Siri Novel Cinta Puteri vs Nuqman 18

Bab 18

Sebentuk loket yang tergantung di dadanya disentuh di antara hujung jemarinya sejak tadi tanda dia amat gelisah. Hari yang ditunggu sudah terlalu hampir. Gembira? Bahagia? Ah… benar hatinya bagaikan musim bunga. Namun separuh jiwanya bagaikan tiada.
Pelik. Sebuah hubungan cukup mampu menyentuh banyaknya hati. Memisahkan dan menemukan. Mengubah haluan dan mengubur impian. Menumpahkan airmata dan mencipta senyum tawa.
Maliha memandang kosong ke luar jendela. Betapa hidupnya berubah kerana hubungan itu. Dia kehilangan sungguh. Kemudian dia juga menemukan kebahagiaan. Tapi kenapa kehilangan itu masih amat terasa. Terutama saat ini. Saat dia akan berada di puncak bahagia. Mana mungkin dia bahagia dengan hanya separuh jiwa?
Perlahan-lahan setitis air mengalir dari tubir mata. Ternyata hidup ini tidak mudah bila kita menyayangi. Malah semakin kita sayang, semakin kita diuji. Semakin kita kasih, semakin kita dituntut untuk berkorban diri. Namun apa ertinya sayang dan kasih, teruji dan terkorban kalau kita terus kehilangan.
Tuhan… kembalikanlah. Hadirkanlah semula separuh jiwaku yang hilang. Bukankah Engkau sepertimana yang hamba-Mu sangkakan? Engkau mengasihi hamba-Mu yang mengasihi antara sesama. Dan demi kasih-Mu, janganlah kasih yang pernah terjalin itu terkubur sia-sia. Satukan kami, ya Allah, demi untuk kami bersama membesarkan dan mengagungkan-Mu. Jangan kecewakan hamba-Mu ini, ya Allah.
Mutiara airmata kian berjuraian bagaikan terputus simpulnya. Rintihan Maliha tak kenal erti jemu, tak tahu erti lelah. Kasih seorang saudara dan rindu seorang sahabat, itulah separuh jiwanya. Meski kini hadir seorang kekasih yang mencintainya setulus hati, separuh jiwanya masih belum bernyawa.
“Assalamualaikum…”
Maliha terkejut. Loket di dada terus digenggam sekuat hati. Jangan aku bermimpi lagi! Matanya terpejam rapat.
“Liha!”
Suara itu! Maliha menelan liur, mengulum sebak. Airmata bagaikan empangan yang pecah. Mengalir laju tanpa dapat ditahan lagi. Dan akhirnya dia berpaling.
“Waalaikummussalam…” Jawabnya dengan suara dan bibir yang bergetar. Benar hadirnya seseorang di situ, di muka pintu. Seseorang yang amat dinanti, mendepangkan tangannya dengan senyuman paling manis.
Bagaikan takut kalau itu mimpi, Maliha melangkah terlalu perlahan. Cemas kalau semua itu akan hilang dengan tiba-tiba. Seperti yang sudah selalu terjadi. Namun kali ini, pandangan mata itu hidup sekali. Memandang penuh harap dan kasih. Meluruhkan segala dendam, meruntuhkan benteng ego dan benci yang selama ini menutup kasih, menyulam kecewa.
“Liha!” Suara itu sarat dengan harap dan rindu.
“Abang!” Saat itu, dia bagaikan terbang ke dalam dakapan Ammar. Ya Tuhan!
Ammar Bahrain tak pernah tahu sedalam ini rasa kasih dan rindu seorang adik. Maliha hanya satu. Darah dagingnya. Kasih dan kemaafannya hari ini bagaikan nafas baru baginya. Dia yang selama ini bagaikan di Gurun Sahara, kehilangan, kehausan dan ketandusan kasih sayang satu-satunya adik kandung, Maliha Affiah.
