Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 11

Bab 11

Najjah Rabiah tersandar di sofa sambil memejamkan matanya yang terasa pedih dan letih. Komputer riba merah jambu kesayangannya ditutup lesu. Hampir tiga jam mengadap skrin menggantikan Asyiqin, menjadi moderator di laman sembang Peace Yo! Sebaik saja abang Norhan muncul, Najjah cepat-cepat minta diri sebab terlalu letih. Lenguh jari-jemari, leher dan bahunya. Dan yang paling letih, mindanya! Memerah otak untuk menjawab sebanyak mungkin persoalan di ruang sembang yang semakin mendapat sambutan sejak dilancarkan tahun lepas.

Ha!Ha! Entah macammana abang Norhan nak bersembang tentang memilih calon isteri yang sedang hangat dibincangkan di laman tadi. Najjah tersenyum sendirian. Abang Norhan nak tengok perempuan pun payah! Dengan Najjah pun dia malu. Kalau ikutkan hati nak jugak tengok abang Norhan berdiskusi tapi mata dah pedih sangat, keluh Najjah sendirian. Dah lah malam tadi tidur lewat sebab kena siapkan tugasan. Ah! Tak apalah. Dah rehat nanti, boleh jenguk lagi kat laman tu, Najjah berdialog sendirian sambil terus memejamkan mata…

“Kalau jawab dengan akal, memang letih. Tapi kalau hati tu yang menjawab, relaks je. Mungkin jari rasa letih menaip tapi hati tak letih, minda lagilah tenang je…” kata-kata abang Nuqman bagaikan bergema di ruang tamu, di anjung rumah itu.

Dua ulas bibir Najjah mengorak senyum. Seketika kemudian bibir itu memuncung dan dahinya berkerut.

“Macammana nak jawab dengan hati macam abang Man…” Keluhnya, hampa.

“Hmm… abang bila nak balik? Najjah rindu sangat dah ni… Kat Peace Yo pun dah seminggu abang tak de…” Najjah merengek sendirian. Dia menghela nafas panjang. Makin letih bila abang Man tak ada! Desis hatinya.

Aisyah datang sambil menatang sebuah dulang. Air kopi dan kuih tepung bungkus kegemaran Najjah kelihatan masih berwap, tandanya baru keluar dari kukusan. Perlahan-lahan Aisyah melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan. Dia tak mahu menganggu Najjah yang disangkanya sedang tidur.

“Ibu! Ya Allah!” Terkejut Najjah sebaik saja dia membuka mata kerana mencari dari mana datangnya aroma tepung bungkus yang tersangat sedap dan wangi!

“Janganlah susah-susah, bu! Patutnya Najjah yang buat untuk ibu. Maaf, bu… Najjah terleka, asyik menaip tadi.” Najjah jadi serba-salah lalu cepat-cepat menyambut dulang dari tangan ibunya.

“Eh! Tak apalah Najjah. Ni air kopi lebih yang ibu bancuh untuk Makcik Yam tadi. Dia tau Najjah balik, tu yang dia hantar tepung bungkus…”

“Ya Allah! Najjah tak perasan pun Makcik Yam masuk, bu!”

“Hmm… Dia masuk ikut pintu dapur tadi. Kami bersembang di dapur je. Kenapa sejak akhir-akhir ni, ibu tengok Najjah muram je. Ada masalah ke? Tak seronok pindah balik belajar kat sini?”

“Bukan tak seronok, ibu! Lagi pun daripada duduk belajar kat Mesir tu dengan bunyi berdentam-dentum, tunjuk perasaan sana-sini, lebih selamatlah balik belajar kat sini.” Itulah yang selalu dijawab Najjah bila ditanya. Namun bak kata orang, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Hati ibu tua itu tahu lebih dalam dari yang disangka.

“Najjah, kalau bukan sebab tu, kenapa pulak Najjah nampak gelisah, tak bersemangat je…” Ahh! Ibu menduga lagi!

