Siri Novel Cinta Puteri vs Nuqman 17

Bab 17

“Awak sebut tentang kunci… Apa maksud awak?” Puteri tiba-tiba bersuara setelah hampir separuh pinggan nasi di pinggannya habis dijamah. Nuqman yang sedari radi asyik memerhatikan Puteri makan dengan penuh berselera sekali agak terkejut.
“Kunci?” Soalnya, sepatah.
“Hmm hmm… kunci yang musuh Islam dapat bila mereka kaji sejarah Al Fateh.” Puteri mengangguk tanpa mengangkat wajahnya. Tangannya terus menyuap nasi. Walau macammana pun mindanya berputar, seleranya tak langsung terganggu.
Nuqman tersenyum. Dia tak menyangka Puteri berminat tentang itu secara mendalam. Malah tak terfikir olehnya yang Puteri masih ingat kata-katanya.
“Solat malam.” Tangan Puteri terhenti menyuap. Itu je?!
“Err… Solat malam kunci kejayaan Al Fateh dengan tenteranya menawan konstantinopel?” Puteri benar-benar tak mengerti.
“Ya. Tulah kekuatan solat malam yang luar biasa. Di sepertiga malam, bila hamba Allah sanggup bangun dalam kesejukan, berwuduk menyucikan diri kemudian datang mengadap Allah. Sedangkan waktu tu paling best dapat peluk bantal, betul tak?” Nuqman memandang tepat ke wajah Puteri. Terkejut disoal tiba-tiba, dengan soalan terkena batang hidung pulak tu, Puteri terbatuk-batuk seketika. Dengan senyuman serba-salah, dia mengangguk-angguk.
“Bila musuh datang mengendap ke kawasan perkhemahan tentera Al Fateh, mereka terkejut sungguh. Semua tentera bangun waktu tu sedangkan di siang hari mereka berperang habis-habisan. Mereka solat taubat, solat tahajud, solat hajat dan merintih memohon pertolongan Allah. Itulah antara perkara utama yang Sultan Muhamad Al Fateh contohi daripada Rasulullah dan para sahabat. Musuh jadi pelik sebab tentera Al Fateh tak letih berperang di siang hari. Sedangkan mereka tidur hanya sepertiga malam. Selebihnya mereka beribadah sampai ke subuh. Itulah Abid di malam hari, singa di siang hari”.
“Maksudnya, mereka yang bangun malam tu dibantu Allah…”
“Tepat sekali!” Nuqman kagum. Hebat juga penghayatan anak manja Tan Sri.
“Allah yang sifat-Nya Maha Penyayang, manalah Dia tak jatuh kasih melihat hamba-Nya yang begitu sekali berkorban demi menagih perhatian-Nya. Kerana cintakan Dia, hamba-Nya sanggup korbankan tidur dan rehat untuk mengadap-Nya. Bertaubat sentiasa. Merasa diri hamba, mengaku lemah, merintih harapkan pertolongan Allah. Sebab tu lah, permintaan mereka yang bangun malam dimakbulkan Tuhan. Kejayaan yang dibantu Tuhan memang luarbiasa. Itulah kunci kegemilangan Islam di tangan Rasulullah dan para sahabat seterusnya di tangan pemerintahan Uthmaniah.” Penjelasan Nuqman jelas sejelas kristal.
Minda Puteri menelusuri perjalanan sejarah Al Fateh dan empayar Uthmaniah yang memang jelas dibantu Tuhan terutama dalam teknik peperangan mereka yang sangat bijak mengalahkan musuh. Yang disangkanya selama ini adalah kecerdikan akal semata-mata. Rupanya pergantungan mereka kepada Tuhan yang menjadi rahsia.
