Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 12

Bab 12

Usai solat jamak taqdim fardhu Maghrib dan Isya’, Nuqman keluar membeli makanan untuk makan malam. Mereka memutuskan untuk berehat saja malam itu. Puteri yang tiba pagi tadi jelas keletihan.

Puteri mengambil kesempatan untuk merebahkan tubuhnya ke tilam empuk yang masih ditaburi kelopak mawar merah itu sebaik saja Nuqman keluar. Letih dan lesu seluruh tubuh namun yang peliknya hati pula bagaikan berlagu. Jemarinya meraup kelopak-kelopak merah baldu yang masih harum itu ke telapak tangan. Dibawa ke hidung lalu dihidu lama. Hmm… harumnya! Kemudian kelopak-kelopak itu dibiarkan berjatuhan ke mukanya. Biarlah apapun lagu yang sedang berkumandang di dalam hatinya, namun kelopak mata Puteri tak mampu diangkat lagi. Dia terlena tika bibirnya masih tersenyum dengan kelopak mawar merah bertaburan di muka.

Ruang dalam pangsapuri mewah itu sunyi. Hanya lampu dinding yang terpasang, menyimbah cahaya samar ke ruang tamu. Nuqman meletakkan makanan di dapur kemudian melangkah perlahan-lahan mencari Puteri. Manalah tahu kalau dia tersadung lagi dengan si Puteri yang boleh jadi tidur di mana-mana saja!

Akhirnya Nuqman ke bilik bila dilihat segenap ruang kosong tanpa Puteri. Diketuk daun pintu itu perlahan-lahan, bimbang mengganggu kiranya Puteri sedang beradu. Tiada jawapan. Tombol dipulas. Tidak berkunci. Dia percayakan aku, desis hati Nuqman. Bibirnya mengorak senyum.

Daun pintu diselak. Dan saat itu pandangan matanya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring lena di katil dalam cahaya dari lampu meja yang samar. Nafasnya seakan terhenti…

“Ohh…!” Terluah sepatah kata. Indahnya! Daun pintu ditutup perlahan. Dan bagaikan dipukau oleh permandangan itu, Nuqman melangkah selangkah demi selangkah dalam debar yang semakin menggoncang nuraninya.

Asyik. Dia terpaku berdiri di situ. Di sisi katil. Wajah Puteri amat mendamaikan, cantik menawan tanpa solekan. Alis mata bertemu rapat hitam melentik walau tidak terlalu panjang. Dua ulas bibir yang separuh terbuka itu sungguh mengujakan. Beberapa kelopak mawar merah di wajahnya, di leher dan di dadanya. Indah sungguh. Nuqman tersenyum bahagia. Kedamaian yang luar biasa meresap jauh ke dalam hatinya.

Nuqman duduk di birai katil, di sisi puteri. Tangan Puteri terletak elok di bantal. Jemari runcing itu disentuh perlahan dengan hujung jarinya. Kemudian jari-jemari Nuqman makin nakal, menyentuh pipi mulus itu. Hidung, dahi dan bibir hingga turun ke lurah dadanya yang terbuka. Nuqman menelan airliur.

Tiba-tiba hatinya sebak. Gadis itu anugerah Tuhan kepada dirinya. Untuk menjadi suri dalam hidupnya. Harapan kembang mekar. Ingin sekali dia membahagiakan gadis itu kerana bersamanya, hidupnya terasa sangat berbeza. Lembutkanlah hatinya untukku, ya Tuhan…

Rasanya tak mahu berpisah. Perlahan-lahan Nuqman merebahkan diri di katil, di sisi Puteri. Dia mengiringkan badan, mengadap Puterinya. Tak jemu dia memandang setiap inci wajah Puteri. Jemari Puteri diraup antara jemarinya. Dielus lembut. Asyik. Nuqman terus memandang, menghayati dan menikmati keindahan anugerah Tuhan untuk dirinya hingga entah berapa lama. Akhirnya dia terlena di situ, di sisi isterinya. Malam pertama. Saat berbulan madu. Nuqman tersenyum manis dalam tidurnya.