“Najjah sunyi, bu. Cuti semester dah nak habis dah tapi batang hidung abang Man langsung tak nampak. Sampai bila dia nak duduk kat Istanbul tu ya?” Biarlah ibu tahu. Tak salahkan, rindukan abang?

“Entahlah. Tak ada dia bagitau ibu bila dia nak balik. Banyak kerja lagilah tu. Abang Man kata, kalau projek tu jadi, memang lama dia kena berkampung kat sana.”

“Ya Allah! Abang Man ni macam nak elakkan Najjah je, bu… Bila Najjah tukar balik Malaysia, dia pulak ke luar negara. Rasa macam dah bertahun Najjah tak bersama dengan abang Man. Asyik jumpa online je. Agaknya abang Man dah tak sayangkan Najjah lagi…” Terlalu lama disimpan rajuk itu jauh-jauh dalam hati, hari ini terluah juga.

“Eh! Kenapa Najjah cakap macam tu?! Tak baik, nak. Ibu tengok Man tu tak berubah kasih sayang dia pada Najjah. Sejak Najjah kecik sampailah sekarang. Memanglah dulu-dulu abang Man selalu kendong Najjah ke sana ke sini, selalu suapkan Najjah makan. Sekarang Najjah dah besar, mana larat abang Man nak kendong lagi dah!”

“Heee… Ibu ni!! Ke situ pulak!! Bukan maksud Najjah macam tu la, ibu!” Dalam muka berkerut-kerut, dua biji tepung bungkus selesai dinikmati. Terpejam seketika matanya kepuasan kerana tepung bungkus Makcik Yam memang asli. Sedap sungguh-sungguh. Patutlah sudah bertahun makcik Yam kekal berniaga kuih tepung bungkus dan lain-lain kuih-muih di kampung ini.

“Ibu tak pelik ke dengan abang Man? Dia mesti tak nak balik rumah ni kalau Najjah ada. Kalau dia balik pun, dia akan bawak kita keluar jalan-jalan ke, pergi makan ke… Lepas tu, abang Man sanggup balik Shah Alam.. Kalau dia tidur sini pun, awal pagi dah cabut. Kalau raya pun, dia tak lekat kat rumah. Abang Man berubah sangat sejak Najjah sekolah menengah… Kenapa, bu?! Kenapa abang Man berubah? Najjah sedih, bu. Sedih sangat. Kadang-kadang Najjah rasa tak nak balik sini. Kadang-kadang Najjah rasa… rasa macam orang asing…” suara Najjah hilang di situ. Dia tak dapat meneruskannya. Kalau diteruskan, pasti ada airmata yang tumpah kerana dadanya sudah sarat…

“Najjah!!” Dada Aisyah berdetak kencang. Perkataan terakhir yang dilafazkan Najjah sangat menghiris hatinya. Sesuatu yang dijaga sekian lama.

“Maafkan Najjah, bu… Bukan sengaja Najjah nak rasa macam tu. Tapi Najjah memang sedih sangat. Keluarga kita tak macam dulu lagi. Sejak ayah pergi, lepas tu Najjah ke asrama penuh, Najjah jadi semakin jauh dari abang-abang. Nasib baik ada ibu, kalau tak…” Airmata mula tergenang dalam kelopak matanya. Aisyah tak sanggup mendengarnya lagi. Bingkas dia bangun duduk di sebelah Najjah lalu merangkul tubuh anak gadis kesayangannya.

“Najjah sunyi, bu…” Keluh Najjah yang kini tenggelam dalam pelukan ibunya. Airmata akhirnya tumpah juga.

