SIRI NOVEL CINTA PUTERI vs NUQMAN 3

CiNtA PuTeRi vs NuQMaN

Bab 3

Senyuman nakal Nuqman masih bermain di ruang mata walaupun daun pintu itu sudah tertutup rapat. Antara marah, lucu, malu dan bahagia, Puteri tak pasti yang mana paling kuat dirasainya. Sikap dan peribadi Nuqman selalu mengocak jiwanya. 

 

Puteri berpusing memandang bilik pengantin yang disediakan untuknya. Tersandar dia ke pintu. Beg tangan yang tergalas di bahu melurut jatuh ke lantai. Dia menfongak memandang siling putih bersih. Nafas panjang dihela. Dia memejamkan mata. Terasa letih melawan segala emosi. Lelah untuk mengharung hari esok. Perlahan-lahan kedua lututnya terasa lemah hingga tubuhnya melurut ke bawah lalu terduduk memaut lutut sendiri. 

 

Kenapa aku datang ke sini, sebenarnya? Apa yang aku mahu? Kenapa hidup aku jadi begini? Ya, Tuhan…

 

Perlahan pandangan Puteri merayap ke ruang di dalam bilik. Indah sungguh…

 

“Aku datang sebagai pengantin…” Bibirnya berbisik, lemah. 

 

Tetapi mengapa aku tidak gembira seperti pengantin yang lain? Apakah jodohku salah? Atau kerana aku tidak dapat memilih mengikut kehendakku? Sakit sungguh bila aku terpaksa melakukan sesuatu diluar kehendakku. 

 

“Jodoh dan ajal bukan di tangan kita, Ika. Sebab tu saya redha. Kalau saya yakin dengan kekuasaan Allah, maka saya juga yakin dengan ketentuan-Nya. Saya ni cuma hamba. Tugas hamba… kena taat pada Tuhannya.  Walau siapa atau bagaimana sekalipun saya dijodohkan, saya tetap yakin bahawa jodoh tu datangnya dari Allah…” Kata-kata yang pernah diluahkan oleh Nuqman sebelum dia berlepas ke Istanbul dulu kembali berputar di kotak ingatannya.

 

“Sebab tulah dia tenang menerima aku…sebab dia redha dengan ketentuan Tuhan…” Lafaz pengakuan itu jujur terluah di bibir Puteri.

 

“Aku jadi begini sebab aku belum pandai untuk redha dengan ketentuan-Mu, ya Allah…” Sebak tiba-tiba meruntun dalam hatinya. 

 

“Aku masih berfikir-fikir, masih tercari-cari sebab dan alasan sebab aku tak nak terima sesuatu yang tak aku jangkakan… Aku tak nak kahwin!!! Dalam usia muda macam ni!!!! Aku nak hidup bebas!! Ya Allah….!”

 

“Inginnya aku tenang terima semua ni… yakin yang ini semua baik untuk aku… Tapi macammana nak rasa macam tu? Aku nak tenang macam dia… Aku benci kusut macam ni… Aku runsing kalau asyik gelisah macam ni…” 

 

Tubuh Puteri perlahan-lahan rebah terbaring di lantai yang dihampari permaidani tebal. Tiada daya lagi. Katil pengantin yang berhias indah itu hanya terbiar dingin dan kaku.

 

Di luar, di ruang dapur, Nuqman sibuk mengemas dan menyimpan makanan. Dia sendiri tak dapat menghabiskan makanannya kerana selera hilang entah ke mana. Persoalan yang belum terjawab asyik menerjah akal fikirnya namun ditepis bertalu-talu. Segalanya perlukan waktu. Dia menguatkan lagi keyakinan bahawa percaturan Tuhan itu tidak pernah sia-sia. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

Nuqman melangkah ke bilik kedua dalam pangsapuri mewah itu. Bilik itu disusun atur sebagai bilik pejabat namun sofabed empuk yang disediakan cukup selesa untuk dia jadikan bilik itu juga sebagai bilik tidurnya. Dia yakin, Puteri belum bersedia nak berkongsi bilik dengannya. Biarlah… untuk apa dia mendera perasaan gadis itu.

 

Dia membuka komputer ribanya dan menyambung sedikit lagi kerja yang tertangguh. Sengaja memberi ruang untuk Puteri menyegarkan dirinya. 

 

Jadual kerja Nuqman sebenarnya padat sekali namun kehadiran Puteri yang secara tiba-tiba membuatkan dia terpaksa menyusun semula perancangannya. Mujur pengarah syarikat yang menganjurkan usahasama dalam projek yang sedang mereka bina memahami keadaannya yang baru berumahtangga malah beliau sangat gembira untuk turut meraikan kejutan ini. 

 

Hubungan Nuqman dengan Ismet semakin rapat apabila mereka mempunyai banyak persamaan dalam haluan hidup. Nuqman yang sudah beberapa kali ke Istanbul memang dilayan istimewa oleh Ismet dan isterinya, Khadijah. Pangsapuri mewah ini juga salah satu hadiah istimewa dari mereka sempena perkahwinan Nuqman sekaligus untuk pasangan itu berbulan madu.

