Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 13

Bab 13

“Selamat datang ke Hagia Sophia, Tuan Puteri.” Nuqman memberi tunduk hormat sambil tangannya didepangkan untuk mempersilakan Puteri melaksanakan impiannya, menjejaki bangunan kuno yang bersejarah itu sebaik saja mereka tiba di taman bunga di perkarangan Hagia Sophia.

Macam dalam filem! Saat itu hati Puteri sedang berbisik dalam debar dan takjub, terdongak mengamati Hagia Sophia dari tapaknya di bumi ke mercu kubah di dada langit. Dia yang sedang terpaku berdiri di hadapan bangunan yang tersergam megah itu menjeling apabila mendengar ucapan Nuqman tetapi tersenyum juga akhirnya. Nuqman suka mempermainkan namanya. Tapi dia suka! Sambil memegang tepi bajunya dan menundukkan badan, dia membalas layanan kehormat dari Nuqman. Kemudian dengan selamba dia memaut lengan Nuqman sambil mengangkat kening. Giliran Nuqman pula terpaku. Namun bagaikan mengerti maksud Puteri, Nuqman turut mengangkat kening lalu menghayun langkah di sisi Puteri seperti seorang Putera lagaknya. Seketika kemudian pecah ketawa mereka, lucu dengan tingkah sendiri!

“900 tahun jadi gereja, lepas tu 500 tahun jadi Masjid kebanggaan umat Islam seluruh dunia. Tapi sejak tahun 1935 sampai sekarang, bangunan megah ni hanya sebuah muzium bagi dunia kerana kekayaan globalnya. Takziah untuk kita umat Islam seluruhnya!”

“Nuqman!” Tukas Puteri. Sejak malam tadi, Nuqman amat keberatan bila diajak ke Hagia Sophia. Pagi tadi pun, Nuqman berdolak-dalik hendak datang ke sini sedangkan inilah antara tempat yang sangat-sangat ingin dikunjungi Puteri selain Blue Mosque.

Mereka berjalan masuk beriringan sekali lagi di bawah payung yang satu. Suasana pagi di Istanbul masih seperti semalam, sejuk dan hujan renyai-renyai. Hati Puteri melonjak riang untuk berada dalam bangunan bersejarah itu yang namanya sempena seorang wanita yang cantik, berkulit putih kemerah-merahan, hidungnya tinggi dan bermata sendu, itulah Hagia Sophia yang cerdik dan suci seperti maksud namanya juga. Bayangkan kalau menjadi seorang wanita yang menjadi sebutan dan kebanggaan dunia!

Semakin mereka menghampiri bangunan itu, hati Puteri semakin berdebar. Pintu imperial yang berukuran raksasa menyambut kedatangan mereka berdua dan ratusan lagi pengunjung Hagia Sohia hari ini. Pintu ini adalah laluan menuju Narthex atau aula utama yang dulu hanya digunakan oleh para pemerintah. Puteri tersenyum dengan tingkah Nuqman, petah berkongsi maklumat bagaikan seorang pemandu pelancong lagaknya.

“Hebatnya!” Seru Puteri tatkala terpandangkan sebuah ukiran kayu raksaksa yang tergantung megah sebaik saja dia melangkah masuk.

“Hmm… memang hebat. Hasil karya Mustafa Izzet Efendi, ahli kaligrafi yang terkenal dengan seni bingkai pahat kayu. Ada lapan buah kesemuanya dalam Hagia Sophia ni.”

“Ya ke? Hebatnya karya dia! Yang itu Saidina Ali RA, tujuh lagi?” Soal Puteri, ingin tahu.

“Kalimah Allah, Rasul-Nya – Muhammad, empat Khalifah utama – Saidina Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman dengan dua cucunda kesayangan Rasulullah, Saidina Hassan dan Saidina Hussin. Nanti Ika akan nampak kesemua tujuh lagi bingkai kayu raksaksa tu.”

Mereka melangkah beriringan ke dalam bangunan Hagia Sophia yang berdiri megah itu. Dengan lampu chandelier bercahaya bergantungan di atas kepala yang memberi kesan gaya ruangan yang sangat indah dan klasik ditambah dengan sorotan cahaya matahari yang menerobos masuk melalui tetingkap yang mengelilingi dinding bangunan dan kubah yang menjulang tinggi, suasana dalam bangunan bersejarah itu menjadi sangat menakjubkan yang tidak pernah dia saksikan sebelum ini.

Puteri tak habis-habis memuji kehebatan bangunan itu yang setiap bahagian binaannya ada maksud tersendiri. Malah Puteri juga tahu yang bahan-bahan binaan didatangkan dari berbagai negara seperti Syria dan Mesir untuk membuatkan bangunan ini benar-benar kuat dan kukuh serta tahan gempa.