“Ibu faham, sayang. Tapi Najjah kena kuatkan hati. Jangan sama sekali Najjah fikir yang abang Man, abang Norhan dan abang Nabil dah tak sayangkan Najjah lagi. Kalau diaorang balik, semuanya akan cakap pasal Najjah, hadiah untuk Najjah, beli itu ini semua sebab Najjah. Cuma diaorang tu lelaki, bila dah dewasa, watak berubah. Orang lelaki kalau bab kasih sayang, tak semua pandai nak tunjukkan. Macam arwah ayah Najjahlah… Tapi hatinya sayang sangat-sangat.” Semakin hiba hati Najjah mendengarnya. Semua itu benar. Memang benar. Tapi kenapa dia masih rasa sunyi. Hanya airmata yang terus mengalir. Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

Aisyah juga tak dapat menahan dirinya dari mengalirkan airmata. Tolong hamba-Mu ini, ya Allah. Janganlah Engkau biarkan hati anakku hiba begini… Hatinya merayu pada yang Esa. Kepala Najjah dalam pangkuannya diusap lembut tak berhenti. Kalaulah boleh diusap hatinya juga…

“Najjah sayang…” Dagu runcing gadis itu disentuh, pipinya diusap. Wajah polos itu kini kemerahan-merahan terutama hidungnya. Airmata yang mengalir diseka dengan ibu jari tuanya. Tersayat dia melihat tangisan anaknya yang dahagakan kasih sayang. Kalaulah dia tahu…

“Ya, bu…” Wajah ibu ditatap dengan rasa bersalah. Dia tak patut buat ibu jadi sedih namun apakan daya, semuanya terluah juga.

“Ibu nak ajar Najjah tentang rahsia kasih sayang. Kita kena usahakan ikhlas dalam kasih sayang. Itulah kasih sayang yang sejati. Tak kiralah, kasih sayang kita kepada anak, abang, suami, sahabat atau apa pun hubungan sesama manusia ni, mesti dengan ikhlas. Usahakan ikhlas.” Najjah terdongak agak terkejut. Bingkas dia bangun duduk mengadap ibunya. Tangannya diraup kemas dalam genggaman tangan ibu.

“Kalau nak diikutkan hati, seorang ibu lebih sedih bila berjauhan dengan anaknya. Bayangkan, dari kecik dijaga, ditatang ibu, semuanya di depan mata. Makin besar, anak makin jauh tinggalkan ibu. Bila bekerja, lagi-lagilah jarang jumpa ibu. Bila dah beristeri nanti, entah di mana ibu di hati anaknya. Bila ada isteri yang dicintai sepenuh hati… agaknya ibu mungkin akan dilupakan… kalau ingatpun, sesekali…” Deras airmata Aisyah meluahkan isihatinya. Najjah ikut menangis teresak-esak. Kenyataan itu tak dapat disangkal dan sangat pedih kebenarannya.

“Ibu…” Suaranya lirih hiba. Tak terkata lagi…

“Tapi seorang ibu tu, ikhlas kasih sayangnya, Najjah. Walau hatinya terasa sunyi dan terbiar, tapi dia tak layan. Ikhlas tu bila kita tak mengharapkan balasan. Tapi harapkan kebahagiaan yang berpanjangan pada orang yang kita sayang. Sebab tulah Allah jadi tempat mengadu. Pada Allah kita dapat memohon, mintak orang yang kita sayang tu selamat, bahagia… Sebab tu kena kuat hubungan kita dengan Allah. Supaya kasih kita pada orang yang kita sayang terpelihara. Tak ada buruk sangka, tak ada rasa tertekan kalau tak berbalas, tak ada rasa benci dan dendam sebab rasa dipinggirkan…” Aisyah mengangguk-angguk bila Najjah memandangnya dalam-dalam, menyakinkannya. Airmatanya mengalir namun bibirnya masih mampu mengorak senyum.

“Ibu!!!” Najjah tak dapat menahan diri. Dipeluknya tubuh tua itu seerat mungkin. Dia teramat faham apa yang ibu maksudkan. Ibu juga menderita!

Lama mereka saling berpelukan. Berkongsi rasa di dalam. Rupanya dalam berkasih sayang bukan semuanya indah. Itulah yang dikatakan kasih sayang memerlukan pengorbanan. Ikhlas berkorban diri, itulah yang menjadi kemanisan dalam berkasih sayang.

Saling menyeka airmata, Najjah cuba tersenyum seperti ibu walaupun payah. Memang selama ini, ibulah kekuatannya.

