Siri Novel MAKNA PADA RASA Bab 1

 cover Ilham1 bhosporus4

Cinta Puteri vs Nuqman adalah tajuk asal novel ini yang merupakan sebuah kesinambungan. Puteri Zulaikha dan Muhammad Nuqman terikat dengan akad dan janji dalam pertemuan yang terancang namun bukan atas pilihan mereka. Hubungan Puteri Zulaikha dan Nuqman bermula dalam sebuah cerpen, Jawapan Untuk Puteri dalam HAKIKAT CINTA Sebuah Antologi Cerpen 

– Terbitan BukuPrima

hakikat%20cinta

“Nuqman sepi tanpa berita. Menghukum atau mendera? Puteri sendiri buntu. Dia sudah tidak tahu apa yang sedang berlaku pada dirinya.”

“Apakah ini rindu? Inikah yang sebenarnya dikatakan cinta? Atau aku dah gila? Bulan tolonglah jawab…”

Tidak mampu menahan gelodak rasa yang ditinggalkan, Puteri Zulaikha terbang ke Istanbul mencari Nuqman untuk mendapatkan jawapan bagi mengungkai persoalan hati langsung mencari arah dan maksud hidup mereka seterusnya. Apakah ikatan itu harus diungkai atau dipatrikan untuk selamanya?!

MAKNA PADA RASA a.k.a CINTA PUTERI vs NUQMAN seindah selat Bhosporus, membelah dua dunia dan menyempadani dua budaya. Antara menyonsang arus dunia dan membelah gelombang prejudis, Puteri dan Nuqman bergelut untuk kembali kepada fitrah insani.

 

Bab 1

Dewan Ketibaan Lapangan Terbang Atartuk hingar bingar dengan gurau senda dan salaman mesra saudara mara, teman dan taulan menyambut ketibaan orang yang dinanti. Saat itu, ia juga menyaksikan pertemuan Muhamad Nuqman bin Zulkarnain dan Puteri Zulaikha Megat Hasyim.

Merhaba, Ika! Seni seviyorum…” Nuqman berbahasa Turki sambil mengangkat dagu Puteri dengan hujung jari, menatap Puteri yang kini bertudung ayu dengan selendang sutera pemberiannya. Kening Puteri terangkat, tidak mengerti.

“Haa!? Awak suruh saya balik ke?” Nuqman ketawa. Pantas dia menarik hidung Puteri yang mancung. Pandai bergurau rupanya dia.

Silly! I said, I love you…” Pertama kali mereka ketawa bersama. Namun akhirnya derai tawa terhenti, berganti senyuman yang panjang. Dek kerana masing-masing kehilangan kata, minda kalut menerka, mereka serentak membuang pandang ke sekeliling sambil menarik nafas menahan tekanan gelombang rasa yang sangat hebat di hati masing-masing.

Dia kata, dia cintakan aku? Betul ke apa yang aku dengar ni? Selamba macam tu je? Isyhh! Tak mungkin! Dia nak cakap bahasa Turki je tu. Jangan teruja, Puteri… Relaks! Tenang! Hati Puteri berbisik meredakan perasaan. Sesekali dia mencuri pandang ke wajah Nuqman, mencari sesuatu. Namun entah kenapa Nuqman seperti mengelak dari memandangnya.

I’ve just said that I loved her! Err… Nak sambut dia dalam bahasa Turki konon! Macam tak ada ayat lain! Do I really love her? Fuhh… Macammana aku boleh lafaz semudah itu? Hatinya mengeluh berat. Akhirnya Nuqman menarik beg troli dan sebuah beg sandang yang kecil milik Puteri. Selalu dengar orang susah nak melafazkan cinta, kan? Aku pulak? Selamba gila! Hati Nuqman ketawa dalam nada yang sumbang. Entah apa-apa!

“Jom, kita balik dulu. Awak kena rehat. It was a long trip. Alhamdulillah awak selamat sampai… Kalau tak, tak taulah saya kat mana nak cari awak!” Puteri sempat menjeling pada Nuqman yang tersenyum mengusik di hujung katanya. Kemudian laju dia menghayun langkah untuk seiring dengan Nuqman, gerun juga dia kalau bersendirian di bumi asing. Walaupun dia pernah keluar negara bersama keluarga namun kali ini berbeza, dia hanya ada Nuqman.

Musim dingin di Istanbul walaupun tiada salji tapi tetap rasa teramat sejuk. Ditambah pula hujan renyai-renyai. Puteri berhenti melangkah sebaik sahaja terasa angin dingin menampar pipinya. Puteri cepat-cepat menyarungkan kot labu bagi mengurangkan kesejukan yang menikam. Pandangannya mengitari ruang di luar dewan ketibaan lapangan terbang itu yang tidak terlalu sibuk. Tiba-tiba ada tangan menyentuh pinggangnya. Dalam terkejut, Puteri terdongak.