“Saya lebih kagum dengan sejarahnya berbanding senibinanya.”

Perlahan-lahan Puteri mengadap Nuqman dan memberi fokus.

“Maksud awak, penaklukan Constantinople oleh Sultan Muhamad Al Fateh?”

“Bukan itu saja. Tapi tentang peribadinya, tujuan dan perjuangannya… Hagia Sophia ni buktinya.” Nuqman memandang jauh ke lelangit kubah utama Hagia Sophia.

Nuqman meraih tangan Puteri yang masih belum mengerti maksud kata-katanya tadi, memaut bahu Puteri ke posisi di hadapannya sambil menghala ke suatu arah. Puteri yang pada mulanya kaget, kemudian berdebar-debar dengan sentuhan Nuqman dan hangat tubuhnya yang bersentuhan. Harumannya menguasai minda dan emosinya hingga sesaat itu, Puteri terlupa di mana dia berada..

“Pandang ke atas…,” bisik Nuqman di tepi cuping telinga. Puteri menelan liur dan memaksa mindanya fokus.

Hiasan dinding yang besar dan gah sungguh indah dengan mozek, lukisan yang dibuat daripada kaca dan batu yang berwarna-warni terlayar dalam pandangan matanya. Puteri terpaku. Sesaat masa berdetik. Keindahan itu tiba-tiba punah sekelip mata.

“Cantik tapi…” Dia kehilangan suara. Dia berpaling melihat sekeliling dengan rasa tidak percaya. Banyaknya!

“Semua ni dah ditutup rapi, ditampal hingga tenggelam semuanya Tapi kerana kita, umat Islam yang semakin lemah, semua tu dibongkar semula. Satu kegagalan, bukan? Satu penghinaan bagi saya!”

Mozek Virgin Mary dengan Jesus dipangkuannya yang menjadi pujaan penganut Kristian terpahat megah di puncak paling atas di bahagian timur Hagia Sophia. Dan yang lebih terharu, ianya jauh lebih tinggi dari dua bingkai kayu yang terpahat kaligrafi kalimah Allah dan Muhammad! Dan banyak lagi mozek-mozek seperti malaikat bersayap, Alexander The Great yang menjadi kebanggan mereka megah melatari dinding-dinding Hagia Sophia.

Perlahan-lahan Puteri menoleh. Nuqman hanya tunduk memandang hujung kasut, tidak sanggup memandang. Barulah Puteri faham kenapa Nuqman berat untuk datang ke sini. Dia berpusing mengadap lelaki yang masih asing baginya itu.

“Sabarlah, awak. Kan awak dah kata, Islam akan bangkit di hujungnya nanti. Masih ada masa kita nak baiki diri sebagai orang Islam. Insyaallah… kita akan kuat semula… dan semua ni dapat dibetulkan.” Tangan kanannya melekap rapat di dada Nuqman seolah-olah mahu menenangkan gelodak hati lelaki itu. Entah dari mana kekuatan dan kata-kata itu datang, Puteri sendiri terkejut dengan dirinya. Nuqman mengangkat mukanya yang berubah riak menjernih. Tangan Puteri di dadanya diraup dengan kekuatan baru. Dia memahami aku…, bisik hati kecilnya.

Tangan mulus itu digenggam penuh makna lalu dia melangkah membawa dia bersamanya menuju ke satu sudut lain pula.

Simbahan cahaya keemasan menyambut langkah mereka yang akhirnya terhenti di hadapan mihrab dan mimbar yang tersergam megah.

“Hebatnya taqwa Sultan Muhammad Al Fateh hingga dapat mengubah altar, tempat pemujaan mereka menjadi mihrab dan mimbar untuk membesarkan Allah SWT. Simbolik yang sangat mendalam maksudnya. Menukar aqidah mengubah ibadah. Pemerintah tu lah pemimpin. Bagi Sultan Al Fateh, dia bertanggungjawab ke atas iman rakyatnya. Berapa ramai pemimpin hari ni yang memikirkan iman rakyatnya?”

Puteri yang masih terpana dengan keindahan mihrab dan mimbar yang menyentuh jauh ke dalam hatinya langsung terdiam. Jauh sungguh persoalan Nuqman. Sejauh itu dia memikirkannya. Sesuatu yang di luar kotak bagi Puteri!

“Saya impikan anak-anak kita seperti Sultan Al Fateh. Bijak bertaqwa. Berjuang mengubah nasib Islam untuk dunia. Kita boleh berusaha dari sekarang. Sebagaimana Al Fateh dibina sejak belum dia dilahirkan. Dari ayah ibunya yang beriman…” Pandangan matanya kekal terpaku di Mimbar dan Mihrab namun jari jemari Puteri yang digenggam sejak tadi dikucup lembut.

