Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 16

Bab 16

Ibu pejabat Women’s World Today (WWT) agak sibuk pada pagi itu kerana bersiap sedia untuk menyambut kunjungan Unit Institusi Keluarga (UIK) dari Jabatan Kemasyarakatan Global.

“Sue, I nak keluar. Ada urgent matters. Tolong cover meeting dengan UIK.” Nadia bersuara tegas sebaik saja daun pintu terkuak.

“Nad! Wait…!” Suhaila Abdul Hamid bingkas bangun berlari ke pintu. Nadia sudah berpusing dan melangkah, cuba melindungi matanya yang sembab memerah. Dia berhenti dan berpaling hanya sedikit. Suhaila sudah terpacak di pintu biliknya terkejut dengan wajah Nadia, bermata sembab lesu tak bermaya. Eh! Awal pagi tadi elok je! Suhaila, bukan saja Timbalan Pengarah Eksekutif WWT tetapi juga teman rapatnya sejak di bangku sekolah lagi menjadi serba-salah apabila melihat wajah Nadia.

“Nadia, I minta maaf sangat-sangat. Pengarah UIK sendiri yang nak turun. Dia sanggup tunda meeting ni. Tunggu sampai you balik. Katanya penting sangat nak jumpa dengan you. Lagipun dia tahu yang you attend conference tu di Uzbek.” Suhaila bercakap tersekat-sekat. Dihatinya membukit harapan. Janganlah Nadia batalkan lagi. Apa dia nak jawab nanti?! Kerjasama dengan mereka sangat penting bagi WWT saat ini. Dia sudah tak menang tangan dengan berbagai isu yang timbul dan terpaksa pula memangku jawatan Pengarah Eksekutif WWT sepanjang Nadia berada di luar negara.

“But I just got back! Tak boleh tunda ke?” Nadia menghela nafas. Wajahnya tegang. Suhaila semakin risau. Dah kenapa pulak dengan dia hari ni?! Bukan ke dah banyak kali aku ingatkan dia. Suhaila ligat memerah otak untuk memujuk.

“Err… dah banyak kali you! Lagipun diaorang sokong kita. At this moment, kita sangat-sangat perlukan sokongan. Isu-Isu yang timbul…”

“Yeah! I know…!” Puteri Nadia mengangkat tangan menepis kata Suhaila. Dia mendengus kasar. Suhaila menjungkit bahu. Serba-salah. Buat muka meraih simpati.

“Bila?” Senyuman serba-salah Suhaila menguntum.

“10.30! I’ll handle everything. You just come!”

Kasut tumit tinggi Nadia berdetuk-detak kuat meninggalkan gema di ruang laluan.

“Yesss!” Suhaila menjerit lega. Kemudian tersenyap. Kenapa dia nangis?!

Nadia menghenyakkan tubuhnya kembali ke kerusi. Letih! Selalunya dia energertik. Tak kenal erti letih. Tapi entah kenapa, baru jam 10.30 pagi, dia rasa letih. Lesu. Penangan Zulkarnain yang muncul tiba-tiba pagi tadi.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia tak boleh letih. Tak boleh lesu. Dia memegang kemudi. Hidup perempuan tak harus hilang kemudi. Walau apa pun yang berlaku! Walau hatinya retak seribu!

Wajah Zulkarnain ditepis jauh-jauh. Mental block! Kuasai emosi, mengalih mood dan konsentrasi. Bertahun lama, dia cukup terlatih melakukannya. Fail kertas pembentangannya tempohari dicapai semula. Beberapa helaian kertas dikeluarkan. Respon dan rumusan beberapa perwakilan dari berbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam persidangan itu dibaca sekali lalu.

— Proceeding of the International Conference on Marriage Institution Research —

Jatidiri Ketua Rumahtangga Satu Persoalan. Itu tajuk pembentangan WWT dalam persidangan itu. Satu lagi isu hangat pasti akan melanda negara! Itulah yang berlaku apabila ego lelaki disentuh! Mereka bangkit melawan melalui agama dan undang-undang. Saman-menyaman. Selar-menyelar. Keluar segala nas dan hujah. Perubahan? Mereka tetap sama. Keadaan dan permasalahan tetap sama malah meruncing. Nasib perempuan tetap sama. Ego lelaki… Itulah isu sebenarnya! Apa mereka peduli dengan perlunya perubahan kalau mereka sudah berada di zon selesa?