“Ingat tak perang Badar? 313 orang je pejuang Islam, kan? Lawan 3000 orang musuh Islam. Logiknya boleh menang ke? Bulan puasa pulak tu. Tapi kalau dibantu Allah, tentulah menang besar. Untung jadi orang Islam yang ada kunci kekuatan untuk berjaya, tapi sayang tak ramai yang nak guna kunci tu. Lebih parah, bila orang Islam sendiri guna cara musuh sebab nak berjaya. Akhirnya jatuh, rugi dan musnah macam musuh jugak. Semua orang sibuk nak ikut cara Barat yang kononnya maju dan berjaya tapi tengoklah Barat, dah lama hancur dari dalam. Pun orang Islam masih tak nampak, kan?” Muka Puteri dipandang tepat.
Puteri menelan liur. Tanya aku?! Nak jawab apa? Macam aku je yang dia cakapkan tu… Ada ke aku gunakan kunci tu selama ni untuk berjaya? Tak, kan? Jadi dia cakap pasal akulah tu… Aduhh… mana nak letak muka ni! Dia tunduk diam tak terkata. Rasa pipi sudah panas membahang. Silap topik ni!
“Selain dari tu, mereka sangat cintakan Rasulullah. Macam para Sahabat, rindu dan sayang sangat-sangat pada Rasulullah sebab peribadi Rasulullah tu sendiri yang sangat sayangkan umatnya. Dan cinta Rasulullah pada Tuhan dah banyak buktikan kemenangan demi kemenangan dalam Islam yang jadi contoh pada sahabat dan pejuang Islam. Macam yang saya katakan dalam Hagia Sophia tadi, pejuang seperti Al Fateh memang dilahirkan dan dibesarkan untuk memperjuangkan agama Allah. Jadi dia dididik supaya kenal betul-betul dengan Rasulullah dan para Sahabat. Sehinggakan kata-kata Rasulullah yang Konstantinopel akan jatuh ke tangan Raja yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik, itu dijadikan fokus utama dalam hidup datuk Al Fateh, ayah Al Fateh, lepas tu diturunkan kepada Al Fateh. Macammana para Sahabat bertebaran di muka bumi nak merealisasikan kata-kata Rasulullah, macam tu lah Al Fateh. Al Fateh berusaha keras memastikan dirinya seorang raja yang baik, tenteranya baik dan rakyatnya baik. Saya baca sejarah Al Fateh berkali-kali tak jemu. Cinta Tuhan dan Rasul itulah kunci utama Al Fateh berjaya. Tapi yang tu, musuh tak nampak. Solat malam, sifat taqwa dan perjuangan mereka, itu yang musuh nampak. Itu sebenarnya hasil dari rasa cinta dan takutkan Tuhan.” Nuqman semakin bersemangat bercerita.
“Jadi macammana musuh Islam gunakan kunci tu pulak nak melemahkan dan menjatuhkan orang Islam?” Puteri masih di awang-awangan.
“Lalaikan mereka. Mudahnya, promosi hiburan, bawa umat Islam dari mencintai Tuhan kepada cintakan dunia.”
Mata bundar Puteri terkelip-kelip. Mindanya menerawang. Mudahnya?
“Hiburan tak kira dalam bentuk apa pun, selagi dapat melalaikan manusia, itulah yang mereka usahakan. Lagipun fitrah manusia memang perlukan hiburan. Tak boleh nak elak. Kalau tak ada asas iman yang kukuh, mesti kita akan pilih hiburan yang disiapkan musuh. Antara nasyid dengan pop rock, mana satu yang Ika pilih?”
Adoi!! Kena lagi!! Ahh… tak boleh tahan macam ni! Nuqman tersenyum setia menunggu jawapan. Arrghhh!!
“Err… saya…” Puteri tergagap-gagap. Memang dah tak boleh putar belit ni! Err… nak mengaku je ke…?
“Kita mesti pilih pop rock, kan?” Nuqman tolong jawabkan.
Kita? Err…
“Sebab asas kita belum kuat. Bila dengar lagu tentang Allah dan Rasul, jadi berat rasanya. Tapi lagu-lagu pop rock, jazz dan macam-macam lagi, iramanya pun dah membuai perasaan. Kepala jadi ringan, relaks, enjoy… itulah hiburan yang kita pilih. Sedar tak sedar kita makin hanyut dengan perasaan dan dunia sendiri. Makin kurang kita ingat Allah, makin seronoklah musuh masuk jarum dan akhirnya hidup kita makin relaks, makin leka. Manalah larat nak bangun malam solat tahajud kalau dah relaks dan leka, betul tak?”