Basah dada Ammar dengan airmata Maliha. Menangis sungguh dia. Ammar juga tak mampu menahan. Sebak dan sedih sekian lama mencengkam jiwanya. Airmata lelakinya tumpah juga. Lama mereka berdakapan erat di situ. Rindu bagaikan tidak juga mahu terlerai. Betapa hampir tiga tahun itu terlalu lama mereka biarkan berlalu dek kerana sakitnya hati, luka dan dendam yang tak terubat. Namun, perjalanan masa yang mendewasakan, dengan doa yang sering dipanjatkan, Tuhan mengubah hati-hati mereka dengan Kasih Sayang-Nya.
“Abang mintak maaf, Liha…” Muka Maliha diraup dengan kedua belah tangannya. Tak mampu dia terus mendengar tangisan gadis itu. Kedua ibu jarinya mengesat airmata yang laju mengalir.
“Liha yang kena mintak maaf… Liha tak patut buat abang macam tu. Liha mintak maaf…” Suaranya serak dengan sedu sedan. Matanya merayu sayu. Ammar tak tertahan lagi. Wajah itu dipeluk kembali seerat mungkin.
“Liha tak salah, sayang. Abang yang salah. Tuhan dah hukum abang atas kesalahan abang. Abang insaf, Liha…” Bisik Ammar di ubun-ubun adiknya. Tuhan, kalaulah waktu dapat Kau putarkan untukku! Takkan kusakiti hati-hati insan yang kusayang.
Mereka turun ke ruang tamu untuk bersama mama dan papa. Bersatu kembali selepas hampir tiga tahun serba tak ketahuan. Selama itulah hubungan mereka pincang tak berirama seperti selalu. Perit rasanya melalui episod itu.
Ruang tamu muram dan suram. Nek Kiah yang baru sahaja selesai menghidang juadah petang, berdiri di kaki tangga menyambut Ammar dan Maliha yang menuruni anak tangga.
“Assalamualaikum, Ammar! Apa khabar?!” Nek Kiah memandang penuh rindu. Kedua tangannya menatang seperti selalu, menunggu untuk menyambut anak muda itu.
“Waalaikummussalam Nek Kiah! Rindunya… tadi Ammar masuk, tak nampak Nek Kiah. Kat mana tadi?” Tangan tua itu disambut dan dikucup bertalu-talu. Ammar rasa seronok sungguh bertemu dengannya yang selama ini menjaga dan mengasuh dia dan Maliha sejak mereka kecil lagi. Kasih sayang Nek Kiah lebih dari nenek sendiri. Maklum, segala-gala tentang Ammar dan Maliha, Nek Kiahlah yang menguruskannya, membantu mama dan papa. Walaupun kini dia sudah tidak punya kudrat lagi tetapi masih mahu berbakti pada keluarga itu yang sudah seperti keluarganya sendiri. Sudah acap kali adik-adiknya mahu mengambil dia pulang namun Nek Kiah tidak betah berpisah dengan keluarga Tan Sri Khaleef. Kini dia terus tinggal bersama mereka menemani mama sementara kerja-kerja rumah dibantu oleh seorang pembantu rumah yang baru.
“Nek Kiah tidur tadi. Rasa penat sikit.”
“Nek Kiah sihat tak ni?”
“Eh! Tak ada apa-apalah. Nek Kiah sihat-sihat je. Kenapa Ammar balik terkejut-terkejut macam ni? Tak sempat Nek Kiah nak masakkan apa-apa! Kelam-kabut Nek Kiah bila mama kau kejutkan tadi, bagitau Ammar dah balik…” Ammar ketawa lepas. Nek Kiah sudah penat-penat pun masih hendak masak-masak untuknya.
“Sebab tulah Ammar tak nak bagitau. Nanti penat Nek Kiah masak daging dendeng lah, sotolah… Ammar dah tau dah…” Dalam tawa, pipi tua itu diusap-usap penuh kasih.