Puteri riang mengejar rama-rama yang berterbangan. Sambil tertawa, dia terduduk keletihan di atas rumput baldu. Seronoknya! Bagaikan dalam syurga. Wangi bunga yang berbagai jenis sedang mekar di kelilingnya, memenuhi taman menambah rasa bahagia. Tiba-tiba…

“Arghh… laparnya!” Dia mengerang sambil menekan perut yang terasa pedih menyucuk. Langsung dia tercari-cari… di mana dia boleh dapatkan sedikit makanan?

Bingkas dia bangun berdiri. Di hadapannya tersergam sebuah masjid. Lantas Puteri berpusing ke kanan. Juga sebuah masjid. Aneh! Laju Puteri berpusing ke kiri dan ke belakang, ada lagi tiga buah masjid! Dia di kelilingi masjid. Ya Allah! Macammana ni? Laparnya…! Terpejam mata Puteri menahan sakit perut yang semakin berkeroncong.

Dalam keluhan yang panjang, Puteri membuka matanya sedikit. Mengharap.

Lelaki!

Matanya membulat.

Nuqman!

Mulutnya terlopong.

Suami!!

Satu jeritan bergema di kerongkong. Matanya liar kalut melihat tubuh sendiri. Ada. Pakaiannya masih ada! Syukur. Tangan kirinya meraba-raba diri sendiri. Ada tak yang tak kena? Okay…? Semua okay! Tangan kanannya? Terlekat di situ. Dalam kedua-dua tangan Nuqman. Matanya terbeliak. Dia cuba menarik tangannya. Tersekat. Nafasnya turut tersekat.

Desah nafas Nuqman yang teratur hangat menyentuh kulit mukanya. Puteri menghela nafas. Kepalanya terhenyak kembali ke bantal. Macammana ni? Bentak hatinya.

Puteri kembali menoleh. Wajah Nuqman sedang tidur lembut bagaikan bayi. Terpana seketika, Puteri diam memandang lama. Anak rambut Nuqman jatuh berjatuhan di dahi. Comel. Hidungnya agak tinggi dan besar. Bibir pula nipis dan kecil. Dia tersenyum. Rasa seronok pula dapat menatap wajah Nuqman puas-puas. Tanpa disedari, hujung jari Puteri menyentuh anak rambut dan perlahan-lahan merayap ke dahinya yang luas. Tanda orang cerdik!

Semakin nakal, jari telunjuk itu bagaikan bermata, berjalan turun menyentuh hidung Nuqman hingga ke bibir yang tertutup rapat. Turun lagi ke dagu yang terbelah. Wah… memang menjadi daya penarik. Tanpa dapat ditahan, jari itu bergerak ke leher yang besar dan perlahan turun ke dadanya yang bidang. Butang baju Nuqman terbuka di bahagian atas. Lalu jari yang nakal itu terus meneroka. Tiba-tiba ia terhenti. Ada bulu dada! Bibirnya terbuka dan nafas ditarik laju. Satu perasaan aneh meresap dalam dirinya. Rasa teruja datang tiba-tiba. Seksinya dia…

“Suka dengan apa yang Ika tengok?!” Suara halus itu menyentak dirinya.

No!!! Oh no!!! Puteri terkaku. Terbuntang matanya. Jari yang nakal itu digigit kuat. Sakit! Padan muka! Jahat sangat. Malunya!! Puteri bagaikan hendak menangis. Ke mana hendak disorokkan muka ni?! Darah hangat menyirap ke mukanya yang kini memerah menahan malu.

“Aaa… awak…!” Cepat! Katakan sesuatu!

“Hmm…?” Kening Nuqman terangkat. Mata dan bibirnya tersenyum nakal.

“Saya… saya lapar…” Terburai tawa Nuqman.

