Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 15

Bab 15

Saat kepalanya didakap ke dada lelaki itu, diusap dengan tangannya, Puteri terasa seperti mahu menangis semahu-mahunya. Mahu dihamburkan segala kesedihan yang ditanggung selama ini. Mahu dilepaskan segala yang terbuku di hati. Namun dengan segala kekuatan yang ada, dia menahan. Detak jantung dada Nuqman jelas di telinganya. Seperti detak jantungnya juga! Dan entah kenapa dia terasa selamat di situ. Hangat mendamaikan.

Puteri menghela nafas, merasa semakin tenang setelah dibawa Nuqman berjalan melihat pelbagai cenderahati di gerai-gerai di bahagian luar bangunan Hagia Sophia. Tangannya sentiasa dibahu Puteri atau dipinggangnya atau setia mengenggam jemarinya seperti bimbang Puteri pergi entah ke mana. Sempat Nuqman membelikan dia beberapa cenderahati yang kecil dan comel seperti monumen-monumen bangunan bersejarah di Turki dalam bekas-bekas kaca, keychain dan beg galas gaya etnik Turki. Bijak lelaki itu mengalih minda dan emosinya yang terganggu tadi.

Ramai sungguh pelancong pada hari itu. Pohon-pohon besar yang tinggi merendang setia memberi teduhan di ruang legar di halaman Hagia Sophia tempat para pelancong melepaskan lelah selepas selesai menziarah.

Puteri membelek-belek Camcodernya sambil menunggu Nuqman yang berpatah balik untuk membeli sahlep dari penjual di pintu keluar Hagia Sophia tadi setelah mendapatkan kerusi dan meja untuk mereka di celah-celah ramai.

Menyedari suasana keliling begitu meriah dengan sinar matahari yang kini memancar terang, Puteri mula menerawang bersama lensanya mencari sudut-sudut dan babak-babak menarik untuk dirakamkan.

Tiba-tiba dia terhenti di satu arah di antara ramai. Seorang gadis sunti duduk di ribaan ayahnya, berkerut dahi mengadu sesuatu. Dengan sepenuh perhatian, si ayah membuka kasutnya. Rupanya kaki si dara sunti merah melecet mungkin kerana terlalu banyak berjalan. Tanpa rasa segan, dia memaut tumit kecil itu dalam tapak tangannya yang besar, mengusap lembut sambil berkata sesuatu seperti memujuk.

Klik! Klik! Klik! Lensa Camcoder di tangan Puteri merakamkan babak-babak manis itu. Seketika dia terhenti. Setelah babak-babak spontan bila pipi gadis genit itu dicium ayahnya, airmatanya diusap dan rambutnya disisir antara jemari di rakam pantas bersama si ibu di sebelahnya bersama dua orang anak lelaki turut mengusap rambut si dara, lembut memujuk. Semakin dipandang, dadanya semakin sebak hingga mengundang airmata merenangi kelopak mata bundarnya.

“Hai… segala bagai nak diambik gambar. Tapi tourist guide yang sorang ni, dah la handsome, available pulak tu, tak ada pulak yang sudi nak ambik gambar…” Tiba-tiba ada orang datang duduk mengeluh di kerusi sebelahnya. Puteri tersenyum di balik camcodernya, menelan sebak lalu berpusing mencari wajah Nuqman dalam lensanya. Klik! Klik! Klik! Nuqman tak kekok beraksi lucu. Dalam tawa, hati Puteri bergetar. Panahan anak mata hitam Nuqman menusuk hatinya. Nuqman menarik nafas lega, airmata yang tergenang dalam sepasang kelopak mata bundar itu tak tumpah akhirnya. Kenapa dia begitu tersentuh melihat hubungan ayah dan anak kecil itu? Rindu abah?

Sahlep dinikmati bersama. Adunan susu kambing dan madu dengan perisa vanila membuatkan sahlep begitu enak ditambah dengan aroma serbuk kulit kayu manis.

“Hmm… sedap! Macam aiskrim vanila panas!!” Puteri sampai terpejam matanya menikmati sahlep manis yang sangat lembut teksturnya. Ah! Puteri dan aiskrim!

“Yalah… sedap pulak sahlep ni. Dulu saya makan tak sesedap ni. Kenapa ya…?”