“Haa… ada hadiah istimewa untuk Nek Kiah tau!” Cepat-cepat Ammar memimpin Nek Kiah lalu didudukkan di sofa di ruang tamu. Kemudian dia mengambil sesuatu dari beg troli yang mengandungi semua hadiah-hadiah yang dibelikan untuk keluarganya. Sehelai jubah dari Dubai yang baru dibelinya semalam diserahkan ke pangkuan Nek Kiah.
“Ya Allah… cantiknya, Mar!” Berkerut-kerut muka Nek Kiah gembira bercampur terharu.
“Wah! Nek… cantiknya! Nampak muda sepuluh tahun, Nek!” Seru Maliha sambil meletakkan jubah itu di bahu Nek Kiah. Mereka ketawa mengusik. Tersenyum-senyum Nek Kiah dibuatnya.
“Kau ni, Liha! Jangan merepek boleh tak? Jubah ni yang cantik. Nek Kiah dah tua tetap dah tua!” Marah Nek Kiah dalam bergurau. Malu dia dibuatnya.
“And this is yours, sayang!” Tiba-tiba sehelai jubah lagi ditayangkan di hadapan Maliha. Dibeli di Dubai juga.
“My! Oh My! Abang nak Liha jadi Datin sebelum waktu, ya?! Nek Kiah… Liha jadi sepuluh tahun lebih tua dengan jubah ni!!” Pecah derai tawa mereka. Jubah serba hitam yang sarat dengan hiasan manik di leher dan pergelangan tangan itu diletakkan di bahu dan digayakan dengan jalan gaya mak datin. Tak sesuai untuk catwalk gitu!
“Abang beli ni, untuk Liha pakai bila kita ke Mekah nanti…” Ammar yang berpeluk tubuh tersenyum memerhatikan gelagat adiknya. Sepasang mata Maliha terbeliak mendengar kata-katanya.
“Mekah?! Really?! Eh… abang ni baru balik dari New York ke atau dari Saudi?” Tanya Maliha sungguh-sungguh.
“Kenapa? Orang Islam kat New York pun ada yang pergi hajilah!” Mencerlung mata Ammar dibuatnya. Dan pecah ketawa Maliha dan Nek Kiah.
“Kita nak pergi Mekah, Nek Kiah!! Alhamdulillah!! Err… betul kan, bang? Abang jangan main-main!” Maliha siap bercekak pinggang. Jangan-jangan Ammar hanya mempermainkannya! Sedangkan hatinya sudah berkobar-kobar ni!
“Iya… Insya-Allah. Abang dah pasang niat masa beli jubah-jubah ni. Abang dah ready nak kerja. Bila cukup simpanan duit gaji abang nanti, abang nak bawak kita sekeluarga ke Mekah. Tak taulah kenapa tiba-tiba abang terfikir macam tu… mungkin masa di Dubai tu agaknya. Ada tempat-tempat di situ mengingatkan abang pada suasana di Mekah.”
“Alhamdulillah… haa, itulah seru namanya, Liha! Orang yang menjadi tetamu Allah memang istimewa. Bahagialah mama kamu kalau dia tahu…” Nek Kiah menggeleng-gelengkan kepala, terharu dan bersyukur.
“Mama! Mama kat mana abang?” Maliha tiba-tiba teringatkan mama.
“Abang?” Menyedari perubahan riak wajah Ammar, Maliha gusar.
“Mama masih di biliknya. Dah puas Nek Kiah pujuk. Sabarlah, Mar. Hati ibu macam tulah…” Bahu Ammar diusap lembut. Ammar tunduk, mengangguk. Dia terduduk diam di sofa dan Maliha juga mengambil tempat di sebelahnya, diam dalam terpinga-pinga. Kepulangan abangnya memang sebuah kejutan.