“Kita perempuan, Najjah. Kena kuatkan bila jiwa kita lembut. Apatah lagi kalau orang yang kita sayang tu pun berjuang berkorban diri untuk orang lain. Bukan Najjah tak kenal dengan abang-abang Najjah tu. Tambah lagi, si Nuqman. Dia pun tak kisah dengan diri dia. Tu umur dah dekat 30 tahun. Tak pernah sekalipun dia sebut nak beristeri. Dah puas mak tanya, sampaikan ada orang masuk meminang dialah!” Kedua-duanya tertawa dalam sebak mengenangkan abang Nuqman yang pernah dipinang orang.

“Dia sangat berkorban diri untuk orang lain, Najjah. Kita perlu faham jiwa dia, cita-cita dia. Kalau betul kita sayangkan dia, kita kena sanggup berjauhan macam ni, sunyi dan terpinggir. Kita kena doakan dia, bantu perjuangan dia dalam apa jugak cara yang kita mampu. Kita tak boleh pentingkan diri, menuntut perhatian dia sedangkan dia sendiri tak kisahkan kebahagiaan diri dia. Asyik memikirkan masyarakat, asyik memikirkan agama. Kitalah orang yang kena kuat jiwa supaya jadi kekuatan pada dia, kan…?!” Perlahan-lahan Najjah mengangguk. Mula memahami.

Sejak kecil, abang Nuqman begitu. Sangat prihatin kepada sesiapa saja yang memerlukan. Itulah didikan ayah. Abang Norhan dan abang Nabil selesa mengikut jejak abang Nuqman yang bekerja keras dalam membina cita-citanya dan membantu masyarakat.

Najjah masih ingat susah payah abang Nuqman membina berbagai bentuk meja dan kerusi yang diperbuat daripada kayu dan buluh walaupun ketika itu masih berusia belasan tahun. Minatnya dalam kerja binaan sangat mendalam. Ramai orang berminat dengan kerja tangan abang Nuqman yang mendapat bimbingan dari ayah, seorang tukang kayu dan tukang rumah yang terkenal di daerah ini suatu waktu dulu.

Abang Nuqman tak kenal erti letih. Ada saja yang hendak dibuatnya. Dengan hasil jualan set meja dan kerusi kayu, abang Nuqman mengorak langkah membina wakaf atau gazebo. Bermula dari tiang dan lantai buluh berbumbungkan atap nipah, sampailah akhirnya dibuat dari kayu dan papan berbagai jenis dan beratap genting. Corak ukiran kayu pada wakaf yang abang Nuqman hasilkan halus dan tinggi seninya menjadi kesukaan ramai. Akhirnya dalam usia seawal 18 tahun, abang Nuqman mula menceburi peniagaan itu secara serius malah mengorak langkah membuat berbagai perabot kayu dan mempunyai pekerja yang dipantau oleh arwah ayah bila abang Nuqman melanjutkan pelajaran. Yang hebatnya, pelajaran abang Nuqman tetap cemerlang. Hasil titik peluhnya sendiri, dia mula menabung untuk membantu orang lain, bukan untuk dirinya sendiri!

Najjah amat bangga dengan abang Nuqman. Dia bukan saja kesayangan Najjah, ibu dan ayah tapi ramai rakan-taulan dan orang -orang kampung. Ke mana saja abang Nuqman pergi, dia mudah mesra dan disayangi. Mungkin kerana itu, Najjah terasa semakin jauh dari abang Nuqman. Benar kata ibu, kasih sayang itu perlu ikhlas. Jadi ia tetap membahagiakan walaupun jauh tak berbalas.

“Kalau ikutkan cemburu, ibulah orang yang paling cemburu dengan Najjah…” Ibu bersuara perlahan setelah agak lama mereka berdua berdiam diri menenangkan perasaan.

“Eh! Kenapa pulak macam tu, bu?!” Terkejut Najjah dengan kata-kata ibu. Terpinga-pinga dia seketika.