Puteri sudah terbakar di tempat duduk sendiri. Itulah aku, aku dan aku! Ya Allah…
“Eh, asyik bercakap je, dah pukul berapa ni…” Nuqman mengerling jam tangan.
“Ha! Dah pukul dua. Kita nak naik short cruise 2.30 petang. Better hurry…” Nuqman mula fokus dengan makanan dalam pinggannya.
“Cruise? You mean… naik cruise kat Bhosphorus?” Mata bundar Puteri besar teruja.
“Yeah…” Gumam Nuqman kerana mulutnya penuh.
“Thank you!!” Nuqman tak dapat menahan senyum melihat Puteri kembali ceria macam kanak-kanak nak naik feri lagaknya.
Restoran Deniz Kizi yang bermaksud Puteri Duyung sudah agak lengang. Pengunjung yang ramai tadi sudah beransur pergi. Hidangan di hadapan mereka pun sudah hampir habis dijamah. Hari ini, Nuqman membawa Puteri menikmati hidangan tengahari yang agak berbeza yang berasaskan ikan. Balik Corbasi yang bermaksud sup ikan yang menjadi hidangan pembuka selera amat menyelerakan. Seterusnya roti, ispanak atau bayam yang ditumis, Fasulye atau kacang merah yang ditumis, calamari dan brokoli kukus menjadi santapan dengan makanan utamanya nasi khas Turki dengan ikan mackarel panggang. Nasib baik Puteri sudah selesai makan barulah seleranya hilang dek pertanyaan-pertanyaan Nuqman. Akhirnya dia hanya diam memerhatikan Nuqman yang makan penuh santai dan berselera sekali. Tidak kekok dia menghabiskan sisa-sisa hidangan yang masih berbaki.
Selesai makan, Nuqman membawa Puteri menaiki tram menghala ke Eminonu. Sebenarnya boleh sahaja berjalan kaki tetapi memandangkan mereka baru lepas makan, Nuqman tak sampai hati hendak membuli Puteri. Sementara menunggu feri tiba, Puteri mengambil kesempatan mengambil gambar dan merakamkan video yang berlatarbelakangkan dermaga Eminonu yang sangat sibuk. Bot dan kapal serta feri berbagai saiz kecil dan besar bertali arus. Pelancong menyelit-nyelit di antara rakyat tempatan yang ramai dengan berbagai aktiviti yang aktif di situ. Para peniaga dan penjual tiket untuk menaiki bot dan kapal dan feri sama sibuk berperanan meraih pembeli. Semua itu membuatkan Puteri sibuk sungguh dengan lensanya. Kali ini dia tidak kekok untuk mengambil gambar dengan pemandu pelancong yang handsome itu sekali. Malah Puteri mula berani ber‘selfie’ dengannya! Nuqman bahagia, terasa Puteri semakin dekat.
Saat menaiki feri, Puteri benar-benar teruja. Dia akan meredah birunya Selat Bosphorus yang menghubungkan Laut Hitam dan Laut Marmara yang menjadi tarikan dunia sejak zaman lampau. Dan dalam teruja, hati asyik berdebar-debar. Apa tidaknya, Nuqman tak lepas tangan! Gentleman sungguh dia! Sebaik sahaja feri bergerak perlahan meninggalkan dermaga Eminonu, puluhan burung camar berterbangan mempersembahkan pemandangan yang sangat indah. Puteri yang terlupa diri, melepaskan tangan Nuqman dan cepat-cepat merakamkan aksi si camar sehingga tidak sedar dirinya terumbang-ambing dengan pergerakan feri yang semakin bergerak meninggalkan dermaga. Mujur Nuqman yang lebih banyak memerhatikan Puteri dari burung-burung camar sempat memaut tubuh gadis yang terhoyong-hayang itu sebelum jatuh rebah di kaki para penumpang yang ramai. Sesaat pandangan mereka bertaut dan Puteri pantas menyembunyikan rasa malu di balik Camcodernya, terus merakamkan aksi si burung camar dengan debaran jantung yang kian hebat kerana dia berada di dalam pelukan Nuqman!