Mama. Rajuk mama rupanya berpanjangan. Tidak semudah kemaafan Maliha, Ammar buntu dengan kebisuan mama. Hanya pelukan dan airmata yang tumpah saat menyambutnya di muka pintu. Telapak tangan mama hangat menyentuh muka Ammar, mengusap rambutnya dan badannya tanda dia teramat rindu sehingga Ammar mengalirkan airmata kerana tersentuh sungguh dengan kasih sayang mama. Terasa sangat hati mama menderita kerinduan. Sangka Ammar, mama akan kembali riang bila dia pulang tersasar sama sekali. Sebaliknya Ammar jadi buntu menghadapi mama yang tak kering airmatanya. Ciuman dan pelukan Ammar tak dapat meredakan hiba hatinya. Sudah berlambak hadiah yang Ammar letakkan di pangkuan mama. Mama hanya senyum, tunduk mencium hadiahnya dan kembali menitiskan airmata. Ahh mama! Dan selepas itu, mama minta diri ke biliknya. Ammar bingung! Sedih dalam hati hatinya tak terucap melihatkan mama begitu. Apa yang telah aku lakukan pada mama?!
Datin Khadijah masih bertelekung walaupun sudah selesai menunaikan solat asar berjemaah bersama suami dan anak-anaknya. Dia melarikan diri ke bilik sebaik sahaja mereka selesai bersalaman. Airmatanya bagaikan tidak mahu berhenti dari mengalir. Sudah puas dipujuk hatinya. Sudah berkali-kali dia beristighfar. Namun kesedihannya tidak juga berkurangan. Aneh sungguh. Ammar sudah kembali. Apa lagi yang dia mahu? Bukankah doanya sudah dimakbulkan Tuhan.
Khaleef mengusap lembut kepala isteri kesayangannya. Dia segera pulang apabila mendengar suara Khadijah yang serak dan sebak di corong telefon. Hanya sepatah kata yang mampu dia suarakan – Ammar! Khaleef sudah tahu. Anak lelaki kesayangannya dan bakal peneraju syarikat yang sudah melepasi tiga generasi dan kini sedang berkembang luas itu sudah pulang. Dan Khadijah masih seperti dalam talian tadi, diam, sebak dan hiba. Khaleef tunduk mengucup ubun-ubun Khadijah. Namun dia hanya diam tidak bersuara. Dia amat kenal dengan isterinya. Pengasihnya tiada tara. Cuma dia perlu waktu. Luka hatinya sudah terlalu lama terpendam. Apa tidaknya, begitu lama merantau, anak bujangnya itu langsung tidak mahu pulang menjenguknya di tanahair. Bukannya tidak ada duit untuk urusan tiket pergi dan balik kerana Khaleef lebih dari mampu. Tetapi kerana Ammar terlalu sibuk melayani teman wanitanya.
Ammar meraup mukanya, melindung rasa sebak sebaik sahaja mama melangkah pergi meninggalkan ruang solat. Dia tunduk kembali di sejadah. Maliha datang memaut lengannya, menyandarkan kepalanya di bahu Ammar.
“You are so lucky, big brother! You have so much love… even when loving you hurts so bad, sometimes.” Kata-kata Maliha menusuk menikam jantungnya. Saat itu juga, dia rasa amat berdosa! Betapa dia telah mementingkan diri sendiri hingga sanggup menyakiti orang-orang yang amat menyayanginya. Dan dia sedang dihukum atas dosa-dosa dan kelalaiannya itu.
Tahun pertama, Liyana mahu menjelajah ceruk rantau Eropah. Ahh… saat itu cinta adalah segalanya. Segalanya dituruti. Ammar memang cukup mampu untuk berbelanja demi Liana. Berkorban apa saja. Harta atau pun nyawa. Sehinggakan mereka digelar ‘Romeo and Juliet’ di kalangan teman-teman. Pantang ada hari cuti, mereka akan menyusun rancangan bersama teman-teman menjelajah negara orang. Usia remaja dinikmati semaksimum mungkin. Namun penghujung tahun itu mula merubah suasana.