“Iyalah… Dari kecik lagi, diaorang tu… terutama si Nuqman, bila balik je rumah, tak kiralah dari mana, terus tanya Najjah. Sampailah ke besar sekarang ni. Walaupun Najjah tak de kat rumah ni, tambah-tambah masa Najjah kat Mesir. Bila sampai rumah, mesti tanya khabar Najjah. Lepas tu asyiklah bercerita pasal Najjah, kadang-kadang khabar ibu pun diaorang lupa nak tanya. Hadiah tu jangan cakaplah. Tiap-tiap kali balik, mesti ada bawak apa-apa untuk Najjah. Selalu jugaklah diaorang belikan untuk ibu tapi kadang-kadang tak ada. Tapi untuk Najjah mesti ada. Kalau ibu ni cemburulah, mestilah sedih sebab diaorang lebih sayangkan Najjah…” Aisyah menjeling manja sambil buat muka ala-ala marah. Ketawa Najjah dibuatnya.

“Tak adalah, ibu ni!!! Mana ada abang-abang macam tu. Mestilah diaorang lebih sayangkan ibu yang melahirkan diaorang. Ala… dah Najjah ni yang bongsu kan?! Sajalah diaorang tu nak manjakan Najjah…” Dalam malu-malu, Najjah mengakuinya.

“Haaa!! Tau pun! Najjah memang tau diaorang sayang sangat dengan Najjah kan?! Pantang disebut apa pun, mesti Najjah dapat. Haa… Lepas ni kalau sebut nak kahwin pun, mesti dapat…” Aisyah mengambil kesempatan mengusik Najjah, demi membuang gundahnya jauh-jauh.

“Isyhh… Ibu! Ke situ pulak! Abang-abanglah kena kahwin dulu. Hmm… Mesti seronok bila Najjah dapat ramai kakak ipar nanti, kan bu?!”

“Hmm… Beranganlah Najjah…! Ibu ni agaknya mati kempunanlah nak timang cucu!” Keluh Aisyah, memandang jauh.

“Nampaknya kita kena buat sesuatulah, bu. Kita kena cari calon untuk abang Nuqman!” Tiba Najjah mendapat idea yang sebelum ini tak pernah difikirkan. Mungkin sebelum ini, Najjah terlalu melayan perasaan, menagih perhatian dari abang Nuqman. Sebaliknya dia yang patut memberi perhatian kepada abang Nuqman. Hidup abang Nuqman tiada yang menguruskan. Bukan Najjah tak tahu, abang Nuqman jarang balik ke pangsapurinya. Rumah dua tingkat di Bukit Jelutung sudah dijadikan rumah amal, Baitul Rahmah. Akhirnya abang Nuqman akan berkampung di Suite 313 di De Turban!

“Ok, ibu. Baik kita mulakan betul-betul Projek Mencari Isteri untuk abang Nuqman! Isyhh… memang beruntunglah siapa yng dapat abang Nuqman, kan ibu? Bagi Najjah, dialah jejaka paling layak dijadikan suami. Pakejnya lengkap. Handsome, berkerjaya, berkarisma, berharta walaupun sederhana hidupnya, pendek kata, jejaka idamanlah!” Bukan main Najjah berdrama sampaikan Aisyah ketawa dibuatnya.

“Macam-macamlah Najjah ni! Ibu tak retilah nak buat projek tu. Baru bukak mulut, dia dah reject. Ha? Macammana tu?” Berkerut muka dan dahi Aisyah memikirkannya menambah kedutan yang sedia ada.

“Ala ibu, tak pe… pandailah Najjah buat macammana nanti. Ibu tolong doa je. Moga-moga projek mencari isteri ni menjadi!” Najjah mula memerah otak mencari idea. Aisyah menggeleng-geleng kepala dengan gelagatnya. Dia bangun berjalan mundar-mandir sambil memikirkan sesuatu… Tiba-tiba langkahnya terhenti. Aisyah duduk tegak di kerusi. Menanti!

“Haa…! Apa kata, kita mulakan dengan… CALON-CALONNYA IALAH…” Bagaikan hos Anugerah Skrin saja lagaknya! Serentak itu mereka ketawa gelihati. Calonnya ternyata ramai sekali!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s