Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN

Bab 10

Tangisan anak kecil semakin kuat membuatkan Hanipah terkejut dari tidurnya. Dia yang masih terpisat-pisat tak dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Jeritan itu semakin kuat memaksa dia membuka mata. Dan serentak itu, dia juga menjerit sekuat-kuat hatinya.

“Mak! Mak! Mak mimpi lagi. Bangun mak…” Suara anaknya Fahmi pula kedengaran.

“Tolong, Mi… Tolong Mak!! Anak siapa ni, Mi… Tolong…” Bayi yang berbalut lampin putih itu sedang menangis meronta-ronta sehingga kaki dan tangannya terkeluar dari balutan. Kulit muka dan seluruh tubuhnya sudah memerah. Merah sungguh! Dan tangisan itu… Bagaikan dia sedang sakit, teramat sakit. Tolonglah, ya Allah!!

“Mengucap mak! Mengucap! Mak mimpi buruk lagi. Bangun mak!!” Raihanah, isteri Fahmi yang turut tersedar dari tidur, datang membantu menyedarkan ibu mertuanya. Mata Hanipah terbuka akhirnya. Peluh memercik di dahi, di leher dan di mana-mana. Bajunya basah dek peluh.

“Ya Allah… Ya Allah…” Seru Hanipah tak berhenti.

“Mak mimpi lagi…” suaranya parau dan sedih. Raihanah menggosok-gosok bahu ibu mertuanya. Simpatinya melimpah-ruah. Sudah hampir sebulan sejak Hanipah demam panas, tidurnya selalu terganggu kerana mimpi buruk. Dari ceritanya, mimpi yang datang hampir sama saja. Kesihatan Hanipah semakin susut kerana tidurnya tak mencukupi.

Setelah mengelap muka dan lehernya dengan tuala basah, Raihanah duduk membaca surah Yassin dan Fahmi pula berzikir di kerusi, di hujung katil ibunya. Doa mereka agar Allah mengungkai masalah yang datang dan memberikan petunjuk. Moga-moga ibu sembuh dari gangguan itu.

*****

Bunyi loceng mengejutkan Hanipah yang sedang ‘bersilat’ di dapur. Sudahlah hari ini ada tetamu jemputan Datin Noriah dari Indonesia. Aduhhh! Kalut banget! Hati Fatimah mula bersinetron.

Daun pintu diselak pantas. Cahaya matahari yang kian meninggi menerobos masuk tanpa diundang. Sejambak mawar merah segar dalam rimbunan ‘baby breath’ tiba-tiba menyapa pandangan mata. Wah! Pagi-pagi dapat bunga?! Aduhh… Romantiknya…!! Wajah Fatimah berubah ceria dan teruja. Hilang penat lelah di dapur.

“Assalamualaikum makcik…” Suara itu memecah angannya. Fatimah segera mengamati wajah anak muda di hadapannya yang kelam dalam silau matahari pagi. Ahh… Pasti bunga ini bukan untukku, hatinya berbisik sedih. Entah kapan…

“Waalaikummussalam…” Puas ditenung wajah itu sambil menjawab salam namun wajah itu memang tidak pernah dilihatnya.

“Ya, cari siapa, nak?” Dan bunga ini untuk siapa? Soal hatinya pula.

“Maaf, makcik. Boleh saya jumpa dengan Puteri Nadia?” Terperanjat Hanipah. Jantungnya berdegup kencang. Mujur Datuk Tengku Nuruddin dan Datin Noriah tiada di rumah waktu itu. Tak pernah-pernah ada lelaki yang berani datang untuk berjumpa dengan kedua anak gadis mereka di rumah ini.

“Err… Anak ni siapa nama? Dari mana?” Hanipah terpaksa bertanya. Hatinya diselubungi kebimbangan.

“Saya Zulkarnain, makcik. Saya datang dari Gombak. Saya dapat berita yang Puteri Nadia dah balik. Itulah saya ke mari…” Pemuda itu nampak jujur orangnya. Tak sampai hati Hanipah hendak menghalang walaupun dirinya yang harus bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi kelak.

“Baiklah, saya panggilkan Puteri Nadia. Anak jemputlah duduk di sana dulu ya.” Pinta Hanipah sambil ibu jarinya menunjukkan ke arah taman di halaman rumah di mana kerusi dan meja batu sudah disediakan di tepi sebuah wakaf. Memang taman itu dijaga rapi untuk keluarga dan tetamu mereka duduk berehat. Pemuda bermata bening itu tunduk mengucapkan terima kasih lalu beredar menuju ke taman.

