggelegak kerana diperlakukan begitu. Namun itu juga sifat Zulkarnain yang buat dia jatuh cinta padanya. Dia sangat menjaga dan mengutamakannya selama ini sehinggalah dia bersama dengan perempuan itu! Hati Nadia kembali tersayat.

Tiba-tiba Zulkarnain datang terlalu dekat dengannya. Hampir terjerit Nadia dibuatnya. Jantungnya berhenti berdegup kerana lelaki itu rapat sangat-sangat…

“Your seatbelt!” Bisik Zulkarnain sambil menarik tali pinggang keledar lalu dipakaikan untuk Nadia lalu dia kembali bersandar di tempat duduknya. Tali pinggang keledarnya dipasang. Nadia menghembus nafas lega sambil menahan debaran di dada. Tiba-tiba tangan Zulkarnain menyentuh pipinya. Sekali lagi dia tersentak.

“I’m sorry, Nadia. You rest and let me drive, okay… You don’t seem to be focused and i’m worried. Just relax…” Lembut kata-katanya lalu dia meneruskan perjalanan. Nadia menghela nafas berat lalu menghenyakkan tubuhnya ke kerusi berbalut kulit serba hitam itu. Relax?! Hatinya mendengus. Aku dah macam nak gila kat dalam! Bisik hati Nadia. Dia benar-benar tak tahu apa yang harus dia lakukan. Lelaki itu sudah cukup membuat dia menderita selama ini. Dan hati yang berdebar-debar bila dia menyentuh amat-amat merisaukannya.

Berterus terang saja! Nalurinya tiba-tiba bersuara. Dia lelaki yang baik selama ini. Sangat memahami. Mungkin dengan cara itu, dia tidak akan terus mendesak. Betulkah?! Nadia gusar. Apa lagi helahnya?

“Kita nak ke mana ni?” Soal Zulkarnain setelah lama berdiam diri. Baru Nadia tersedar. Mujur destinasi belum terlepas lagi.

Tidak berapa lama kemudian, Nadia meminta Zulkarnain memperlahankan kenderaan dan masuk ke sebatang jalan kampung. Agak jauh hingga ke kawasan dusun, mereka mengikuti jalan tar di tepi sebatang sungai sehingga ke sebuah jambatan kecil yang merentangi sungai.

Kereta terus berjalan di atas jambatani dan kemudian masuk ke kawasan yang berpagar. Pintunya sudah siap terbuka dan di dalamnya terletak sebuah rumah kayu yang agak besar yang membelakangi sebuah bukit. Tidak kelihatan rumah-rumah lain di situ kecuali pokok-pokok buah-buahan yang tinggi-tinggi.

Sebaik sahaja menghentikan kereta di garaj, mereka berdua keluar hampir serentak. Halaman rumah itu luas menghijau dan rumput terjaga dengan kemas. Rumah itu damai di bawah teduhan pohon-pohon durian dan rambutan yang sudah berusia. Selain itu, terdapat pokok-pokok hiasan yang lain mengelilingi rumah yang kelihatan seperti chalet mewah dengan dekorasi klasik kontemporari.

“Rumah siapa?” Soal Zulkarnain kehairanan apabila Nadia mengeluarkan kunci rumah itu.

“Rumah papa. Ini rumah dan kampung tempat papa dilahirkan. Rumah dah diubahsuai jadi rumah rehat keluarga.” Pintu dibuka dan suis lampu di dinding dipetik. Cahaya suram menyimbah ruang tamu yang terjaga rapi. Zulkarnain tersenyum sumbing. Rumah rehat keluarga! Berapa ramai gelandangan di Malaysia, merempat tak berumah. Tapi orang-orang kaya pula memiliki banyak rumah. Sampai bila nak rehat pun ada rumah!

Tanpa dijemput, Zulkarnain melangkah masuk. Keningnya berkerut. Rasanya rumah itu tidak berpenghuni. Jadi, mengapa mereka ke sini? Hatinya mula kecewa bila jangkaannya meleset. Dia datang dengan penuh harapan untuk bertemu dengan zuriatnya.

Nadia datang semula dengan dua gelas jus oren dan meletakkannya di meja. Dia menghidupkan penghawa dingin dan duduk diam di sofa, membuatkan Zulkarnain termanggu sendiri. Kebisuan Nadia benar-benar menguji.