“Sejuk?” Nuqman merapatkan tubuh mereka. Kehangatan perlu pada waktu-waktu begini. Puteri menelan liur. Ambil kesempatan nampak! Tiba-tiba payung terbuka di atas kepala. Nuqman terus melangkah sambil memegang payung di tangan kanannya dan membawa beg di tangan kiri, memaksa Puteri ikut melangkah di bawah payung yang satu. Patutlah rapat, dia nak payungkan! Nasib baik belum sempat komen apa-apa.

Mereka kelihatan seperti sepasang kekasih namun hakikatnya masing-masing tahu. Bersama kerana takdir namun bukan kehendak hati, mereka melangkah dengan irama berbeza.

Membisu sepanjang perjalanan, Puteri hanyut dalam gelombang perasaannya. Entah kenapa, dia selalu jadi begitu bila lelaki bernama Nuqman ini ada bersamanya. Nuqman tidak seperti yang lain. Bukan seorang dua tapi sudah hampir cukup sepuluh jari, lelaki-lelaki yang mendampingi Puteri. Mereka ingin menjadi teman hidup, pelindung dan pemimpin yang kononnya mampu mengemudi bahtera hidupnya. Sedangkan dia sangat tahu betapa merekalah perosak masa depan kaum hawa. Kaum yang mereka anggap lemah sedangkan sangat mampu malah lebih selamat hidup sendiri daripada bergantung hidup dengan mereka. Kononnya mereka wira yang sanggup berkorban diri dan apa sahaja demi wanita kesayangan atas nama cinta sejati! Satu keluhan penuh rasa jelek terluah di bibirnya. Dia bukan wanita seperti itu! Bukan dilahirkan untuk menjadi mainan nafsu lelaki. Itu tidak akan berlaku dalam hidupnya. Dia tekad untuk tidak akan tunduk kepada lelaki. Sebaliknya dia akan melakukan apa saja untuk menundukkan mereka. Ha! Ha! Sampai mereka sanggup korbankan apa saja demi cinta dan perhatiannya. Selepas dia puas hati membuat hidup mereka sengsara, mereka akan ditinggalkan terkapai-kapai. Sama sekali dia tidak akan berpaling walau macammana pun dirinya dirayu. Men are not worth her time.

Puteri tersandar sambil membuang pandangan ke luar kereta. Suasana di bandar Istanbul sudah mula sesak. Sebab itu pelancong lebih suka mencari penempatan di kawasan pusat bandar bagi memudahkan mereka berjalan kaki ke sana sini.

Puteri datang untuk menyelusuri sejarah seni hiasan dalaman dan binaan sekaligus mencari titik muktamad dalam hubungannya dengan Nuqman. Dia tersenyum. Sehebat manapun lelaki, pasti akan tunduk pada aku. Nuqman nampaknya mudah sangat. Cuma masalahnya, lelaki lain mudah aku tinggalkan macam tu saja. Tapi Nuqman? Aku terikat!

Dia juga tak cari aku tetapi dipilih abah. Kejadian di Pantai Cenang, Langkawi tidak lama dulu mengubah hidupnya. Ketika itu dia sedang bercuti bersama teman-teman. Dia yang sedang menabur cinta dengan seorang lelaki berbangsa asing, Steve bersenda gurau sambil berjalan di tepi pantai. Manalah dia sangka yang abang sulungnya, Megat Hafiz boleh berada di situ. Memang along mengamuk sakan malah memaksa dia meninggalkan Pantai Cenang waktu itu juga. Tidak lama kemudian, abah diserang sakit jantung dan berada dalam keadaan kritikal. Sebelum itu, abah sempat berpesan agar dia diijabkabulkan dengan lelaki pilihan abah. Abah tak mahu dia keseorangan sekiranya apa-apa berlaku kepada abah.  Apa pilihan yang dia ada waktu itu? Tanpa inai di jari, apatah lagi paluan kompang, dia diijabkabulkan dengan Nuqman dengan syarat, perkahwinan mereka dirahsiakan dan dia hanya akan hidup bersama Nuqman selepas usianya mencecah dua puluh satu tahun.