Puteri Nadia terperanjat dan berubah ceria. Berlari-lari dia menuruni anak tangga menuju ke taman. Tak pernah Hanipah lihat dia segembira itu. Pantas Hanipah menyelit ke tepi tingkap kaca di dewan tamu di sayap kiri rumah agam itu. Bimbangkan keselamatan Puteri Nadia kerana Pak Mahat yang menjaga rumah itu membawa isterinya, Mahani si tukang masak, pergi ke pasar. Jadi hanya dia dan Puteri Nadia sahaja di rumah.

“Abang! Ya Allah… Tak sangka abang datang…” Puteri Nadia tunduk bersalam dan mencium tangan pemuda itu. Abang??!! Hampir luruh jantung Hanipah melihatnya. Kepala Puteri Nadia dibelai mesra.

“Abang rindu… Teramat rindu!” Tangan mereka masih bertaut, saling memandang lama dengan senyuman tak lekang di bibir. Lagaknya seperti suami isteri saja! Hanipah semakin tak sedap hati. Ke hulu ke hilir dia mundar-mandir memikirkan apa yang sedang berlaku. Bimbang sungguh kalau Datuk dan Datin pulang saat ini.

Tak lama kemudian, pintu besar itu terbuka. Puteri Nadia berlari mendapatkannya. Senyumannya berseri sungguh.

“Mak Pah! Nadia nak keluar kejap ya. Ada hal. Lagi satu Mak Pah…” Tangan Hanipah digenggam penuh harap.

“Tolong rahsiakan dari mama dan papa ya. Katakan Nadia keluar dengan kawan perempuan. Janji ya, Mak Pah!!” Tangannya digoncang bertalu-talu memaksa Hanipah mengangguk. Apalah dayanya… Dan itulah kali terakhir dia melihat Puteri Nadia tersenyum gembira.

“Mak, jemput minum.” Suara Raihanah lembut mengejutkannya yang entah berapa lama termenung di situ. Hanipah hanya memandang kopi dan kuih jawa yang terhidang. Seleranya mati. Mindanya masih di sana. Di rumah agam Datuk Tengku Nuruddin lebih dua puluh tahun yang lalu.

“Diakah orangnya? Diakah…” Hatinya tertanya-tanya.

“Mak, eloklah mak berzikir, mak. Tenangkan hati. Mak janganlah banyak fikir. Aina risau tengok mak macam ni…” Suara menantu kesayangannya mengganggu lagi. Bagaikan tidak membenarkan dia kembali ke waktu itu.

Kakinya yang terlunjur, dipicit dan diramas-ramas. Terasa lega sedikit. Darahnya tak berjalan lancar, kata doktor.

“Aina… Kalau kita diminta merahsiakan satu perkara… wajib ke kita buat walaupun perkara tu mungkin menganiaya orang lain…?” Entah kenapa hati tuanya meronta untuk bertanya. Apakah Allah tak suka dengan apa yang aku buat maka aku tak dapat hidup tenang sekarang?

Persoalan itu yang selalu memburu. Selama ini dia memegang amanah itu. Bertahun lamanya dia menyimpan rahsia dan menjalankan tanggungjawabnya namun semakin hari dia semakin gelisah. Dia rasa bersalah…

“Mak, memang kita wajib memegang amanah dan menyimpan rahsia. Tapi dalam keadaan tertentu, kita boleh merujuk pada orang yang dipercayai kalau sebab rahsia tu mungkin memudharatkan. Contohnya rahsia rumahtangga suami isteri, berdosa kalau kita jaja pada orang tapi kalau ada masalah, kita boleh buka rahsia tu pada orang yang arif supaya dapat cari jalan penyelesaian. Macam nilah mak, apa kata kita jumpa imam masjid? Esok ada program kat masjid. Lepas tu boleh kita jumpa imam kejap.”

Hanipah laju saja mengangguk. Lega hatinya mendengar kata-kata Raihanah. Hatinya juga mengatakan perkara yang sama tapi dia tak ada kekuatan untuk bertindak. Serba-salah. Maka eloklah dia merujuk kepada orang yang lebih arif.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s