“Tengok kat sana…” Pinta Nuqman. Puteri segera mengalihkan Camcoder dan melihat ke arah yang ditunjuk Nuqman. Puluhan camar lagi berenang di pemukaan laut. Puteri menarik nafas teruja.
“Cantiknya!” Dan jemari Puteri semakin ligat mengambil gambar si camar.
“Sebab kat sini memang banyak ikan. Cuba tengok betul-betul kat permukaan laut tu…”
Benar kata Nuqman, banyak sungguh ikan-ikan kecil berenang berkumpulan di permukaan air yang jernih. Tiba-tiba sesuatu bergerak-gerak…
“Tu! Tengok tu!” Pinta Puteri. Tak sedar lengan Nuqman dipaut berkali-kali.
“Obor-obor!” Beritahu Nuqman.
“Yes!! Obor-obor! Cantiknya, besar…!” Tersenyum Nuqman dengan telatah Puteri. Lupa diri sudah besar panjang, siap melompat-lompat keseronokan macam kanak-kanak! Dia yang sudah pernah melihat obor-obor yang lebih besar dari itu macammana pun tetap teruja kerana obor-obor yang muncul di hadapan Puteri nampak lebih menarik. Puteri sempat merakamkan lentuk-liuk obor-obor putih yang berenang menjauh dan Feri pula bergerak semakin laju meninggalkan dermaga Eminonu dengan panoramanya yang indah sekali!
Feri yang mereka naiki itu dua tingkat dan pasti tingkat atas lebih menyeronokkan. Nuqman membawa Puteri mengelilingi bahagian bawah feri sebelum naik ke tingkat atas. Cuaca cerah petang itu tetapi angin bertiup kencang. Nuqman memasang butang jaket Puteri yang terbuka sebelum dia terkena selsema. Puteri terdiam memandang dalam menahan debar melihat jari jemari Nuqman yang terlalu dekat di dadanya dan sikap prihatinnya yang menyentuh hati.
Tidak lama kemudian, kelihatan Galata Bridge melintangi Selat Bhosphorus. Ramai sekali orang yang memancing dari atas jambatan itu. Puteri sibuk mengambil gambar. Kalau boleh tidak mahu terlepas satu pun tempat dan babak yang menarik di Istanbul. Selepas melewati bawah Galata Bridge, feri itu menyusuri Golden Horns sebelum belayar membelah Selat Bhosphorus yang luas membiru.
Mereka berdiri melihat Hagia Sophia dan Masjid Biru juga Tokapi Place yang belum diziarahi berdiri megah di bawah langit Istanbul menjadikan ia satu panorama yang sangat indah dan hebat.
“Hebat sungguh kegemilangan Islam Empayar Othmaniah…” Ucap Nuqman dengan pandangan yang penuh kagum dan bangga.
“Tengok di sana… tu Masjid Dolmabache dan selepas tu, di sebelahnya Istana Dolmabache, istana terbesar di Turki.” Puteri mengangguk. Terlalu besar hingga dia tak dapat mengambil gambar keseluruhan istana itu.
“Istana tu lah saksi peralihan dari kekhalifahan kepada republik sekular Turki. Dibina mirip dengan corak istana Versailles, di Paris. Sangat berbeza dengan istana Topkapi yang dihiasi kaligrafi Al Quran. Dalam istana ni, tak ada langsung. Istana ni jadi akhirnya menjadi kediaman musim panas Mustafa Kamal Atartuk, Presiden pertama Tukri. Di sini juga dia hembus nafas terakhir.” Kamal Atartuk tercatat dalam buku sejarah di sekolah menengah dulu. Puteri masih mengingati nama itu.