“Tapi tadi asyik sangat…!” Usik Nuqman sambil mencuit hidung Puteri.

“Heee… awak ni!!” Mukanya ditekup dengan kedua-dua tangan! Tak berupaya hendak berselindung lagi.

*****

Mereka makan malam sambil berbual. Nuqman bijak bertanyakan itu dan ini supaya Puteri tak terus-menerus tunduk malu di hadapannya. Dia juga merendahkan diri dan mindanya di hadapan Puteri, cuba untuk tidak terlalu serius dan lebih santai supaya gadis itu selesa bersamanya.

Hidangan malam itu agak mudah namun sedap dan berbeza. Nuqman memandu agak jauh ke sebuah restoran yang memasak menu orang Turki yang biasanya dimasak di rumah.

Melihatkan Puteri yang kelesuan petang tadi, Nuqman membuat keputusan untuk menghidangkan nasi untuknya. Dia berharap hidangan yang agak berat ini dapat mengembalikan tenaga Puteri. Namun nasi atau pilav bagi orang Turki agak berbeza kerana dimasak dengan minyak dan garam dan sedap dimakan begitu saja. Daging yang dimasak dengan kacang badam rebus menjadi santapan mereka pada malam itu bersama yoghurt dan karniyarik.

“Karniyarik ni bermaksud ‘perut terbelah’,” Nuqman memperkenalkan satu demi satu hidangan mereka supaya Puteri tahu apa yang dimakannya.

“Isyhhh… Awak ni! Ngerinya nama!!” Tukas Puteri. Nuqman ketawa kuat. Memang orang perempuan alergi dengan nama macam tu!

“Okay! Okay! Forget about the name but it is delicious. Try it!” pelawa Nuqman.

Puteri merenung terung yang terbelah dua dan diisi dengan daging cincang, bawang putih, bawang merah, tomato, pasli dan percikan lada hitam itu dengan pandangan yang mencemaskan.

Perlahan-lahan Nuqman memotong sebahagian kecil lalu disuap ke mulut Puteri. Dengan kerut wajah dan mata yang mencerun, Puteri teragak-agak membuka mulut. Dia cuba tersenyum lalu mengunyah dengan hati-hati. Matanya tiba-tiba terbuka luas.

“Hmm… sedap!”

“Haa… jadi moralnya ialah… Jangan nilai sesuatu dari namanya. Bak kat orang, apalah ada pada nama dan apalah ada pada rupa.”
Terkebil-kebil Puteri dibuatnya. Cuba memahami maksud bebelan Nuqman.

“Kalau seorang lelaki tu, rupa tak ada, nama pun tak ada orang kenal, jangan pandang sebelah mata. Kenallah dulu hati budi dia… Sebab yang penting, hatinya baik dan dia sayang Ika…”

Haa?! Eh! Ke situ pulak perginya! Puteri mencebik. Nuqman mengangkat kening.

“Lelaki kalau mudah kata sayang ni, bukan boleh percaya.” Puteri menjeling melihat reaksi Nuqman. Lelaki itu hanya diam mengangguk-anggukkan kepala.

“Terpulang… Tak ada paksaan dari saya.” Jawab Nuqman sambil tersenyum. Mudah. Puteri menghela nafas. Baik sangatlah dia ni! Bisik hatinya.

Malam itu, mereka hanya berehat di sofa. Nuqman mengajak Puteri ambil angin malam di hadapan balkoni pangsapuri itu bertemankan coklat panas dan berbagai jenis kuih dan biskut Turki. Asyik Puteri merasa satu demi satu sambil membelek majalah dan buku-buku yang mereka beli sebelum zohor tadi.