Puteri mengangkat kening. Memerhati riak wajah Nuqman yang tiba-tiba bagaikan termenung jauh mencari jawapan kenapa sahlep tiba-tiba sedap? Ahh… malas nak layan! Layan sahlep lagi baik…

“Baru saya faham sekarang. Eh, bukan faham. Saya dah faham tapi sekarang baru saya rasa…” Puteri menjeling sekilas. Apalagilah dengan lelaki ni… buat orang cemas je, desis hati Puteri.

“Kita bayangkan, kalau dapat duduk dalam syurga yang ada segalanya, mesti kita bahagia, kan? Tapi seorang Nabi pun tak mampu nak tahan diri dia dari rasa tak sempurna bila tak berteman. Allah yang menciptakan kita, Dia maha Bijak, maha Mengetahui. Sebab itulah Dia jadikan makhluk-Nya berpasangan. So… baru saya faham kenapa sahlep tiba-tiba rasa sedap dan kenapa Istanbul nampak menakjubkan hari ni…” Nuqman tersenyum manis memandang tepat ke wajah Puteri. Anak matanya turut tersenyum. Hati Puteri hebat bergetar dan mula mencair tapi dalam tertanya-tanya. Sebab aku?!

“And I have to thank you for that…,” nadanya bertukar serius. Telapak tangannya menyentuh tangan Puteri di meja namun pandangannya tak berubah. Dan ibu jarinya lembut mengusap. Hangat. Bagaikan besi berani, pandangan Puteri terpaku di situ. Dan terasa bagai hatinya diusap sama. Yess!! Sebab aku!!

“Hmm… Macammana dengan Hagia Sophia? Means something to you?” Bagaikan ada senyuman dalam nada suaranya! Tangan itu berlalu pergi. Dingin kembali menyentuh kulitnya. Rasa kecewa datang sekilas. Puteri cepat menyentak diri sendiri. Fokus! Lelaki ini bisa buat orang haru-biru dengan topik dan persoalannya!

“Err… I’m… hmm… yeah… Speechless…” Puteri terburu-buru menarik nafas. Ishh… Boleh berhenti pandang aku tak?!

“Hmmm… speechless?! Hebat penangan Hagia Sophia…,” dahinya berkerut dan sepasang matanya mencerun mencari sesuatu. Puteri semakin gelabah. Anak – masa depan – Syurga – Nabi Adam – sahlep – thank you – Hagia Sophia? Ahh… Aku tenggelam! Lemas!!

“Magnificent!” Sepatah terkeluar dalam senafas. Lega sekejap. Dia hanya mengangkat kening. Nak lagi lah tu!

“Maksud saya, tak sangka… sejarahnya, binaannya hebat sangat. Peranannya dan sekarang, halatujunya… Semua tu di luar jangkaan saya… Saya ingatkan cuma sebuah bangunan bersejarah, tu je…,” terluah akhirnya rumusan yang rasanya bukan dari mindanya yang kelam kabut tak sempat berfungsi tapi dari rasa hatinya.

Nuqman mengangguk. Puteri menghela nafas lega. Please stop, Nuqman!

“Bertuah kalau Hagia Sophia dapat mengubah sesuatu dalam diri kita. Itulah peranan sejarah. Bukan untuk lulus periksa saja. Tapi membentuk siapa diri kita. Hagia Sophia jadi bukti bahawa sejarah boleh mengubah diri dan keadaan. Malah boleh mengubah negara dan dunia. Al Fateh sangat mengkaji kejayaan Rasulullah dan para sahabat. Dia berusaha menjejaki dan mengulangi apa yang Rasulullah lakukan mengikut kesesuaian zamannya dan terbukti dia berjaya sehingga terbinanya empayar Uthmaniah. Musuh Islam pulak kaji sejarah kejayaan Al Fateh dan mencari kuncinya. Dengan kunci itulah mereka dapat mencari kelemahan. Itulah yang menjadi senjata mereka untuk kembali menguasai Hagia Sophia. Macam tu sekali mereka berusaha. Kita?”

Puteri terkedu! Bibir bawahnya digigit resah. Macammana nak jawab tu?! Serata zaman Nuqman meneroka dan akhirnya menujah pada diri… Bijaknya dia!

“Hei…” Dia menegur sepatah. Ibu jarinya mendarat ke dagu Puteri, menyentuh memberi isyarat agar bibirnya dilepaskan. Kepalanya digelengkan tapi pandangan matanya tak lepas dari bibir yang basah memerah dan separuh terbuka itu!

Berderau darah muda Nuqman tak keruan. Lagi lama dia berdepan dengan Puteri, lagi gelisah seluruh dirinya.