“Dia anti Islam khabarnya…” Dia memang tak begitu mengenali pemimpin itu lebih dari apa yang dipelajarinya dari mata pelajaran Sejarah dulu.
“Dia sebenarnya seorang Yahudi. Dialah tajaan musuh Islam yang akhirnya menggulingkan kekhalifahan Uthmaniah dengan licik penuh tipu daya. Dia tahu sangat tentang kunci kekuatan umat Islam. Sebab itu dia dapat melemahkan kekuatan Islam di Turki dari dalam. Dengan kuasa, dia tutup semua sekolah agama, tukar sistem perundangan Islam. Dia jugak larang penggunaan bahasa Arab. Sampai azan pun kena tukar dalam bahasa Turki. Lepas tu, Turki tak berpaling ke belakang lagi. Dia perang Islam habis-habisan. Antara kemuncaknya, masjid Hagia Sophia ditukarkan jadi muzium macam yang kita tengok tadi. Turki terus jadi negara sekular sampai sekarang.” Ada rasa sakit dalam nada suara Nuqman. Entah kenapa, Puteri bagaikan dapat merasakannya. Lelaki ini aneh baginya!
Mereka diam seketika bagaikan terapung dibawa arus masa. Hanya memandang istana Dolmabache yang tiba-tiba hilang serinya. Feri yang agak penuh dengan penumpang yang bercampur sama banyak antara pelancong dan penduduk tempatan terus bergerak menyusuri sisi benua Eropah.
Pada waktu yang sama terdapat beberapa jenis kapal yang berbeza saiz dan bentuk bersimpang siur melewati feri yang mereka naiki. Di sepanjang selat itu juga terdapat banyak jeti dan dermaga tempat persinggahan kapal-kapal. Selat Bosphorus ternyata sibuk sebagai laluan pengangkutan air, sumber perikanan, pusat ekonomi dan pelancongan.
Feri terus bergerak dan tidak lama kemudian muncul pula Istana Ciragan dan Masjid Ortakoy. Letaknya Masjid itu sungguh istimewa kerana kelihatan tersergam indah di sisi Jambatan Bosphorus yang merentang menghubungkan dua benua. Seterusnya sebuah jambatan lagi merentangi Selat itu.
“Inilah Jambatan Sultan Muhammad Al Fateh. Sebelah kiri tu, Rumeli Hisari, one of my favorite… satu lagi hasil tangan Mimar Sinan. Binaan ni jadi benteng yang Sultan Al Fateh gunakan sebelum menyerang Konstantinopel. Nanti saya bawa Ika ke sana…,” Nuqman berjanji. Bila menyebut nama Mimar Sinan dan Sultan Al Fateh, suaranya kembali bertenaga.
“Cantiknya, macam dalam cerita dongeng…” Rumeli Hisari memang kelihatan tersergam kukuh menyerlahkan kehebatan bentuk senibinanya.
Puteri berpaling menatap wajah Nuqman. Gembira sungguh mendengar kesanggupan Nuqman membawanya menyelusuri sejarah di Turki. Dan lelaki ini benar-benar menghayati sejarah perjuangan Islam di sini! Apakah dia juga seperti Sultan Muhammad Al Fateh yang terbina dari peninggalan sejarah untuk mencipta sejarah seterusnya?
Entah mengapa Puteri merasa dirinya semakin kerdil di sisi Nuqman. Kalau lelaki lain dia tinggalkan agar mereka sakit diulit kecewa, rasanya itu tak mungkin dapat dia lakukan terhadap lelaki ini. Namun apa yang berlaku hari ini meyakinkannya yang dia tak layak untuk Nuqman. Misi dan perjuangan mereka berbeza. Awal-awal lagi dunia mereka memang berbeza. Walaupun lelaki ini sangat sabar, tenang dan redha dengan apa yang berlaku, namun itu tidak bermakna dia harus membiarkannya menguburkan impiannya kerana jodoh yang tertulis. Impiannya terlalu suci untuk dia kotori!