Nuqman memerhati dalam diam. Cuba menelah apa yang ada di hati gadis itu. Rupanya lembut menawan. Wataknya periang dan manja. Tapi selalu tiba-tiba berubah keras. Kenapa agaknya jadi begitu? Sampai saat ini, Nuqman belum pasti bagaimana cara yang terbaik untuk melayan isterinya. Dia yang sudah biasa dikelilingi dengan wanita-wanita berkerjaya, matang dan profesional, Puteri menjadi cabaran baginya. Faktor perbezaan usia mereka yang hampir 10 tahun mungkin salah satu penyebabnya. Tapi watak Puteri persis seseorang yang sangat dekat di hatinya. Ya! Kenapa sekian lama, baru sekarang dia teringatkan dia? Rasa bersalah menyerang benaknya. Pantas dia mencapai handphone.

Banyak sungguh pesanan yang masuk. Memang dia sibuk sejak tiba ke Istanbul. Sampai tak sempat dia membuka pesanan demi pesanan itu. Hah! Bagai diduga, pesanan dari Najjah kesayangannya sudah bertimbun. Nuqman membuka beberapa pesanan…

“Abang Man dah selamat sampai? Jangan dekat-dekat dengan gadis Turki tau! Tak nak kakak ipar orang jauh-jauh!”

“Abang Man! Ramai sangat orang rindukan abang kat Peace Yo! Tapi yang paling rindu ialah… NAJJAH!!”

“Najjah nak balik kampung. Rindu ibu. Tak nak rindu abang Man lagi. Sombong. Benci!”

“Abang Man buat apa kat sana? Peace Yo! tengah bincang nak buat program ‘Up, Close and Personal with Brother Nuqman… Abang ok tak?”

“Kalau tak balas, Najjah nangis…”

“Najjah dah nangis ni!!!!”

Nuqman ketawa kuat. Boleh dibayangkan muka Najjah waktu menulis pesanan-pesanan itu. Hmm…. Betul! Watak Najjah dan Puteri hampir sama. Tapi Najjah lebih matang dan sangat menjiwai perjuangannya. Puteri? Dia belum tahu apa-apa. Mungkinkah dia dapat menjadi seperti Najjah, pengubat jiwanya?

Nuqman tahu, ada banyak perkara dalam diri Puteri yang menjadi benteng dalam hubungan mereka. She’s not just like an open book, desis hatinya.

Masalahnya, macammana caranya untuk dia membuka hati gadis itu supaya memberi laluan kepadanya agar dia dapat membantu memecahkan benteng itu?

Contoh yang telah Baginda Rasulullah SAW amalkan adalah yang terbaik! Nuqman telah mencuba sebahagian daripadanya tetapi lupa sebahagian yang lain. Dia terus mencari encik google.

Jari-jemarinya pantas menyentuh papan kekunci di skrin. Sepasang matanya laju meneroka hasil cariannya dari paparan itu.
Wajahnya berubah cerah. Dia meneliti lagi…

‘Rasulullah meletakkan bibirnya di tempat yang sama dengan bibir Aisyah dari gelas bekas Aisyah minum dan meminum sisa air minuman Aisyah. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah bersandar di pangkuan Aisyah sedangkan dia sedang haid. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah meminta Aisyah menyisirkan rambutnya dan memotong kukunya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sering menghirup udara malam bersama Aisyah di malam hari. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah tertawa mendengar gurauan isterinya. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering membantu isterinya menyiapkan keperluan rumahtangga. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering memberikan hadiah, khususnya daging korban kepada sahabat-sahabat isterinya (Khadijah) setelah beliau wafat. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering memuji isterinya dalam hal kelebihan mereka. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah menyatakan cinta pada isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah melihat ciri-ciri kebaikan dan kelebihan isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasululullah tidak pernah menceritakan kepada orang lain hal-hal peribadi isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sangat memahami perasaan isterinya baik dalam keadaan tenang mahupun marah. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah senang menerima hadiah dari isterinya (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sabar dan tahan menanggung tingkahlaku isterinya yang kurang berkenan. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah tidak pernah kasar atau memukul isterinya (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah menghibur isterinya dan menyeka air mata isterinya jika Baginda melihat isterinya sedang menangis. (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah pernah menyuapkan makanan pada isterinya. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah menyediakan sendiri keperluan-keperluan isterinya. (Riwayat Al-hakim).’