Suami rahsianya yang sedang memandu di sebelah dikerling tajam. Melihat penampilan dan cara hidup Nuqman, aku pasti yang aku bukan gadis pilihannya. Tapi kenapa dia tenang menerima aku? Atau ada agenda di sebalik semua ini yang aku tak tahu? Tidak kira macammana pun gelodak perasaannya bila bersama Nuqman, Puteri tekad untuk mengungkai segala persoalan dan mencari titik penentu.

“Alhamdulillah, kita dah sampai,” Nuqman bersuara sebaik sahaja kereta diberhentikan di ruang parkir. Puteri menurut saja langkah Nuqman meninggalkan ruang parkir dan menaiki lif yang sedia menunggu. Sebaik saja keluar dari pintu lif, Puteri berubah ceria dan teruja apabila disambut oleh ruang lobi yang berhias indah dengan dekorasi klasik Turki. Lantai marmar luas dan cantik. Bunga-bunga berwarna merah yang tertanam di dalamnya bagaikan hidup menjalar. Indah sungguh! Meneroka hiasan dinding dan perabot tersusun penuh kreatif adunan klasik kontemporari, Puteri menahan nafas kerana sangat teruja. Nuqman hanya memerhati penuh asyik dengan gelagat Puteri. Mereka menaiki sebuah lif lain dari lobi ke pangsapuri di tingkat 7. Dan sebaik saja daun pintu diselak…

“Oh-My-God!” Puteri berlari sambil melemparkan tas tangan ke sofa empuk, membuka pintu kaca balkoni di ruang tamu yang mengadap Selat Bhosporus yang mengalir tenang di bawah sana. Angin dingin yang rakus mengelus dirinya tidak dipedulikan. Dia berlari ke balkoni lalu berpaut pada jeriji besi berukir separas dada dan menghimbau pandangan sejauh mungkin menikmati keindahan panorama yang sangat menakjubkan itu. Indah sungguh!

Angin dingin dan titisan hujan renyai yang masih turun terasa amat menyegarkan. Puteri memejamkan mata lalu mendepangkan kedua tangannya luas, menghayati setiap elusan angin yang bertiup dan setiap titik hujan yang menimpa mukanya.

“Memang betul alam ni bukti wujudnya Tuhan. Bila orang tengok alam luas macam ni, terus menyebut-nyebut nama Tuhan. Terasa kewujudan-Nya, kebesaran-Nya.” Suara Nuqman tiba-tiba kedengaran di hujung telinga dibawa angin yang bertiup. Puteri mengetap bibir.

Betul ke itu yang aku rasa? Atau sebenarnya hanya kerana teruja? Menikmati ciptaan-Nya untuk kepuasan diri? Benarkah aku terasa kebesaran-Nya bila aku menyeru nama-Nya tadi?

“Saya jugak sangat terasa kasih sayang Tuhan bila awak datang, Ika.” Suara itu berdesir di tepi telinganya. Mata Puteri terbeliak. Bibirnya digigit menahan rasa terkejut. Dia dapat rasakan Nuqman kini berdiri terlalu dekat di belakangnya. Dia jadi takut hendak bergerak.

“Terima kasih sebab sudi datang.”

Abah! Ni semua sebab abah! Puteri menjerit-jerit dalam hati. Dia sebenarnya langsung tidak menyangka yang abah betul-betul ambil serius dengan permintaannya yang sedang emosi ketika itu. Sesungguhnya Puteri menyesal sebaik saja tiket penerbangan ke Istanbul abah letak di hadapannya di meja makan. Terkedu sambil melindungi gelodak perasaannya dan takut diejek oleh abang-abangnya, Puteri cepat-cepat berbisik di telinga abah untuk merahsiakan perkara itu dari mereka. Dengan hati yang berat dan bergelora, dia tiba juga ke Istanbul.

“Ika, awak lupa ke?” Terkelip-kelip mata Puteri cuba mengingati sesuatu.

“Tak nak salam suami?”

“Suami?” Sepasang mata Puteri membesar.

“Ohh…!” Puteri berpaling juga, sengih mengadap Nuqman dengan muka seposen. Alahai! Ni yang malas ni! Hal-hal suami isteri yang paling dia tak suka nak fikir. Ahh… Salam je lah! Mesti kena cium tangan pulak tu! Cepat-cepat dia hulurkan kedua tangan. Teringat arwah ibu… bila dia salam abah, tunduk penuh hormat, kucup tangan abah penuh kasih. Aku?

Sebaik saja Nuqman menyambut tangannya, Puteri cepat-cepat tunduk mengucup tangan itu lalu dilepaskan dan sepantas kilat dia berlalu masuk ke ruang tamu. Nuqman terpinga-pinga namun dia hanya tersenyum. Isteri pemalu. Dia berbaik sangka.

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA Bab 1

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s