 

“Berbulan madu!” Dua ulas bibir Nuqman yang basah itu tersenyum lucu. Dia menghelakan nafasnya.

 

Entahlah. Dia sungguh tidak dapat meneka apa yang akan berlaku. Namun dia tekad untuk menerima kehadiran Puteri dan melayannya sebaik mungkin. Dia juga mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW tercinta, meluangkan tujuh hari berturut-turut untuk meraikan isteri yang dikahwini dara. Maka, tujuh hari dia bercuti tanpa sebarang tugasan luar…

 

“Hmmm…” Nuqman tersandar di sofa empuk. Entah bagaimana tujuh hari itu akan berlalu… Senyuman mekar di hujung fikirnya. Optimis!

 

Teringatkan Puteri, Nuqman bingkas bangun ke dapur semula. Dia membuat segelas susu suam lalu membawa bersamanya buah-buahan yang sudah dipotong ke bilik peraduan.

 

Dengan dulang kecil di sebelah telapak tangan, dia mengetuk daun pintu perlahan-lahan. Tiada respon..! Dia menyeru nama Puteri beberapa kali. Senyap. Rasa risau menyelinap. Perlahan dia cuba membuka pintu. Hmmm… Tak berkunci! Seperti satu pelawaan saja… Dia tersenyum nakal.

 

Dia melangkah masuk dengan hati-hati, bimbang kalau Puteri sedang tidur… Oooppss… Kakinya tersadung sesuatu di lantai. Nuqman terperanjat melihat Puteri terbaring lena di depan pintu.

 

Dia melutut menatap wajah Puteri yang nyenyak tidur. Teringatkan cerita Snow White, sekilas keinginan hadir di hatinya untuk menjadi sang putera yang mencium sang puteri hingga dia terbangun dari tidur yang panjang kerana sumpahan lalu jatuh cinta dengannya. Kemudian mereka hidup bahagia selamanya. 

 

Nuqman tak dapat menahan geli hati sehingga dia tertawa kecil sendirian. Pantas dia bangun untuk meletakkan dulang di meja lalu mendapatkan Puteri semula. Wajah Puteri yang lembut saat terlena sangat mengasyikkan. Terbuai naluri lelaki Nuqman menatap kelembutan itu. Perlahan dia mendukung Puteri lalu dibaringkan di atas tilam empuk yang ditaburi kelopak mawar.

 

Kasihan melihatkan Puteri yang benar-benar terlena mungkin kerana terlalu letih. Letih melayan perasaan sendiri. Nuqman tersenyum lagi.

 

Teringat saat mula bertemu, dia menyimpan rasa kecewa melihat penampilan isteri yang dikahwini penuh syarat. Tanpa perkenalan apatah lagi menatap wajahnya, dia menerima nikah yang diakadkan kepadanya. Dia menerima semua itu benar-benar kerana Allah SWT. Bukan sama sekali kerana dia tidak punya pilihan. Walaupun dia tidak langsung mengetahui latar belakang dan peribadi bakal isterinya. 

 

Waktu dia masuk ke bilik untuk upacara membatalkan air sembahyang sekaligus menyentuh isterinya yang sah buat pertama kalinya, dia melindungi wajah gusar bila menatap wajah pasangannya yang sugul dan sepasang mata yang basah dan bengkak. Dia berbaju kurung putih dan rambutnya yang panjang melepasi bahu itu hanya ditutupi selendang panjang yang tipis. Isterinya bukan seorang muslimah yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang diimpikan selama ini. Dengan sepenuh pergantungan kepada Allah, dia redha dengan jodohnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. 

 

Dia amat sedar waktu itu bahawa kehadirannya tidak diterima dengan sepenuh hati. Lambat sungguh tangannya disambut.  Itupun setelah pengantin perempuan digesa oleh saudara perempuan yang menemaninya di bilik itu. Dalam serba salah, Nuqman tunduk juga mengucup dahi Puteri Zulaikha, isterinya.

 

Hari ini, Nuqman tunduk mengucup dahi isterinya dengan perasaan yang berbeza. Apatah lagi wajah itu juga turut berubah. Kelembutan dan kewanitaannya terserlah. Dengan tudung sutera yang melitupi rambut, dia tampil menutup aurat sepenuhnya. Rasa syukur mengisi segenap diri Nuqman. Tanpa perlu dia memaksa atau bersusah-payah, Allah telah membuka hati gadis itu untuk membuat perubahan diri. Sesungguhnya pergantungan kepada Allah itulah yang paling tepat kerana Dia yang Maha Berkuasa mengubah hati dan keadaan seseorang hamba-Nya. Hijrah Puteri memberi petanda yang sangat baik bagi Nuqman tentang hubungan mereka seterusnya. 