‘Rasulullah percaya pada isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sangat pandai berbicara dalam menjaga perasaan isterinya. (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah sangat adil di antara isteri-isterinya. (Riwayat At-Tirmizi).’

‘Rasulullah sangat menjaga dan memerhatikan isteri-isterinya. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah tetap bergaul seperti biasa (selain hubungan seks langsung) waktu isterinya sedang haid. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah suka mengajak isterinya bermusafir dengan melakukan undian di antara mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).’

‘Rasulullah pernah berlumba lari dengan Aisyah. (Abu Daud).’

‘Rasulullah suka memanggil isterinya dengan nama gelaran yang disukai isterinya. (Riwayat Ahmad).’

‘Rasulullah suka menyampaikan berbagai cerita pada isterinya. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah ikut gembira apabila isterinya dalam kegembiraan. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah tidak pernah menggunakan kata-kata kasar dalam rumah tangga. (Riwayat Ad-Daromi).’

‘Rasulullah menghormati kesukaan isterinya (Adabul Mufrad).’

‘Rasulullah sangat baik pada isteri-isterinya. (Riwayat At-Tirmizi).’

‘Rasulullah kalau hendak menggauli isterinya apabila pulang dari musafir, Baginda memberikan kesempatan kepada mereka untuk berhias diri. (Riwayat An-Nasa’i).’

Romantiknya dirimu, ya Rasulullah! Nuqman berseru di dalam hati. Dalam rasa bangga dan takjub, dia tersandar di sofa sambil menghela nafas panjang kepuasan. Dia amat berbangga mempunyai Rasul yang agung. Ternyata Baginda adalah sebaik-baik suami di antara semua seperti yang disabdakannya.

Nuqman menyimpan azam untuk mencontohi Baginda Rasulullah sebaik mungkin.

“I don’t believe this!!” Tiba-tiba suara Puteri memecah hening malam.

Bingkas Nuqman duduk merapati Puteri sambil meninjau majalah yang ada di tangannya. “Kenapa, Ika?”

“Ni! Tentang tradisi perkahwinan gadis di Timur Tengah. Nasihat perempuan tua Arab kepada anaknya pada hari perkahwinan. Cuba awak baca ni…” Terganggu dengan haruman tubuh Nuqman yang terlalu dekat dengannya, Puteri meminta Nuqman membaca majalah itu sendiri.

Nuqman menyambutnya lalu dengan selamba melunjurkan badan ke sofa yang panjang itu lalu merebahkan kepalanya ke riba Puteri sambil membaca dengan agak kuat. Mulut dan mata Puteri terbuka luas dan tangannya terkapai-kapai, tak tahu apa yang hendak dilakukan dengan tingkah Nuqman yang begitu. Lelaki itu memang sengaja buat tak nampak membuatkan Puteri geram dan serba salah.

“O my daughter! You are leaving the home in which you were brought up for a house unknown to you and to a companion unfamiliar to you. Be a floor to him, he will be a roof to you; be a soft seat to him, he will be a pillar for you; and be like a slave girl to him and he will be a slave boy to you. Avoid inopportune behaviour, least he should be bored with you; and be not aloof lest he. should become indifferent to you. If he approaches you, come running to him; and if he turns away, do not impose yourself upon him. Take care of his nose, his eyes and his ears. Let him not smell except a good odour from you; let not his eyes see you except in an agreeable appearance; and let him hear nothing from you except nice, fine words.” Nuqman meletakkan majalah ke dadanya dan mendongak mengadap muka Puteri yang dekat dengannya. Menahan tawa melihat Puteri yang panik kerana kepala Nuqman di ribanya.

“I love this!! Really!” Tersengih lebar Nuqman sambil memandang Puteri. Namun reaksi Puteri ternyata berbeza.

“So? Do you like it? It’s so true, isn’t it?”