“Habiskan sahlep tu cepat. Kita ziarah Masjid Biru, solat, lepas tu makan!” Dah mengarah pulak! Puteri terkial-kial menarik menghabiskan sahlep.

Jarak di antara Hagia Sophia dan Masjid Biru hanya dipisahkan oleh jalan raya dan rel tram serta taman yang luas menghijau. Puteri mengambil peluang sekali lagi merakamkan gambar kerana dari sudut itu, Masjid Biru dapat dirakamkan dengan keseluruhan enam menaranya. Gah dan sangat indah!

Taman menghijau dan pohon-pohon rendang menjulang tinggi melatari perkarangan Masjid Biru. Puteri suka sungguh melihat beberapa pohon yang telanjang tak berdaun. Seksi! Dahi Nuqman berkerut melihat Puteri mengulum senyum. Sebelum ditanya, lebih selamat Puteri berpusing ke arah lain!

Beberapa orang lelaki berpakaian tradisional Turki dari zaman dulu yang kelihatan seperti Aladin, lengkap dengan kasut yang mengecil di hujungnya dan topi merah menjual teh epal yang segar dengan rasanya masam manis. Puteri menyerahkan Camcodernya ke tangan Nuqman lalu menyapa lelaki-lelaki itu tanpa kata-kata, hanya buat muka comelnya cukup untuk mereka membuat pelbagai aksi lucu saat bergambar bersama Puteri. Mata hitam Nuqman berpusing dan Puteri tak dapat menahan ketawa. Kalau dengan orang lain, bukan main buat muka comel, kalau dengan aku, macam serba tak kena! Hati Nuqman bergumam sendirian.

“Rekabentuk masjid-masjid di sini lebih kurang sama. Selepas pagar batu utama, akan ada 3 lapis pintu masuk lagi, barulah sampai dalam masjid. Saya temankan Ika ke tempat wuduk muslimah. Jauh sikit dari pintu masuk. Jom…” 1TL dihulurkan kepada Puteri.

“Muslimah kena bayar…,” beritahu Nuqman lagi sambil tersenyum.

“Biased!”

“Don’t take it too hard…” Puteri mendengus. Di mana-mana diskriminasi. Bukan kejutan lagi.

“Kenal Mimar Sinan?”

“Kenal sangat. Selalu jumpa.” Puteri tersengih. Semakin berani bergurau sekarang. Nuqman memandang tajam, -kelakarlah-sangat!

“Idola saya…” Kening Puteri terangkat. Serentak itu dia mendongak memandang Masjid Biru yang tersergam.

“Wanna build something like this?”

“I’d love to! It’s my dream.” Nuqman menarik nafas dalam sambil memerhatikan bangunan kuno itu untuk kesekian kalinya.

“I’m impressed…”

“Really?” Keningnya terangkat. Senyuman terukir di bibir.

“Yeah… Awak orang yang penuh dengan cita-cita…” Puteri memandang sepasang anak matanya. Langkah mereka terhenti.

“Impian awak terlalu jauh…” Dan kata-kata Puteri mati di situ. Pandangan Nuqman menikam. Kagum atau sindiran? Perlahan-lahan Puteri mengalihkan pandangannya dan melangkah masuk ke tempat wuduk muslimah.

“Tapi hati saya juga penuh dengan cinta…” hati Nuqman berbisik. Dia tersenyum panjang. Impiannya terlalu jauh? Apakah Puteri sanggup bersamanya mencapai impian itu atau mengalah sebelum bermula?

Mereka melangkah masuk ke dalam Masjid Biru secara percuma. Hanya ada kotak yang disediakan bagi sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan. Nuqman memberikan sejumlah wang untuk Puteri masukkan ke dalam kotak tersebut. Puteri tak pasti entah berapa Lira tetapi bila melihat senyuman melirik pengawal masjid yang berkawal di situ, Puteri yakin jumlahnya cukup besar.

Puteri yang sedia menutup aurat hanya diberikan plastik untuk dimasukkan kasut. Begitu juga dengan Nuqman. Bagi pengunjung yang belum menutup aurat atau yang bukan Islam, mereka dipinjamkan sehelai tudung agar mereka tampil lebih sopan ketika mengunjungi Masjid itu.