“Aku takkan biarkan mereka hidup selesa atas apa yang mereka lakukan! Spesis mereka pulak tak ramai yang sanggup nak tampil ke depan. Takut dituduh dayus kerana memperjuangkan hak-hak wanita. Manusia jenis macam ni tak layak hidup di muka bumi Tuhan ni! Lelaki yang menindas wanita, yang membiarkan wanita jadi mangsa, yang diam tak bersuara, semuanya dayus!! Lagi-lagilah bila wanita perjuangkan hak wanita, ada lelaki yang tampil membantah!!” Suara lantang Nadia bergema dalam ruang bilik pejabatnya. Dia mengetap bibir. Amarahnya bergelojak. Amarah itulah penggerak perjuangannya! Menggasak jiwanya agar kental berdepan dengan sesiapa saja selagi nasib wanita tak terbela.

Laptop dibuka. Srin disentuh. Paparan demi paparan diteliti. Dimindanya juga muncul berbagai paparan agendanya sepanjang beberapa tahun perjuangannya. Paparan agenda-agenda itu penting baginya, penyuntik semangatnya dari luntur dek rintangan.

Agenda yang penuh dengan perjuangan yang sukar. Sukar kerana berdepan dengan cerdik pandai yang bijak memanipulasi undang-undang mengikut akal fikir mereka.

Isu yang masih terus diperjuangkan tentunya keganasan rumahtangga. Bayangkan! Setiap tahun, tiga hingga empat ribu kes dilaporkan. Yang tidak dilaporkan entah berapa banyak lagi!

Telefon di mejanya berdering. Nadia menekan butang.

“Nad?” Suara Fauzian Talib, sahabatnya.

“Yup!”

“You won’t believe this!”

“What’s up?”

“Latest from an insider, ada few women dari Malaysia and few other countries join ISIS, tawarkan diri untuk khidmat seks pada pejuang Islam. They call it ‘Jihad Al-Nikah’ meaning jihad seksual! Nikah for seks, to fulfill the so-called Muslim warriors!” Suara Fauzian sarat dengan rasa marah berbaur kecewa.

“No way! Tu kerja gila!” Dahi Nadia berkerut, bagaikan tak percaya. Tak mungkin! Dada mula berombak kencang.

“Exactly!” Fauzian menghela nafas panjang.

“Macam-macam cara jihad, kenapa tu yang mereka pilih?!”

“They get manipulated! You know how the men are!! Terang lagi bersuluh, perempuan hanya untuk nafsu serakah mereka even in war! Worst, it’s the war they’ve created themselves!”

“Urrgghhh! This is nuts!!” Amarah Nadia memuncak. Mentang-mentang ramai perempuan lemah, akal pendek, mereka benar-benar mempergunakan kelemahan itu untuk kepentingan mereka sedangkan Tuhan ciptakan mereka sebagai pelindung! Dia tak tau siapa yang lebih buat dia marah. Yang perempuan atau lelaki?

“Then what happened?”

“Biasalah. Semuanya akan dikaji. Entah berapa lama baru tindakan nak diambil. Sementara tu, entah berapa ramai yang jadi mangsa. I’m digging into this and will make sure, it’ll be on front page tomorrow! Ok. Gotta go. You take care!” Bunyi Klik di hujung talian. Fauzian memang tak akan menunggu respon. Dia sentiasa bergerak. Setiap detik penting baginya. Wartawan yang memperjuangkan misi memang begitu. Bukan sekadar periuk nasi!

Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria atau ISIS jelas bukan pejuang Islam sebenar. Mereka menggunakan kekerasan bukan hanya kepada musuh Islam tetapi sesama Islam! Memaksa sesama Islam menerima sistem kekhalifahan mereka dengan pertumpahan darah. Memilih mereka atau mati, itu sudah terlalu kejam! Dan ada pula perempuan yang begitu berani menggadaikan nyawa untuk perjuangan sebegini… Yang lebih parah, untuk jadi pemuas nafsu!

“Totally insane!” Jerit Nadia kepada ruang bilik yang sunyi. Tak sudah-sudah perempuan menempa masalah! Sudahlah asyik jadi keldai dadah. Kahwin lari ke Lambok. Bercinta dengan gagak hitam. Sekarang jihad seks! Di mana maruah mereka?! Kalau dalam keganasan rumahtangga, jelas perempuan jadi mangsa. Tapi dalam kes macam ini? Sengaja menempah derita?! Lepas tu harapkan kerajaan, NGO dan keluarga berhempas-pulas nak selamatkan mereka sudahnya!

Nadia terhenyak di kerusi untuk kesekian kalinya pagi itu. Di mana hujungnya semua ini? Kiamat?

Dia menghela nafas. Meraup wajah sendiri. Letih. Terduduk memandang kosong melepasi dinding kaca yang menerobos ke luar. Pohon-pohon ru setia berdiri teguh menemaninya, memagari rumah batu dua tingkat ini, hadiah papa untuk mama yang kemudiannya mama hadiahkan kepadanya. Rumah yang menyaksikan airmata wanita itu tumpah saban waktu menahan sakit dipermainkan sumpah setia seorang lelaki – papa! Dan airmatanya.