“True?!! This is slavery!!” Jerit Puteri.

Mata Nuqman terkelip-kelip memandangnya. Parah!

“Lelaki memanglah suka. Siapa tak suka kalau jadi raja, kan?! Tapi perempuan tu kira nasiblah! Sempurna mana pun seorang perempuan tu, sampai jadi macam hamba sekali pun, tak semestinya dia akan dilayan baik. Dah puas nafsu lelaki, habis semua dicampak ke tepi!” Marah benar Puteri dengan nasihat yang dikatakan ortodoks itu.

“Habis tu…? What actually do you believe, then?” Peluang untuk mengorek apa lagi di hati Puteri!

“Saya percaya kalau perempuan jadi begitu, sanggup jadi hipokrit, tunjukkan yang sempurna saja, dia akan kecewa. Memang tak cerdiklah kalau perempuan sanggup lakukan apa saja demi harapkan cinta lelaki sebab mereka bukannya sempurna pun! Bahagia bukan letaknya di tangan lelaki!” Jauh Puteri memandang, meluahkan isi hatinya bagaikan bukan pada Nuqman tapi pada seluruh alam.

Bingkas Nuqman bangun duduk mengadap Puteri. Serius sungguh ni!

“Saya setuju dua ratus peratus!” Dia sungguh-sungguh tapi jelingan maut dari Puteri yang dia dapat…

“Awak jangan nak main-main ya!” Degus Puteri. Tangannya siap berpeluk tubuh.

“Eh! Saya tak pernah serius lebih dari ni! Lelaki memang tak sempurna. Kami cuma hamba Allah. Nak angkat jari pun tak larat kalau Allah tak izinkan, betul tak?” Puteri menjeling sambil buat memek muka. Ke situ pulak dia!

“Saya setuju sangat, Ika. Perempuan memang tak cerdik kalau letak kebahagiaan yang diaorang harapkan tu di tangan lelaki. Apa yang lelaki boleh buat?! Tapi saya tahu. Ika dari golongan perempuan yang cerdik. Orang cerdik akan letakkan kebahagiaan tu di tangan Allah. Allah lah yang Berkuasa, kepada siapa Dia nak bagi kebahagiaan, Dia akan bagi. Itu paling selamat. Bergantung dengan Allah untuk bahagia. Tapi Allah letakkan syarat… Nasihat orang tua Arab tu adalah syaratnya. Dia nak anak perempuannya buat kerana Allah sebab semua yang dia nasihatkan tu adalah perintah Allah. Maka Allah akan balas, dengan izin-Nya, lelaki tu akan melindung anaknya, menjaganya sampai akan jadi hamba juga kepada anaknya, sanggup buat apa saja demi kebahagiaan anaknya kerana Allah juga… Hakikatnya, kebahagiaan tu datangnya dari Allah!” Nuqman tersenyum puas. Puteri pula terkelip-kelip matanya, kehilangan kata.

Tiba-tiba Nuqman turun, melutut di hadapannya. Jemarinya di riba digenggamnya, erat.

“Puteri Zulaikha… Saya amat bertuah jadi suami awak. Ika seorang gadis yang cerdik. Ika takkan letakkan harapan pada lelaki yang tak sempurna macam saya, tapi kepada Allah. Saya doa sangat moga-moga Allah izinkan saya jadi sebaik-baik suami untuk Ika.”

Puteri Zulaikha terkedu panjang!

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 12

  1. Salam Azura,

    Satu garapan yang sangat ‘bersih dan indah’ kerana tiada perkataan lain yang dapat saya gunakan. teruskan menulis.

    Tidak sabar dan teruja nak memiliki naskah novel ini bila diterbitkan.

    Like

    • Salam Has… Terharu zura! Terima kasih. Kata-kata Has sangat memberi kekuatan untuk zura terus berkarya. Amin ya Rabbal alamin. Sesungguhnya kata-kata itu satu doa… Take care!

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s