Mereka menelusuri ruang dalam Masjid Biru. Pintu masuk agak sempit namun tersergam dan tersendiri. Ada ruang legar yang luas tak berbumbung dikelilingi oleh suatu arked berkekubah yang berterusan. Ada juga disediakan tempat untuk mengambil wuduk di kedua-dua belah halaman yang berbentuk heksagon dan berbumbung namun agak kecil dan kontras pada dimensi halaman. Nuqman singgah di situ untuk mengambil wuduk.

“Kita masuk solat sunat tahiyyatul masjid dulu. Lepas tu tunggu azan dan solat jamak takdim ya. Ruang solat lelaki kat depan. Muslimah di belakang. Saya tunjukkan. Lepas solat nanti, kita jumpa balik di sini. Ok?”

Puteri mengangkat tabik hormat. Mata hitam Nuqman berputar lagi. She’s nineteen, alright!

Langkah Puteri terhenti sebaik saja melangkahkan kaki masuk ke ruang utama dalam masjid itu. Hamparan permaidani merah yang dilatari ornamen bunga-bungaan dan tumbuhan bersulur itu sangat indah membuatkan suasana tampak hidup dan berseri. Dan nafasnya terhenti saat dia mendongak memandang ke atas. Menakjubkan!

Masjid Biru berlangitkan sebuah kubah utama yang sangat besar dikelilingi lapan buah kubah sekunder di sokong oleh empat batang tiang yang sangat besar dan disokong oleh tiga exedra. Nuansa biru semakin terasa, refleks dari jubin seramik biru yang mendominasi diadun dengan beberapa warna jubin seramik lagi membentuk lebih lima puluh jenis rekabentuk yang berbeza menjadi interior masjid ini selain kaligrafi ayat-ayat suci Al Quran.

“20,000 jubin seramik terbaik dari Iznik, kawasan paling utama pengeluar seramik di Turki. The choice of other colours of ceramics blended so well. Dengan dua ratus enam puluh buah tingkap gelas kaca berwarna keliling dinding untuk suluhan cahaya matahari, this place is magnificent!” Nuqman tak pernah jemu menghayati interior dan binaan Masjid yang menjadi sebutan di seluruh dunia ini.

“Yes, it is…” Kata-kata Puteri terluah dalam helaan nafasnya. Pandangan matanya masih terpukau dengan seluruh interior masjid itu. Indah sungguh!
.
Chandelier tua dari besi yang tergantung megah di tengah masjid, anggun cahayanya menerangi ruang luas dalam masjid. Nuqman beritahu, ada telur burung unta diletakkan di situ bagi mengelakkan labah-labah membuat sarang. Tergelak Puteri dan kagum dengan kreativiti dan kebijaksanaan mereka di zaman dulu.

“It takes my breath away…,” bisik Puteri.

“Memang cantik sungguh rumah Allah ni. Secantik hati-hati yang membinanya, hati-hati yang hanya mengharapkan keredhaan Allah. They put their hearts and souls to build a place like this. Moga-moga berkat ketaqwaan mereka, kita dapat tumpang rasa khusyuk dengan Allah…” Lembut kata-kata Nuqman menusuk ke dalam hatinya. Perlahan-lahan Puteri berpaling menatap lelaki di sebelahnya yang masih tegak berdiri menikmati keindahan rumah Allah itu.

Satu rasa yang luar biasa datang menyentuh hatinya, entah dari mana. Wajah Nuqman yang masih basah dengan air wuduk kelihatan berseri disimbahi cahaya indah chandelier tua. Pandangannya sendu. Bicaranya menusuk kalbu. Puteri tertegun seketika. Dan lelaki budiman itu adalah suaminya!

Saat itu juga pandangan Nuqman beralih ke wajah Puteri. Dia agak tersentak menatap riak wajah Puteri yang lembut bercahaya. Anak mata Puteri bergerak-gerak memandangnya seakan berkata sesuatu. Hati lelakinya berdebar. Dan saat itu, dia sangat terasa kasih sayang Allah… menghadiahkan seorang Puteri kepadanya.

“Ika…” Tuturnya dalam senafas.

Mata hitam Puteri masih bergerak-gerak memandang ke dalam anak matanya. Nafas Nuqman tertahan-tahan. Kenapa Puteri terus-terusan menatap dirinya? Dia tak pernah begini. Dan hatinya bagaikan terpukau, mahu didakap tubuh gadis itu seerat mungkin kerana kesyukuran, kebahagiaan dan segala rasa yang menyelubungi dirinya saat itu.