“Kenapa kita ke sini? Siapa yang tinggal di sini?” Soalnya lagi, masih berlagak tenang.

“Nobody. We need to talk.” Jawab Nadia tanpa menoleh sedikit pun.

“Talk?! Sejauh ini kita datang, just to talk?” Zulkarnain cuba mengawal intonasi suaranya. Dia menarik nafas, cuba menenangkan gelodak jiwanya.

“We cannot be seen together, and you know that!”

“Ok! Ok! Kita memang perlu bercakap. Suasana di sini pun tenang…” Dia mengalah lalu duduk di sofa. Melihatkan tiada reaksi dari Nadia, Zulkarnain mencapai gelas lalu meneguk jus oren itu tanpa dipelawa.

Diam lagi.

Zulkarnain menggaru kepala yang tak gatal. Dia perlu bersikap setenang yang mungkin. Jadi dia duduk bersandar ke sofa, terus-terusan memandang Nadia yang terpaku memandang gelas di hadapannya.

“Nad…?”

“I gave her away.”

“What??!!” Zulkarnain bingkas duduk tegak di hujung sofa.

“Macammana Nadia nak besarkan dia tanpa suami?!” Matanya memandang tepat ke muka Zulkarnain.

“Abang ada! Selama ni abang ada. Tapi Nadia yang lari dari abang. Jadi, kenapa Nadia cakap macam tu?” Walau dalam keadaan terkejut yang amat sangat, Zulkarnain masih cuba berlembut.

“Ada?! Di mana? Dengan isteri yang baru? Atau isteri lama? Tak sampai setahun kita nikah, abang rupanya dah beristeri?! Apa yang Nadia nak katakan pada mama dengan papa?! Nadia kahwin dengan suami orang? Atau suami Nadia dah curang? Belum sempat mama kenal abang, belum sempat kita diraikan, abang dah ada isteri lain! Apa yang Nadia nak buat dengan kandungan Nadia bila abang dah buat Nadia macam tu?!!” Bagai diserang histeria, Nadia menyerang dengan soalan yang bertubi-tubi. Zulkarnain tak tahu yang mana satu harus dijawab dulu. Dia masih terkejut mendengarkan kata-kata Nadia tadi, I gave her away… Hatinya terluka sungguh dengan kata-kata itu.

“Nadia tak boleh balik ke London without you. Nadia tak boleh cakap dengan mama dan papa yang Nadia dah mengandung. Sebab mama belum tahu Nadia dah nikah. Nadia buntu! Dan Nadia tak sanggup lagi nak tengok muka abang. Nadia tak sangka, Nadia ditipu hidup-hidup!”

“Nadia! Abang tak pernah tipu Nadia. Cuma Nadia yang tak bagi peluang pada abang…”

“Peluang?! Peluang?! It was almost a year kita nikah, peluang apa lagi yang abang nak?! Never mind! I don’t want to know! I don’t care! Sekarang abang dah tau yang anak tu dah tak ada. I gave her away and I made my promise, I would not claim her back. Nadia takkan ganggu hidup dia. Yang penting dia selamat dan ada keluarga. So… please, leave her alone. Leave me alone… ” Zulkarnain bungkam.

“Adil bukan? Lepas apa yang abang dah buat pada Nadia? Abang dah kehilangan Nadia dan anak tu. Teruskan hidup abang. Jangan ganggu dia, jangan ganggu Nadia lagi. That’s all that I ask for…” Itu saja yang dia mahu katakan. Zulkarnain masih tunduk diam tak terkata.

Nadia lega. Rupanya tak sesusah yang dijangkakan. Jelas Zulkarnain bersalah dan dia hanya mangsa keadaan. Harapannya cuma satu, mereka boleh teruskan hidup masing-masing selepas ini tanpa menganggu sesiapa.

Nadia bangun dari duduknya lalu mencapai beg tangan yang dilemparkan di sofa yang sama diduduki Zulkarnain. Dia hendak balik sekarang. Dia perlu jauh dari lelaki ini dengan segera.

Tiba-tiba tangannya dipegang kuat. Nadia tersentak bukan kepalang. Zulkarnain mendongak perlahan-lahan melihat tepat ke dalam mata Nadia.

“Is that how much you love me, Nadia?”