“Please, Mar… My job is only to be out there, to be seen at high end venues throughout Manhattan. This is a golden chance for me. I need this! And you don’t have to worry, honey. There is no entertaining clients or doing sales, not even nudity involved. And I promise, promise, promise… I’ll behave!”
Rayuan Liyana untuk berkerja sambilan sebagai model tak kenal erti jemu. Ammar serba salah sungguh. The Art Institute of New York City, tempat Liyana belajar sememangnya terletak di tengah bandar Manhattan, daerah fesyen yang menjadi ikutan yang terkenal di Bandaraya New York. Di situ pusat buruan agensi pengiklanan, senikreatif dan tentunya fesyen paling terkini dan kegilaan dunia. Bagaikan mimpi menjadi nyata, laluan gadis yang mempunyai ketinggian lima kaki sembilan inci dan memiliki bentuk badan yang menarik seperti Liyana menjadi begitu mudah. Menidakkan kemahuannya bererti menyekat cita-citanya. Tetapi seandainya diizinkan, mampukah Liyana mempertahankan budaya timur dan nilai seorang gadis melayu Islam pada dirinya? Itulah persoalan yang datang bertubi-tubi dalam diri Ammar. Sedangkan di Malaysia pun, Liyana tidak lagi berwajah melayu luaran dan peribadinya. Sanggupkan dia memiliki seorang isteri ‘mat salleh’ nanti? Kalau hanya dari rupa paras, dia memang suka. Tetapi kalau sikap dan cara hidup?
Namun demi cinta dan sayangnya dan kalah dengan rayuan manja Liyana, Ammar mengalah. Dan demi mahu memastikan Liyana selamat, dia sanggup mengikut ke mana saja Liyana pergi walaupun itu bermakna sebahagian dari waktu kelas pengajiannya terpaksa dikorbankan. Mula menyelusuri siang dan malam di bandaraya New York, bandar yang tidak pernah mati, kata Frank Sinatra dalam lagunya, Ammar dan Liyana makin hanyut dalam hingar bingar muzik yang menjadi nadi kehidupan di sana.
Tahun kedua, Liyana mula menceburi dunia model secara sambilan dengan lebih serius bagi mencedok pengalaman. Jadual Liyana yang padat memaksa Ammar bersabar. Setiap kali cuti semester, dia bertambah-tambah sibuk dan hanyut dengan dunianya. Sehingga akhirnya dia tidak punya waktu untuk Ammar. Apatah lagi dia juga sudah betah dengan diri sendiri tanpa memerlukan Ammar lagi. Keadaan itu membuatkan Ammar mula muhasabah diri dan tersedar yang dia sudah terlalu banyak mengabaikan pelajarannya kerana Liyana. Pengajian Ammar yang sepatutnya cuma lima semester menjadi lebih panjang apabila dia terpaksa mengulangi semula beberapa subjek yang teruk keputusannya. Bangun dari kesilapan, dia bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran yang tercicir untuk tidak kecewa dalam cita-citanya sebagaimana dia sudah hilang keyakinan dengan cinta Liyana.
Dalam dalam pada itu, dia berkesempatan mengikuti program Internship yang diadakan di The Washington Centre yang terletak di Washington DC selama sepuluh hari. Program yang melibatkan para pelajar dari lima belas negara yang mengambil jurusan samada Ekonomi, Kewangan, Perniagaan atau Perakaunan itu mendedahkan para peserta mengenai ekonomi antarabangsa dan isu-isu berkaitan di samping berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat syarikat-syarikat yang bertaraf global.
Dunianya kembali terbuka dan menyedarkan Ammar tentang impiannya dalam perniagaan. Lebih mengejutkan, dia berkenalan dengan beberapa orang pelajar yang datang dari tanahairnya dan juga negara Islam lain yang mempunyai sisi pandangan yang berbeza dalam dunia ekonomi. Pelik pada mulanya, Ammar mula memberi perhatian kepada budaya fikir mereka. Mencedok ilmu dari Barat untuk mengenengahkan lagi sistem ekonomi dan perniagaan Islam!