Kenapa lelaki tak mampu setia? Sekuat manapun mereka tapi tak mampu mempertahankan kasih seorang wanita. Lebih parah bila mereka jadi pengecut, mempermainkan kasih sayang wanita dalam diam.

Papa dan Zulkarnain, dua lelaki kesayangannya. Dan dua lelaki itu jugalah yang menghancurkan hatinya. Apa salah dan dosa perempuan seperti dia dan mama? Salah mereka kerana percaya pada cinta!

Nadia tak pernah menyangka. Dalam dia menyeka airmata mama, dia juga menempa nasib yang sama! Mereka dikhianati.

Wanita benar-benar timun. Bergolek ke mana pun, tetap sakit tercalar. Taat setia pada cinta pun derita hujungnya. Apatah lagi kalau tak taat. Jadi mangsa dera pula. Pantang lelaki kalau tak ditaati! Jadi harus ke mana hendak dikemudikan nasib wanita hari ini?

Ketukan di pintu mengejutkan Nadia. Seketika, wajah Seri tersembul di balik daun pintu.

“Maaf, Dato’… rombongan UIK dah tiba. Mereka di ruang tamu di tingkat bawah. Dato’ bersedia sekarang?”

“Ya, Seri. Saya datang,” Nadia menghela nafas yang berat. Hidup harus diteruskan. Samada tenggelam atau timbul, apalagi pilihan yang mereka ada?

Pengarah UIK, Dr Nizam Hj Abdullah masih muda orangnya. Berusia di awal tiga puluhan tetapi kematangannya jelas melebihi usia. Tinggi lampai, berkulit cerah dan berkacamata, Dr Nizam kelihatan begitu sempurna.

Suhaila sedang berbual mesra, berkenalan dengan lima orang pegawai UIK yang turut hadir berpaling bila mendengar detak-detuk langkah Nadia. Senyuman lega kembang di bibir merah itu. Bertambah lega bila melihat sembam dan lesu di wajah Nadia memudar. Kulit wajahnya memerah dan matanya bersinar. Nadia yang serius dan bertenaga kini kembali beraksi. Agaknya Nadia sempat touch-up sebelum turun. Suhaila tersenyum lagi menyambut ‘boss’nya. Dia tidak tahu, ada api yang sedang menyala dalam diri wanita itu.

Dr. Nizam terdiam seketika saat dia berpaling melihat seseorang yang mendatangi mereka. Seseorang yang ditunggu sekian lama. Yang dia kenali hanya di media. Dato’ Puteri Nadia Ruwaidah kelihatan lebih muda dan cantik dari apa yang pernah dipamerkan di media. Berkarisma!

Perbincangan selama dua jam lebih itu sangat menarik dan membuahkan hasil. Dimulakan dengan taklimat oleh Dr Nizam berhubung dengan peranan dan matlamat UIK yang memfokuskan isu pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah dalam menangani kes-kes perceraian dan tuntutan terutamanya tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak yang kelihatan sangat selari dengan WWT.

Perkongsian Nadia tentang perjuangan WWT dan hasil persidangan yang dihadirinya baru-baru ini banyak memberi input dan idea kepada UIK dalam membentuk dan menyusun langkah-langkah yang akan mereka ambil seterusnya.

WWT dan UIK juga sepakat untuk berusaha ke arah gabungan kerjasama dengan lebih banyak lagi badan-badan kerajaaan dan bukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam.

Kejayaan mewujudkan undang-undang keganasan rumahtangga sebagai satu kesalahan jenayah di lebih 100 buah negara mengambil masa 25 tahun lamanya melibatkan banyak badan bukan kerajaan dan ramai individu berpengaruh dari seluruh pelusuk dunia yang berjuang dengan satu suara. Jadi usaha untuk memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah dalam kes perceraian dan tuntutan di negara ini sememangnya akan menjadi perjuangan yang panjang.

Dr Nizam kelihatan berpuas hati. Banyak maklumat yang sangat membantu. Dia sememangnya yakin, lebih banyak kerjasama diperlukan dalam melaksanakan misi kerana ia melibatkan banyak pihak.

Pertemuan mereka diakhiri dengan jamuan ringan yang disediakan pihak WWT. Dan saat santai itu, Dr. Nizam benar-benar mengambil peluang bertanyakan perbagai soalan menyentuh perjuangan WWT. Nadia menyimpan rasa kagum melihat kesungguhan Dr Nizam memperjuangkan institusi keluarga dan nasib wanita secara peribadi, tidak hanya demi tugasan dan periuk nasi!

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 16

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s