“What?!” Nadia terjerit sungguh kali ini. Perlahan-lahan lelaki itu bangun berdiri memenuhi ruang matanya. Pandangan mereka bersabung.

“Sebab terlalu sayangkan abang, sampai macam tu sekali Nadia terluka, berdendam dengan abang. All that you have to do was to come to me for the truth, Nadia… But you ran instead…”

“You must be out of your mind!!”

“No. Tanya diri Nadia sendiri. Hati Nadia takkan tipu. Nadia sayangkan abang. Tapi Nadia lemah. Sebab hanya orang yang lemah saja yang berdendam. Orang yang kuat jiwanya akan memaafkan. Orang yang cerdik akan lupakan saja… You love me so much but you’re weak…”

Satu tamparan melayang ke pipi Zulkarnain. Marah Nadia memuncak. Dadanya berombak kencang dan seluruh badannya menggeletar. Tuduhan itu sangat menyakitkan! Tapi yang paling membuat dia marah adalah suara hati yang paling dalam, mengatakan itu semua benar!

“Lepaskan, Nadia. Lepaskan semua rasa marah Nadia pada abang… Abang sanggup terima. Tapi jangan rosakkan diri Nadia. Abang sayangkan Nadia. Tak pernah berhenti sayangkan Nadia…”

Sekali lagi pipinya ditampar. Sedikitpun dia tak berganjak. Tak langsung terusik. Dan Nadia semakin marah. Pipi itu ditampar lagi, tak cukup dengan itu, tangannya memukul dada Zulkarnain sekuat hati. Tertolak juga ke belakang dibuatnya. Sakit dan perit juga pipi dan dadanya. Namun Zulkarnain menahan. Dia tetap tak berganjak.

“I hate you!” Jerit Nadia.

“I hate you! Hate you! Hate you!” Hambur Nadia lagi sambil kedua tangannya terus memampar dan memukul dada Zulkarnain. Airmatanya berhamburan. Pedihnya sedikit pun tak berkurangan. Sakit tangannya, sakit hatinya. Benci melihat pandangan mata Zulkarnain yang memandangnya penuh kasih.

Nadia memukul bertalu-talu sampai tangannya tak berdaya lagi hendak memukul dan terkulai di dada Zulkarnain. Dia meraung menangis. Tubuhnya juga tak mampu berdiri dan hampir melurut ke bawah. Serentak itu Zulkarnain merangkul Nadia ke dalam pelukannya, mendakapnya seerat mungkin.

“And I love you. I’ve never stop loving you… No matter what…” Bisik Zulkarnain di telinga Nadia. Semakin kuat Nadia menangis mendengar kata-kata Zulkarnain, semakin basah baju di dada lelaki itu.

Perlahan-lahan Zulkarnain membawa Nadia duduk bersamanya di sofa. Nadia didudukkan di pangkuannya dan kepalanya disandarkan di bahu Zulkarnain. Dia membiarkan Nadia terus menangis teresak-esak sambil mengelus kepalanya, mengusap airmatanya berkali-kali.

“Abang mintak maaf, sayang. Mintak maaf sangat-sangat… Abang tak pernah lupakan Nadia, tak pernah berhenti sayangkan Nadia…” Sayu hati lelaki itu melihatkan airmata yang terus mengalir kerana dirinya.

Nadia makin sebak. Tanpa dia sedar, tangannya merangkul leher Zulkarnain. Memeluknya erat. Selama ini, dia memang mahu berada dalam pelukan itu. Mahu melepaskan segala yang terbuku dihati. Sememangnya di situlah yang dia rasa paling selamat. Tempat yang dia rasa paling disayangi… dalam pelukan lelaki itu.

Mereka duduk berdakapan begitu lama. Hingga tangisnya reda. Hidung, mata dan mukanya memerah. Nadia rasa malu. Perlahan-lahan dia mengalihkan mukanya dari leher Zulkarnain. Dan mata mereka bersatu. Diam lagi. Hanya memandang dalam. Tanpa diduga, bibir Zulkarnain yang terlalu hampir itu menyentuh bibirnya. Terpejam mata Nadia menahan getaran yang amat kuat dalam dirinya dek sentuhan itu. Nadia tenggelam, hanyut dalam kasih suaminya. Saat itu, segala rindu, segala rasa cinta, segala rasa sedih dan segala yang terbuku di hati dilepaskan semahunya.

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 19

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s