Bersama mereka menerokai Bandaraya Washington pada setiap waktu yang terluang dalam aturcara program yang agak padat memberi pengalaman baru untuk Ammar sebelum pulang ke kampus. Dia mula mengenali sisi baru dalam Islam, agamanya sendiri. Rupanya ada perjuangan untuk bangsa dan agama di sebalik perniagaan!
Gabungan dua orang sahabat, Muaz Kamaruzzaman dari Johor dan Fuad Abdullah dari Mesir dengan cita-cita mereka hendak memiliki sebuah syarikat penerbitan dan seorang lagi mahu menerajui sebuah rangkaian televisyen miliknya sendiri dengan misi dan visi yang sama benar-benar mengujakan. Mereka sudah merancang dan memulakannya ketika masih di peringkat sarjana lagi. Pertemuan dalam program itu dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebuah filem pendek dan sebuah rancangan hiburan sempat dirangka dan dilakukan sepanjang waktu-waktu terluang sepanjang program berjalan.
Ketika satu sesi penggambaran dilakukan, Muaz sendiri menjadi model bersama salah seorang pelajar yang mengikuti program itu, Haida yang berasal dari Bosnia, memperagakan busana kontemporari. Aksi mereka begitu mesra membuatkan Ammar tertanya-tanya.
“Very loving pair…” Gumam Fuad kepada Ammar. Rupanya mereka adalah pasangan suami isteri. Yang lebih mengejutkan, busana yang diperagakan adalah rekaan Haida sendiri. Mereka mempromosi pakaian yang ringkas, mudah namun bersyariat untuk golongan muda yang aktif dalam beberapa bidang seperti sukan dan korporat. Haida yang mempunyai pakej luarbiasa, cerdik, kreatif, cantik dan beragama, mempunyai visi yang luas dalam bidang fesyen dan sangat berani melangkau sempadan sehingga ke Amerika kerana baginya bersyariat itu menguntungkan. Malah kebaikannya ditonjolkan. Peribadi wanita diangkat dengan bersyariat sehingga Barat tidak lagi mencemuh wanita Muslim yang dikatakan jumud dalam pakaian yang menutup tubuh. Dengan kebolehan Muaz dan Fuad, rekaan Haida kini mendapat tempat di bumi asing ini yang bangga mempamerkan tubuh wanita mereka!
Ammar bagaikan dibawa arus paradigma. Dia pulang membawa pemikiran baru dan dikongsi bersama gadis kesayangannya. Namun segalanya hancur bila dia hanya diketawakan. Liyana hanya akan mencipta fesyen-fesyen sebegitu apabila dia sudah tua nanti! Kata-kata Liyana amat menyakitkan. Dia tidak percaya, sebagai seorang muslimah, dia boleh pergi jauh membina cita-cita dalam dunia fesyen tanpa memperjudikan syariat agamanya sendiri!
Akhirnya mereka berpisah mengikut haluan sendiri. Ammar tidak memandang ke belakang lagi. Kecuali dalam satu hal sahaja. Untuk mengutip cinta pertama yang pernah dia singkirkan dari hidupnya suatu ketika dulu. Dan sekaligus mengutip dosa-dosa yang telah dia tinggalkan untuk dia taubatkan dan perbaiki diri sebelum melangkah ke hadapan.
“Abang, pergilah berbual dengan mama…” Perlahan tutur Maliha menyentak lamunan Ammar. Satu keluhan berat melewati ulas bibirnya.
“Abang rasa tak sanggup sungguh tengok mama macam tu…”
“Kami dah lama tengok mama macam tu, bang…”
“Ya Allah!” Ammar meraup muka, terkejut mendengarnya. Sudah berapa lama aku buat mama menangis?!
Ammar bingkas bangun mendapatkan mama. Berselisih dengan papa di pintu bilik, tubuh papa dipeluk erat untuk dia dapatkan sedikit kekuatan. Papa menepuk bahunya, tanpa kata tetapi cukup memberikan dia harapan.