“Sekarang kita berpatah balik tapi lalu di sebelah benua Asia Turki pulak. Dari sudut pembangunan pun jelas, benua Eropah Turki lebih pesat membangun. Selat Bosphorus sempadan dua benua. Asia dan Barat. Di sini juga berlaku pertembungan dua budaya, Timur dan Barat. Sedangkan satu waktu dulu hanya ada satu budaya – budaya Islam yang pernah gemilang tapi sekarang dah hampir hilang. Islam di Turki hanya pada bangunan-bangunan tinggalan sejarah tu saja tapi bukan lagi pada orang-orangnya apatah lagi dalam budaya hidup mereka.” Nuqman memberitahu apabila Feri berpusing dan berpatah balik. Sepasang mata bundar Puteri masih terpaku di Rumeli Hisari yang semakin menjauh.
Kata-kata Nuqman membuatkan Puteri terfikirkan tentang mereka. Nuqman dan Puteri. Seperti Selat Bosphorus, hubungan mereka bagaikan membelah antara dua dunia. Berbeza antara dua budaya. Mampukah hubungan itu mencari titik persamaan?
Mampukah aku menyonsang arus dunia dan membelah gelombang prejudis seperti yang dituduh Maliha demi untuk bersama Nuqman yang jelas hala tuju dan perjuangannya? Seperti yang Nuqman pernah katakan dulu, kembali kepada fitrah insani? Hanya kerana aku tak percayakan lelaki, apakah fitrahku rosak seperti kata Nuqman? Kembalilah kepada fitrah, Puteri…, bisik Nuqman saat dia menuntut Nuqman berjanji untuk tidak menganggunya. Kerana dia tetap memilih untuk hidup sendiri walaupun bergelar seorang isteri. Minda Puteri sarat dengan pertanyaan yang dia sendiri tak punya jawapan.
“Tengok tu, istana lagi. Saya tak ingat namanya. Lepas tu, bangunan panjang menyusur pantai tu, Kuleli Askeri Lisesi… haa, namanya pun panjang. Payah juga nak ingat. Itu mungkin bangunan yang paling cantik sepanjang benua Asia Turki. Puteri nak hidup di istana?” Puteri yang terkejut dari dibawa arus pemikirannya cepat-cepat memberi fokus kepada maklumat yang disampaikan Nuqman. Hampir tidak perasan ada soalan yang ditujukan kepadanya. Seketika dia hanya terdiam dan kemudian terpinga-pinga. Perlahan dia memusingkan muka mengadap Nuqman dengan dahi yang berkerut.
“Apa?”
“Saya tanya, Puteri nak hidup di istana ke?”
“Ohh…!” Puteri tergelak. Menghela nafas, cuba melapangkan mindanya. Istana?
“Kalau saya kata ya?”
“Hmm…” Nuqman mengeluh kecil sambil memandang ke arah istana Askeri Lisesi. Puteri tersenyum menunggu jawapan.
“Saya tak mampu…” Dia menoleh sambil buat muka ‘seposen’. Puteri ketawa lepas. Lelaki ni memang lurus!
“Naaa… awak ingat saya ni jenis perempuan yang macam tu ya? Asyik berangan jadi tuan puteri, lepas tu tunggu putera yang sanggup panjat menara untuk sehidup semati dengan dia? Macam tu?” Soal Puteri kembali dengan sisa tawa masih di bibir.
Nuqman tersenyum sambil mengangguk-angguk. Pandangannya masih tertancap pada Kuleli Askeri Lisesi yang semakin menjauh. Puteri tak dapat membayangkan apa yang ada dalam fikiran Nuqman saat itu.
“Cuba awak bayangkan saya hidup dalam istana tu… Dari luar nampak hebat, orang mesti bayangkan saya hidup bahagia. Tapi saya yakin… istana dan kehebatannya tu tetap akan jadi sebuah penjara sebenarnya bagi perempuan. Jadi saya tak akan mungkin relakan diri saya terperangkap dalam istana tu walau sehebat dan semewah mana pun hidup kat dalam tu…”
Nuqman terdiam lama.
“Really…?” Soalnya sepatah tanpa menoleh.