“Puteri Zulaikha…” Dia hanya mampu menyeru. Jemarinya tak boleh menyentuh demi wuduknya.

Puteri bagaikan disentak. Dia menelan airliur. Perlahan-lahan dia tunduk memandang karpet merah. Apa yang berlaku?

“Kita solat sunat dulu… Mari saya tunjukkan…” Puteri masih tunduk berdiri. Nuqman serba salah.

“Ika…”

“Hmm…” Wajah manis itu mendongak.

“Mari…” Dia mengangguk dan perlahan-lahan melangkah.

Ya Tuhan… Nuqman meraup mukanya. Engkau pimpinlah gelodak perasaanku.

Nuqman mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid kemudian duduk berselawat badawi perlahan-lahan selepas bersalaman dengan beberapa orang ahli jemaah yang duduk di situ menunggu azan. Hatinya semakin tenang. Pandangan mata Puteri bermain-main di mata. Janganlah aku lalai terhadap-Mu, ya Allah… Jadikanlah kasih sayangku kepada isteriku sepertimana kasih sayang Rasul-Mu kepada Siti Khadijah. Kasih sayang yang selamat dan menyelamatkan yang membawa kami berdua kepada mencintai-Mu sepenuh hati kami… Rintih Nuqman berpanjangan dalam dia berselawat ke atas Nabi.

Azan yang berkumandang menyentuh hati. Kebesaran Allah benar-benar terasa. Keagungan-Nya, Kasihsayang-Nya dan Kemurahan-Nya menyelubungi alam dan seisinya. Airmata perlahan-lahan tergenang di tubir mata. Berbahagialah mereka yang telah membuktikan kecintaan mereka kepada Allah. Masjid ini adalah buktinya. Dan berkat perjuangan merekalah, Islam terus berkembang di bumi ini. Moga generasi hari ini diberi petunjuk sepertimana mereka yang telah diberi petunjuk.

Seusai berdoa dan bersalaman dengan para jemaah, Puteri segera ke ruang legar tak berbumbung itu lalu menghampiri tempat berwuduk untuk menunggu Nuqman. Hatinya berdebar-debar. Tadi dia sujud syukur. Syukur sangat-sangat kerana dapat menjejakkan kaki ke bumi Istanbul. Walaupun dia datang dengan niat yang cacamerba tapi apa yang dia temui di sini sangat membahagiakannya. Dia tak pernah merasa sebegitu dekat dengan Pencipta dirinya. Tak pernah dapat merasakan kebesaran-Nya seperti yang dia rasakan saat ini. Berkat ketaqwaan mereka… Kata-kata Nuqman datang sekilas dalam hatinya.

Saat dia tersedar yang orang di kelilingnya duduk bertafakur dan bermunajat seusai solat, dia terdiam sendiri. Apa yang mahu dia munajatkan?

Mohon Tuhan lembutkan hati Nuqman untuk melepaskannya? Benarkah itu yang dia mahu?

Mohon Tuhan jadikan Nuqman tidak seperti lelaki-lelaki yang dibencinya? Bukankah lelaki lebih kurang wataknya?

Mohon Tuhan cekalkan hatinya? Sungguh dia tak mahu melaluinya lagi…

Puteri menadah tangan. Namun tiada kata-kata yang terluah. Dia keliru.

Bantu aku, ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu tentang keperluanku. Berikan aku kekuatan dalam hidupku, ya Allah. Aku ingin benar-benar mengenal-Mu. Aku ingin mencintai-Mu seperti mereka. Tapi aku tak tahu dari mana nak mula. Tunjukkan aku jalan menuju-Mu, ya Allah.

“Assalamualaikum…” Dia terdongak. Nuqman tersenyum berseri. Senyuman yang mendebarkan jiwa. Puteri menelan air liur.

“Waalaikumussalam…” Dia menjawab perlahan sambil membuang pandang ke arah lain.

“Nak tengok keliling?”

“Sure!”

Nuqman membawa Puteri masuk kembali dan kali ini melalui pintu masuk di bahagian barat.

“Tengok kat atas tu,” pinta Nuqman. Puteri cepat mendongak. Seutas rantai besi yang sangat besar tergantung di situ.