“Mama…” Ammar duduk melutut di lantai. Mengadap mama yang masih merenung jauh ke luar jendela dari birai katil. Perlahan mama berpaling. Pipinya basah. Namun segarit senyum muncul di bibirnya.
“Mar…” Hanya sepatah. Kemudian mama diam lagi. Merenung dalam ke wajah anaknya.
“Ma… Mar dah cukup berdosa dengan mama. Mar mintak ampun, ma… tolonglah… jangan menangis lagi, ma. Tak sanggup Mar nak berenang dalam kawah airmata mama di Akhirat nanti. Tolong Mar, mama…” Hanya itu yang terluah dari hatinya yang paling dalam.
Khadijah tersentak lalu menekup bibirnya yang bergetar menahan sebak. Benar. Kata-kata Ammar menyedarkannya. Dia tak patut menangis lagi. Sedaya upaya dia menahan tangisnya. Namun kepedihan itu memuncak juga. Lalu digigit bibirnya menahan tangis. Bergetar kepalanya. Demi anaknya! Nafas ditarik berkali-kali untuk menenangkan perasaannya.
“Maafkan mama, sayang…” Kepala Ammar dipaut. Sedetik itu, Ammar tersembam di riba mama dan menangis bagai anak kecil.
“Syhhh… Mar… mama mintak maaf. Mama tak kuat. Mama janji lepas ni mama tak nangis lagi. Mama mintak maaf…” Berkali-kali Khadijah memujuk. Airmatanya tumpah akhirnya. Namun ditahan-tahankan juga. Dikesat berkali-kali dengan belakang tangan. Kepala Ammar terus diusap hingga akhirnya Ammar jadi reda.
Tak lama kemudian mereka duduk berdampingan di birai katil, saling mengenggam tangan. Airmata sudah diseka dan senyum sudah mula menguntum.
“Mar, mama ada satu permintaan.” Perlahan Khadijah bersuara dalam senyum yang semakin berseri.
“Apa ma? Selagi terdaya, Mar akan cuba…” Tenang Ammar menatap wajah lembut mama.
“Puteri…” Ammar terkejut. Kenapa tiba-tiba nama Puteri muncul di bibir mama? Dan saat itu dia menelan liur dalam payah.
“Ya, ma…” Dalam debar, dia menanti.
“Dia tak pernah datang ke sini lagi. Mama tak faham. Liha… Liha tak mau bercakap pasal Puteri. Liha macam dah putus hubungan dengan Puteri. Liha selalu bersedih, Mar. Mama tak faham. Mama tau dia rindukan Puteri. Mama juga rindukan Puteri. Dia macam anak mama sendiri. Dia tak ada ibu, Mar… dan dia juga tak datang lagi pada mama…” Rintihan mama menyentak seluruh diri Ammar. Ya Tuhan!!
“Dia jugak rapat dengan Ammar, kan?” Soalan mama teramat pedih. Sememangnya mama tak tahu tentang hubungan Ammar dengan Puteri, sahabat baik anak gadisnya sendiri. Semua itu permintaan Puteri kerana dia malu kalau mama tahu. Belum masanya lagi, kata Puteri. Dia tidak mahu hubungan mesra dan manja dengan mama terganggu. Dia memang manja dengan mama sejak dia berkawan rapat dengan Maliha.
“Boleh Mar bawa Puteri balik sini jumpa mama? Mama rindu…” Ammar menelan liur. Rupanya tindakannya bukan sahaja menghancurkan hati Puteri Zulaikha tetapi memutuskan sebuah persahabatan dan sebuah hubungan ibu dan anak.
Dia tak ada ibu, Mar… dan dia juga tak datang lagi jumpa mama… Kata-kata itu merobek hatinya. Apa yang telah aku lakukan, Tuhan?!!

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel Cinta Puteri vs Nuqman 18

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s