Berdiri bulu roma Puteri mendengar impian yang bagaikan tak mungkin mencecah bumi itu! Apalagi kalau impian itu melibatkan dirinya!!

Pandangan mata Nuqman akhirnya beralih ke dalam sepasang mata bundar Puteri. Mencari jawapan kepada soalan yang selama ini bersarang dan bersawang dalam fikirnya.

Nuqman masih memandang, menunggu. Puteri semakin gelisah. Jari-jemarinya masih dalam genggaman itu. Hangat dan erat.

“Ika…” Serunya, sepatah.

“Awak…” Dia tak punya jawapan.

Takut. Rasa takut yang amat sangat tiba-tiba menyerbu datang. Jangan memaksa, Nuqman! Batinnya menjerit. Aku tak mampu! Anak matanya bergerak-gerak dan berkelip-kelip, cuba berkomunikasi kerana mulutnya terkunci.

Impian itu terlalu suci. Sedangkan aku masih tercari-cari. Mungkin… Mungkin bukan aku orangnya! Mungkin bukan aku yang layak…

Ada airmata yang hendak tumpah. Sebak menunda meregut jantungnya yang berdebar. Sungguh aku tak layak sebenarnya…

Tangannya disentak. Kakinya mengatur langkah laju menjauh. Ya… selaju dan sejauh mungkin. Selaju degup jantungnya. Maafkan aku!! Maafkan…! Hatinya merintih hiba…

“Anak-anak kita nanti mesti comel, kan? Yang perempuan semanis mamanya, yang lelaki sekacak segagah papanya.” Waktu itu dia percaya dengan impian. Dari impian, terbina realiti.

“Saya nak anak ramai, tau. Biar riuh rendah rumah kita. Saya tak nak anak-anak kita sunyi macam saya dengan Liha… Berdua je…” Harapannya menjadi cita-citanya. Selagi izin Tuhan, takkan kuhampakan…

Nuqman kaget. Kenapa?

She’s just nineteen, Nuqman! Suara hatinya tiba-tiba menyergah.

MasyaAllah! Apa aku dah buat ni!? Kelibat Puteri segera dicari. Tak ada! Jantungnya berdegup kencang. Jangan aku kehilangannya! Langkahnya makin panjang dan laju.

“Ika! Ika!!” Derap langkah semakin kuat di pendengarannya. Makin melambung ombak rasa cemasnya. Aku tak percaya lagi dengan impian! Aku tak mahu tertipu lagi dengan harapan. Jangan permainkan hati ini lagi. Tolonglah…

Hatinya pedih. Ceritanya sedih. Dunianya lirih. Pergi jauh dari aku!!!

“Ika!!” Tangannya tiba-tiba disentak seseorang sehingga tubuhnya terpusing ke belakang. Sedetik itu dia berada di dalam rangkulan Nuqman. Dia meronta cuba melepaskan diri. Terasa lemas terperangkap. Dia harus pergi jauh dari situ, dari lelaki itu!

“Puteri Zulaikha!” Tiba-tiba tubuhnya terhenyak di tembok batu, laluan keluar di pintu gerbang utara bangunan itu. Matanya buntang. Sakit tangan dan belakangnya, hanya Tuhan yang tahu. Wajah Nuqman hanya beberapa inci darinya sampai sukar untuk dia bernafas. Debar jantungnya bertukar rentak. Aku akan kalah kalau begini! Hatinya menjerit. Pantas dia menolak tubuh lelaki itu, meronta minta dilepaskan.

“Ika! Syhh… Syyhh… It’s okay… It’s okay… I’m sorry!” Telapak tangan sasanya memegang pipi, memaksa dia memandang matanya.

“Sssaya tak bermaksud… Saya… Tu cuma harapan saya, Ika. Tak apa kalau awak tak bersedia. Saya takkan paksa awak. Saya dah janji, kan?” Suaranya lembut menenangkan gelodak jiwa. Sepenuh hati dia memujuk. Namun seribu rasa dalam hati membuatkan dirinya gelisah. Pandangan mata bening itu tak mampu dibalas. Dia juga hilang daya untuk meronta, melepaskan diri lagi. Sentuhan lelaki itu selalu buat dia kalah. Argh… Abaaaahhhhh!!

P/s: Selamat menyambut hari raya! Semoga hati kita ikhlas menyayangi sesama berkat Ramadhan yang pergi dan syawal yang bakal tiba. Kalau kita bahagia di dalam, kita pasti dapat membahagiakan orang lain juga. Kalau berserabut di dalam, orang lain berserabut juga. Macam serabutnya Puteri buat Nuqman pun berserabut! Huhu… Moga berbahagia di hari raya!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s