 

“Hmm…” Puteri menggumam dalam tidurnya, beralih-alih kepala seperti ada yang tidak kena. Nuqman tersedar, dia patut membuka tudung Puteri supaya dia lebih selesa. Terkial-kial tangannya kerana tidak biasa menguruskan perempuan. Setelah tudung dibuka, rambut Puteri yang disanggul itu diuraikan… Dan sebaik saja rambut yang hitam lebat itu terhampar di bantal, pergerakan Nuqman terhenti.

 

“Subhanallah…!” Tanpa sedar perkataan itu terlafaz di bibirnya. Cantiknya ciptaan Tuhan!

 

Rambut hitam lebat yang terhampar di bantal itu menyerlahkan kejelitaan Puteri. Benar bagai dikata. Rambut itu mahkota wanita. Jelas terjawab mengapa Allah memerintahkan kaum hawa menutup rambut mereka dari lelaki yang bukan muhrim. Kerana rambut wanita amat menyerlahkan dan menyempurnakan keindahan diri mereka. Rambut yang halus dan panjang itu juga membuatkan lelaki teruja untuk membelai dan mengelusnya, sekaligus membakar naluri mereka. Seperti lelaki lain, Nuqman sukar untuk menahan dirinya. Perlahan jemari Nuqman menyentuh dan mengusap rambut hitam itu dari dahi sampailah ke hujungnya.

 

“Cantik sungguh!” Dia asyik. Jiwanya kian gelora. Inilah kali pertama dia benar-benar melihat perempuan sepenuhnya. Sebelum ini, hanya pandang-pandang. Maklum, dia harus mengawal pandangannya terhadap perempuan yang bukan muhrim. Saat ini, dia mengambil peluang sepenuhnya. Menghayati hadiah Tuhan buat dirinya.

 

Pandangannya terus meneroka ke seluruh wajah Puteri. Kedua kelopak mata yang tertutup itu sungguh cantik bentuknya dihiasi alis panjang yang sedikit melentik. Hidungnya kecil, sedikit mancung dan lekuk di atas dua ulas bibirnya yang agak lebar dan munggil itu menyempurnakan seluruh wajah. Amat menarik dalam pandangan matanya dan sangat menghiburkan hati lelakinya.

 

Maha bijaksananya Tuhan menciptakan wanita yang mana setiap sudut itu menjadi tarikan dan menghiburkan kaum adam. Kulit Puteri yang cerah kuning langsat halus mulus. Jemarinya kecil runcing terletak cantik di atas cadar antara kelopak mawar. Nuqman tidak dapat menahan diri lalu jemari itu diraup dan dibelai. Dibawa jari jemari itu lalu diusap ke pipinya. Lembut. Kemudian diraih ke bibirnya, dikucup penuh asyik hingga terpejam matanya dengan keasyikan itu.

 

Pandangan Nuqman kembali meneroka ke wajah Puteri. Bertuahkah dia kerana memiliki gadis itu sebagai teman hidupnya? Andai hati dan sifatnya secantik wajahnya, pasti hidup Nuqman bahagia…

 

Dia tidak dapat menahan diri dari menyentuh dan mengusap wajah Puteri. Keinginan untuk membelai gadis itu benar-benar hangat menguasai diri dan pemikirannya. Nuqman tunduk lagi mengucup dahinya, pipinya dan…

 

Trruiiitt! Trruiiitt! Bunyi penggera dari telefon tangan di dalam beg tangan Puteri menyentak Nuqman lalu dia tersedar posisinya di sisi Puteri. Bingkas dia bangun berdiri dan … Puteri sudah terpisat-pisat dudukyy.

 

Bunyi itu berterusan membuatkan Puteri memaksa matanya terbuka luas dan akalnya memberi fokus. Tanpa menyedari kehadiran Nuqman, dia merangkak turun dari katil lalu menuju ke pintu. Beg tangan yang masih di lantai dicapai lalu dibuka. Sebaik sahaja telefon tangannya dibuka…

 

“Mummy!!!”

 

Nuqman yang sedari tadi memerhati dengan penuh minat terperanjat mendengar jeritan kecil Puteri. Wajah Puteri tiba-tiba berubah seperti hendak menangis. Mummy?! Setahu Nuqman, dia sudah lama kematian ibu!

 

Puteri terduduk berdiri lutut di lantai. Telefon dibiarkan saja. Dia meraup mukanya kemudian memegang kepala sendiri dengan kedua tangannya. Dia cuba fokus. Apa yang harus dia lakukan?! Dia lupa sungguh! Hari ini mummy pulang dari Uzbek!

 

Sepatutnya dia menunggu mummy di lapangan terbang menyambutnya pulang setelah tiga bulan dia menjelajah ke beberapa negara bersama sekumpulan NGO. Tapi Puteri benar-benar lupa. Kerana selama tiga bulan peninggalan mummy, macam-macam berlaku padanya sampai…

 

“Ika…” Ada tangan menyentuh bahunya.

 

“Hah?!” Puteri terdongak. Matanya terbeliak. Nuqman!!!

 

Mummy!! Abaaahh! Tolong ikaaaa…! Hatinya menjerit. Puteri Zulaikha merengek menangis dan tunduk melindungi mukanya di atas kepala lutut sendiri.

 

Image

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s