“Definitely!” Jawab Puteri, penuh yakin.
“Hmm…” Nuqman sekadar mengangguk. Sekali lagi Puteri tak dapat membaca fikirannya.
“Tu istana lagi. Istana Beylerbeyl…” Pandangan Nuqman masih di darat. Istana Beylerbeyl tersergam indah tepat di sisi jambatan Bosphorus. Puteri ikut menatap pandangan yang sama. Dia rasa bagaikan dalam mimpi melihat istana kuno yang sebegitu tersergam indah.
“Cantik…” Bisik Puteri sambil mengambil gambar.
“Tapi Ika tak suka…” Jawab Nuqman. Puteri terkejut. Tak sangka dia mendengar.
“Eh… saya suka. Suka tengok je…” Puteri tersengih kerang. Nuqman tidak memandang tapi tersenyum juga. Seketika kemudian, feri sekali lagi melewati bawah jambatan Bosphorus. Selepas itu sebuah menara tersergam di tengah-tengah kebiruan laut Bosphorus.
“That’s Maiden’s Tower di atas pulau kecil tu. Di bahagian belakangnya, benua Eropah. Tengok bot-bot tepi yang singgah… ramai juga ke sana.” Puteri cepat-cepat mengangkat Camcodernya dan membetulkan lensa.
“Kenapa?”
“Makan. Kat dalam menara tu, ada restoran.” Tak berapa lama setelah mengambil beberapa gambar, Puteri terhenti seketika. Camcoder diturunkan. Setelah menukar mode ke Video Camera, dia mula membesarkan imej supaya lebih jelas.
“Kenapa?” Soal Nuqman, kehairanan.
“Nampak bot tu?” Soal Puteri dari sebalik Camcodernya.
“Oh… ya… kenapa?” Dari kejauhan cuma nampak sebuah bot mewah persendirian bergerak sangat perlahan seperti mengelilingi Maiden Tower. Tiba-tiba Puteri menyerahkan Camcoder kepadanya. Dalam kaget, Nuqman menyambut lalu menghalakan lensa ke arah yang dimaksudkan untuk melihat imej yang telah dibesarkan dalam lensa.
Sepasang suami isteri rasanya berdiri di atas dek sambil melihat Maiden’s Tower dari dekat.
“Nampak macam mereka pusing Tower tu.” Ujar Puteri. Macam pelik.
“Ohh… sajalah tu. Nampak macam pengantin baru. Romantik…” Tutur Nuqman dari balik Camcoder.
“Ahh… dreamer!” Jawab Puteri.
“Ika cemburu?” Nuqman masih melihat pasangan itu di dalam lensa. Memang romantik. Benar mereka bagaikan pasangan yang sedang berbulan madu.
“Saya? Cemburu? Hah… tak mungkin!” Nada Puteri tegas sekali.
“Puteri Zulaikha? Apa masalahnya dengan awak ni? Diaorang nampak bahagia sangat. Bukan ke itu yang gadis macam Ika idamkan? Tapi kalau tak cemburu, baguslah. Boleh tumpang bahagia dengan kebahagiaan diaorang.”
Puteri mencebik. Camcoder dicapai semula. Lalu dihalakan ke puncak menara.
“Saya tak perlukan tu semua. Takkan pernah mimpi pun…” Dia mengegaskan lagi. Mimpi yang hancur berderai itu tak mungkin berulang lagi dalam hidupnya.
“Apa maksud, Ika? Tak mahu hidup bahagia macam orang lain? Nak hidup sendiri, bebas sampai bila-bila?” Akhirnya persoalan itu terluah juga. Itulah jenis hubungan yang Puteri mahukan selama ini.
“Yup!” Jawabnya sepatah. Masih sibuk dengan Camcodernya.
Tangan Nuqman selamba meraih Camcoder itu dari tangannya dan dibawa ke belakang badannya. Puteri mencerlungkan matanya dan cuba menyambar Camcoder itu semula. Tapi dada bidang Nuqman menghalang.