“Ini laluan Sultan yang masuk ke masjid dengan kuda. Rantai digantung supaya sultan kena tunduk merendahkan kepalanya setiap kali masuk ke masjid. Begitu sekali seorang pemerintah sanggup diperingatkan supaya dia merendah diri dalam rumah Allah. Kalau macam tu pemimpinnya, kita bohleh bayangkan rakyatnya. Dan tak terkejutlah bila Islam gemilang di tangan mereka. Hanya pemimpin yang hidupnya berTuhan dapat membawa tentera dan rakyatnya hidup berTuhan.” Panjang cerita Nuqman dengan rumusannya sekali. Puteri semakin kagum dengan lelaki ini. Dia bukan hanya seorang arkitek biasa. Ada bahagian dalam hatinya yang semakin kecut dan takut.

Mereka melangkah masuk ke dalam masjid dan ke arah belakang. Sebuah mihrab berdiri di situ diperbuat dari marmar yang dipahat halus. Tembok disekelilingnya juga dipenuhi dengan jubin seramik yang majoritinya berwarna biru dengan hiasan kalimah Allah dan Muhammad serta kaligrafi ayat-ayat Al Quran.

Di sebelah kanan mihrab adalah mimbar yang tinggi yang tidak kurang dekorasinya, untuk imam berdiri menyampaikan khutbah pada hari Jumaat.

“Masjid ni istimewa dari banyak sudut. Antara yang paling istimewa bila azan dan khutbah disampaikan, semua orang di mana saja dalam Masjid ini dapat mendengar dan melihat imam dengan jelas. It was designed that way, antara kehebatan Mimar Koca Sinan.” Suara Nuqman sarat dengan rasa kagum.

Mereka menyelusuri seluruh pelusuk Masjid Biru di celah-celah puluhan pelancong yang turut meneroka kehebatan Masjid ketika itu. Galeri kerajaan terletak di sudut selatan timur. Kamar-kamar istirehat Diraja juga terletak di situ yang pernah menjadi markas Wazir Agung selama pemberontakan Yenicheri Corps. Selepas itu ada Hunker Mahfil atau Penginapan Diraja yang memiliki mihrab tersendiri yang cantik dengan hiasan ayat-ayat Al Quran yang sarat. Akhirnya mereka melangkah meninggalkan Masjid Biru dengan perasaan yang berbaur.

“Asalnya Sinan hanya seorang anak pengukir, keluarganya miskin beragama Kristian. Dia orang yang terpilih. Bukan sahaja diberi hidayah oleh Allah tetapi ilham untuk berjuang demi agama-Nya. Tentera elit kerajaan Uthmaniah betul-betul dilatih untuk berjuang kerana Allah. Ramai yang jatuh hati pada Islam kerana pemimpin dan tentera Uthmaniah. Apa taknya, mereka sungguh-sungguh mencontohi Rasulullah dan para sahabat. Sinan antaranya. Bila tengok sendiri tentera elit Uthmaniah yang masuk ke kampungnya, dia bercita-cita nak jadi seperti mereka. Dan akhirnya dia berjaya menjadi salah seorang dari mereka.

Dalam hidayah Allah, dia diberi ilham hingga berjaya bina jambatan waktu tentera Uthmaniah hadapi masalah nak seberang sungai. Bermula dari situ dia terus diberi peluang dalam senibina sampai dia dilantik jadi Arkitek Diraja. Yang saya kagum… kerendahan hatinya, tak pernah lupa yang dirinya bermula dari tiada, dia sangat yakin dengan kekuasaan Allah. Nikmat Allah dia syukuri dengan cara abdikan diri perjuangkan Islam melalui senibina, kelebihan yang tak ternilai anugerah Allah. Selalu saya bertanya pada diri sendiri, apa yang saya dah buat dengan anugerah Allah pada saya?” Nuqman bagaikan bercakap pada diri sendiri. Mereka terus melangkah menuju pantai Laut Marmara yang membiru.

“Sinan bina beratus buah masjid, sekolah, muzium, istana, jambatan dan macam-macam lagi. Dalam tempoh 50 tahun. Saya baru bermula. I need the drive to do the best I can. And I know that the drive is ‘love’.” Langkah Puteri hampir terhenti. Love?!! From me?!!

Hati dan mindanya menjerit serentak. Langkah Nuqman terhenti. Puteri menelan airliur, langkahnya turut terhenti. Nuqman mendongak ke langit biru yang terbentang.

“The love of God.” Dia menghirup nafas panjang, seolah-olah menarik sebanyak-banyaknya kekuatan dari alam. Nuqman meneruskan langkah.

“Saya kena usaha mencintai Allah. Like what they did… Jadi orang yang bertaqwa…”

Puteri terkesima.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s