“Are you serius?” Soalan Nuqman menghentikan tingkahnya.
“Yes!” Apa masalahnya? Hatinya mula panas membentak.
“Kenapa?” Nuqman mengorek lagi.
“Kenapa? Sebab saya bahagia hidup sendiri. Kan saya dah kata, bahagia tu bukan terletak di tangan lelaki. So?” Puteri mula bercekak pinggang. Apa lagi yang lelaki ni tak puas hati? Hatinya mengomel geram.
“Awak tak suka lelaki?”
“Tak!” Mata Puteri menjenggil.
“Awak suka perempuan?”
“Nuqman!!!” Kini matanya mencerlung marah.
“Siapa tahu?”
“Of course, not!” Terjerit Puteri dibuatnya. Rasa nak lempang lelaki ni! Nuqman hanya ketawa gelihati.
“Jadi, Ika tak suka saya?”
“Suka tak suka, awak tak perlu tahu! Bagi balik Camcoder saya!” Pinta Puteri. Dengan selamba, Nuqman menggalas tali Camcoder tersebut bersilang dan Camcoder terletak elok di dadanya.
“Ambiklah!” Pelawa Nuqman.
“Urrgghhh!” Bentak Puteri, menyinga. Terus dia membelakangkan Nuqman lalu berpeluk tubuh. Nuqman hanya ketawa dengan tingkah gadis itu. Tahu pun!
Feri sudah kembali tiba ke dermaga Eminonu membuatkan mereka agak terhuyung-hayang. Nuqman cepat meraih tangan Puteri untuk memastikan dia stabil. Awalnya Puteri mengelak namun para penumpang yang mula bangun dan bergerak untuk turun dari feri membuatkan keadaan semakin tidak stabil. Bila lengannya dipaut Nuqman sekali lagi, dia terpaksa merelakan. Dari belakang, Nuqman tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Perempuan! Bagaikan mendengar kata hati Nuqman, Puteri menjeling tajam. Pecah ketawa Nuqman akhirnya. Tambah membara marah dalam dalam hati Puteri.
Nuqman dan Puteri mengikut arus penumpang yang lain berpusu-pusu bergerak menuruni Feri. Perut masing-masing mula keroncong. Nuqman mengajak Puteri singgah di gerai-gerai jualan yang membanjiri Eminonu. Bukan itu saja, bot-bot sepanjang tepi laut di situ turut menjual makanan walaupun dalam keadaan berolang-oleng terutama apabila ada kapal besar yang lalu. Mencemaskan! Nuqman berjalan mendahului Puteri sambil menarik tangannya. Mahu tak mahu, Puteri terpaksa mengikut saja. Melihatkan makanan yang dijual di situ, dia akhirnya tak mengendahkan Camcoder itu lagi. Perutnya sudah melalak minta diisi.
Nuqman dan Puteri menikmati Balik Ekmek yang terkenal di situ yang dibeli dari atas bot. Itulah sandwich ikan yang simple tapi cukup sedap. Ikan kembung segar yang dibakar dan diletakkan di dalam roti dengan hiasan salad. Garam dan jus lemon turut disediakan.
“Sos? Mayo?” Soal Puteri. Dia dapat bayangkan betapa enaknya kalau sandwich itu dimakan dengan sos cili dan mayonaise.
“Nope! Di Turki, mereka sangat original. Tak ada perisa tambahan!” Ujar Nuqman sambil tersenyum. Muka Puteri berkerut sedih.
Saiz makanan itu yang begitu besar membuatkan Puteri terpinga-pinga. Nuqman mula ketawa. Kemudian dia membuat demonstrasi bagaimana hendak makan Balik Ekmek. Puteri tak dapat menahan ketawa gelihati kerana tak mungkin dia sanggup membuka mulut seluas itu! Lagi-lagilah di hadapan Nuqman! Akhirnya Puteri buat muka tak malu, cubit-cubit dengan tangan dan disuap ke mulut. Tak sedap kalau makan begitu, kata Nuqman, mengusik Puteri yang sudah merah pipinya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s